PEMBANGKANG TOLAK KEGANASAN
Harakah
Ketua Pembangkang Dato' Fadzil Mohd Noor
menegaskan pembangkang negara ini tidak berhajat menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dengan
mengangkat senjata sebaliknya masih menaruh harapan kepada sistem pilihan raya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Gerak Kerja Pilihan Raya ke-11 Parlimen Baling
di dewan Pejabat PAS Kupang semalam.
"Barisan Alternatif (BA) masih menganggap pilihan raya merupakan jalan terbaik untuk
menjatuhkan BN bukannya melalui jalan perang yang melibatkan nyawa tergadai," ujar
beliau.
Menurutnya lagi, memandangkan negara ini masih membuka ruang yang luas terhadap demokrasi
maka pembangkang akan menyambutnya dengan baik supaya rakyat negara ini turut merasai
nikmat berada dalam negara yang aman damai.
Menyentuh mengenai tindakan rakyat mengadakan demonstrasi di jalan raya kerana tidak puas
hati dengan perjalanan bidang kehakiman dan kezaliman BN Dato' Fadzil berkata, kejadian
itu tidak sama dengan percubaan angkat senjata melawan kerajaan memandangkan goloongan ini
tidak bersenjata dan hanya berhimpun mengadakan bantahan aman.
"Demonstrasi yang berlaku beberapa bulan lalu bukan bererti pembangkang mahu
menjatuhkan BN dengan senjata kerana meraka tidak mempunyai apa-apa senjata sebaliknya
mengadakan perhimpunan aman mengadakan ketidakpuasan hati terhadap sistem kehakiman dan
kezaliman BN pada Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim,"
terangnya yang juga presiden PAS.
Tuduhan Perdana Menteri, Dato' seri Mahathir Mohamad kononnya kecurian senjata tentera di
Kem Batalion 304 Infantri Askar Wataniah di Grik, Perak melibatkan motif politik ala
pembangkang beliau menambah, tuduhan itu melulu dan tidak berasas sama sekali.
Pakatan pembangkang tidak melaksana pendekatan sebegitu untuk mejatuhkan BN yang
sememangnya umpama 'telur di hujung tanduk' kerana pendekatan tersebut merugikan pengaruh
pembangkang dalam pilihan raya ke-11 nanti.
"Buat apa kami mencetuskan pergaduhan dengan BN dengan menculik atau mencuri senjata
tentera kerana meneusi pilihan raya sudah cukup menunjukkan kecenderungan BN akan tewas
ekoran tindakan rakyat menolak kepimpinan negara dalam pilihan raya ke-10 yang lalu."
|