MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

KELUARGA YAKIN MEREKA YANG TERLIBAT DIPERDAYA

KOTA BAHARU, 8 Julai (Bernama) -- Keluarga kepada dua anggota Kumpulan Al Ma'unah di Kelantan yang dilaporkan terlibat dalam kes melarikan senjata api di dua Kem Tentera di Gerik, Perak percaya mereka terpedaya dengan tipu muslihat pihak tertentu dalam kumpulan itu.

Keluarga kepada Suhaimi Hasbullah di Pasir Puteh dan Mohd Ramli Mahmood di Tanah Merah yakin Suhaimi dan Mohd Ramli pergi ke Gerik pada awalnya dengan niat untuk mendalami ilmu kerohanian.

Isteri Suhaimi, Azizah Ismail, 36, yang ditemui di rumahnya di Kampung Tualang Rendah, Pasir Puteh bimbang suaminya terperangkap dan diperdaya oleh muslihat kumpulan itu.

Katanya, ketika turun dari rumah untuk ke Gerik pada 29 Jun lepas Suhaimi menyatakan hasrat untuk pergi memantapkan ilmu kerohanian Al Ma'unah.

"Mulanya suami saya tidak tersenarai untuk pergi ke Gerik tetapi pada malam Khamis (29 Jun) itu seorang anggota Al Ma'unah yang lebih kanan datang meminta menggantikan tempatnya kerana dia ada masalah dan tidak boleh pergi," katanya.

Beliau berkata, suaminya berbelah-bahagi untuk menunaikan permintaan rakannya itu memandangkan pada ketika itu ibunya yang berada di rumah mereka sedang sakit dan seorang anaknya demam.

Azizah merayu kerajaan membuat siasatan mendalam termasuk latar belakang keluarga mereka dan memberikan pertimbangan sewajarnya kepada suaminya.

Sementara itu, Siti Norasiah, anak kepada Mohd Ramli yakin bapanya tidak sedar apa yang dilakukan kerana terpedaya dengan tipu helah pihak tertentu dalam kumpulan Al Ma'unah.

Siti Norasiah, 14, ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Manal Jaya Satu, Tanah Merah, berkata keluarganya mengetahui bapanya menganggotai kumpulan Al Ma'unah yang dipercayai bertujuan baik terutama dalam ilmu pengisian kerohanian.

Beliau berkata, bapanya kadangkala meninggalkan rumah selama tiga hari untuk kursus mengenai ilmu pengisian kerohanian bersama rakan-rakannya. "Ayah memberitahu kami bahawa dia pergi berkursus di Gerik selama tiga hari mulai Khamis dan pemergiannya dalam keadaan biasa seperti sebelum ini, tetapi kami diberitahu ayah telah ditangkap," katanya.

Siti Norasiah, anak kelima daripada lapan beradik, berkata keluarganya yakin bapanya berniat baik semasa ke Gerik tetapi terpedaya dengan muslihat pihak tertentu.

Nota Webmaster:

Perkataan yang diwarnakan itu menunjukkan wujudnya pihak tertentu yang mendalangi rampasan senjata berkenaan. Apakah ini tidak boleh dikaitkan dengan aktiviti sleeping spy Mahathir ke dalam Al-Maunah?

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

 counter.bloke.com