MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

USUL TERGEMPAR BA: RAMPASAN SENJATA, RASUAH PM
Aman Rais

Barisan Alternatif akan menbawa dua usul tergempar berhubung perbuatan Perdana Menteri menghalang siasatan Badan Pencegah Rasuah terhadap bekas Ketua Unit Perancang Ekonomi, Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman dan kejadian rampasan senjata di kem askar di Grik dalam sidang Dewan Rakyat Isnin depan.

PAS akan membawa usul tergempar berhubung rampasan senjata, manakala Parti KeADILan Nasional akan mengemukakan usul berhubung dakwaan salah guna kuasa Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agung PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, BA memandang serius dua isu berkenaan dan mahu Dewan Rakyat membincangkannya.

"Wakil-wakil rakyat BA sudah bersetuju sebulat suara agar usul-usul itu dibawa ke Dewan Rakyat. Kita akan mengemukakan notis tergempar kepada Speaker apabila sidang bermula," jelasnya.

Mengikut peraturan dewan, usul tergempar memerlukan notis sekurang-kurangnya sehari sebelum tarikh sebenar ia dibentangkan. Usul tersebut haruslah memenuhi tiga ciri asas: berkepentingan awam, perlu disegerakan dan khusus.

Menurut Nasharudin, pakatan pembangkang memandang serius rampasan senjata kerana melibatkan isu-isu keselamatan dan pertahanan negara.

Dalam kejadian kecurian pada 3 Julai lalu, 15 orang yang menyamar sebagai anggota tentera telah menceroboh masuk ke Kem Batalion Infantri 304 di Grik dan pos tentera di Banding, Perak. Mereka mencuri lebih 100 laras senapang M-16 dan peluru serta senjata berat yang lain.

Setiausaha Agung KeADILan, Mohd Anuar Tahir pula memberitahu, wakil-wakil rakyatnya akan tetap membawa usul berhubung keterangan bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk Shafie Yahya yang mendakwa Dr. Mahathir mengarahkannya menghentikan siasatan terhadap Abul Hassan.

"Kita tahu kemungkinan usul ini ditolak oleh Speaker. Namun ia tidak bermakna kita tidak boleh mencuba. Kalau usul itu ditolak, wakil-wakil rakyat KeADILan akan menggunakan saluran lain, terutamanya waktu prbahasan untuk membangkitkan perkara ini," kata Anuar.

"Dakwaan Shafie itu sangat serius dan tidak boleh disenyapkan begitu sahaja. KeADILan tidak akan berdiam diri."

Shafie memberikan keterangan itu ketika menjadi saksi pembela dalam perbicaraan kes kedua bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 12 Jun lalu.

Berdasarkan keterangan Shafie itu, Anwar membuat laporan polis terhadap Dr. Mahathir keesokannya, sementara mesyuarat agung kedua KeADILan beberapa hari selepas itu meluluskan sebulat suara usul tergempar agar polis menahan dan menyiasat Perdana Menteri.

Pergerakan Pemuda parti itu yang diketuai oleh Mohamad Ezam Mohd Noor mengadakan kempen jelajah negara untuk menyebarkan laporan polis Anwar itu dan juga membuat laporan polis tentang hal yang sama di beberapa buah negeri.

Sidang penggal kedua Dewan Rakyat kali ke-10 akan berlangsung selama tiga minggu bermula 10 Julai depan dan diikuti sidang Dewan Negara selama seminggu.

Dipetik dari Laman MalaysiaKini

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

 counter.bloke.com