|
Kenyataan akhbar Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen bagi Kota Melaka, Kerk Kim
Hock di Petaling Jaya pada 4 Julai 2000 Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak Harus Menjelaskan Rompakan Senjata Api Di Persidangan Parlimen Yang Bermula Pada 10.7.2000 Adalah wajar Menteri Pertahanan menubuhkan satu Lembaga Siasatan untuk menyiasat kejadian 15 orang berpakaian sebagai pegawai tentera berpangkat tinggi yang mencuri 118 senjata api dari 2 kem tentera di Hulu Perak pada waktu pagi hari Ahad. Walau bagaimanapun, DAP berpendapat bahawa sementara menunggu hasil siasatan, Menteri Pertahanan harus menjelaskan rompakan senjata api di persidangan Parlimen yang bermula pada 10.7.2000. Kehilangan senjata api dari kem tentera pernah berlaku tetapi tidak serius seperti kejadian ini. Setiap kali kehilangan berlaku, pihak berkuasa akan mengumumkan langkah-langkah tertentu dan mengambil tindakan keras terhadap mereka yang didapati cuai, tetapi nampaknya langkah-langkah yang lalu tidak dapat menghalang kejadian ini daripada berlaku, ini merupakan sesuatu yang memalukan. Walaupun Datuk Seri Najib berkata bahawa terdapat sikap ‘ambil ringan’ dalam tentera sehingga mewujudkan kelemahan dalam prosidur kem, tetapi beliau harus sedar bahawa kerajaan yang harus dipersalahkan kerana mereka tidak belajar daripada pengalaman yang lalu. Rompakan senjata api bukan sahaja menyebabkan orang awam ingin tahu akan motif kecurian itu, tetapi juga menyebabkan orang awam mempersoalkan kelemahan keselamatan dan prosidur kem-kem tentera dalam negara ini. Kecurian ini memberi tanggapan bahawa kehadiran pegawai tentera berpangkat tinggi dapat mengatasi semua prosidur atau mengagumkan penjaga kem sehingga tidak dapat menjalankan prosidur tentera yang ketat. Menteri Pertahanan bukan sahaja harus mengkaji semula dan memperketatkan semua prosidur keselamatan di kem-kem tentera di seluruh negara, tetapi juga sedar bahawa sistem dan prosidur yang tidak mungkin disalahgunakan harus dijalankan oleh penjaga yang bertugas dan langkah-langkah harus diambil untuk mengelakkan kejadian yang mana "pangkat pegawai atau pihak berkuasa mengatasi semua prosidur". Kecurian itu juga menimbulkan persoalan tentang ancaman terhadap keselamatan dan nyawa orang awam. Datuk Seri Najib harus menunjukkan sikap kerajaan yang serius dengan menjelaskan kecurian itu di parlimen. Sebenarnya, jika kejadian sedemikian berlaku di negara yang mempunyai demokrasi yang matang, Menteri Pertahanannya tentu sudah meletak jawatan, atau dipecat dari Kabinet. Di Malaysia, kebudayaan kebertanggungjawapan Menteri tidak wujud dan seruan sentiasa diberi supaya Menteri itu meletak jawatan walaupun kejadian rompakan senjata api yang serius adalah alasan yang memadai bagi beliau untuk meletakkan jawatan. |
Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com
|