EPISOD ROMPAKAN ASKAR WATANIAH (RAW)
PERANG BERMALAIKAT
SABUNG BERJUARA
Panglima Sauk
Apa yang
dikatakan sebagai operasi tentera terbesar sejak berakhirnya zaman darurat komunis dulu,
kini sudah dianggap bahan ketawa pula. Semakin ramai rakyat yang memperlekehkan 'kisah
benar' yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan. Walaupun Mahathir, Paklah dan Najib Tun Razak
bersilih-ganti mengeluarkan pendapat mereka mengenai episod rompakan senjata itu, semakin
ramai rakyat yang berfikir semua itu adalah kerja dalangan yang layak dimasukkan dalam
skrip filem Hollywood. Kenapa mereka tidak fikirkan skrip Bollywood ataupun skrip filem
keluaran Hong Kong, belum pula ada sesiapa yang mahu pertikaikan. Setakat ini, ramai yang
fikir Episod RAW (Rompakan Askar Wataniah/Rejimen Askar Wataniah; pilihlah yang mana satu
) sudah layak diselitkan dalam filem Hollywood. Tetapi, 'RAW' dalam bahasa Inggeris bererti
'mentah'. Apakah episod ini menunjukkan kementahan beberapa pihak yang terbabit dengannya,
hanya masa akan menjadi penentunya.
Memang terdapat beberapa elemen intrig yang
menyoal minda kita bagaimanakah episod rompakan itu boleh tersekat jalanan skripnya di
Sauk ? Apakah kerana Kampung Jenalek Hulu itu sebuah perkampungan Melayu yang meminggiri
kawasan dusun buah-buahan yang memudahkan sesiapa sahaja bersembunyi di situ?
Malahan bunyi tembakan memang sudah lama di dengar di keseluruhan kawasan Kampung Jenalek
itu sebelum berlakunya rompakan senjata tersebut. Kerana itu apabila tercetus bunyi
tembakan yang semakin galak pada pagi Ahad yang lalu, orang kampung tidak memperdulikannya
sehinggalah tercetusnya berita ada orang kampung yang ditangkap.
Kalau
disingkap sejarah silam, tempat di mana kumpulan 'perompak' bersembunyi sekarang ini
adalah satu tapak pembalakan yang terkenal sebelum itu, sebagai sarang komunis. Kira-kira
empat tahun yang lalu pernah berlaku satu episod di malam hari apabila terjadinya
peristiwa heret mengheret seorang peniaga Cina yang akhirnya ditembak dan ditinggalkan di
kawasan semak di situ. Malahan, dalam tahun 1987, berlaku satu peristiwa apabila pihak
pasukan keselamatan berjaya membunuh empat orang komunis di perkampungan Cina di situ.
Bayangkan, bagaimana peristiwa kemunculan komunis di situ tiga puluh tahun selepas negara
mencapai kemerdekaannya dan selepas kawasan itu lama diisytiharkan bersih daripada ancaman
komunis.
Oleh itu, orang kampung memang tidak berani sangat keluar di tengah malam
buta semata-mata untuk menyiasat bunyi yang ganjil yang mungkin mencurigakan. Setiap bunyi
yang kedengaran di malam gelita hanya mampu diselidiki di siang hari. Itu pun kalau-kalau
difikirkan ada ayam dan hasil tanaman yang dicuri ataupun harta benda yang sudah
dibawa lari. Kerana itu apabila berlaku bunyi tembakan di hujung 'baruh', ada penghuni
kampung yang cuba membalas bunyi itu dengan membakar mercun. Ini merupakan budaya kampung,
setiap bunyi dibalas dengan bunyi dan setiap laungan dibalas dengan laungan jua. Inilah
budaya lawan-melawan dan sambar-menyambar, secara acah-acah sahaja. Apa bezanya sangat
dengan budaya orang Melayu berpolitik? Kalau orang di hilir meraung, orang di hulu
pun sambut dengan meraung juga. Kalau orang di bukit bersiul panjang orang di paya bersiul
panjang juga. Lainlah kalau yang menyambut siulan itu sudah tidak pun bergigi. Mana
mungkin dia menyambut siulan panjang bila mulut sudah kurang berpagar lagi?
Setiap
kali perkampungan bergegar dengan tembakan yang bertalu-talu dan apabila disahkan betapa
tembakan itu adalah satu pertempuran, orang kampung pun mula gelabah. Ada yang sibuk
memanggil anak dan cucu agar masuk ke rumah sebelum menutup pintu. Si suami mencari si
isteri, si isteri pula mula mencari anak dan cucu. Ayam dan itik pun mula
bertempiaran kerana mereka pun kebingungan. Apa punya kerja ini, fikir mereka. Manusia
sudah semakin gila, bertembak-tembakan tak tentu hala.
Yang anihnya, binatang ternakan
tidak pernah lari ke kandang dan reban apabila berlakunya bunyi tembakan. Mereka lebih
suka berkumpul di satu tempat yang difikirkan selamat. Di waktu itu mereka tidak mahu
memikirkan reban dan kandang sebagai tempat yang selamat. Begitu juga dengan
burung-burung. Mereka lebih rela terbang jauh daripada sarang mereka. Mungkin kerana
takutkan peluru sesat yang menghala ke udara? Inilah masanya burung-burung menguji
kekuatan sayapnya untuk terbang jauh menyelamatkan nyawa. Yang peliknya ayam dan itik pun bersayap juga, tetapi kenapa tidak sanggup menggunakan kepaknya untuk terbang ke
tempat yang selesa?
Orang Kampung Yang Semakin Keliru
Kini,
empat hari sudah berlalu, cerita rompakan senjata di dua kem tentera sudah pun
menjadi satu berita hangat hingga melariskan akhbar. Siaran berita TV dan radio pun
menjadi program yang diminati semula. Episod RAW akan mengubah cara hidup ramai manusia.
Pertama sekali, orang kampung di Jenalik Hulu sudah merasakan betapa pentingnya
mereka itu sekarang ini walaupun satu ketika dulu hanya saudara mara terdekat sahaja
yang mengenal mereka. Kini, telefon di rumah mereka sentiasa berdering kerana rakan
dan taulan mahukan berita terkini untuk dijadikan perbandingan dengan cerita skrip olahan
kerajaan. Semua berita yang dipaparkan oleh media massa adalah seirama bunyinya dan
sehaluan tujuannya. Kerana itu dunia bebas di luar sana mahukan berita yang lebih
meyakinkan lagi. Penduduk Kampung Jenalik Hulu adalah harapannya yang terakhir kini.
Disebabkan kejadian hebat berlaku di Jenalik Hulu, penduduk di kampung berdekatan pun
turut merasakan glamornya. Kampung Jenalik Hilir, Kampung Ngor, Kampung Changkat, Sauk,
Kuak dan Kati dan banyak lagi kampung yang lain sudah mula merasakan keseronokan glamor
itu.
Sekarang ini, penduduk sebenar di Jenalik Hulu dinasihatkan keluar dari
rumah mereka kerana kerajaan takutkan peluru sesat. Kerana itu ada yang menumpang di rumah
anak-anak dan juga menantu. Ada yang menumpang di rumah saudara mara yang terdekat di
situ. Mereka terpaksa akur dengan arahan, tetapi mereka tidak mahu pergi berjauhan. Di
awal pagi mereka mahu pulang ke rumah untuk membuka reban dan mungkin pintu dan
jendela rumah agar angin rimba masuk menjamah. Makanan ayam dan itik perlu diletakkan
dalam takung makanannya, jika tidak ternakan akan menjeruk rasa dan bermasam muka. Kerana
biasa dengan rezeki murah di pagi hari, kalau kini ditiadakan juga tentu ada ternakan yang
merasakan diri mereka sudah mula didera. Cukuplah dengan bunyi tembakan yang membingitkan
telinga sepanjang masa, takkan makanan pun mahu dicatu ataupun dihentikan pula. Akibatnya,
mungkin ada ternakan yang meragam dan mogok. Ada yang tidak mahu bertelur kerana
terencat dan terkejut. Bayangkanlah kalau setiap kali meneran untuk mengeluarkan telur
mereka dikejutkan oleh letupan senapang dan bom. Jangan dikatakan ayam dan itik yang mahu
bertelur. Manusia yang sedang mengandung pun boleh keguguran. Ternakan bunting pun boleh
mati beragan.
Demikianlah kelirunya penghuni kampung Jenalik Hulu hinggakan
suasana kekeliruan itu menjalar jauh ke perkampungan yang berdekatan. Dalam dunia
teknologi ini, apa yang berlaku di sana masih boleh diikuti oleh orang luar dengan
bijaksana. Panggilan telefon yang dilakukan oleh saudara mara jauh dan dekat memberikan laporan
semasa yang terperinci dan tepat. Malahan laporan itu lebih meyakinkan kerana ia
tidak ditapis dulu oleh Jabatan Perang Saraf parti yang memerintah dan jabatan kerajaan.
Kalau
kita baca laporan di akhbar dan juga meneliti gambaran dan bayangan yang ditunjukkan di
kaca TV kita mungkin mahu bertanya, kenapakah berita episod rompakan tentera itu dibiarkan
tersebar luas seolah-olah tidak ada elemen rahsia kenegaraan yang perlu diperamkan?
Apakah kerajaan tidak merasa malu dengan episod itu sehinggakan membenarkan media massa
bermaharajalela membuatkan laporan yang menyeluruh terhadapnya? Apakah pihak tentera
sendiri tidak memikirkan elemen rahsia ketenteraan yang tergugat dengan tersebar luasnya
episod itu? Semakin lama perkara ini berlalu, semakin ramai pemberita luar
akan datang berpusu, semakin kalut lagi analisis rakyat yang ingin serba tahu. Apakah
jadinya nanti, terbukakah rahsia sebenarnya episod ini?
Identiti Penjenayah
Tafsiran Polis
Pihak kerajaan melalui kenyataan yang dibuat oleh Najib Tun
Razak dan juga Ketua Polis Negara sudah semakin yakin bahawa kumpulan perompak itu adalah
satu kumpulan yang ada sangkut-paut dengan kegiatan ajaran Islam. Samada ajaran itu yang
betul ataupun yang sesat, belum dapat dipastikan lagi. Yang nyata, di hutan itu mereka
mengenakan kopiah putih dan "serban merah dan serban putih". Apa makna kenyataan
itu seperti yang disiarkan oleh hampir semua akhbar perdana (melainkan akhbar Bahasa
Cina), masih lagi samar-samar. Apakah ada yang berserban berwarna merah dan ada pula yang berserban
berwarna putih ataupun serban itu mempunyai dua jalur warna, merah dan putih
laksana bendera Indonesia ataupun Singapura, masih tidak diketahui.
Polis ada juga
membuat kenyataan betapa bilangan kumpulan jahat itu sudah pun bertambah dua kali ganda.
Semasa merompak dulu bilangannya adalah lima belas orang. Kini sejak berada dalam hutan
itu, bilangannya bertambah menjadi tiga puluh orang, dan mungkin lebih. Dengan lain
perkataan, kini sudah ada dua platun kumpulan bersenjata secara haram yang sedang dikepung
oleh pasukan tentera yang berjumlah 2,000 askar itu.
Di sini muncul satu soalan:
Bagaimanakah kumpulan yang dikatakan mengandungi orang Melayu, India dan Iban boleh
berkumpul di hutan itu sambil memakai kopiah dan serban?
Semalam kita diberitahu
mereka ini adalah satu pasukan yang memang pakar dengan senjata. Kalau begitu, apakah
perlunya mereka mencuba senjata yang dirompak itu dengan menembaknya di angkasa sambil
bertakbir? Apakah mereka sengaja mahu menarik perhatian pasukan tentera kerajaan yang sedang mengepung mereka itu? Kalau memang pakar senjata apakah mereka perlu lagi
menguji setiap senjata yang ada?
Bermulanya Episod Yang Mencurigakan
Tersebarnya
kisah permulaan episod RAW ini sudah diterima oleh sebahagian rakyat negara ini dengan
perasaan yang penuh curiga. Mereka tidak perlu mengetahui apakah tujuan sebenarnya rompakan
itu dilakukan. Mereka juga tidak perlu tahu secara terperinci jenis senjata dan
bilangannya yang dilarikan. Mereka lebih senang membuat penganalisan apakah motif
sebenarnya episod itu dimulakan.
Rompakan dilakukan di dua kem tentera yang
berasingan. Jarak jauh di antara dua kem itu adalah sekitar tiga empat puluh kilometer.
Dengan perjalanan berliku di kawasan itu walaupun dilakukan di malam hari, satu jam
diperlukan untuk konvoi. Laporan akhbar mengatakan rompakan pertama terjadi pada jam
(lebih kurang) 3.15 pagi dan rompakan di kem yang lagi satu pada jam 4.15 pagi. Maklumat
yang rasmi melapurkan betapa 15 orang perompak yang berpakaian seragam tentera telah
menggunakan tiga buah kenderaan 'Pajero' untuk alat pengangkutan mereka. Tidak disebut
pula kenderaan lain yang digunakan untuk mengangkut kelengkapan perang yang dirompak itu.
Hanya MGG Pillai ada menyebut penggunaan trak muatan 3 tan bagi tujuan tersebut. Nampaknya
MGG Pillai lebih terkini daripada semua media massa tajaan kerajaan.
Kalau kita
lihat peta kawasan di mana rompakan dilakukan kita akan dapati jalan yang paling sesuai
untuk melarikan diri ialah ke arah utara menghala ke Pengkalan Hulu. Pekan ini yang
dulunya diberi nama Keruh, adalah amat hampir kepada sempadan Siam. Dari situ
perjalanan boleh membawa kita ke Baling yang juga berada di sempadan negara dengan
Thailand.
Mungkin tidak ramai pembaca yang pernah memandu ke kawasan
pergunungan Gerik yang menghala ke Baling. Kawasan ini memang bergunung-gunung. Tetapi
daripada Gerik ia nampak rata dan rendah sahaja, kerana itu adalah satu permulaan
perjalanan yang jauh dan berbahaya. Satu ketika dulu, perjalanan itu memang amat
berbahaya. Tetapi kini, jalan baru sudah dibuat dengan membelah kawasan pergunungan untuk
memudahkan perjalanan daripada Gerik ke Kelian Intan dan menghala ke Pengkalan Hulu.
Perjalanan daripada Gerik ke Pengkalan Hulu adalah satu perjalanan yang lebih meyakinkan
kalau mahu melarikan diri. Di kawasan yang bernama Tanah Hitam terdapat bekas lombong
bijih jenis terdedah ( 'open-cast-mine') yang satu ketika dulu dipunyai oleh Rahman Hydraulics.
Di bukit yang tinggi itu kita masih mampu melihat kesan tapak perlombongan
terbuka ini kerana masih lagi terdapat tiang besar yang diperbuat daripada besi waja. Dari
tiang besi inilah tergantungnya tali kabel yang mengangkut bijih besi ke kilang.
Yang menarik sekali di tempat ini, ialah terdapatnya perigi lama dan terowong lama yang
bersimpang siur hasil penerokaan orang Siam di satu ketika sebelum datangnya kuasa British
di negara ini. Oleh kerana tempatnya tinggi dan terdapatnya terowong yang merupakan laluan
pintas ke sempadan dua negara, kawasan ini amat sesuai untuk perompak melarikan diri
mereka. Sebarang usaha pihak kerajaan menghambat mereka ataupun mengepung mereka akan
menyulitkan operasi itu dan membahayakan nyawa.
Kalau niat sebenar perompak itu
adalah untuk mencuri dan merompak kelengkapan perang, mereka sepatutnya lari arah ke
Baling. Segala unsur melarikan diri dan keupayaan untuk menggunakan jalan alternatif
seandainya dikesan dan diserang lebih meyakinkan sesiapa sahaja menggunakan jalan Gerik ke
Baling itu daripada Gerik ke Kuala Kangsar. Inilah unsur-unsur yang digunakan oleh Chin
Peng dan Rasyid Maidin (Ketua parti Komunis Malaya satu ketika dulu) ketika mereka sanggup
untuk berunding secara terbuka dengan Tunku Abdul Rahman dan David Marshall di Baling.
Malahan, walaupun masa sudah lama beredar, kalau kita pergi ke Baling masih lagi banyak
unsur-unsur lama yang terdapat di pekan itu seolah-olah ia berada pada satu masa
yang dibekukan ('time-warp'). Contohnya ialah menara jam yang dibina pada 31.8.57 yang
terletak di pintu masuk masjid pekan itu. Jam yang terletak di bahagian atasnya
sentiasa menunjukkan waktu yang menghampiri 12.00 sahaja, sejak sekian lama.
Oleh
kerana pekan Pengkalan Hulu adalah merupakan satu pekan kecil yang lebih dihuni oleh orang
daripada Pattani, adalah amat mudah sekali kalau para perompak itu melarikan diri ke pekan
ini kerana mudah menyusup ke seberang sempadan. Kenapakah mereka tidak lakukan semua ini?
Kenapakah mereka sanggup berpatah ke arah selatan untuk melarikan diri? Mungkin soalan ini
sudah dijawab dengan bertambahnya bilangan kumpulan itu di Jenalik Hulu. Tetapi, dari
manakah mereka bertemu untuk menambahkan kekuatan?
Kalau kita mahu mengambil
kira laporan terakhir di TV, kini sudah terjumpa beberapa buah kereta yang tersorok di
satu pekan. Dalam kereta itu ada identiti tuan punya kereta dan juga kad identiti serta
nombor keahlian kumpulan agama mereka. Kereta itu tersimpan di sebuah bengkel kereta yang
dipercayai bertanggungjawab mengecat tiga biji Pajero yang digunakan itu.
Terjumpanya
kereta persendirian mereka itu amat mengelirukan lagi. Bukan kereta itu yang membuatkan
kita keliru. Tetapi terjumpanya kad yang menyerlahkan identiti setiap ahli yang terbabit,
kerana kad itu adalah kad keahlian mereka dalam kumpulan ajaran agama. Bagaimanakah
agaknya kumpulan ini mampu sengaja menyimpan kad ajaran agama (yang mereka tahu
ditakrifkan sebagai ajaran agama sesat oleh kerajaan) sebegitu mudah dalam kereta mereka ?
Laporan
terbaru mengatakan seluruh kawasan persekitaran Jenalik diperintahkan berkurung (curfew)
bermula jam lapan malam hingga enam pagi. Ini yang membuat keadaan tegang menjadi lebih
sensasi. Bermacam andaian boleh dibuat lagi. Orang kampung tidak mudah tidur lena,
terutama sekali orang Sauk yang memang amat rapat persaudaraan mereka di kalangan
perkampungan persekitaran di situ. Tentu mereka berbincang sesama sendiri apakah
kesudahannya drama yang terkini itu. Apakah akan berpanjangan sehingga munculnya
31.8.00 ketika negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ? Tetapi, tentu banyak lagi soalan
yang lebih penting yang memerlukan jawapannya: Siapa yang akan menampung kerugian kalau
durian yang runtuh tidak berkutip dan dijual? Siapa yang akan membayar ganti rugi kalau
penoreh getah tidak boleh turun ke tanah? Siapa pula yang akan memberi jaminan agar ayam
dan itik yang terbiar di kampung halaman tidak dicuri orang di tengah malam.
Soalan
Misteri
Salah satu soalan yang memerlukan jawapan segera ialah bagaimanakah ada
askar kerajaan yang cedera kalau perompak tidak menyerang mereka? Mereka mungkin terkena
peluru yang jatuh dari angkasa. Bukankah para perompak itu dikatakan sedang menguji senjata
mereka? Yang anihnya kalau terkena peluru sesat tanpa disasar oleh para perompak,
bagaimanakah askar kerajaan itu tidak pun mengalami pendarahan? Jenis peluru apakah yang
mengena badan tanpa mengeluarkan darah? Lihat akhbar perdana hari ini (5/7/00) askar yang
terkena tembakan itu mampu diberi balutan bandage dengan bajunya tersangkut di badan.
Inilah gambar yang amat mencurigakan rakyat biasa di negara ini.
Rakyat memang tahu
kalau askar kita kena tembakan secara 'direct' tentu ada yang rabak bahunya. Tetapi kalau
terkena peluru daripada udara tidak begitu bahananya. Namun, mesti ada luka dan berdarah
juga. Tetapi, yang peliknya perkara ini tidak berlaku. Askar itu dikejarkan ke hospital
Taiping pula. Kenapa tidak ke hospital Kuala Kangsar? Yang dimasukkan ke Taiping itu
kenapa pula dilarikan ke hospital Ipoh? Bukannya serius sangat lukanya kalau dia
mampu keluar daripada hospital sambil berjalan kaki.
Perang bermalaikat sabung
berjuara, adalah satu pepatah Melayu yang muncul setelah orang melayu mengenal ajaran
Islam. Ia membawa erti betapa kita sebagai umat-Nya perlu berusaha tetapi Dialah yang
menentukan berjaya tidaknya usaha rencana itu. Mungkin pepatah ini digunakan sebagai
pedoman juga oleh para perompak yang kini sudah berjumlah lebih tiga puluh orang ramainya.
Gelagat mereka itu yang menjadi soalan kita kini.
Memang banyak soalan
lain yang penting lagi. Tetapi, apa juga soalan yang akan muncul itu tentu ada satu
soalan yang paling penting lagi: Siapakah sebenarnya perompak yang memakai serban itu?
Siapakah gerangan imam besar mereka dan di mana?
.......bersambung..
|