OPERASI TERBESAR TENTERA SELEPAS DARURAT!!
Oleh: Panglima Sauk
Prolog:
Di muka surat akhbar perdana hari ini tertera gambar Perdana
Menteri Malaysia sedang makan dengan 'rakyat biasa'. Ini adalah satu strategi baru UMNO
yang cuba memenangi hati orang Melayu. Tetapi, 'rakyat biasa' yang digambarkan itu adalah
Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria, Dato Ismail Rauf bekas exco Perak dan Dato
Ahmad Hambal Yeop Majlis bekas ketua bahagian UMNO Parit. Di meja yang sama Menteri Besar
Perak tidak kelihatan kerana itu adalah jamuan makan Perdana menteri dengan 'rakyat
biasa'. Cuma Dato Majid Hussein menjadi wakilnya, kerana beliau adalah Setiausaha Negeri
Perak yang mewakili pegawai pentadbiran kerajaan. Apakah yang mereka
bincangkan agaknya? Apakah mereka membincangkan kisah wanita Melayu yang ditangkap di Restoran
The Ship di Damansara Utama ataupun kisah askar bajingan yang menyamar untuk
merompak senjata canggih daripada dua kem tentera di Gerik? Kalau membincangkan perihal
wanita di 'The Ship' tentu sekali Dato Majid Hussein mampu berinteraksi sakan dengan Dato
Seri Mufti. Rumah Majid Hussein hanya selaung suara daripada 'The Ship' itu. Yang lebih hampir dengan
restoran tersebut ialah Rahim Nur. Rumahnya memang setapak dua sahaja dari
situ.
Apa pun yang dibualkan oleh Mahathir bersama tetamu khasnya kali itu,
sudah tentu dia tidak dapat melupakan keadaan negara yang menjadi perhatian seluruh dunia
masa kini. Inilah pertama kalinya Majlis Tertinggi UMNO mengadakan mesyuarat bulanannya di
luar Kuala Lumpur. Ipoh menjadi pilihan utama mereka dan majlis itu telah diwarnai oleh
beratus askar Gerak Khas yang mengawal bandar raya itu sedangkan kereta perisai diletakkan
di beberapa pintu masuk bangunan yang penting di bandar itu. Penduduk di Ipoh tentu
tertanya-tanya kenapa perlunya kawalan keselamatan yang ketat seperti itu. Ramai di
kalangan penduduk Ipoh yang belum biasa dengan pemandangan seperti itu kerana mereka lebih
selesa melihat pemandangan demikian di TV dan pawagam sahaja. Tetapi, kini gambaran itu
boleh dilihat dengan jelas di depan mata.
Memang belum pernah berlaku sebelum
ini, tidak juga ketika Tengku Abdul Rahman Putra masih menjadi Perdana Menteri. Hanya di
zaman Mahathir barulah kelihatan kereta perisai digunakan sebagai kawalan
berjaga-jaga ketika Perdana Menteri bermesyuarat dan beristirahat. Ini adalah satu
gambaran betapa keselamatan negara sudah tergugat. Tidak cukup dengan serangan Virus Nipah
ataupun JE yang melanda seluruh Kedah dan juga Pulau Pinang dan berkemungkinan besar
sedang menjalar ke kawasan perkampungan Siam seperti di Sungai Tiang dan juga Kampong Tas
dan persekitarannya. Bagaimana pula keadaan negara yang diserang oleh kedatangan pendatang
tanpa izin (pendatang haram) yang dibiarkan berleluasa kerana kemampuan untuk membenterasnya
memang tidak ada? Kini, serangan ancaman terbaru sudah menjelma pula. Ia
adalah sesuatu yang tidak pernah difikirkan akan berlaku kerana tidak siapa yang sanggup
mengaku bahawa perkara begini boleh pun berlaku.
Kem Tentera yang Tidak
Selamat
Siapakah yang boleh sangka tentera Malaysia yang dikatakan paling
dihormati di antara pasukan tentera Dunia Ketiga dan dikatakan setaraf dengan pasukan
tentera Dunia yang maju telah dicemarkan dengan berlakunya rompakan terang-terangan
di malam hari? Hampir semua akhbar perdana menyiarkan cerita ini dengan tajuk "Senjata
Tentera di Curi". Kalau satu senjata hilang, ia bolehlah dikatakan telah dicuri
orang. Tetapi kalau kecurian itu dilakukan secara terang-terangan dengan tipu helah ia
bukan satu kecurian lagi. Ia adalah satu rompakan.
Adalah sesuatu yang tidak
masuk akal apabila senjata canggih boleh dibawa keluar dengan tipu helah. Ia lebih
menakjubkan apabila taktik rompakan itu dilakukan di dua kem tentera yang berasingan oleh
kumpulan yang sama. Patut jugalah Najib sanggup berkata betapa "kejadian
berkenaan yang dirancang secara professional serta rapi."
Sememangnya,
kejadian rompakan itu dilakukan begitu profesional sehinggakan berita perdana pun
menganggapnya sebagai satu cerita sensasi yang boleh dibikin filem dan ditonton untuk
tayangan perdana ala Hollywood. Mungkin kalau rompakan itu berlaku hanya pada satu kem,
pembikinan filem boleh diberikan secara bertaraf Bollywood sahaja. Disebabkan ia dilakukan
pada lebih daripada satu kem tentera maka taraf penghormatan sudah dinaikkan sedikit
tinggi lagi.
Semua akhbar perdana sibuk dengan catatan jenis senjata yang dirompak.
Begitu juga dengan siaran televisyen tajaan Mahathir Mohammad. Hanya MGG Pillai ada
menulis perkara yang lebih serius lagi terutama sekali dengan penggunaan tiga kenderaan
berwarna hijau dan bernombor ala tentera. Tulisan Pillai ada menyatakan penggunaan trak
pengangkut bermuatan tiga-ton untuk mengangkut peralatan yang dirompak itu. Secara
tidak langsung laporan akhbar dan media kerajaan memberikan perhatian kepada taktik yang
telah digunakan oleh para perompak dan ada pula komen akhbar dan TV yang menyatakan betapa
adanya orang Melayu yang bangga kerana taktik itu dilakukan oleh anak watan.
Kem Sasaran Perompak
Mungkin tidak ramai yang mengetahui betapa kem yang
diserang oleh perompak itu terletak di satu bahagian negara ini yang amat sukar perjalanan
untuk menghampirinya. Grik dan Pengkalan Hulu adalah dua pekan kecil yang memang
terkenal sejak zaman komunis dulu. Perjalanan di antara dua pekan ini adalah satu
perjalanan yang menakjubkan kerana keadaan sekeliling yang sungguh indah dari aspek
pemandangan semula jadi. Keadaan hutan yang mengimbau pemandangan memang mempersonakan
kerana inilah satu batang jalan di mana ratusan jiwa askar Malaysia dan British yang
pernah terkorban. Sesiapa yang memandu kenderaan menyusuri jalan ini (kebanyakannya jalan
yang baru dibuat menggantikan jalan lama) akan nampak kesan jalan lama yang berada nun di
bahagian sebelah kanan yang menyusuri anak sungai yang memang jernih lagi airnya.
Gerik
yang ada pada hari ini adalah satu pekan yang sudah besar kerana adanya satu stesen bas
yang baru sangat dirasmikan oleh Menteri Besar. Di bahagian belakang stesen bas itu ada
pula gerai makan yang luas untuk menampung kedatangan pengunjung yang berhenti di pekan
itu untuk berehat sebelum menyambung perjalanan ke arah Lenggong dan Kuala Kangsar. Kalau
kita menghampiri Gerik dari arah Ijok ataupun Taiping kita akan bertemu bahagian Gerik
Lama yang memang amat kotor keadaannya, seolah-olah bahagian pekan lama itu sudah merupakan
satu pekan terbiar. Di zaman komunis dulu, inilah bahagian yang penuh aktiviti kerana
terdapat dua hotel lama yang sentiasa penuh dihuni oleh para pengembara.
Sesiapa
yang mahu ke utara daripada Gerik terpaksa melepasi Balai Polis Gerik yang terletak di
satu bahagian anak bukit yang mampu mengawasi setiap pergerakan kereta yang lalu di
hadapannya. Perjalanan akan menghala Simpang Batu Dua di mana jalan berpecah,
satu menghala ke Pengkalan Hulu (Keruh) dan satu lagi adalah jalan Lebuh raya Timur Barat
menghala ke Kota Bahru. Banding terletak kira-kira 30 kilometer daripada Gerik di sepanjang
Lebuh raya Timur-Barat itu. Di sinilah letaknya kem tentera di mana para perompak yang
menyamar itu telah merampas 17 laras Rifel M-16, beberapa laras Steyr Rifel dan kira-kira
6,000 butir peluru. Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.00 pagi (ini merupakan satu
anggaran kerana waktu yang tepat hanya Allah yang tahu. Segala catatan di akhbar dan TV
berbeza kerana kesamaran waktu yang diberikan itu) Dari kem itu mereka telah bergerak ke
arah Gerik dan pada jam 4.15 pagi mereka telah merompak banyak senjata lagi. Kita tidak
mahu rakamkan jenis senjata yang dirompak secara terperinci sehinggalah jumlah itu telah sahkan
oleh pihak tentera. Khabarnya Menteri Pertahanan akan membuat satu pengumuman pada
hari Rabu ataupun Khamis nanti.
Perjalanan Ke Kampung Sauk
Setelah
merompak, konvoi perompak dikatakan telah berhenti di Lawin untuk mengisi minyak. Mereka
berpatah ke arah Selatan menghala ke Lenggong. Dari Lenggong mereka berhenti di sebuah
pekan kecil yang bernama Sauk. Kenapa mereka berpatah balik itu adalah satu misteri.
Terdapat beberapa pekan kecil daripada Lenggong menghala ke Kuala Kangsar. Di
antara pekan kecil itu yang mudah diingat ialah Sauk, Kuak dan Kati, barulah Kuala Kangsar. Kalau kita menyusuri jalan itu daripada Kuala
Kangsar ke arah Lenggong
keadaan tanah di sekeliling ialah berbukit bukau di bahagian kiri jalan dan kawasan rendah
di bahagian kanan. Ini adalah disebabkan pada satu masa dulu jalan dibuat berhampiran anak
sungai. Apabila pembetulan dan pembangunan dilaksanakan kerja-kerja menarah kaki bukit dilakukan untuk membesarkan jalan.
Jikalau rompakan terakhir dilakukan pada jam
4.15 pagi bererti konvoi itu terpaksa meredah jalan Lenggong ke Kuala Kangsar ketika azan
berkumandang di udara. Ini bererti, kalaulah 'siren' (semboyan) kecemasan digerakkan
di kedua kem tentera itu, pihak polis dan tentera tentu sudah mampu mengadakan sekatan
jalan di sepanjang jalan Lenggong-Kuala Kangsar. Untuk mengelakkan mereka dicam dan
ditangkap pihak perompak terpaksa bersembunyi di siang hari.
Pertempuran di
Kampung Jenalik, Sauk
Laporan terbaru yang diterima daripada wartawan reformis
di Sauk melapurkan pertempuran sengit masih berjalan ketika sebelum azan maghrib di
kampung Jenalik yang terletak enam kilometer daripada Pekan Sauk. Ketua kampung di situ
ialah seorang yang bernama Abdul Halim yang satu ketika dulu adalah seorang pegawai
tentera yang berpangkat Waran Officer. Khabarnya beliaulah yang mula-mula sekali yang
menenangkan orang kampung ketika berlakunya tembak menembak di kampung itu. Ramai orang
kampung di situ yang terkejut ketika meletupnya senjata canggih kerana mereka memikirkan
ada orang kampung yang membakar mercun untuk menakutkan ungka dan monyet yang cuba
merosakkan durian mereka. Kini Sekolah di Sauk, Kati dan Kuak sudah ditutup kepada
anak-anak sekolah kerana diambil alih oleh pihak tentera. Seluruh kawasan itu sudah
dikepung oleh pasukan tentera dan kawalan ketat sedang dilaksanakan. Pengawasan daripada
udara pun dilakukan untuk menentukan kesemua anggota perompak itu dapat diberkas.
Untuk
memudahkan pembaca yang pernah menyusuri jalan Lenggong ke Kuala Kangsar biarlah
dirakamkan lokasi pekan-pekan kecil yang perlu dilalui oleh 'perompak berpakaian
seragam itu: Lenggong- Kota Tampan, Raban, Kuak, Jenalik, Sauk, Kampung Chua, Kati,
Kampung Tiung, Cangkat Jambu, Lubok Merbau, Talang, Kuala Kangsar. Ternyata mereka
tertahan di Jenalik kerana masalah keadaan perjalanan. Apakah mereka sengaja mahu menghala
ke Kuala Kangsar tanpa memikirkan kemungkinan adanya sekatan jalan raya untuk menahan
mereka? Ataupun apakah mereka sengaja mahu mengadakan satu pertempuran di kampung Jenalik
itu sambil memudahkan perjalanan sebahagian kumpulan mereka keluar daripada kawasan itu?
Kenapakah mereka pilih untuk lari ke arah Kuala Kangsar sedangkan mereka mampu lari ke
arah Keroh dan Baling? Apakah mereka sudah memunggah sebahagian kelengkapan perang itu
dengan menggunakan tasik yang luas di Raban?
Laporan terkini pada jam 2100 Hrs
melaporkan tiga orang anggota 'penjahat' itu telah ditangkap oleh pihak tentera.
Nampaknya
penduduk Kampung Jenalik yang sudah diarahkan pindah daripada rumah mereka akan mendapati
pokok buah-buahan mereka akan berlubang dan bersarang peluru mesengan seperti yang berlaku
kepada pohon-pohon kelapa di rumah kediaman Arwah Ibrahim Libya dulu.
......Bersambung........
|