|
MINDA RAKYAT VS MINDA PEMERINTAH/BAKAL PEMERINTAH. Oleh : Azhari(s) MUKADDIMAH: KEAJAIBAN MINDA Sesuatu yang baru dialami dalam kehidupan kita akan tercatat dalam diari hidup kita sebagai sebuah memori untuk dibelek-belak dilain ketika. Tikamana memori yang kita sering ulang- ulangi mengingatinya dimakan waktu, ia akan bertukar menjadi nostalgia. Jika indah yang tercatat dalam diari kita, maka ia akan menjadi memori indah dan nostalgia manis. Tetapi jika sekiranya yang tercatat itu suatu yang hodoh, maka ia akan menjadi memori yang hodoh dan nostalgia yang pahit. Keupayaan minda manusia merakamkan berbagai peristiwa sesungguhnya satu keajaiban ciptaan Allah SWT, ia menjadi lebih istimewa bila berupaya terus mengingati peristiwa yang telah berlaku di zaman silam ketika kita masih berada di alam kanak-kanak. Maha suci Allah yang menciptakan manusia dengan seelok-elok kejadian. Suatu yang dianggap paling istimewa dan ajaib ialah bila minda kita berfungsi menambah dan terus menambah memori di dalamnya tanpa mengalami kesesakan atau penuh bahkan ia menjadi semakin luas kapasitinya bila terus digunakan. Namun sesuatu yang mengkagumkan dan dianggap yang teristimewa ialah keupayaan minda kita mengingat sekian banyak fakta, bahkan keupayaan minda kita menghafal Ayat-ayat suci Al-Quran yang 30 Juzuk itu ditambah dengan beribu-ribu Hadis Nabi SAW menandakan dan membuktikan manusia itu sesungguhnya dicipta sebagai makhluk yang seelok-eloknya. FENOMENA POLITIK TANAH AIR DALAM BENTUK STRUKTUR TUBUH BADAN MANUSIA: (ORGAN UTAMA : HATI (QALB), AKAL, NAFSU DAN PANCA INDERA - GOLONGAN PEMERINTAH) SEBELUM DSAI DITANGKAP MINDA RAKYAT Bila kita gunakan istilah minda, sudah tentu ia bukan setakat organ yang digelar sebagai otak itu sahaja, kerana terdapat makhluk lain yang mempunyai saiz otak yang lebih besar dan timbangan yang lebih berat, tetapi minda itu adalah kuasa seni yang terdapat dalam organ otak itu sendiri yang disebut sebagai akal. Kalau otak boleh dilihat reka bentuknya tapi akal tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Ia hanya berjaya dibuktikan wujud di dalam diri manusia oleh hati yang disebut sebagai "Qalb" atau kalbu. "Qalb" pula bukanlah organ hati yang kita boleh lihat berupa seketul daging itu sahaja, bahkan ada makhluk lain yang lebih besar saiz hatinya juga lebih berat timbangannya. Ini menunjukkan al-qalb itu wujud dalam keadaan unik dan seni di dalam ketulan daging yang disebut hati itu. Akal yang begitu hebat fungsi dan kuasanya tidak akan terserlah kehebatannya tanpa bantuan atau peranan hati yang disebut 'qalb' itu. Bahkan kalbu itulah yang beraksi sebagai sultan atau raja kepada seluruh organ manusia yang membuat kata pemutus. Itulah sebabnya Nabi SAW menyandarkan kebaikan dan keburukan yang berlaku dari reaksi manusia terletak pada hatinya. Walaupun akal telah membuktikan segala fakta dan logik sesuatu perkara, manusia tidak akan bertindak menggerakkan organ atau panca-inderanya, melainkan setelah mendapat arahan dari hati yang telah memutuskan apa yang sepatutnya dilaksanakan. Hati manusia kadang-kadang terpaksa mengambil masa untuk membuat keputusan yang hendak dilaksanakan oleh organ-organ lain, bila mana nafsu cuba mencelah dengan mengemukakan cadangan-cadangan yang menyeronokkan mengasyikkan bahkan menyelerakan kepada organ-organ manusia yang lain. Cadangan tersebut akan segera disanggah oleh akal dengan mendatangkan hujah-hujah yang logik dan munasabah dalam menolak keinginan nafsu yang ingin menjerumuskan manusia ke arah kebinasaan. Maka seringlah berlaku pergeseran, pertengkaran, pergelutan bahkan peperangan di antara nafsu dan akal dalam mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat oleh hati manusia. Akal yang sihat dengan makanannya yang cukup dari beraneka jenis ilmu kemahiran dan pengalaman akan dapat memenangi pergelutan atau peperangan yang sering berlaku, apa-tah lagi jika akal banyak menyimpan memori berupa hafalan dari ayat-ayat Al-Quran dan Hadis yang lazimnya berjaya mematahkan hujah yang dikemukakan oleh nafsu yang hanya menyenaraikan sekian banyak kebaikan yang berkaitan dengan keinginan yang tidak terkawal. Hati akan bertindak menghakimi dan menjatuhi hukuman atau membuat pilihan berdasarkan yang mana lebih kuat dari hujah-hujah yang dikemukakan oleh kedua-dua menteri atau penasihatnya itu. Hanya hati yang cukup sihat sahaja yang dapat membuat sebarang keputusan yang tepat. Sesuai dengan keperluan rohani dan jasmani serta sesuai dengan ketentuan Allah SWT serta ajaran Rasulullah SAW. Kesihatan hati banyak bergantung kepada kebijaksanaan akal dalam memilih ubat-ubatan dan petua yang mujarab untuk mengekalkan serta meningkatkan mutu kesihatannya dari masa ke semasa. Ubat kuat yang paling mujarab menyihatkan hati ialah ubat Islam, Iman dan Ihsan. Hati harus memperbanyakkan mengambil ubat-ubat tadi dari masa ke semasa untuk melihatnya terus ceria dan mampu melaksanakan pentadbirannya sebagai raja dan sultan dengan baik, tambahan demi tambahan pengambilan ubat-ubat tersebut akan menjadikannya lebih sihat, kuat, bertenaga dan lebih berkuasa dalam membuat keputusan seterusnya mengarahkan seluruh organ melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing supaya melakukan amal-amal soleh yang terkandung dalam Islam, Iman dan Ihsan itu. Rakyat pula akur tunduk serta taat melaksanakan perintah tersebut dengan ikhlas serta penuh khusyuk dan tawadhuk. Kalau hati mengabaikan pengambilan ubat-ubat tadi, ia akan kesusutan tenaga dan kuasanya akan semakin kurang dan lupus demikian juga kemampuannya dalam melaksanakan pentadbiran. Hati yang dalam keadaan begini digelar sebagai hati yang berpenyakit dan penyakit hati yang paling besar ialah hasad, riak, ujub dan takabur. Bila Setiap kali pengurangan berlaku dalam mengambil ubat tadi maka setiap kalilah juga hati akan ditipu oleh nafsu untuk mengikut telunjuknya, manakala nafsu yang merasa dirinya telah mula diterima baik oleh hati yang berpenyakit akan terus memujuk, merayu, membodek, mengampu sehingga ia dimanjakan oleh hati. Nafsu akhirnya akan naik tocang serta lawan tokeh, yang akhirnya akan melakukan ugutan dan paksaan supaya segala keinginannya dapat diterima dan dilaksanakan. CETUSAN MINDA RAKYAT ORGAN MANUSIA DALAM MAKNA SIMBOLIK* Pada masa itu pandangan yang bernas yang dikemukakan oleh AKAL akan dipandang sepi sahaja. Ini menjadikan akal akan beransur lemah lalu terbawa-bawa dengan rentak NAFSU yang buas, akhirnya akal juga akan turut menjadi liar dengan memikirkan hal-hal yang negatif yang ditarikan oleh NAFSU. Ketika inilah AKAL mula digari dilokap dan dipenjarakan oleh NAFSU atas tuduhan rasuah salah guna kuasa disamping terus dibicarakan atas berbagai tuduhan dengan bukti-bukti yang direka cipta oleh NAFSU dalam satu konspirasi dengan MTnya. Lama kelamaan HATI pula kehilangan kuasa. Kuasa yang ada akan dirampas oleh NAFSU yang buas. Apabila NAFSU memimpin manusia, maka dengan segala kerakusan dan tamak halobanya ia akan memaksa seluruh anggota lain melaksanakan tugas-tugas yang bertentangan dengan apa yang pernah disuruh oleh sultan mereka sebelum ini, yang mengikut pertimbangan AKAL yang bersesuaian untuk dilaksanakan oleh mereka dengan ikhlas. Nasib baiklah sebelum AKAL ditangkap, beliau telah berjaya menerangkan kepada rakyat tentang kezaliman NAFSU. Beliau seterusnya mengajak rakyat jelata menunjuk perasaan dan menganjurkan demonstrasi aman menuntut NAFSU supaya berundur serta menyarankan supaya REFORMASI dilakukan dalam pentadbiran negara. Maka bergemalah setiap hari laungan REFORMASI dan Undur NAFSU undur. Perarakan dijalan-jalan utama dan laungan RE..FOR...MA..SI!!! dan UNDUR...UNDUR...UNDUR..NAFSU..UNDUR dan juga laungan TAKBIR, telah mengegarkan kerajaan NAFSU. Segala kekuatan NAFSU dikerahkan menyuraikan tunjuk perasaan dengan segala kekejaman, kekerasan dan kezaliman, sehinggalah pada satu ketika AKAL ditangkap di rumahnya dengan cara yang sungguh mengaibkan. SENARIO POLITIK TANAH AIR DALAM BENTUK STRUKTUR TUBUH BADAN MANUSIA: (TISU-TISU : GOLONGAN RAKYAT JELATA) SETELAH DSAI DITANGKAP DAN DIPENJARAKAN MINDA PEMERINTAH Setelah AKAL ditangkap dan dilokap, dia telah didera dan dipukul oleh TANGAN kiri yang telah diarahkan NAFSU, sehingga beliau pengsan beberapa hari tanpa sebarang rawatan diberikan. Kejadian ini telah diketahui rakyat jelata bila kesan biru kehitam-hitaman serta bengkak kelihatan di muka beliau, ketika beliau dibawa ke mahkamah atas tuduhan liwat. NAFSU pun terus mengarahkan para konspiratornya mencipta bukti-bukti palsu untuk mensabitkan kesalahan AKAL. Setelah berbagai barang bukti dibawa ke mahkamah, NAFSU masih gagal mensabitkan kes liwat AKAL. Lalu NAFSU mengarahkan mahkamah dan konspirator membuat tuduhan baru iaitu rasuah kerana salah guna kuasa mengarahkan pihak tertentu supaya mengeluarkan buku 50 Dalil kenapa AKAL tidak boleh jadi PM. Akhirnya mahkamah terpaksa akur kepada keputusan NAFSU menjatuhi hukuman penjara selama 6 tahun atas kesalahan rasuah salah guna kuasa. Namun NAFSU terus ingin melihat dan mendengar mahkamah mensabitkan kesalahan hati dalam tuduhan liwat. Begitulah masa berlalu dimana NAFSU terus rakus dengan kuasanya. Apabila NAFSU telah mabuk kuasa, ia pun bermaharajalela lalu mentadbir manusia dengan kejam dan kuku besi. Segala rakyat jelatanya akan terpaksa juga melaksanakan perintah PM nya yang menaikkan tarafnya menjadi rajanya yang zalim. NAFSU telah bertambah-tambah zalim lagi dalam mendera rakyat jelatanya apabila dia tertipu oleh pujuk rayu syaitan. NAFSU yang jahat ini telah menjadikan syaitan sebagai rakan kongsinya dalam merencanakan kezaliman demi kezaliman, sehingga sampai ke satu tahap NAFSU telah mengisytiharkan dirinya sebagai (umpama) Tuhan terhadap rakyat jelatanya yang lemah dan tidak berdaya membantah. Ketika itu NAFSU juga telah dengan keegoannya tidak memerlukan lagi segala khidmat nasihat dari kawan karibnya syaitan, kerana merasakan dirinya lebih berani lebih rakus dan lebih zalim lagi daripada syaitan yang nampaknya telah kehabisan taktik-taktik baru yang lebih canggih dalam melempiaskan kezalimannya. Rakyat jelata yang merasa begitu terseksa dengan kezaliman NAFSU yang mempertuhankan dirinya, terus berharap supaya AKAL (yang terpenjara di Sg. Buluh) kembali bangkit untuk menegakkan keADILan. Rakyat akan cuba sedaya upaya membangkitkan semula keunggulan AKAL untuk kembali kepada fungsinya yang asal yang sungguh berwibawa. Hasil desakan yang bertubi-tubi setiap masa akan menyebabkan AKAL kembali mengorak langkah pendekarnya. Diari hidupnya akan terus dibelek-belek, memorinya kembali segar untuk memproses program-program yang berkesan, aktiviti-aktiviti yang bermanfaat. Ia telah kembali mengambil ubat-ubatan tradisional dan juga modern dalam menambahkan lagi keupayaannya, sehinggalah ia mampu mengembalikan segala tenaga dan kuasanya yang sebenar. Ia akan lebih berkesan bila ia kembali bertaubat seterusnya melakukan amal-amal soleh yang terkandung dalam ubat-ubat kuat tadi iaitu Iman, Islam dan Ihsan. Maka demonstrasi dan tunjuk perasaan akan dilakukan terus menerus mendesak supaya NAFSU undur. Maka slogan "Undur, Undur, Undur NAFSU undur" dan laungan "REFORMASI" akan terus diteriakkan dengan penuh semangat serta diselang-seli dengan laungan "TAKBIR" yang mengembalikan semangat juang yang tinggi. AKAL mahu HATI kembali berfungsi satu hari nanti bila rakyat jelata berjaya membebaskannya dari penjara, dia akan kembali membekalkan ubat-ubatan dan petua yang boleh memulihkan HATI dan kembali beraksi sebagai raja yang ADIL. Dari dalam penjara AKAL terus memantau kebangkitan rakyat, sehinggalah tertubuhnya parti keADILan. Parti ini terus memperjuangkan nasib AKAL dan juga demi mengembalikan keADILan HATI. Demonstrasi terus diadakan di seluruh negara. NALIM yang zalim seperti biasa terus menekan dan mendera dengan tiada peri kemanusiaan. Rakyat jelata yang menunjuk perasaan akan dipukul didera, dilokap dan dipenjarakan tanpa bicara kerana didakwa di bawah akta ISA dan OSA kerana menentang kerajaan pemerintah dan dituduh menimbulkan kekacauan dan huru-hara. Segala instrumen kerajaan dilacurkan dan diliwat oleh NAFSU yang MAHAZALIM. Sehingga semua deria dan panca indera yang lima selaku menteri kabinetnya terpaksa hanya menjadi tukang angguk sahaja terhadap segala perintah NAFSU si MAHA FIRAUN itu. Namun demikian sekelian rakyat jelata yang terdiri dari tisu-tisu kulit dan isi serta deria-deria halus dalam setiap anggota tubuh badan manusia termasuk darah putih dan merah dengan segala tisu-tisunya demikian juga yang terdapat di dalam tulang hingga ke tulang sumsum itu, terus menggerakkan parti KeADILan pimpinan AKAL untuk bangun memberontak melakukan reformasi secara menyeluruh untuk memulihkan dan mengembalikan pemerintahan kepada HATI. Rakyat jelata yang telah terbahagi kepada dua iaitu menyokong si MAHAZALIM dan yang menyokong golongan REFORMASI yang memperjuangkan KeADILan. Oleh kerana kekuatan golongan MAHA FIRAUN terlalu hebat dengan Barisan Najis (BN)nya, ini telah menyebabkan golongan pembangkang yang lain akhirnya menubuhkan gabungan parti Barisan Alternatif (BA) yang terdiri dari AKAL dengan Parti KeADILan, Islam dengan PAS, Iman dengan PRM dan Ihsan dengan DAP. Apabila pilihan raya diadakan, keputusan menunjukkan ramai penyokong BN telah menyebelahi BA. Ubat kuat mujarab iaitu Parti Islam yang menjadi salah satu parti terkuat BA pula telah berjaya memerintah di dua buah negeri, setelah berjaya mempertahankan negeri MARUAH (Kelantan) kini berjaya merampas negeri NALURI (Terengganu) manakala di beberapa tempat yang lain seperti negeri SENSITIVITI (Kedah) negeri PERIBADI (Selangor) dan negeri EMOSI (Pahang). BA telah berjaya menambahkan bilangan kerusi ADUN dan juga kerusi MP. Keputusan pilihan raya baru-baru ini menyebabkan MAHA FIRAUN tertekan apabila ramai penyokong kuat parti NAFSU (Melayu/UMNO) telah menyeberang serta menyokong parti BA. BN hanya berjaya meneruskan pemerintahan apabila berjaya menipu parti-parti PELUH (MCA) dan PERKUMUHAN (MIC) (bukan Islam /Cina dan India) supaya terus menyokongnya. NAFSU semakin kehilangan taring dan mengalami ketumpulan kuku. Dengan sisi-sisa tenaga dan kuasa yang ada sekarang, NAFSU telah kehilangan selera makan apabila ia mengidap darah tinggi, kencing manis, barah dan buasir yang semakin serius, bahkan dia dinasihatkan supaya tidak sembarangan makan, kerana kalau tersilap makan nyawanya akan melayang. MINDA BAKAL PEMERINTAH DAN KESIMPULAN Dalam situasi yang genting ini, AKAL semakin bertambah ceria dan kembali berwibawa dah telah siap sedia untuk melaksanakan tugasnya sebagai penasihat utama kepada HATI. Manakala HATI hanya menunggu masa untuk kembali berkuasa dengan penuh keADILan dan Islam yang dipelopori oleh AKAL yang memang menjadi perjuangan asal mereka bersama (dalam BA) selama ini. Ini samada kuasa akan kembali kepada HATI melalui pilihan raya yang akan diadakan pada 2003/4 nanti atau dengan cara lain yang telah dirancang oleh Maha Pencipta. Begitulah fenomena hidup dan kehidupan ini sebenarnya diwarnai oleh manusia itu sendiri yang sudah tentu berkait rapat dengan struktur tubuh badan manusia yang terdiri dari organ utama yang ditakrifkan sebagai pemerintah manakala selain dari organ utama dan segala panca indera yang lima yang terdiri dari tulang belulang dan tisu-misu adalah rakyat jelata. Ini sesuai dengan mafhum sebuah hadis Nabi SAW yang masyhur "Di dalam tubuh badan manusia itu terdapat seketul daging, yang kalau baik ketulan daging itu maka baiklah seluruh anggota tubuh yang lain, manakala kalau buruk ketulan tersebut maka buruklah pula anggota tubuh tersebut" Untuk memulihkan UMNO dan BN sebagai parti pemerintah yang zalim yang dikuasai oleh nafsu serakah yang telah dipertuhankan oleh mereka, bukanlah susah sangat, hanya dengan mengembalikan kuasa kepada yang berhak iaitu akal dan hati mereka sendiri. Kalau mereka gagal untuk kembali, maka parti pembangkang yang berteraskan keADILan Islamlah yang dipandang oleh Allah SWT sebagai parti yang layak memerintah. Maka PM yang kini terkenal dengan gelaran-gelaran seperti MAHAZALIM, MAHA FIRAUN dan sebagainya tiada pilihan lain kecuali kembali kepada keadilan dan Islam. Jika PM cuba untuk mencari alternatif yang lain, bermakna PM hanya membiarkan/menyerahkan pemerintahan mereka kepada Barisan Alternatif. Walau bagaimanapun sekiranya pakatan BA longgar, goyang dan goyah maka keghairahan mereka untuk memerintah adalah tipis. Ini adalah kerana kekuatan mereka tidak mampu menumbangkan kezaliman BN yang kini berusaha mempertahankan kuasa dengan apa cara jua pun sekali pun dengan darah dan nanah. Jadi BA tidak usah mimpi untuk mentadbir negara, kerana seandainya berjaya pun hanya bersifat sementara dan lemah yang akhirnya akan kecundang semula dengan begitu mudah serta penuh keaiban dan kehinaan. Oleh itu adalah lebih baik kerajaan yang ada diteruskan oleh Allah SWT demi untuk memantapkan sebenar-benarnya pengganti BN. TG. Datuk Haji Nik Aziz bin Hj. Nik Mat yang menjadi MB Kelantan dan TG. Hj. Abd. Hadi Bin Awang yang menjadi MB Terengganu serba sedikit tentu tahu sejauh mana BA boleh memenangi pilihan raya 2003/4 nanti. Maka kebolehan mereka dalam mentelaah kemenangan haruslah direstui dan diterima pakai oleh komponen BA yang lain. Kalau PAS dengan dasar Islamnya dan sanggup bergabung dengan komponen yang lain atas dasar memperjuangkan keADILan, maka persefahaman inilah yang harus terus dipupuk dibaja supaya subur merimbun bakal dijadikan tempat berteduh rakyat jelata. Kalau rakyat jelata merasakan pakatan BA memang rimbun dan selesa untuk mereka berteduh, dilarang bagaimana pun mereka akan tetap mahu berlindung di bawahnya. Kerana untuk berteduh di bawah BN yang akar umbinya telah musnah, tiada lagi dedaun rimbun, yang ada hanya tinggal ranting-ranting mati dan dahan-dahan rapuh dan reput yang amat berbahaya kepada sesiapa yang cuba berteduh di bawahnya. Sekianlah sedikit cetusan minda dari rakyat yang kerdil ini, dalam keinginan untuk terus cuba menyumbangkan sekelumit idea yang ada. Ingin rasanya menyumbangkan idea yang lebih bernas seperti yang mampu dilakukan oleh penulis-penulis siber yang lain, tapi taraf mereka memang pun sudah wartawan berpengalaman ditambah lagi dengan kesedaran dan keikhlasan, sudah tentu idea mereka jauh lebih berguna, bernas dan mantap bila keikhlasan mereka itu menjadi sumber inspirasi yang murni kurniaan Allah SWT, yang Maha Melihat HATI manusia untuk menilai amalan mereka dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda di dunia dan di akhirat nanti. Petunjuk (dengan makna simbolik*): *Nafsu = PM Parti Nafsu = UMNO BN = Barisan Nasional (Barisan Najis) BA= Barisan Alternatif *Hati = Raja/Sultan/Kedaulatan Undang-undang. *Akal = DSAI Tangan = KPN (bekas) Parti Akal = KeADILan Parti Islam = PAS Parti Iman = PRM Parti Ihsan = DAP Parti Peluh = MCA Parti Perkumuhan = MIC Rakyat = Selain dari Hati, Akal, Nafsu dan Panca Indera. Sekian terima(lah) kasih! AZHARI(S) SELASA4JULAI2000 |
Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com
|