MGG35/0702
BERBALOIKAH KESETIAAN KEPADA UMNO? (Loyalty Pays In UMNO, Or
Does It?)
Tugas memilih sepuluh manusia menganggotai majlis Tertinggi UMNO
daripada 19 calon yang sedia ada memang bukan satu kerja mudah. Kerana itu Perdana Menteri
perlu berfikir lama-lama untuk menyediakan satu senarai yang menjamin kewujudan masalah
yang berpanjangan. 'Kesetiaan' adalah ciri utama pemilihannya, usia-muda merupakan
satu ciri sampingannya pula. Namun, dia mengambil kira pula kewanitaan sebagai ciri istimewa
dari kaca mata politiknya. "Pemilihannya itu memang tepat."
Demikianlah yang diwar-warkan oleh para jongosnya, sebagai gambaran betapa beliau
telah mengambil kira kepentingan mereka. Tetapi, kesetiaan sebagai satu ciri pemilihan
bererti mereka yang tidak terpilih adalah orang yang tidak setia. Soalnya, kepada siapakah
mereka tidak setia itu? Kepada UMNO ataupun kepada Perdana Menteri? Ataupun apakah alasan
yang digunakannya itu menggambarkan ciri-ciri kesewelan seorang insan yang hampir padam?
Apakah Tengku Razaleigh yang pernah mencabarnya dulu dan akhirnya menubuhkan satu parti
baru selama lebih satu dekad lebih setia kepadanya jika dibandingkan beliau dengan Tan Sri
Isa Samad? Bukankah kesetiaan Isa Samad itu boleh memalukan Nicholas Chauvin,
satu nama rakyat Peranchis yang akhirnya mengilhamkan perkataan 'chauvinisme'?
Bagaimanakah seseorang itu mengukur kesetiaan ? Yang sebenarnya Mahathir tidak punya
pilihan lain. Penentangnya dalam UMNO seperti yang terserlah dalam keputusan pemilihan
bulan Mei yang lalu, memerlukan beliau bangun dan mula menagih sokongan daripada kumpulan
lain. Di masa yang lalu, beliau hanya memperlekehkan mereka itu.
Pada
masa dahulu, keangkuhan kepimpinan UMNO menentukan kemalapan sesiapa sahaja yang berani
menentang pucuk pimpinan parti. Seorang insan yang kini terperuk bersendirian di
Sungai Buluh sudah pun tahu akan musibah ini. Kini, Mahathir terpaksa melantik
seorang insan yang memang dia tegah untuk menandingi jawatannya apatah lagi dilantik ke
sebarang jawatan yang lain. Pemilihan Tengku Razaleigh merupakan satu bom jangka yang
dipasang untuk menghantui pemikiran siapakah nanti yang akan menggantikan Mahathir sebagai
perdana menteri. Seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri dalam melantik mereka
daripada golongan muda dan wanita, ahli Majlis Tertinggi UMNO perlu berfikir
lama-lama seperti yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri sejak enam minggu yang
lalu. Mereka mungkin memerlukan masa yang lebih lama lagi untuk membuat keputusan apakah
masa hadapan UMNO itu akan lebih meyakinkan kalau Dato' Seri Abdullah menjadi Perdana
Menteri yang akan datang. Beliau telah memperlekehkan isu penggantian takhta dengan
menentukan sebarang perbalahan dalam UMNO akan menghimpit insan yang mengimpikan takhta
itu. Tetapi, bukan semudah itu perencanaan Perdana Menteri itu. Sesiapa
saja yang akan menjadi Perdana Menteri yang akan datang, dia tidak lagi merupakan ahli
UMNO ketika parti itu ditubuhkan pada Mei 11, 1946 dulu. Ini bererti dia tidak lagi
mendapat sokongan automatis yang pernah dinikmati oleh lima presiden parti yang telah lalu.
Sebilangan besar ahli parti kini amat jengkel dengan budaya memperlekehkan
kewibawaan seorang Insan Yang Mesti Dimusnahkan Dengan Apa Cara
Jua, yang pada satu ketika
dulu adalah seorang Timbalan Presiden UMNO. Pemimpin pilihan baru seperti Azalina Abas,
mesti pandai menyanyi.
Pemilihan yang dilakukan oleh Mahathir adalah satu gambaran
betapa beliau semakin tertekan. Perlantikan Tengku Razaleigh adalah merupakan satu
tangkisan terhadap serangan betapa pemimpin Bekas Semangat 46 yang telah terpinggir.
Datin Siti Zaharah telah dilantik untuk merapatkan jurang perbalahan yang berlaku selepas
Datin Seri Rafidah Aziz menewaskan beliau. Perlantikan Osu Sukam adalah bertujuan
meredakan gegaran yang berlaku di Sabah. Pada keseluruhannya Perdana Menteri terpaksa
membuat perlantikan secara terpaksa untuk meredakan gempa penentangan terhadapnya dalam
UMNO itu sendiri. Tetapi, selain daripada kuasa yang ada, apakah falsafah perjuangan UMNO
itu? Perdana Menteri amat yakin dengan cara penyelesaian spontan sebagai jalan yang
terbaik untuk meletakkan UMNO ke persada keunggulan yang memang lama dinikmatinya dulu.
Perkara ini tidak akan berlaku lagi.
Betapa pun yang dilakukan oleh para pemimpin
UMNO dan juga segelintir rakyat untuk memuja-muji perlantikan itu dalam akhbar The New
Straits Times, hakikatnya Perdana Menteri akan terus dihantui pelbagai jenis igauan dalam
tidurnya. Kalaulah dia menyediakan beberapa alasan yang baik-baik kenapa dia
membuat perlantikan itu, sudah tentu sekali pilihannya itu merupakan tindakan yang
bijaksana. Kini, tindakannya itu hanya merupakan penyedap untuk meyakinkan dia akan dapat
terus memegang kuasa. Masalahnya yang terkini ternyata dapat diubatinya. Tetapi apakah
terubat penyakit UMNO?
Diterjemahkan oleh: -MT-
|