MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

POLITIK JOLOK-KAIT

Akhirnya, segala teka-teki dan kesusahan 'kununnya' untuk melantik sepuluh orang MKT tambahan, terlerai sudah. Saya melihat perlantikan itu tidak ubah sebagai perlaksanaan suatu teori lama, iaitu teori 'Jolok-Kait', yang bertujuan tidak lain hanyalah, untuk mengekalkan kuasa seorang perdana menteri, yang kian layu dan pudar itu.

Dalam sistem jolok-kait ini, jika sesuatu itu (biasanya untuk buah) tidak dapat digapai, maka galah yang bercabang hujungnya akan digunakan. Kadang-kala galah itu dilengkapi dengan pisau atau gunting yang paling tajam bagi memudahkan kerja memetik buah tersebut.

Tetapi kaedah ini juga digunakan sebagai kiasan, motif atau kaedah untuk memperoleh sesuatu bagi mencapai hasrat atau maksud seseorang, yang biasanya terlindung dan tersembunyi di sebalik 'jolok-kait' itu.

Bagi orang tua-tua dulu, sistem jolok-kait ini adalah merupakan suatu kemahiran untuk menilai kebijaksanaan seseorang dan lebih bijak lagi jika motif 'jolok-kait' seseorang itu dapat dibaca dan di atasi.

Jadi secara ringkasnya, sistem atau kaedah 'jolok-kait' ini merupakan suatu bentuk 'politik' (istilah massa), yang melibatkan susunan cara atau strategi, samada untuk kebaikan atau sebaliknya, yang diamalkan oleh individu atau kumpulan sejak zaman silam lagi.

Sistem ini juga masih dipraktikkan kini tetapi telah 'dimodified' dan dikenali sebagai 'politik', muslihat atau tipu-helah, rasuah, perangkap, putar-belit dsbnya, juga untuk mencapai maksud tertentu dan bersembunyi, yang melibatkan kepintaran menyusun, merungkai dan menangkis sesuatu strategi itu.

Galah Panjang Yang Bercabang.

Kini, PIEM yang kian hampir saat noktahnya, kelihatan sedang mempraktikkan kaedah 'jolok-kait' itu bagi mencapai hasrat untuk mengukuh dan mengekalkan kuasanya. Perlantikan sepuluh orang 'tua hitam' untuk kerusi MKT tambahan, adalah merupakan salah satu strategi 'galah panjang' yang hujungnya bercabang sebagai modal untuk pesta mengait dan menjolok itu.

Pengumuman mengenainya dibuat, satu hari sebelum bermulanya ura-ura mendesak secara besar-besaran, kepada pihak KDN dan polis, supaya segera menangkap Perdana Menteri Mahathir Mohammad, berikutan dengan pendedahan bekas Ketua BPR, berhubung dengan penyalahgunaan kuasanya itu. Seperti biasa, ianya bertujuan untuk meredakan dan mengubah pandangan rakyat terhadap desakan yang amat penting, yang di terajui oleh Pihak Pembangkang pada hari Sabtu, iaitu 1 Julai 2000 yang lalu.

Ada pun, pemilihan sepuluh 'orang tua' ini, tidak ubah seperti melepaskan ayam denak (suatu proses menjolok) untuk menjinakkan ayam-ayam laga perwakilan yang dipilih pada Mei lalu, hatta (terus mengait) menyembelih seluruh ayam-ayam UMNO itu sekali. Dan ini (hasil jolok-kait) menguatkan lagi cengkaman diktator tua itu sekaligus menyamankan mimpi ngeri yang sering menjelma dan menjadi igauan dalam tidurnya.

Sebahagian ayam-ayam UMNO mungkin boleh di gulainya, tetapi bagaimana pula dengan rakyat banyak? Segala jolok-kait Mahathir itu sudah siang-siang dapat dibaca oleh mereka. Rakyat tidak mudah di jolok dan dikaitnya. Rakyat tahu punca segala kegawatan massa adalah manusia yang menduduki kerusi PM itu. Jadi rakyat tidak akan mudah berganjak dari tuntutan mereka supaya PIEM ini, di heret ke mahkamah dan dinyahkan dari kerusi tersebut, walaupun sudah dijoloknya dengan kenaikan gaji sepuluh persen sekalipun.

Rakyat juga tahu, kenaikan gaji, yang berlaku sekali dalam sedekad atau 'once in the blue moon itu', adalah sememangnya hak mereka dan pembahagiannya masih dikira tidak adil, berbanding dengan berbillion-billion ringgit yang telah disapu bersama-sama anak-pinak dan kroni-kroninya selama ini.

Anwar pernah berkata, sebenarnya wang negara ini memang cukup untuk menampung 22 juta orang rakyat Malaysia untuk hidup selesa. Tapi apakan daya, negara diperintah oleh orang yang 'keselak' (pantang nampak) wang. Kini usahkan nak hidup selesa, berhutang pula, sampai tujuh keturunan pun, tidak akan langsai.

Jadi, wahai Mahathir dan kumpulan think-tanknya, tak perlulah susah-susah perah otak, buang tenaga dan wang mencari formula Ilmu Pengasih, untuk membuat rakyat kasih sayang pada UMNO/BN. Sebab, rasa benci dan muak memang wujud secara semula jadi ketika, Paduka Tua itu melafazkan bahawa hukum Hudud adalah zalim, memperlekehkan dan mempersendakan Nabi Muhammad saw dan memfitnahkan seorang insan bernama Anwar Ibrahim serta anak kecil yang masih berumur empat tahun itu.

Dan perasaan benci rakyat semakin tebal dan meluap apabila manusia seperti Daim, Adnan Yaakub, Sanusi Junid, Rahim Tambi Chik, Rafidah Aziz, Samy Vellu, Ling Liong Sik, Shahidan Kassim, Yusoff Chin, Mokhtar Abdullah, Rahim Nor dll yang seumpama dengan mereka, masih wujud dan hidup bebas. Oleh yang demikian maka celakalah UMNO/BN serta orang-orang yang bersekongkol dengannya, selagi tidak bertaubat.

Jadi, strategi galah panjang bercabang itu masih tidak sampai, masih tidak mampu mengait..usahkan untuk mengait, galah itu kini patah pula cabangnya..

Oleh kerana terlalu banyak, di akhir-akhir ini, strateginya sering tidak berkesan, maka strategi berlapis, perlu diwujudkan. Kali ini disediakannya pula satu lagi galah yang lebih canggih dari galah hujung bercabang itu tadi, iaitu......

Galah Panjang Berpisau Tajam

Nama dua orang wanita yang bermula dengan huruf 'A' dan di akhiri dengan 'lina' ini memang menarik untuk di renung. Nama Azlina Abas dan Azalina Othman Said, memang top dalam sehari dua ini.

Azlina Abas, popular dengan kehebatannya merungkai undang-undang Islam dan membuat JAIS kelihatan dayus, dan yang super-dayusnya tentulah Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Besar, Uban, Negeri Selangor, Abu Hassan Omar itu.

Kedua-dua manusia yang bertaraf menteri ini, telah 'TUNDUK' kepada kehendak seorang perempuan kelab-malam, yang dikatakan bergelumang dengan najis arak, sehingga sanggup pula memutar-belitkan hukum agama Islam kerananya.  Kalaulah menteri-menteri ini mudah dan sudah TUNDUK kepada orang yang demikian lakunya, tentulah mereka ini sifatnya memang lebih kotor dan jijik lagi dari si perempuan Cabin-Ship itu. Sikap mereka ini sungguh amat hina dan memalukan!

Lain pulak halnya dengan Azalina yang seorang ini. Perawakan tom-boynya mungkin mengecurkan selera Paduka Tua.  Dia memanglah lebih muda dari dua orang ratu UMNO itu. Bak kata orang, selera orang tua ni sering berubah-ubah. Untuk buat ulam, mereka lebih suka pucuk muda dari pucuk tua sebab pucuk tua liat, akan membuat gigi sakit dan silap-tak-silap (silap-silap) boleh tercabut.

Tetapi di antara kedua-dua ratu yang sedia ada itu, Permaisuri Siti Zaharahlah yang lebih cun dan manis dan lebih sopan jika dibandingkan dengan Maharani Rafidah. Maharani kini, sudah kelihatan berjinak-jinak dengan tudung. Perubahan ini mungkin hendak memikat hati rakyatnya, bukan hati Paduka Tua itu, kerana Paduka memang tidak minat orang bertudung, yang rata-rata bertudung tempoh hari. Selendang jarang merah tersangkut di kepala, masih menampakkan jambul ikal serta berbayang rambut secara keseluruhannya. Namun begitu perubahan ini memanglah menarik..

Malangnya, Permaisuri Siti ini walau pun cun, tidak disenangi oleh Sang Paduka itu kerana disyaki tidak setia padanya. Hendak dicampak terus Permaisuri ini tidak boleh, kerana rakyat masih sayang kepadanya. Mahu tidak mahu walau pun jelek, Permaisuri Siti terus juga dikekalkan.

Untuk menghiburkan hatinya, lalu di lantik pula Azalina yang agak muda trang tang tang nih, sekaligus untuk dijadikan galah berpisau tajam, yang dikira mampu mengait (meraih kepercayaan rakyat) dan memotong buah tinggi yang mempunyai tangkai yang liat.

Azalina bukan saja muda, tutur-katanya macam bertih goreng, dan seorang peguam pula. Dia memang popular, mukanya sering masuk TV dan muncul dalam 'Dateline Malaysia'.

PM kita ni memang terkenal suka mengambil kesempatan dan menumpang kemasyhuran orang. Dulu dia menumpang populariti Anwar Ibrahim dan kini Azalina pula. Jangan-jangan sedikit masa lagi Siti Norhaliza pula dilantiknya menjadi ahli Majlis Tertinggi, siapa tahu?

Jadi, dengan perlantikan orang popular seperti Azalina, Mahathir mengharapkan temasya jolok-kaitnya kali ini berjaya untuk mengait....

  1. Menarik peminat-peminat 'dateline Malaysia' supaya menyokong dan menyertai UMNO.
  2. Meraih sokongan para intelektual dan profesional dan orang muda secara keseluruhannya.
  3. Untuk memikat hati dan menutup mulut ahli 'Bar Council' kerana peristiwa penyekatan, mesyuarat tergempar bagi membahaskan isu perilaku buruk Ketua Hakim Negara, oleh mahkamah baru-baru ini.
  4. Azalina, kalau tidak silap, berasal dari Kuantan, Pahang. Jika ini benar, kemungkinan besar perlantikannya mempunyai agenda yang tersembunyi.
    'Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak pula berselerak'. Jadi pemilihannya ini ada hubung-kaitnya dengan proses 'Ketua Baru Wanita UMNO Pahang, in the making'. Satu lagi drama arahan Perdana Menteri, untuk menggantikan Permaisuri Siti, yang kini menjadi duri dalam daging kepada Maharani favouritenya, Rafidah.
  5. Untuk melembut dan mengembirikan 'NGO' yang kelihatan sedang hebat menentang Pemerintahan Barisan Nasional dan menyokong Parti Barisan Alternatif.
  6. Untuk mengaburi mata dan minda rakyat, terutama orang Melayu, kununnya, UMNO ini sudah membuat perubahan, mamak Aziz dan tangaci Shahrizat iaitu Naib Pemuda dan Wanita UMNO tidak pun dilantik menduduki MKT...oleh itu kembalilah menyokong UMNO. Tetapi...

    Oleh kerana selalu sangat kena tipu, kena auta, maka 'galah panjang berpisau tajam' itu dijangka tidak akan dapat mengait dan meruntuhkan 'buah-hajat' Paduka Perdana itu.

Rakyat sudah tahu akan sistem 'jolok-kait'nya dan tidak hairan dengan perlantikan mereka ini. 'Nothing new', kata mereka. Rakyat sudah masak dengan putar-belit Pak Tua ini. Perlantikan ini, rata-rata mereka ibaratkan seperti..
  'ada udang sebalik batu'
  Dan yang paling hebat pepatah yang baru mereka cipta ialah...
  'gula-gula arsenic bermadu'...

Aziz Berdehem Musa Pitam

Selain dari Azalina dan Siti Zaharah, ada lapan orang lagi yang dilantik untuk menduduki kerusi MKT tambahan itu. Sesetengahnya memang muka baru, manakala sebahagian lagi merupakan muka lama, tetapi baru dipilih.

Salah seorang muka baru, yang baru dilantik ke MKT tersebut ialah, Menteri Pendidikan, TS Musa Mohamad. Beliau merupakan seorang menteri yang bukan dilantik oleh rakyat, tetapi oleh Perdana Menteri sendiri. Sahsiah Musa Mohamad ini kelihatan tidak begitu meyakinkan untuk menerajui Istana Ilmu, malah tiada mempunyai karisma langsung. Sekali Aziz Shamsuddin 'berdehem', mungkin beliau akan terus pitam....

Perlantikan beliau sebagai Menteri Pendidikan adalah seperti 'melepaskan batuk di tangga' saja. Pendek kata, perlantikan itu hanyalah sebagai cover-up, yang menghendaki seorang untuk menduduki kerusi menteri, tetapi pada hakikatnya 'Timbalan Menteri Pendidikan' Aziz Shamsuddin itulah, yang berkuasa yang menjadi Menteri Pendidikan yang sebenar. Di sini nyatalah, kepala konspirasi sedang memegang dan menerajui Istana Ilmu itu.

Jadi hairankah kita jika pelajar-pelajar jadi anak-anak konspirasi kelak?

Pemilihan seorang lagi muka baru yang bernama Azimi Daim ini, membuat kita terbayang akan Gedung Wang kita. Adakah 'kantung' kita masih penuh berisi atau kosong? Adakah Azimi Daim ini bakal menjadi seekor lagi 'tikus membaiki labu peram kita?

Biarlah rakyat saja mencari jawapan kepada soalan-soalan di atas dan seterusnya membuat analisis mengenai BIN Daim ini.

Proses 'jolok-kait' ini juga jika diteliti, merupakan suatu usaha untuk menjinakkan (melagakan?) dua parti yang sering menjadi 'rival'. Perlantikan Abd Ghani Othman dibuat, untuk mengekang pengaruh Muhyiddin Yassin di Johor, yang saling tidak sehaluan itu. Muhyiddin tidak disenangi oleh Mahathir kerana dikatakan orang Anwar, jadi, untuk mengekalkan kuasanya di Johor, Ghanilah bentengnya.

Pepat Di Luar Runcing Di Dalam

Begitu juga dengan pemilihan Tengku Razaleigh Hamzah. Perlantikan ini seolah-olah hendak menjinakkan harimau yang sedang luka. Dalam keadaan sekarang, Mahathir tidak mampu menghadapi satu lagi gelombang percanggahan yang mungkin berlaku, jika Tengku Razaleigh tidak di bawa masuk ke kandangnya.

Kalau diamati, tindakan menarik Tengku Razaleigh menduduki kerusi MKT ini adalah sebagai suatu sindiran tajam. Mahathir seolah-olah berkata 'you are at my mercy now' atau 'kehadiran anda di MKT ini adalah dengan ikhsan saya, so keep shut-up! Memang perlantikan itu nyata tidak ikhlas. Seperti kata pepatah...  'pepat di luar runcing di dalam'

Kalaulah benar mereka ikhlas, mengapa tidak dibiarkan saja beliau bertanding dalam pemilihan MET tempoh hari?

Dan mengapa pula ketua perhubungan Negeri Kelantan diberi kepada Mustapha Mohamed dan Anuar Musa, calon yang kalah dalam pilihanraya dulu dan tidak pada Tengku Razaleigh?

Nyatalah Mahathir sedang bermain 'jolok-kait' dengan Tengku Razaleigh dan emosi orang Tuan Guru Nik Aziz itu.

Tindakan Mahathir ini seolah-olah mempersendakan 'mentaliti' rakyat Kelantan. Dia lupa atau pura-pura lupa, bahawa orang Melayu Kelantanlah yang paling bijak sekali berpolitik. Bukan itu saja, mereka juga bijak berniaga, dan boleh dikatakan mempunyai ilmu kemahiran yang tinggi dalam berbagai-bagai aspek. Oleh itu jangan haraplah hendak menipu atau bermain silap mata dengan mereka. Mungkin sampai matilah Mahathir, tidak akan merasa dan tidak berbau 'Mencium Budu' di negeri Kelantan itu.

Dan kita pula, sepatutnyalah mencontohi sikap dan kebijaksanaan rakyat negeri ini.

Gendang Tidak Kena Tingkah

Perlantikan Shahidan Kassim agak anih. Selain dari skandal yang dikatakan, baik sedikit dari anak Tamby Chik, dia juga sering berlagak seperti 'gendang tidak kena tingkah', 'menyahut bila tidak dipanggil'

Lihat saja apabila Mahathir mengumumkan bahawa royalti minyak Petronas untuk Negeri Terengganu akan dikaji semula, maka sekonyong-konyongnya dia pula 'berkokok' hendak mengheret Petronas ke mahkamah atas alasan Petronas gagal mengagihkan royalti minyak kepada Negeri Perlis. Tindakan Shahidan itu adalah seperti 'lawak bodoh' seorang badut tua yang lesu yang sedang mengakhiri zaman gemilangnya.

Persoalannya...
Apakah sikap bodohnya ini membuat PM terpukau dan melantiknya untuk menduduki kerusi MKT? atau.. mungkinkah Mahathir memerlukan seorang lagi 'Ibrahim Ali' di dalam MKTnya itu, yang boleh dijadikan 'galah panjang berpisau tajam' untuk menjolok dan mengait ahli-ahli MKT yang liar pendiriannya dengan PM itu?

Apa pun sebabnya, perlantikan Shahidan Kassim, telah merendahkan lagi martabat seluruh ahli MKT yang diketahui tidak berwibawa dan martabatnya yang memang sudah sedia rendah itu.

Begitulah dalam keadaan sekarang, rakyat melihat Kerajaan Barisan Nasional itu sebagai suatu wadah yang mendokong dan memelihara segala kesongsangan dan kepalsuan. Penuh dengan kekotoran dan kebusukan.  Sesiapa saja yang berada di dalamnya....

  Jika dia lurus akan jadi kurus.
  Jika dia bersih akan jadi kotor.
  Jika dia baik akan jadi jahat.
  Jika dia benar akan jadi bohong.
  Jika dia cerdik akan jadi bebal.
  Jika dia jujur akan jadi pembelit.
  Jika dia amanah akan jadi belot.
  Jika dia adil akan jadi zalim.
  Jika dia berani akan jadi takut.
  Jika dia dengar akan jadi tuli.
  Jika dia celik akan jadi buta.
  Jika dia petah akan jadi bisu.
  Jika dia hero akan jadi crook.
  yang aibnya...
  Jika dia lelaki akan menjadi pondan.
  dan yang paling ditakuti....
  Jika dia beriman boleh jadi.......

Demikianlah halnya, dengan strategi yang di utarakan oleh PM Mahathir kali ini. Persoalannya..

Apakah politik 'jolok-kait' ini dapat mengait hati rakyat?
Apakah PIEM dapat memungut hasil jolok-kait itu?

Hanya ALLAH saja yang dapat menentukannya, dan yang nyata, masa serta keadaan itu untuk kita menyaksikannya.

Tetapi, walau apa pun yang dilakukan, walau pun bulan dijolok dan bintang dikait untuk diberikan pada rakyat, namun hati rakyat sudah luka. Kata orang putih 'The damage has been done'. Mereka sudah tidak yakin lagi dengan pemerintahan hari ini. Kini rakyat tertanya-tanya..
Bilakah beraraknya mendung kelabu?

Tun Teja

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

 counter.bloke.com