|
KENAPA KEADILAN MENJADI SASARAN?
Oleh Zubir Ngah, Sangkaan Mahathir meleset. Pejuang keadilan terus tekad untuk berusaha daripada sekarang sebagai persediaan menempuh pilihanraya akan datang. Kemenangan PAS merampas Terengganu, mengekalkan Kelantan serta menambah jumlah bilangan kerusi di dewan undangan negeri dan di dewan parlimen di negeri negeri yang lain telah memberikan semangat dan nafas baru dalam memperjuangkan keadilan. Tidak kurang juga suntikan pengaruh daripada prestasi memberangsangkan yang telah ditunjukkan oleh KeADILan. Mahathir sedar, gabungan yang diterajuinya tergugat. Walau pun masih memiliki lebih dua pertiga daripada jumlah kerusi di parlimen, kehilangan Terengganu telah menghantui ketenangan fikiran beliau ditambah pula dengan kerunsingan memikirkan tentang kemerosotan rasa keyakinan di dalam diri pendukung pendudung UMNO terhadap parti. Lebih membebankan apabila parti parti lain di dalam gabungan terajuannya secara tidak langsung telah mendesak agar diberikan tempat yang lebih di dalam kabinet. Melihatkan kepada keadaan yang tidak banyak berpihak kepada partinya, Mahathir cuba mencipta kekalutan di pihak pembangkang. Mahathir sedar, kalau pembangkang dibiarkan duduk dalam keadaan selesa dan penuh keyakinan setelah menunjukkan perestasi yang agak cemerlang, ini akan memberikan ruang dan peluang yang lebih selesa dan terbuka untuk pembangkang terus menyerang gabungannya yang sedang bertelagah, sugul dan kehilangan arah. Oleh itu, Mahathir telah cuba menonjolkan apa jua isu yang boleh ditari rentaknya dan didendangkan lagunya oleh pengikutnya seperti Shahidan Kassim dan juga akhbar kelolaannya seperti Berita Hairan dan Utusan Meloya. Mahathir hanya perlu membawa apa jua isu ke hadapan. Isu yang ditonjolkan diharapkan akan berlarutan selama yang mungkin untuk mempengaruhi pihak pembangkang supaya berkubu menangkis tohmahan lalu sedikit terlupa untuk keluar menyerang parti kerajaan. Kenyataan Datuk ShafieYahya di mahkamah, yang telah mendedahkan perlakuan Mahathir melindungi perasuah, telah meletakkan Mahathir dalam situasi yang cemas. Malah, pendedahan tersebut telah menyukarkan usaha Mahathir memulihkan kewibawaannya dan kepercayaan rakyat terhadap partinya. Pendedahan yang mengesahkan Mahathir sebagai dalang kepada segala kemungkaran yang telah berlaku selama ini, telah memaksa Mahathir merangka strategi seterusnya. Pemerhatian rakyat hendaklah dialihkan. Oleh itu, pembangkang mesti diserang dan kenyataan yang kontroversi harus dibuat. Beliau hanya perlu memulakan. Selebihnya tidak perlu dirisau kerana pasti akan ada sahaja pengampu yang sanggup melaungkan serta memperkecohkan segala isu yang dibangkitkannya. Kegagalan menyerang PAS melalui pemanipulasian isu persaraan Shahnon Ahmad telah memaksa Mahathir membangkitkan semula isu yang pernah dicubanya sejurus selepas pilihanraya dahulu, iaitu pemberhentian pembayaran royalti kepada kerajaan negeri Terengganu. Kekecewaan kerana gagal memporakperandakan PAS jelas kelihatan apabila beliau cuba menimbulkan semula isu ini. Kali ini beliau, secara kritikal dan terselit ugutan, mempertikaikan kewujudan perjanjian bertulis tentang pembayaran royalti antara Petronas dan kerajaan negeri. Pada masa yang sama, KeADILan sebagai sebuah parti dalam gabungan pembangkang yang juga merupakan ancaman, tidak boleh dibiarkan sepi daripada serangan sebagai usaha mengalihkan pandangan rakyat daripada terus memperkatakan tentang kedalangannya melindungi perasuah. Oleh itu, kita dikejutkan dengan serangan peribadi MarinaYusof melalui suratnya ke atas Chandra Muzaffar. Pendedahan surat tersebut di ruangan berita Malaysiakini telah berjaya mencipta pelbagai reaksi walaupun Marina menafikan pengiriman tersebut. Ada yang menganggapnya satu konspirasi melemahkan KeADILan; ada juga yang mempercayai isi kandungan; ada yang mendesak penjelasan daripada Chandra; dan ada yang sangsi dengan keikhlasan Marina berdasarkan status beliau yang bukan lagi sebagai ahli. Walau apa pun motif penulisan dan pendedahan, sekiranya pendukung KeADILan membiarkan diri mereka terperangkap dengan mainan seperti ini, Mahathir untuk seketika mampu menarik nafas lega kerana berjaya meminum sambil menyelam - meretakkan KeADILan dan mengalihkan pandangan awam. Usia keADILan yang agak muda dan latarbelakangnya yang berbilang kaum dan berbeza anutan agama telah mewujudkan peluang memilih isu yang agak tidak terbatas yang boleh digunakan sebagai senjata melemahkan integrasi dalaman KeADILan. Untuk mengelakkan segala bentuk tohmahan dan kekeliruan daripada menggugat kesepaduan, jentera KeADILan perlu dikemaskinikan supaya mampu bertindak dengan lebih pantas dan berkesan. Di alaf baru ini, kematangan menangani isu yang berbangkit adalah penting. Sebagai pesanan dan peringatan, sesuatu perkara, besar atau kecil pada pandangan kita, kekadang samalah juga kesannya kerana lambat laun akan membawa masalah kepada perjuangan apabila terlupa diselesaikan. Oleh itu adalah menjadi suatu yang membawa kebaikan kalau diamalkan, iaitu memberi tumpuan dan keutamaan kepada perkara yang lebih penting untuk diselesaikan. Yang kurang penting wajar diketepikan, tetapi janganlah dilupakan, dan haruslah diselesaikan kemudian. Salah laku Mahathir melindungi perasuah mesti diberi perhatian yang serius. Hendaklah kita pastikan beliau tidak terlepas daripada tuduhan tersebut. Perkara berbangkit di dalam penulisan Marina pula perlu juga dibincang dan dicari penyelesaian. Apa yang tertulis harus dipastikan kebenaran. Dalam mencari kebenaran, pihak yang terlibat hendaklah diberi peluang yang sama adil untuk menjelaskan pandangan dan justifikasi mereka. Setelah itu, tindakan yang bijak dan wajar perlu diambil. Kes yang berat memerlukan tindakan yang agak tegas dan keras seperti melucutkan jawatan atau membuang daripada menjadi ahli. Kes yang agak ringan mungkin hanya memerlukan tindakan yang agak lembut seperti memberi amaran. Tindakan yang diambil juga perlulah dirujuk dan dipersetujui oleh majoriti ahli.
Dalam berjuang menuntut keadilan, pejuang hendaklah terus menabahkan hati. Asam garam
perjuangan haruslah diterima sebagai suatu yang akan mematangkan fikiran dan memantapkan
diri. Perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan bukan sahaja suatu yang hanya
patut diimpi, tetapi ia juga adalah suatu yang mesti terus diusaha dan dicari. |
Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com
|