|
Oleh Pena Suasa SEORANG lagi anggota konspirasi menjatuhkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerima anugerah dari Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad. Kali ini, Tengku Adnan Mansor, orang yang bertanggungjawab membayar kos percetakan buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM. Perlantikan ini merupakan upah kepadanya kerana menjalankan tugas dengan baik. Perdana Menteri yang juga Presiden Umno melantiknya menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan menggantikan Dato’ Seri Dr. Suleiman Mohamed. Sebelum ini, kepala konspirator, Aziz Shamsuddin menerima habuan. Dia dilantik menjadi Timbalan Menteri Pendidikan. Rentak tari yang Aziz palu nampaknya diterima dengan senang hati oleh Dr. Mahathir. Apa logiknya, seorang Setiausaha Kerja diangkat menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Negeri (Wilayah Persekutuan)? Apakah sudah tidak ada lagi orang lain yang lebih layak darinya? Mungkin disebabkan dia banyak wang, banyak perniagaan termasuk perniagaan haram seperti Toto maka mudah baginya mentadbirkan Umno Wilayah Persekutuan. Inilah masa yang paling sesuai untuk ahli-ahli Umno di Wilayah Persekutuan meninggalkan Umno yang sudah terlalu jauh menyeleweng dari perjuangan asal. Dr. Mahathir boleh sahaja melantik Abdullah Ahmad Badawi menjadi pengerusi. Ini pernah dilakukan ketika Tun Ghafar Baba menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu. Presiden Umno juga boleh sahaja melantik Najib Tun Razak menjadi pengerusi seperti yang pernah dibuat ketika Muhammad Muhd Taib menjadi Naib Presiden dahulu. Tetapi disebabkan kedua-duanya, Abdullah dan Najib tidak terlibat menjatuhkan Anwar maka Dr. Mahathir harus mengenepikan kepentingan parti dan mendahulukan “usaha membalas budi” kepada Tengku Adnan yang sanggup mengeluarkan ratusan ribu ringgit untuk membiayai kos percetakan dan kos guaman yang ditanggung penulis itu, Khalid Bakar Shah @ Jafri. Dr. Mahathir tahu orang-orang Melayu di Kuala Lumpur memang tidak dapat menerima cara yang diperlakukan terhadap Anwar Ibrahim. Itulah sebabnya dia mengenengahkan Tengku Adnan kononnya untuk membendung lebih ramai ahli-ahli Umno berhijrah kepada KeADILan. Jika itu perhitungannya, dia nyata tersilap. Perlantikan Tengku Adnan hanya merupakan satu “upah” kepada dia yang berjaya menjahanamkan Umno. Paling baru, Tengku Adnan berjaya menggantung Umno Bahagian Bandar Tun Razak pimpinan Tamunif Mokhtar. Disebabkan Umno bahagian itu digantung, maka tiada seorang pun perwakilannya dibenarkan menghadiri Persidangan Umno pada 11 Mei 2000 yang lalu. Masing-masing hanya bertaraf pemerhati sahaja. Tunggulah pilihan raya umum ke 11 yang dijangka akan diadakan pada tahun 2004, beberapa kerusi yang menang tipis akan terlepas juga ke tangan pembangkang.
Antara kawasan yang diyakini akan dimenangi calon-calon BA termasuk Titiwangsa, Lembah
Pantai dan Bandar Tun Razak. |
Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com
|