MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

BERITA HARIAN AKUI KEMEROSOTAN

Oleh Pena Suasa

SURAT pembaca yang tersiar dalam Berita Harian Rabu, 28 Jun 2000 tulisan Mohd Shah Abdullah sedikit sebanyak mengesahkan dakwaan sebelum ini bertajuk Berita Harian Patut Ubah Sikap, Bukan Ubah Wajah! yang tersiar di ruangan ini 21 Jun 2000 lalu.

Mohd Shah, seorang graduan USM merupakan bekas wartawan Watan sebelum berpindah ke Bernama dan paling akhir menjadi Ketua Biro Berita Harian Kelantan. Khabarnya Mohd Shah sudah meninggalkan Umno sejak Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Umno. Keseluruhan tulisannya itu cukup baik walaupun, beliau cuba “menjaga hati” pihak tertentu di Berita Harian ketika menulis.

Tulisnya; Umum akan menanggapi perubahan ini hanyalah satu perubahan komestik semata-mata jika tiada perubahan menggalakkan terhadap isi persembahan keseluruhan.

Mohd Shah yang kini sudah tidak mahu bergelumang dalam dunia persuratkhabaran turut menyentuh mengenai kemerosotan jumlah jualan akhbar, keyakinan pembaca antara sebab keputusan pilihan raya tidak memihak kepada parti pemerintah dan ukuran kebenaran adalah sesuatu yang mutlak. Tiada alasan untuk akhbar berbohong.

Sebenarnya, baik Berita Harian, Utusan Malaysia atau pun akhbar berbahasa Inggeris terpaksa mengakui bahawa jumlah edaran terlalu merosot dan menjejaskan pendapatan syarikat masing-masing.

Seorang tokoh korporat yang tidak berpihak kemana-mana parti politik memberitahu, taukeh-taukeh akhbar pro pemerintah ini menjalankan jarum masing-masing mendesak Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri supaya mengharamkan Harakah, Eksklusif dan Majalah Detik.

Menurut orang-orang besar ini, akhbar-akhbar dan majalah ini menjadi “racun” kepada pemikiran rakyat. Hakikat sebenarnya, mereka terpaksa menanggung kerugian besar sejak rakyat tidak lagi mempercayai laporan berita mereka.

Wartawan hari ini wartawan yang tiada idealisme perjuangan. Mereka betul-betul jadi alat pemerintah dan menjadi kuda tunggangan ketua-ketua mereka yang tidak bermoral.

Seorang dua wartawan yang cuba mengenengahkan idealisme biasanya akan menerima akibat dan ada juga yang terpaksa beralih bidang termasuk Mohd Shah Abdullah.

Syabas Mohd Shah. Saudara mungkin menulis kerana nostalgia bekerja dengan Berita Harian sekembalinya dari London tetapi kebenaran yang saudara perkatakan itu memang tepat.

Tidak ramai anak-anak muda yang mempunyai prinsip kebenaran lagi. Tidak ramai anak muda yang berani. Masing-masing takut dan ditakutkan. Percayalah idealisme saudara tetap disokong.

Berita Harian masih banyak berbohong, tidak menyiarkan berita yang benar kerana bimbang menguntungkan pihak pembangkang dan merugikan Umno. Cuma, satu kelebihan Berita Harian, mereka tidak ada penulis seperti Astora Jabat, yang mengajak orang Islam sesat. Mungkin guru Astora ialah Zainuddin Maidin. Islam “baru” kononnya.

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

 counter.bloke.com