MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

RASUAH: PENGLIBATAN GHANI OTHMAN, SYED RAZAK DAN TAJOL ROSLI

Oleh Pena Suasa 

BADAN Pencegah Rasuah (BPR) Johor menangkap seorang kontraktor balak minggu lalu kerana disyaki terbabit dengan kegiatan rasuah melibatkan kawasan pembalakan seluas 975.2 hektar yang menjadi kediaman penduduk Orang Asli di Bekok, Labis dekat Segamat.

Lelaki berkenaan yang berusia 35 tahun ditangkap di rumahnya di Johor Bahru dan direman selama 14 hari bagi membolehkan BPR menjalankan siasatan secara terperinci.

Berikutan tangkapan itu, BPR telah mengambil beberapa dokumen yang relevan dari lelaki terbabit serta mencatatkan rakaman percakapannya bagi membantu siasatan.

Tiga buah agensi kerajaan termasuk YPJ dan KPRJ dikatakan terlibat dengan kegiatan rasuah ini dan khabarnya Timbalan Menteri Kerjaraya, Mohd Khaled Noordin dikatakan akan ditahan untuk siasatan.

Sebelum ini, kontraktor ini dikatakan membeli rumah Mohd Khaled di Taman Suria dengan harga RM1.5 juta dan dibayar tunai.

Satu sumber yang rapat dengan pejabat Menteri Besar Johor juga memberitahu, Dato’ Abdul Ghani Othamn dan Bendahari Umno Bahagian Ledang, Richard Azlan juga dikatakan akan ditahan dalam sehari dua ini.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, BPR Kedah dikatakan turut menyiasat Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Syed Razak Syed Zin yang dikatakan “mempunyai kekayaan luar biasa” sejak menjadi Menteri Besar.

Dia dikatakan sudah menjelaskan berjuta-juta hutang syarikat dan hutang peribadinya selain menyalurkan ratusan ribu ringgit kepada bahagian-bahagian Umno Kedah sekarang ini.

Setakat ini belum ada sumber yang dapat mengesahkan perkembangan ini. Di PERAK pula, Menteri Besar, Dato’ Seri Mohd Tajol Rosli didesak supaya menjelaskan bagaimana Ketua Umno Bahagian Batu Gajah, Dato’ Yusof Kassim tiba-tiba menjadi kaya raya sejak Mohd Tajol menjadi Menteri Besar Perak.

Sepucuk surat bertajuk “bersatu selamatkan MB Perak” yang tersebar secara meluas sekarang menuduh Yusof Kassim terlalu berkuasa sekarang di Perak dan dilihat membelanjakan ratusan ribu ringgit ketika pemilihan Umno Mei lalu.

Selain Yusof, nama Dato’ Hamdi Abu Bakar (Ketua Umno Bahagian Beruas) juga dikaitkan dengan cerita cukup bergaya sekarang dan seolah-olah menguasai Perhubungan Umno Negeri itu. Mereka berbelanja besar dan wang yang mereka gunakan disangsikan sumbernya.

Inilah Umno dan perjuangan Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad yang kononnya mahu mengekalkan slogan Bersih Cekap dan Amanah. Dia sendiri melindungi siasatan terhadap bekas Ketua Pengarah EPU, Ali Abul Hassan Sulaiman dan langkahnya melindungi rasuah diamalkan di Johor, Kedah dan Perak.

Rakyat harus mendesak BPR hendaklah telus menjalankan siasatan. Tiada siapa boleh mengatasi undang-undang. Dakwa mereka dan jangan hanya berpura-pura siasat dan kemudiannya diam tanpa sebarang tindakan. 

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

 counter.bloke.com