MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

BERUK MENDUDUKI TAKHTA

Hebat....hebat. Nampaknya budaya samseng sudah diwarisi, sudah berjaya dihayati di sekolah. Peringkat menengah mahu pun rendah berlumba-lumba mempamerkan kehebatan masing-masing. Seperti yang di war-warkan oleh akhbar milik kroni, budaya itu kononnya, kini amat menggemparkan (gelombang tsunami?) seluruh Alam Malaysia.

'Two teenagers were detained yesterday in connection with the arson at SM Taman Tun Dr Ismail, bringing to four the number of boys nabbed for two school-related crimes that have shocked the nation'

Shocked the nation? Mengejutkan negara?...pada saya perkara kejut mengejut ini sudah lali.

Negara di akhir-akhir ini selalu sangat dikejutkan dengan perkara yang lebih dahsyat dari ini. Lagi pun Perkara ini berlaku di kawasan perumahan elit, kawasan orang besar-besar dan ternama, berpangkat yang banyak duit.

Perkara ini menjadi tidak begitu dahsyat jika dilihat dari segi siapa, apa, mengapa dan bagaimana ianya dilakukan. Slogan 'Malaysia Boleh' membolehkan semua perkara yang ajaib berlaku.

Sebagaimana yang telah dikatakan tadi, ianya tidaklah menjadi begitu dahsyat berbanding dengan adanya perkara-perkara lain yang lebih serius dan lebih dahsyat lagi dari ini berlaku.

Kejadian bakar-membakar, memeras ugut dan budaya samseng yang dilakukan oleh pelajar-pelajar seperti yang diheboh-heboh itu, adalah suatu fenomena yang bersifat sementara yang boleh dielak dan dibendung.

Kita tidak hairan, kerana pelaku-pelakunya adalah terdiri dari mereka-mereka yang masih muda 'tender age' dan belum matang yang emosinya rata-rata begitu sensitif. Mereka ini masih boleh dididik dan diperbaiki akhlaknya.

Tetapi bagaimana pula jika terdapat insiden-insiden lebih dahsyat, yang di luar garis-garis norma kemanusiaan dilakukan? Dan yang paling menakjubkan ianya dilakukan secara sedar, sengaja dan dengan niat oleh pelaku-pelaku yang sudah terlalu matang yang sepatutnya menjadi 'sifu' kepada pelajar-pelajar atau remaja-remaja itu tadi. Bukankah ini lebih dahsyat dan amat menggemparkan?

Mari kita rujuk kepada beberapa kejadian seperti dipaparkan di bawah ini dan fikirkannya dengan mendalam....

  1. Seorang Timbalan PM yang mereka kasihi, Anwar Ibrahim, lebam matanya angkara Rahim Noor, orang yang mereka anggap sebagai pembasmi jenayah telah menjadi seorang penjenayah. Begitu juga dengan kes racun 'arsenic'.
  2. Kesah Perdana Menteri, pemimpin yang selama ini, dianggap paling top yang disanjung dan dihormati, didapati rupa-rupanya seorang kepala konspirasi yang zalim dan kejam, pembohong, memfitnah, perasuah. Pembela segala jenayah. Dan yang paling cemar sekali ialah mengsonglap wang mereka {rakyat}, takut ke mahkamah dan sanggup menganiayai budak yang berumur 4 tahun, demi mengekalkan kuasanya.
  3. Kesah perbicaraan yang terbalik-court, iaitu Lim Guan Eng yang  membela seorang gadis Melayu yang dirogol, masuk penjara. Sedangkan si perogol, seorang menteri dari Parti UMNO, bebas hingga hari ini.
  4. Keganasan polis memukul, menyembur air asid kepada orang-orang awam yang berhimpun secara aman, tanpa bersenjata, dapat disaksikan di depan mata.
  5. Tingkah laku lucah, seorang Menteri Besar, Adnan Yaakub dan lagak samseng Sanusi Joned di KLIA memang diketahui.
  6. Begitu juga dengan perilaku dan tindak-tanduk hakim-hakim yang tercemar dan tidak bersih. Ini dapat dilihat dari perjalanan beberapa perbicaraan dan keputusan-keputusan yang meragukan dan berat sebelah.
  7. Arus media perdana cetak dan elektronik, sentiasa menyiarkan berita-berita 'negatif' yang diputarbelitkan dan berat sebelah, fitnah bohong dan memesongkan. Tiada kualiti untuk bacaan. Penyaluran budaya songsang yang berleluasa.

Semua episod-episod di atas adalah beberapa contoh, samada secara langsung dan tidak langsung, memberi 'psychological' impak kepada pelajar-pelajar dan seluruh kaum remaja amnya. Percanggahan didikan nilai-nilai murni yang diterima di sekolah, dengan amalan tingkah laku buruk para pemimpin, meletakkan para pelajar dan remaja dalam keadaan bingung dan tertekan.

Tidak dapat dinafikan bahawa insiden-insiden itu menjadikan suasana dan iklim politik negara yang bercelaru sekaligus mengheret minda dan tingkah laku pelajar-pelajar dan para remaja turut jadi haru dan bercelaru juga.

Telunjuk Mencari Arah

Memang menjadi amalan hidup orang UMNO/BN, apabila sesuatu yang buruk itu berlaku, mereka akan meluruskan telunjuk, mencari arah untuk meletakkan kesalahan itu kepada orang lain, terutama pihak lawan. Tetapi jika ada sesuatu kejayaan dan kebaikan yang dicipta, mereka akan lekas mendabik dada, memukul canang dan mengaku ke unggulan dan kecekapan mereka memerintah.

Begitu juga dengan peristiwa buruk yang dilakukan oleh para pelajar baru-baru ini. Pucuk pimpinan Parti Pemerintah itu dengan pantas  menuding jari dan meletakkan kesalahan itu kepada pihak lawan. Kononnya Parti Pembangkang telah mempengaruhi kanak-kanak supaya membenci kerajaan, melawan polis, melanggar undang-undang dan membuat peraturan sendiri.

Kenyataan Dr Mahathir ini adalah diibaratkan seperti...  'pot telling the kettle black' atau 'mengata dulang paku serpih'.

Wow, mudah..nya..lah menjadi pentadbir negara ni ya? Barang wangi kita punya, yang busuk orang punya!. Inilah satu-satunya kehebatan Parti Barisan nasional yang sukar ditandingi oleh sesiapa pun.

Suatu Manifestasi?

Tidakkah mereka sedar, bahawa segala tohmahan-tohmahan itu membuatkan mereka kelihatan lebih biol, bodoh dan 'ignorant'?

Bukankah terdapat banyak faktor-faktor lain disamping faktor-faktor yang disebutkan tadi, yang menyumbang ke arah gejala tersebut?

Faktor-faktor seperti...

  1. Sistem pendidikan yang sering bertukar dan meletakkan peperiksaan sebagai tonggak utama, membebankan minda pelajar. Untuk mendapat keputusan yang cemerlang mereka terpaksa pergi 'tuition' atau kelas tambahan. Kegiatan ko-kurikulum yang menjadi salah satu kriteria pemilihan ke sekolah menengah yang baik, asrama penuh, membelenggukan pergerakan dan kebebasan zaman kanak-kanak yang 'natural'
  2. Kurang disiplin di rumah...terlalu manja, terabai dsbnya. Manakala di sekolah pula guru terikat dengan peraturan, tidak boleh merotan akibatnya murid tidak takut.
  3. Pengaruh rakan sebaya 'peer' dalam pergaulan mereka sehari-hari.
  4. Institusi keluarga dan faktor ekonomi. Ibubapa yang sentiasa sibuk bekerja, yang tiada ilmu atau keruntuhan rumah tangga.
  5. Alam sekeliling..keadaan tempat tinggal para pelajar dan jiran-jiran.
  6. Iklim di sekolah..terlalu ramai dalam satu kelas, kelengkapan tidak mencukupi untuk menampung semua murid. Bilik darjah kurang selesa, panas.
  7. Guru..kekurangan guru yang terlatih, corak latihan guru, mereka terlalu dibebankan dengan berbagai-bagai tugas. Merekalah pakar mengajar, jurulatih sukan, pakar budaya, pakar merancang, pengerusi itu setiausaha ini, mereka juga amah, jurutaip, kerani dan bermacam-macam lagi yang mendatangkan tekanan. Apabila guru tertekan...maka murid juga turut tertekan.
  8. Makanan. Jenis pemakanan juga boleh mempengaruhi minda dan tingkah laku pelajar. 'Junk food' dan minuman yang mengandungi gas, sememangnya membanjiri pasaran dan tidak dikawal.
  9. Media-media cetak dan elektronik seperti TV, sebagaimana yang telah dinyatakan tadi, sering menayang rancangan-rancangan yang boleh merangsang minda ke arah keburukan. Buku-buku atau majalah-majalah yang menghairahkan senang diperolehi. Begitu juga CD dengan adegan -adegan yang tidak ditapis.

Faktor-faktor di atas adalah di antara beribu-ribu faktor lain, yang di hurai secara ringkas, yang menyumbang ke arah pembentukan sahsiah dan peribadi serta tingkah laku para pelajar dan remaja secara keseluruhannya.

Faktor-faktor itu juga adalah menjadi tanggungjawab dan 'hardcore' business yang semestinya dilangsaikan oleh Parti Barisan Nasional, parti yang memerintah kini.

Jadi di manakah justifikasinya, jika pihak BN menuding telunjuk lurus kelingking berkait mereka itu kepada Parti Pembangkang. Kerana segala dasar-dasar yang ada pada hari ini adalah merupakan dasar bikinan dan ciptaan Parti Barisan Nasional itu sendiri. Sikap buruk para pelajar itu, adalah suatu manifestasi kelemahan pentadbiran dan kegagalan dasar kerajaan yang ada sekarang. Maka, merekalah seharusnya dipersalahkan di atas insiden-insiden buruk yang berlaku ini.

Beruk Menduduki Takhta

Serangan melulu PM terhadap Parti Pembangkang itu, merupakan satu lagi lontaran batu, untuk mengwujudkan gelombang tsunami. Kali ini batu itu dipungutnya dari Timbalan Menteri Aziz, yang sekian lama berhempas pulas mencanainya supaya menjadi seperti yang diharapkan. Namun batu yang digolek-golek dan dicanai-canai itu tetap tidak berdaya mengwujudkan gelombang tersebut, kerana tangan yang melontar itu sudah usang dan kian longlai.

Begitulah juga akibatnya jika melantik kroni dan ketua konspirasi yang jahil, untuk mentadbir Istana Ilmu, sedangkan dia tidak punya cukup ilmu untuk menggarap ilmu.

Perlantikan Con-man, Aziz Shamsuddin ini, samalah seperti meletakkan seekor beruk di atas takhta. Dia tidak akan tahu nilainya takhta itu. Dia hanya tahu memanjat kelapa dan memetik buahnya seperti yang telah dilatih dan diarah oleh tuannya itu. Maka sentiasalah dia terkinja -kinja ke sana dan terlompat-lompat ke sini mencari buah baru untuk dipulasnya.

Dan, kerana kejahilan Timbalan Menteri ini jugalah, membuatkan seorang Perdana Menteri yang bijak (?) kelihatan seperti 'badut' berhidung besar, bulat merah dan berkepala botak, yang pastinya menjadi bahan jenaka seluruh rakyat.

Tun Teja

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

 counter.bloke.com