MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

UMNO AKAN KARAM JIKA TIDAK PRAGMATIK

Komentar Tarmizi Mohd Jam

Dalam surat Pekeliling Perkhidmatan Awam Bilangan Satu Tahun 2000 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam awal Februari lalu, tercatat suatu pemberitahuan rasmi mengenai pelaksanaan hari rehat tambahan yang ditetapkan oleh kerajaan pada hari Sabtu ketiga setiap bulan. Menurut persetujuan kabinet, pelaksanaan tersebut berkuatkuasa mulai 1 Februari lalu. Sehubungan itu, kabinet turut membuat keputusan memanjangkan waktu bekerja bagi kakitangan awam terbabit dengan mengurangkan waktu rehat selama 15 minit pada hari-hari kerja biasa disamping melanjutkan masa kerja pada hari Sabtu kedua dan keempat selama lima minit.

Bagi pejabat di negeri-negeri yang hari Ahad adalah hari minggu, waktu bekerja pada hari Isnin hingga Khamis ialah 8.00 pagi hingga 1.00 tengahari (berbanding 12.45 tengahari sebelum ini) dan 2 petang hingga 4.30 petang. Manakala bagi hari Sabtu waktu bekerja ialah dari 8.00 pagi hingga 12.50 tengahari (berbanding 12.45 tengahari sebelum ini).

Bagi negeri-negeri yang hari Jumaat adalah hari rehat mingguan, waktu bekerja tersebut dilaksanakan pada hari Ahad hingga Khamis. Kira-kira dua minggu sebelum daripada tarikh pekeliling rasmi itu dikeluarkan, perkara tersebut telah pun diwar-warkan melalui akhbar harian dan mengundang pelbagai reaksi dari anggota masyarakat. Laporan berkenaan memetik satu sumber sebagai berkata kabinet telah membincangkan cadangan tersebut setelah kajian mendapati keputusan kerajaan mengisytiharkan cuti hari Sabtu pertama setiap bulan membantu meningkatkan sektor pelancungan domestik.

Hasil kajian itu menunjukkan peningkatan perbelanjaan orang ramai dalam sektor pelancungan melibatkan penginapan di hotel-hotel dan makan di restoran-restoran. Kata sumber itu lagi, kajian tersebut juga mendapati berlaku pertambahan mendadak dari segi bilangan kenderaan yang menggunakan lebuh-lebuh raya bertol di seluruh negara pada setiap kali cuti hari Sabtu. Maklum balas yang diterima oleh Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan awam (CUEPACS) juga menunjukkan kakitangan kerajaan memanfaatkan cuti Sabtu pertama setiap bulan untuk bersama anggota keluarga. Ini termasuk meluangkan masa bersama anak-anak melawat tempat-tempat menarik di dalam negara.

Di atas hasil positif yang ditunjukkan oleh pelaksanaan cuti Sabtu itu, maka pihak kerajaan merasakan penambahan cuti Sabtu akan berupaya membantu kerajaan memulihkan ekonomi negara.

Di Malaysia, hanya dua buah negeri yang telah melaksanakan sistem kerja lima hari seminggu, melibatkan setiap Sabtu sebagai hari cuti, iaitu kerajaan Kelantan dan Terengganu. Kedua-dua negeri tersebut pula adalah di bawah pentadbiran PAS. Manakala kesemua negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional (BN) masih belum menampakkan kesediaan menerima pakai pelaksanaan sistem tersebut.

Ketidak-sediaan mereka itu terlalu mudah difahami, kerana para pemimpin BN adalah antara pihak yang paling lantang mengecam kerajaan PAS di Kelantan, sewaktu ia berhasrat melaksanakan sistem kerja lima hari seminggu seawal pemerintahannya kira-kira sedekad lalu. Ada tohmahan kononnya sistem itu akan menjejaskan produktiviti negeri dan menguncupkan pacuan pembangunan. Ada pula yang tidak segan silu menuduh kerajaan PAS menghina rakyat Kelantan. Kononnya sistem itu menggambarkan seolah-olah rakyat Kelantan sebagai pemalas, suka berehat dan bersiar-siar serta lebih mengutamakan aspek sosial berbanding profesionalisme dalam perkhidmatan.

Namun itu semua dihadapi oleh PAS sebagai hanya gimmick politik BN. Rakyat yang celik politik dapat memahami bahawa bagi sesetengah para pemimpin BN, apa jua cadangan daripada PAS akan dilihat sebagai negatif. Sistem kerja lima hari seminggu tetap diteruskan. Hari Jumaat diisytiharkan sebagai hari ilmu, manakala hari Sabtu sebagai hari keluarga. Lewat manifesto pilihanraya, PAS mengemukakan sistem ini sebagai salah satu program pemerintahannya di mana-mana jua negeri yang bakal diperintahnya. Terengganu, yang menyusul sebagai negeri kedua diperintah PAS, turut menobatkan Jumaat sebagai hari ilmu dan Sabtu sebagai hari keluarga.

Akhirnya, kebaikan tidak dapat dibungkus oleh kepetahan dan kecerdikan Mahathir bermain sandiwara. Kebatilan menyongsong arus, mencari tempat untuk menyembunyikan diri dari melihat kebenaran. Itulah yang dibawa oleh PAS, yang juga amat dibenci oleh Umno dan sekutu-sekutunya. Akhirnya, mereka sedar.... arus yang makin kental dan pejal ini, tidak bisa diempang lagi. Umno terpaksa hanyut bersama arus ini, jika tidak ia akan karam dan karam....Inilah gelagat dan sikap busuk pragmatik, matlamat menghalalkan cara yang membusung dalam perut Umno hari ini...

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

 counter.bloke.com

TheCounter.Com