|
UMNO:
“MENGAMOK” BALAS DENDAM! Komentar: TARMIZI MOHD JAM Pemecatan dan penyingkiran Anwar dari Umno serta kerajaan telah membawa perubahan yang cukup hebat kepada senario politik negara. Walaupun tidak ramai yang meninggalkan Umno dan bersama Anwar dalam gerakan reformasi tetapi sokongan padu yang diberikan rakyat negara ini kepada mantan Timbalan Perdana Menteri itu telah meletakkan kerajaan Mahathir dalam keadaan cemas seketika.
Belum pernah berlaku, rakyat termasuk pegawai kerajaan dan
golongan profesional bangun menentang kepimpinan Mahathir secara terbuka. Gelombang
kebangkitan itu juga terjadi di kalangan anak muda yang mulai berani mempersoalkan
tindak-tanduk kerajaan BN dan Umno terhadap Anwar. Tunjuk perasaan dilangsungkan tanpa
perasaan takut sebagai tanda protes dan rasa tidak puashati terhadap pemerintah BN.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari pelbagai aliran dan fransi
bersatu menentang kezaliman yang dilakukan oleh Mahathir. Manakala mereka yang menyokong
Anwar menubuhkan Parti KeAdilan Nasional bagi meneruskan perjuangan Anwar yang belum
selesai itu.
Parti-parti pembangkang dan mereka yang pernah menjadi seteru
dengan Anwar, tidak semena-mena telah menggabungkan tenaga serta seluruh kekuatan bagi
menghadapi kerajaan BN dan Umno. PAS dan DAP yang tidak pernah membentuk kerjasama telah
menjalinkan hubungan buat pertama kalinya bersama KeAdilan dan PRM membentuk Barisan
Alternatif (BA).
Kewujudan BA telah mencetuskan semacam fobia kepada BN dan Umno
apabila pakatan parti-parti pembangkang itu diterima baik oleh rakyat negara ini yang
berbilang kaum. Ceramah-ceramah yang diadakan
di atas pentas BA mendapat sambutan yang luar biasa. Berbagai pendedahan berhubung dengan
penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah serta
amalan salah laku pemimpin Umno didedahkan.
Antara pendedahan yang menggemparkan ialah pengakuan mantan
Setiausaha Politik Anwar, Ezam Mohd Noor bahawa beliau menyimpan enam kotak dookumen
rahsia di luar negara mengenai segala penyelewengan yang dilakukan oleh beberapa menteri
kabinet Mahathir.
Karpal Singh pula atas kedudukannya sebagai peguam Anwar telah
membuat dakwaan di Mahkamah Tinggi pada 10 September 1999 tentang wujudnya konspirasi
peringkat tertinggi “membunuh” Anwar menggunakan racun arsenik.
Pendedahan Karpal itu telah mencetuskan kemarahan penyokong
Anwar dan menimbulkan keresahan kepada rakyat berhubung dengan keselamatan Anwar dalam
penjara.
Akibatnya satu demontrasi besar-besaran telah diadakan di
Masjid Negara membantah tindakan meracun Anwar menggunakan arsenik. Beberapa pemimpin
KeAdilan ditahan kerana terlibat dalam demontrasi itu.
Hajjah Marina Yusof atas kapasitinya sebagai Naib Presiden
Keadilan terus mencetuskan kontroversi apabila kenyataannya dalam satu ceramah di Bukit
Mertajam pada 29 September 1999 telah menuduh Umno dan pihak polis sebagai pihak yang
bertanggungjawab mencetuskan Peristiwa 13 Mei tahun 1969.
Harakah
pula sebagai akhbar PAS dan satu-satunya media yang mengambil sikap yang kontra terhadap
kerajaan semakin mendapat sambutan serta perhatian yang meluas daripada rakyat termasuk
juga dari mereka yang berketurunan bukan Melayu. Media perdana pula semakin terpinggir dan
dipinggirkan.
Justeru itu, timbul beberapa desakan supaya tindakan yang tegas
dan keras diambil terhadap pemimpin pembangkang dan Harakah.
Malah sejak dua tahun lepas, telah tersebar khabar angin bahawa kerajaan BN akan
melancarkan Operasi Lalang II bagi menahan
secara borong pemimpin pembangkang atau mengistiharkan darurat bagi mengawal arus
perubahan dari berlaku.
Bagaimanapun jangkaan dan ingauan buruk itu tidak berlaku.
Sekatan yang dikenakan ke atas parti pembangkang masih pada paras yang minimun dan dalam
keadaan yang terkawal.
Mahathir sedar sekiranya dia bertindak dengan lebih agresif
maka ia akan mengundang lebih banyak kemarahan rakyat dan tekanan-tekanan dari negara
luar. Jika ISA terus digunakan lagi, populariti beliau dan sokongan rakyat terhadap Umno
akan terus merosot. Keadaan ini merugikan Mahathir.
Dalam keadaan rakyat marah meluap-luap terhadap Umno dan
Mahathir, pilihanraya umum terpaksa diadakan. BA tidak mempunyai pilihan lain kecuali
menggunakan kesempatan ini sepenuhnya untuk menurunkan BN dan Mahathir.
Pertama, peluang seumpama ini tidak mungkin akan berulang
kembali dalam senario sokongan luar biasa dari rakyat dan keduanya,
kerjasama erat parti-parti pembangkang mungkin bertahan lama.
Namun begitu, BA gagal menumbangkan BN dalam pilihanraya penuh
sejarah itu. Ternyata, langkah pertama Mahathir selepas pilihanraya ialah mengenal pasti
musuh-musuh dalam selimut sama ada dalam kerajaan mahupun dalam Umno.
BN menang dengan majoriti lebih dua pertiga dan sepatutnya
merasa selesa dengan kemenagan itu. Umno terus dihantui dengan rasa takut akibat penolakan
orang Melayu secara terang-terang terhadap parti itu.
Kemenangan PAS di Terangganu dan Kelantan telah memberikan tamparan hebat kepada
Mahathir. Begitu juga dengan peningkatan kerusi dan peratusan undi yang diperolehi oleh
PAS dan parti-parti pembangkang lain telah menimbulkan perasaan tidak keruan kepada Umno.
Kemenangan Umno tidak memberikan sebarang makna kerana
keputusan pilihanraya itu menunjukkan Umno telah ditolak oleh orang Melayu sendiri. Post
mortem yang dibuat oleh Umno untuk mengkaji punca-punca parti itu ditolak oleh orang
Melayu dan penduduk luar bandar membuktikan Umno hilang relevansinya. Calon Umno menang
dengan majoriti yang kecil berbanding pilihanraya sebelumnya.
Tidak ada seorangpun calon parti pembangkang yang hilang wang
pertaruhannya. Namun begitu, Umno masih enggan mengakui hakikat kelemahannya sebagai punca
kekalahan. Pemimpinnya menuduh PAS telah mengeluarkan “fatwa” yang mengelirukan umat
Islam disamping “memperalatkan” agama untuk meraih sokongan orang Melayu.
Ceramah-ceramah anjuran pembangkang pula dikatakan dipenuhi
kata-kata kesat, maki hamun dan mencarut. PAS juga dituduh telah memperalatkan dan
menyalahgunakan masjid untuk kepentingan serta tujuan politik kepartian.
Dendam Umno terhadap PAS dan pembangkang lain terus menyala
dengan menyeret Karpal Singh dan Marina Yusof di bawah Akta Hasutan 1948 sejurus selepas
pilihanraya berlalu. Ezam Mohd Noor juga dipasung mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Sementara Pengarang Harakah, Zulkifli Sulong dan pencetaknya, dihadapkan di bawah Akta Hasutan
kerana menyiarkan kenyataan Timbalan Presiden KeAdilan, Chandra Muzaffar mengenai
konspirasi polis dan Peguam Negara mengenai perbicaraan Anwar.
Bukan setakat itu sahaja, KDN yang dipimpin oleh Pak Lah telah
bertindak merampas Harakah yang dijual dipasaran
terbuka serta menyekat penjualannya kepada orang ramai. Kenapakah, tindakan begini tidak
diambil sebelum pilihanraya umum dulu?
Langkah kerajaan itu, jelas bermotifkan politik membalas dendam
bagi menempiaskan amarah yang bersarang dalam Umno terhadap kekalahan mereka ditangan
calon-calon BA di seluruh negara. Tanpa sokongan orang Melayu, Umno akan berkubur dan
tidak akan mampu meneruskan “survival” politiknya.
Bagi mengembalikan survival itu, Umno berusaha sedaya-upaya menyekat paranan masjid dan surau dari terus menjadi “sarang” PAS. Ceramah dan kuliah agama ditapis. Guru-guru agama pro PAS disenarai hitam dan dilarang mengajar di masjid dan surau berkenaan.
Dendam Umno ini tidak terhenti setakat masjid dan surau, ia
terus memburu PAS dengan menghadkan ceramah parti itu secara terbuka. Kata Ali Rustam,
hanya Datuk Fadzil Noor, Datuk Nik Aziz dan Haji Abdul Hadi sahaja yang dibenarkan
berceramah di Melaka. Selain dari mereka, ceramah mesti diadakan dalam premis tertutup.
Inilah corak kuku besi yang diperkenalkan Umno
untuk menepis pengaruh PAS di negeri itu.
Ali Rustam terus bertindak lebih berani
menamatkan perkhidmatan panel-panel doktor yang berkhidmat dengan agensi kerajaan
negeri, kononnya mereka menyokong pembangkang. Walaupun, tindakan ini dibantah
oleh dua persatuan perubatan dan doktor, namun bantahan itu ibarat menyiram air di daun keladi.
Tidak lama kemudian, peguam-peguam panel juga turut menerima
nasib yang sama. Khidmat mereka ditamatkan kerana kononnya mereka menentang kerajaan.
Bukan itu sahaja, Ali Rustam terus menempiaskan dendamnya terhadap kontraktor-kontraktor
yang rata-ratanya Melayu dengan menyenarai hitamkan mereka dari terus menerima projek dari
kerajaan negeri. Jika dilihat, sama ada doktor, peguam dan para kontraktor ini, jelas
mereka yang disabitkan terdiri dari anak-anak Melayu yang peka dan prihatin untuk melihat
negara ini maju atas keadilan bukan atas kezaliman.
“Amok” Ali Rustam ini sebenarnya tidak popular. Ia
memalukan Umno. Tindakan itu, tidak lebih dari dendam kesumat para pemimpin Umno terhadap
parti pembangkang yang bekerja kuat untuk menumbangkan mereka dalam pilihanraya umum lalu.
Jika tidak, mengapa kakitangan bank yang dikatakan menyokong BA
juga turut menerima padah dari dendam kesumat Ali Rustam. Dakwaan kononnya ada pegawai dan
kakitangan bank yang membocorkan urusniaga pelangggannya menjadi sebab bagi menghalalkan
tindakan Ketua Menteri Melaka itu. Sebagai kerajaan negeri, ia sepatutnya tidak tunduk
atas desakan pihak tertentu dalam membuat keputusan. Segala peraturan dan prosedur
undang-undang perlu dipatuhi.
Apakah ini langkah pemulihan Umno Melaka? Tidakkah dengan
tindakan ini, boleh menurunkan lagi imej Umno dan kepimpinan Ali Rustam?
Lebih banyak tindakan yang diambil termasuklah melarang agensi
kerajaan negeri itu menganjurkan apa-apa lawatan ke Kelantan dan Terengganu
kononnya untuk mengelakkan dari mereka terjebak dengan pembangkang, hanyalah
menjadi pemangkin kepada keruntuhan Umno Melaka. Sekaligus ia mendedahkan dendam
kesumat pemimpin Umno terhadap mereka yang tidak sealiran dengan parti berkenaan. Dendam
merupakan sifat yang dicela oleh ajaran agama dan sejarah telah membuktikan betapa ramai
pemimpin hancur lebur dek dendam kesumat yang bersarang dalam sanubari. Dendam Umno inilah
akhirnya akan meremukkan parti itu dengan ajalnya yang semkain dekat dengan
tahun 2004! |
Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com
TheCounter.Com |