|
UMNO YANG
BERGOLAK, Komentar TARMIZI MOHD JAM
Menurut Dr. Mahathir, Majlis Raja-Raja yang bersidang sedikit
masa dulu, bersetuju mengambil tindakan tertentu bagi menangani masalah perpecahan yang
berlaku di dalam masyarakat Islam akibat
daripada perbezaan fahaman politik. Tindakan
untuk menyelesaikan masalah perpecahan ini adalah wajar dan perlu mendapat sokongan
daripada semua pihak, sekalipun MB Kelantan yang menghadiri persidangan itu menafikan ada
Raja-Raja Melayu membincangkan hal yang disebut Dr. Mahathir itu.
Nampaknya, Dr. Mahathir sengaja memainkan isu ini untuk meraih
simpati terhadap calonnya di Sanggang pada waktu itu. Maka, beliau dan segala
suku-sakatnya bercakaplah dari hal perpecahan dan perpaduan ini sambil menyifatkan yang
Raja-Raja Melayu sudah “bimbang” dengan pertelingkahan di kalangan orang Islam natijah
dari fahaman politik kepartian yang menjadi anutan.
Bagaimanapun tindakan parti Umno menyalahkan PAS,
di atas perpecahan yang melanda umat Islam di negara ini, bukan sahaja tidak wajar
malahan boleh dipertikaikan. Begitu juga
dakwaan kononnya PAS memulakan isu kafir-mengkafir dan menggunakan agama untuk tujuan
politik peribadi memerlukan bukti yang lebih kukuh.
Kalau ditelusuri masalah perpecahan yang berlaku di dalam
masyarakat Islam khususnya di kalangan orang Melayu maka ia sebenarnya bermula dan
berpunca daripada Umno. Perpecahan mulai
dikesan seawal tiga tahun selepas penubuhan Umno, apabila Dato Onn Jaafar meletakkan
jawatan sebagai Presiden parti itu dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya pada tahun
1951, kemudiannya Parti Negara. Perpecahan
terus berlaku apabila dasar Islam yang diperjuangkan oleh segelintir pemimpin di dalam
Umno telah tidak diterima menyebabkan parti PAS ditubuhkan.
Penubuhan parti PAS, dengan Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan sebagai
Yang Dipertuanya pada tahun 1951 bertujuan membina satu masyarakat yang berteraskan ajaran
Islam. Selain itu, matlamat penubuhan PAS
juga dibuat di atas dasar untuk menubuhkan sebuah negara dan pemerintahan yang
berteraskan Islam.
Oleh itu, soal memperalatkan agama untuk kepentingan politik
kepartian tidak timbul atau perlu ditimbulkan lagi. Sebaliknya
usaha PAS itu perlu diberikan sokongan dan dokongan bukan sahaja oleh masyarakat Islam
tetapi juga Umno sendiri yang sering mendakwa berjuang untuk agama, bangsa dan negara.
Masalah perpecahan yang berlaku di kalangan umat Islam pada
masa dahulu dan sekarang, adalah disebabkan terdapat segelintir pemimpin parti politik
yang tidak mahu berpegang dan menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya.
Tetapi berpegang kepada fahaman serta ideologi yang bertentangan dengan ajaran
Islam.
Masalah perpecahan umat Islam ini hanya dapat diselesaikan
sekiranya setiap daripada penganut berpegang teguh kepada ajaran Islam.
Selagi mana umat Islam terus berpegang fahaman pemisahan di antara agama dengan
negara atau politik selagi itulah masalah yang berkaitan dengan perpecahan umat tidak akan
dapat diselesaikan.
Agama perlu dijadikan sebagai asas dan tunjang kepada politik.
Memisahkan agama daripada politik akan menyebabkan berlakunya berbagai kepincangan
dan penyelewengan di dalam negara. Keghairahan,
kegilaan dan kerakusan kepada kedudukan, kekuasaan serta kekayaan telah menyebabkan para
pemimpin sering bercakaran di antara satu sama lain.
Masalah perebutan jawatan di dalam Umno, bukan merupakan satu
rahsia lagi. Pemilihan Umno tahun 1987 telah
menyaksikan pertarungan yang maha hebat di antara dua kumpulan untuk merebut kekuasaan di
dalam parti itu yang berakhir dengan perpecahan yang cukup serius.
Persaingan merebut jawatan pada pemilihan tersebut bukan sahaja
berlaku di peringkat atasan sahaja tetapi juga mencengkam sehingga ke akar umbi.
Perang besar-besaran di antara Team A yang diketuai oleh gabungan regu Dr. Mahathir
dan Tun Ghafar Baba berlawan dengan Team B yang diterajui Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li)
dan Tan Sri Musa Hitam, merupakan “percaturan” yang paling hebat dan sengit dalam
sejarah pemilihan Umno.
Kemenangan Team A tidak bertahan lama apabila Umno diharamkan
oleh mahkamah pada tahun 1988. Pengharaman
Umno telah membawa kepada tertubuhnya parti Umno (Baru) atau disebut juga “Umno
Mahathir” yang dipimpin oleh Dr. Mahathir dan akibat dari itu, kumpulan Team B pula
bertindak menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 pimpinan Ku Li.
Walaupun sebahagian daripada pemimpin Team B seperti Musa Hitam
dan Abdullah Badawi merujuk balik dan kembali semula ke pangkuan Umno, tetapi hampir
separuh daripada ahli-ahli Umno telah bersama Ku Li melayari parti barunya itu.
Inilah, perpecahan yang terbesar pernah berlaku kepada umat
Islam dan sehingga ke hari ini perpecahan tersebut masih lagi dapat dilihat dengan jelas
sekali. Bagaimanapun, perpecahan dan
pengharaman Umno mengandungi banyak rahmat di sebaliknya bila mana parti Semangat 46,
telah mengadakan kerjasama dengan parti PAS, Berjasa dan Hamim
membentuk satu pakatan yang dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah (APU) ketika
menghadapi pilihanraya umum ke-9.
APU telah dijadikan sebagai asas untuk menyatukan umat Islam
dan orang Melayu. Usaha tersebut hampir
mencapai kejayaan tetapi malangnya pakatan tersebut telah ditewaskan oleh BN dan Umno pada
pilihanraya umum 1990. Namun begitu,
kerjasama itu telah memberikan suatu kekuatan yang luar biasa kepada PAS apabila parti itu
bersama Semangat 46 berjaya meranapkan penguasaan BN di Kelantan.
Kerjasama yang terjalin di dalam APU diperluaskan konsepnya
melalui sebuah penubuhan gabungan politik parti pembangkang yang lain.
Gabungan itu dikenali sebagai Gagasan Rakyat telah menghimpunkan parti Semangat 46,
DAP, PRM, PBS dan KIMMA.
Penubuhan APU telah diterima baik oleh masyarakat Melayu.
Begitu juga dengan penubuhan Gagasan Rakyat telah mendapat sokongan daripada
masyarakat bukan Islam dan Melayu di negara ini, sehinggalah kedua gabungan itu
dimansuhkan selepas parti Semangat 46 dibubarkan oleh Ku Li, setelah membuat keputusan
menyertai semula Umno dengan alasan demi perpaduan bangsa.
Walaupun kedua gabungan itu hanya dapat bertahan selama 6 tahun
sahaja, tetapi ia merupakan suatu percubaan oleh pembangkang untuk menyatupadukan umat
Islam dan rakyat Malaysia di bawah satu pakatan naungan parti politik.
Walaupun Umno mendakwa dianggotai oleh lebih 2.7 juta ahli dan
berjaya menyatupadukan semula orang Melayu selepas perpecahan tahun 1987 tetapi dakwaan
itu ternyata merupakan omongan kosong sahaja.
Pada bulan September 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat
daripada kerajaan dan Umno kerana dikatakan terlibat dengan perbuatan yang tidak bermoral.
Pemecatan Anwar telah menjerumuskan Umno ke dalam lembah perpecahan buat sekian
kalinya. Biar pun tidak ramai bilangan
penyokong dan pemimpin yang pro Anwar mengambil tindakan keluar daripada Umno, tetapi
tindakan Dr. Mahathir itu sekali lagi membawa perpecahan yang serius kepada umat Islam.
Beberapa pertubuhan Islam dan bukan kerajaan (NGO) yang
menyekutukan dirinya dengan Umno seperti ABIM dan JIM telah bertindak memberikan sokongan
kepada gerakan reformasi Anwar. Manakala para penyokong Anwar telah menubuhkan Parti Keadilan Nasional
(Keadilan) bagi meneruskan perjuangan mereka membela dan menegakkan keadilan bagi sistem
politik yang lebih saksama. Usaha untuk menyatukan umat Islam dalam masyarakat
Malaysia sekali lagi dirintis oleh PAS menerusi kerjasamanya dengan parti Keadilan,
DAP dan PRM.
Pembentukan gabungan baru ini yang diberi nama Barisan
Alternatif (BA) hampir menggugat kekuasaan dan status quo Umno sebagai tunjang
pemerintahan di Malaysia. Hampir separuh
daripada pengundi telah memberikan undi dan sokongan kepada BA.
Walaupun BN berjaya mengekalkan mandat majoriti dua pertiganya
tetapi sokongan yang diterima oleh BA membuktikan betapa gabungan parti-parti politik
pembangkang itu telah diterima sebagai alternatif terbaik bagi menggantikan BN.
Jadi, dakwaan Umno kononnya PAS sebagai bertanggungjawab dan
menjadi punca kepada perpecahan umat Islam melalui pelbagai "fatwa" yang
dikeluarkan oleh parti itu tidak akan dapat menutup kelemahan serta pekong Umno yang
semakin menanah dan mereput itu.
Umnolah punca kepada perpecahan yang berlaku di kalangan umat
Islam dan parti itu perlu dipersalahkan dan diletakkan segala tanggungjawab berhubung
perkara tersebut. Jika tidak akan berlakulah
seperti kata pepatah, paku dulang paku serpih mengata orang dialah yang lebih.
|
Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com
TheCounter.Com |