|
Kisah Abdullah Che Man yang sering ke Thailand Oleh PENA SUASA SEORANG yang bernama Abdullah Che Man, mendakwa dirinya sebagai bekas Ketua KeADILan Bahagian Kuala Krai, Kelantan telah membuat laporan polis berhubung kononnya Ahli Parlimen Peringat, Ustaz Muhammad Mustapha mempunyai dua kerakyatan, iaitu Malaysia dan Thailand. Ustaz Muhammad sudah pun menafikan dakwaan itu. Beliau dilahirkan di Narathiwat selatan Thailand pada 22 Ogos 1958. Bapanya berasal dari Kampung Pelakbang, Tumpat. Disebabkan kemiskinan, bapanya bekerja di Thailand dan berkahwin di sana. Ustaz Muhammad juga mengesahkan beliau sering berulang alik ke Thailand dan pernah belajar pondok di Dala Pattani tetapi tidak menjadi warga negara Thailand. Budak Abdullah sudah dapat kerja sekarang. Sejak dia tidak dapat menjadi calon pilihan raya umum ke 10, dia bertindak meninggalkan KeADILan dengan beberapa “ulat” lain. Masing-masing disambut dalam satu majlis, yang ada pancaran lampu dan kamera TV. Kerja pertama, menyerahkan borang permohonan keahlian Umno dalam satu majlis dengan harapan boleh melumpuhkan BA di Kelantan dalam pilihan raya umum lalu dan kerja kedua, buat laporan polis terhadap Ustaz Muhammad. Buat laporan pula di Kuala Lumpur baru-baru ini. Budak ini sebelum pilihan raya menginap di Brisdale Hotel Kuala Lumpur. Berulang alik ke rumah Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk bertemu dengan Presiden KeADILan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail, menuntut untuk diberikan satu tempat, di mana-mana sahaja di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Dia hendak bertanding. Budak ini menceritakan kononnya, Ustaz Muhammad tidak boleh dijadikan pemimpin keadilan Negeri Kelantan. Dia hanya tunduk kepada Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dia mendakwa KeADILan tidak ada suara langsung di Kelantan. Dia membuat pelbagai dakwaan, asalkan dia dapat menjadi calon KeADILan di mana-mana sahaja kerusi yang akan ditentukan.
Datin Seri Dr. Wan Azizah tidak dapat melayan permintaan ini kerana soal pembahagian
kerusi sudah ditentukan oleh MPT keADILan melalui perundingan kepimpinan Barisan
Alternatif (BA). Budak Abdullah terus melobi. Pelbagai jalan digunakan. Ada cerita
mendakwa Abdullah sebenarnya sudah merancang untuk “menarik diri” dari menjadi calon
ketika kempen berjalan dan mahu mengisytiharkan dirinya menyertai Umno. Ada rundingan yang
sedang dijalankan ketika itu.
Allah tidak merestui perancangan jahat itu. Dia gagal dicalonkan. Tetapi niatnya untuk
“menjual” dirinya dilakukan juga. Dia disambut oleh calon BN kawasan Peringat, Dato’
Annuar Musa.
Semua bekas ahli KeADILan yang baru-baru ini turut mengisytiharkan diri keluar dari parti
ini boleh belajar dari budak Abdullah ini. Kalau hendak kerja selepas mencaci KeADILan,
buatlah kerja-kerja yang bertujuan merosakan KeADILan. Ada habuannya. Budak Abdullah tidak
akan buat kerja ini jika tidak ada yang “menajanya” ke Kuala Lumpur.
Wartawan akhbar-akhbar besar di Kuala Lumpur boleh bertanya kepada budak Abdullah ini,
berapa cawangan yang dia ketuai hingga dia mendakwa menjadi Ketua KeADILan Bahagian Kuala
Krai? Berapa Ahli-ahli KeADILan Bahagian Kuala Krai ketika dia menjadi ketuanya?
Budak Abdullah ini sering ke Thailand. Apa kerjanya di sana, hanya dia dan Allah SWT
sahaja yang mengetahui. Tiba-tiba dia dengan cerita di kaki-kaki lima hotel murah, bahawa
Ustaz Muhammad adalah warga negara Thailand. Maka bergegaslah dia ke Kuala Lumpur, mencari
orang-orang Umno yang sudah kalah dalam pilihan raya, menyampaikan “berita gembira
ini”.
Orang-orang Umno yang kalah dalam pilihan raya sudah nampak melalui mahkamah, mereka tidak
akan menang kes. Mereka tidak ada peluang untuk menjadi Ahli Parlimen semula. Maka, cari
jalan mudah ini, meminta mahkamah mengisytiharkan Ustaz Muhammad tidak layak menjadi Ahli
Parlimen dan calon BN diisytiharkan menang di situ. Serupa macam kes di Bukit Bintang
dalam pilihan raya umum 1995 dahulu.
Hanya tiga kawasan sahaja yang kemaruk sangat orang Umno yang gagal jadi Ahli Parlimen.
Pertama Jeli, kedua, Pasir Mas dan ketiga, Peringat. Masing-masing berangan nak jadi
menteri semula. Alahai… Abdullah Che Man, apalah malang nasib kamu!
Pergilah sekali lagi ke Nakul berhampiran dengan Golok. Siasat lagi kalau ada cerita baru
yang boleh menyebabkan Annuar Musa “kembali” berangan-angan boleh jadi menteri.
Tentunya ada wang di situ. Tentunya ada habuan di sana.
Annuar Musa ada banyak wang. Tengoklah kereta apa yang dia gunakan sebaik sahaja dia kalah
pilihan raya baru-baru ini. Tengoklah juga kereta apa isterinya pakai sekarang. Dia cukup
kaya selepas sembilan tahun menjadi Menteri. Budak Abdullah boleh tumpang sikit-sikit.
Paling tidak, boleh bekerja di ladang ayam Annuar Musa di Bukit Cina, Kelantan atau di
ladang ayam di Negeri Sembilan. Tak dapat ayam, tahi ayam tentu ada. |
Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com
TheCounter.Com |