MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

Rasuah: BA Menolak Peluang Jatuhkan Mahathir?

Oleh Tuk Ketampi

Imbas kembali, semasa Anwar dipecat, ditahan dan dipenjarakan. Sebelum BA terbit, Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia atau ringkasnya GERAK diwujudkan. Rakyat ternyata memberikan kerjasama sepenuhnya kepada GERAK ini. Di sinilah bermulanya, jalinan intim rasmi antara PAS dan DAP. Sebelum itu, PAS cukup-cukup-cukup takut untuk duduk bersama dalam satu majlis. Malah, sebelum itu, kira-kira sebulan belum timbulnya isu Anwar, Lajnah Buruh dan Setinggan yang sepatutnya mengadakan satu ceramah bersama Lim Guan Eng yang baru dibebaskan dari Penjara Kajang, khabarnya dilarang keras oleh PAS Pusat. Sebabnya, takut-takut, isu ceramah bersama itu nanti akan “makan tuan”.
Ketampi melihat, sebelum isu Anwar timbul, DAP memang tidak disenangi oleh PAS. Banyak program bersama cuba dielak, dan kalau boleh cuba dibatal. Memang diakui, ahli-ahli PAS amat sakit hati jika ada pemimpin PAS mengadakan hubungan (apa-apa hubungan) dengan DAP. Mereka takut, PAS akan kalah teruk dalam pilihanraya kerana berkawan dengan DAP.
Namun begitu, isu Anwar telah mendekatkan PAS dengan DAP. Hasilnya, ahli dan pendokong PAS termasuklah yang fanatik sekalipun, boleh menerima hakikat ini. Ketampi rasa, hakikatnya, kerana pimpinan PAS Pusat sendiri yang terlebih dahulu membuka ruang dan peluang. Sebelum ini, mereka jugalah menutup pintu kepada DAP. Apabila, orang-orang Cina mula berminat dengan PAS, maka barulah DAP disambut sebagai kawan, tidak lagi sebagai musuh tradisinya dalam aliran pembangkang.
Ketampi, sebenarnya kesal juga cara PAS bertindak. Patutnya, PAS yang merintis jalan bagaimana untuk mendekatkan diri bersama DAP. Apa yang berlaku, PAS hanya ditakdirkan berkawan DAP dan bukannya PAS merancang atau planning untuk menarik DAP bersama-sama dalam pakatan pembangkang.
Dengan tercetusnya GERAK, PAS dapat bersama-sama Adil, DAP, PRM dan beberapa NGO yang menyokong aspirasi penubuhannya. PAS menjadi ketua. PAS memanfaatkan sepenuhnya pakatan ini untuk menggerakkan hati-hati rakyat supaya menyebelahi pembangkang. PAS memulakan roadshow GERAK di tiap-tiap negeri, bagi menuntut satu kerjasama sejagat dari rakyat dan orang kampung.
Ketampi amat menyokong usaha ini. Ternyata, ia berjaya dan mendapat sokongan kuat rakyat dari semua lapisan masyarakat terhadap GERAK. Aliran semangat rakyat terus disalurkan sebagai bentang dan bom jangka yang boleh diletupkan pada bila-bila masa sahaja oleh pembangkang untuk menumbangkan BN. Sehinggalah terbentuk satu pakatan rasmi dalam pakatan pembangkang atas nama Barisan Alternatif.
Sekali lagi, BA ditakdirkan menemui isu yang boleh digerakkan bersama untuk menguatkan sokongan rakyat terhadap pakatan mereka. Pembabitan rasuah kuasa dan rasuah duit ke atas Mahathir dan Ali Abul Hassan menggemparkan. Pendedahan berani bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk Shafie Yahya sebenarnya boleh membantu BA untuk menaja kembali satu gerakan rakyat dan roadshow mendedahkan penyelewengan Mahathir dan bekas Gabenor Bank Negara itu. Beberapa keputusan boleh dicapai dengan nilaian penuh retorik dan eksklusif.
Malangnya, semua parti dengan kenyataan akhbar masing-masing. Pemuda KeADILan, Ketampi nampak memburu isu ini sebagai suntikan semangat dan roh perjuangan kepemudaanya. Beberapa tindakan drastic dibuat. Mengedarkan “Laporan Polis” Anwar terhadap gejala buruk PM itu dan membuat laporan polis di Balai Polis Campbell. Kemudiannya memberikan ceramah umum di Taman Melewar, dalam markas PAS Pusat. Program itu hambar, penuh diisi oleh asakan-asakan berapi-rapi anak-anak muda KeADILan.
Bukannya isu ini peluang bagi BA untuk memimpin tindakan? Bukankah juga BA sudah lama meninggalkan gelagat dan feel memimpin reaksi? Ketampi bertambah pening kepala melihat tiada Presiden Parti yang ke depan mempelopori isu ini sedangkan inilah peluang untuk kita menjelaskan kepada rakyat dan orang-orang kampung tentang “runtuhnya” nilai baik dalam Umno dan BN. Tentang hancurnya wibawa Mahathir sebagai PM dan pelindung orang Melayu.
Di manakah GERAK? Ke manakah semangat GERAK menghilangkan diri? Mana pemimpin-pemimpin GERAK dulu? Ketampi amat bimbang, BA akan gagal meraih sokongan rakyat, kerjasama rakyat apabila rakyat melihat pemimpin-pemimpin dan parti-parti BA tidak ke depan memimpin tindakan mendahului rakyat marhaen untuk menghukum Mahathir. Kita memang khuatir, rakyat akan meneruskan hidup seharian tanpa jemu; meminggirkan BA dan “cakap tidak serupa bikinnya” pemimpinnya dalam memperjuangkan nasib mereka.
Kerana rakyat tahu, menyeret Mahathir ke mahkamah, ke muka pengadilan adalah perjuangan yang sangat besar dan sangat suci untuk memulihkan nasib dan masa depan kehidupan rakyat di negara ini. Mereka sedar, mereka tiada kekuatan dan gabungan. Yang mereka ada hanyalah semangat yang padu dalam parti-parti BA yang wujud dan hidup. Mereka menolak Umno dan BN, kerana parti dan komponen itu tidak memperjuangkan nasib mereka. Sebaliknya, hidup mereka terus tertindas oleh topeng perjuangan bangsa kononnya untuk agama dan negara.
Ketampi merasakan, BA belum terlambat untuk menggerakkan isu utama ini. Isu rakyat ini. Isu bersama ini. Gabungkan kembali kesatuan parti, idea pemikiran dan jaringan tindakan yang satu; untuk mendepani penyelewengan dan kemungkaran politik yang sedang dilakukan oleh Mahathir dan para kronismenya. Mulakan kembali, gerakan keadilan rakyat…..

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

 counter.bloke.com

TheCounter.Com