MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

KETERAMPILAN KONSEP “HALUAN TENGAH” DALAM PENGGABUNGAN “KeADILan-PRM” 

MEMBACA pandangan sdr. Khalid Jaafar di malaysiakini (23 June  2000) bertajuk “KeADILan gagal tampung reformasi”,  orang akan melihat agenda penggabungan KeADILan-PRM itu sebagai suatu langkah yang menyusur jauh ke hadapan. 

Dari segi politik sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia, matlamat dan wadah penggabungan itu wajar diberi tahniah, dialu-alukan dan disokong. Hematnya, jika hasrat membentuk “haluan tengah” itu berjaya diwar-war dan dicapai (paling kurang difahami) dengan sempurna oleh semua kaum; maka kejayaan gabungan “KeADILan-PRM” akan termeterai sebagai sejarah permulaan terhapusnya ‘komunalisma’ dalam arena politik di negara ini. 

BN masih ketinggalan. Kejayaan itu juga dapat ditakrifkan sebagai suatu anjakan paradigma politik Malaysia yang sangat besar dan bermakna. Ia memberi manfaat bukan sedikit kepada masa depan keutuhan dan keunggulan agenda menghapuskan politik berasaskan ‘komunalisma’  di kalangan masyarakat Malaysia. Sekaligus, ia akan menaikkan imej dan memungkinkan rangsangan terhadap kehebatan dokongan rakyat terhadap Barisan Alternatif (BA). 

Kemungkinan kejayaan Barisan Alternatif (BA) meraih sokongan rakyat adalah besar dan terbuka. Bukan saja NGO yang menjadi aset, tetapi perjuangan BA menegakkan keadilan dan menumbangkan kezaliman adalah berasaskan perjuangan manusia sejagat tanpa mengira bangsa, ugama dan keturunan. Ditambah dengan sokongan sektor rakyat yang muda dan terpelajar, konsep dan dasar perjuangan Barisan Alternatif (BA) itu adalah sangat relevan dan benar.

Walau pun BN mungkin ada dasar yang sama, tetapi praktisnya sudah jauh menyimpang dan tunggang langgang! Sejak zaman parti Perikatan hingga Barisan Nasional (BN); selama 45 tahun, BN masih terbentuk melalui percantuman tiga parti yang berasingan identiti berasaskan komuniti terbesar, iaitu UMNO (Melayu), MCA (Cina) dan MIC (India) yang menunjangi BN. 

Walaupun GERAKAN mengamalkan konsep terbuka, tetapi popularitinya juga tidak sehebat tiga parti tunjang BN tersebut. Apatah lagi jika andainya ia keluar dari gabungan BN dan mencuba nasib sendiri di luar Pulau Pinang. GERAKAN akan jadi bahan sejarah. Ini membuktikan bahawa konsep “satu parti untuk semua/haluan tengah” masih belum dihayati di negara ini. 

Puncanya, “kemunalisma” masih menebal di kalangan rakyat berbagai kaum. BN sendiri tidak mahukan ‘haluan tengah” itu. DAP pun masih belum berjaya. Dari situ, apa yang semua orang nampak, integrasi dan penghayatan “non-communalism” hanya mampu dirangsang oleh opportuniti dalam aspek ekonomi saja. 

Ketiga-tiga komuniti terbesar itu hanya boleh berkongsi dan berinteraksi dari segi ekonomi, tetapi tidak dari segi politik. Dari segi politik, mereka setakat mampu sepakat saja bukan berasimilasi. Bermakna hasrat gabungan KeADILan-PRM” harus dijadikan agenda ‘jangka panjang’. Di sinilah kelebihan BN sebagai sebuah gabungan. 

Dengan kuasa yang ada (sebagai peneraju Kerajaan), ketiga-tiga komuniti itu sudah melihat manfaat dan kesan ekonomi yang dicetuskan oleh BN. Harus diakui bahawa Barisan Alternatif (BA) dan parti komponennya masih belum nampak berjaya menandingi BN (dari segi itu). Sebab utama ialah, BA belum lagi menerajui Kerajaan secara menyeluruh bagi membolehkan ia melakukan perubahan dasar secara total yang meyakinkan seluruh rakyat. 

Dengan itu, jika Barisan Alternatif (BA) berhasrat meraih sokongan besar-besaran dari semua kaum (dalam jangka pendek), BA wajib menumpukan kepada fakta-fakta yang lebih rapat kepada penyekatan opportuniti yang harus dimanfaatkan oleh semua kaum. Rakyat harus diyakinkan dengan  isu-isu ekonomi, pembangunan, dasar dan amalan BN yang jadi penyebab politik masa depan rakyat menjadi lebih kucar-kacir dari sekarang. 

Wajar ditonjol bahawa isu-isu rasuah, penyelewengan, nepotisme-kronisme, kolusi sesama pemimpin BN, perlekehan undang-undang, dll. adalah punca segala masalah rakyat hari ini dan mendatang lebih kecundang. Isu-isu itu masih valid untuk ditonjolkan secara sistematis untuk memberi manfaat politik. 

Tetapi itu tidak bermakna bahawa politik “haluan tengah” tidak akan berjaya. Lebih-lebih lagi kerana Barisan Alternatif (BA) adalah didukung oleh pengundi muda yang terpelajar dan berminda terbuka. Jumlahnya adalah terlalu besar (dianggarkan 1.6 juta menjelang tahun 2004). Mereka itu memang bercita-cita menegakkan Keadilan dan menumbangkan Kezaliman, mahu keutuhan undang-undang ditegakkan. Mereka adalah golongan rakyat yang sanggup berdiri di garisan depan, walaupun dicop sebagai “pemuda jalanan”. 

Aspek ini amat penting, dan kebusukan yang dilaku dan diamalkan oleh pemimpin BN tidak semudah itu ditepis oleh mereka. Hematnya, inilah aspek kelemahan UMNO/BN yang menjadi duri yang terbuku dalam hati rakyat massa. 

Kemenangan BA di Terengganu dan Kelantan adalah contoh yang sangat nyata. Dengan itu, BA perlu meletakkan agenda “ekonomi” dan “jenayah pengurusan ekonomi, penyelewengan, penyalahgunaan undang-udang”  yang dilakukan oleh BN dengan Mahathir sendiri sebagai pelindungnya; wajib diketengahkan. Bukti-buktinya cukup banyak. Rakyat mahu tahu dan diyakinkan implikasi sebenar terhadap kehidupan rakyat akibah ‘salahguna kuasa dan penyelewengan’ Mahathir dan UMNO/BN itu secara terperinci. 

Ini bermakna, BA harus memfokuskan tusukan kempen dan penerangan dan ceramah oleh jaguh-jaguh pemimpin mereka dengan merujuk isu amalan rasuah, kuku-besi, kezaliman, ketidakadilan, penyelewengan, penafian kedaulatan undang-undang hingga segala aspek sebuah negara bertamadun terhakis merudum punah-ranah. Rakyat sudah nampak bagaimana Mahathir dan pemimpin UMNO/BN memperlekeh undang-undang mempergunakan institusi kehakiman begitu rupa hingga keadilan runtuh dan kezaliman ditegakkan, hak asasi dan kebebasan rakyat dimusnahkan. 

Jangan biarkan rakyat menerima seolah-olah “Kezaliman dan rasuah itu adalah Keadilan dan amalan biasa”. Rakyat yang terpelajar dan komuniti usahawan IKS juga sudah merasa kesan kerakusan pemimpin UMNO/BN melakukan rompak di siang hari; hingga opportuniti pembangunan negara/rakyat terhakis begitu banyak – dikaut oleh dalang-dalang politik, suku-sakat dan kroni. 

Pendedahan ini harus diimbangi dengan agenda BA jika dipilih sebagai  peneraju pentadbiran negara. Sebagai seorang lemah yang terdesak, kebelakangan ini Dr. Mahathir telah bersungguh-sungguh membuat kenyataan berbau “sentimen perkauman”. Beliau telah bersalin kulit menjadi “Jaguh dan Juara” yang membangkitkan “isu PM bukan Melayu”. Walaupun beliau menelan ludahnya sendiri, tetapi tujuannya adalah jelas iaitu untuk meraih sokongan orang Melayu kepada UMNO semata-mata. Demi ‘survival’ Mahathir akan tidak ada pilihan lain. Ia akan melakukannya dan UMNO/BN akan memperakukannya. 

Hematnya, ini adalah agenda “Konspirasi Ke-2” Mahathir yang sangat berbahaya! Walaupun sentimen perkauman dangkal akan merosakkan ‘social-fabric’ rakyat, tetapi bagi Mahathir dan UMNO/BN; atas sebab kelemahan persepsi rakyat Malaysia berbilang kaum (yang masih belum menghayati “haluan tengah” dan masih ditahap “lemah”), maka Dr. Mahathir berdegil mengeksplotasinya untuk “survival”. 

Itulah sikap dan terakhir seorang pemimpin dan sebuah parti dilanda fobia dan desperado. Tetapi majoriti kaum di Malaysia bukan “sebangang” pemimpin UMNO/BN yang ‘karat’! Mungkin ini isu yang akan menyebabkan UMNO/BN akan jadi parti “Nyamuk”. Rakyat yang waras dan mempunyai pertimbangan harus disedarkan. BA harus memutar isu ini guna merangsang rakyat supaya JANGAN memilih sebuah parti yang mendendangkan sentimen perkauman sebagai agenda besar. 

Rakyat tidak mahu berbalik kebelakangan mengimbau peristiwa “13 Mei”. Apa yang nampak setakat ini, BA telah berjaya meraih kejayaan politik dengan baik dengan hanya menonjolkan isu-isu di sekitar Keadilan dan Kezaliman, rasuah dan penyelewengan Mahathir dan pemimpin  UMNO/BN. 

Ini mesti diteruskan. Telah tersebar dan diyakini rakyat kebenaran bahawa “kejahatan” dan itu kediktatoran Dr. Mahathir, kedayusan UMNO/BN bertindak untuk “membuang yang busuk” (mengundurkan Mahathir) dan membawa pemimpin korup ke muka pengadilan yang sihat (dan tidak korup juga); adalah menjadi punca pergolakan politik semasa. 

Agenda mendedahkannya wajib diteruskan. Makin perlu ditambah dengan contoh-contoh benar dan analisis terperinci kerana rakyat mahu tahu untuk pertimbangan sebelum mereka membuat keputusan di peti undi. 

Memang  “rakyat Malaysia sedang dahagakan satu gagasan politik baru yang mewakili hasrat terpendam dan cita-cita kerakyatan mereka” (mengulang pandangan sdr. Khalid), tetapi majoriti rakyat bukan Melayu masih lagi belum di yakinkan sejauh mana BN telah merosakkan sumber kehidupan mereka. Jangan lupa bahawa peranan anak muda yang diseranah Mahathir sebagai “jalanan” itulah yang menggegarkan kekuasaan Mahathir. 

Hingga, hari ini, segala kebusukan Mahathir dan kuncu-kuncunya terdedah ke serata dunia. Seorang penganalisis politik di Laman KINI dalam Siri 162 (bertarikh 21 Jun 2000) menyebut: “….Sesungguhnya, anak-anak muda ahli Parti Keadilan Nasional terutama dari golongan reformis jalanan, mereka sebenarlah yang progresif dan radikal. Merekalah yang berada di garis hadapan memperjuangkan keadilan dan kebebasan. Merekalah yang berani bangun dengan suara, kata-kata dan tindakan. Merekalah yang terpaksa menghadapi kekerasan, kezaliman dan keganasan Polis serta institusi-institusi negara yang menjadi perkakas Mahathir seperti Mahkamah dan Penjara.. Mereka inilah yang menghormati niat baik PRM bercantum dengan Keadilan untuk memperkuatkan solidariti bagi meneruskan gerakan reformasi….” 

Dengan itu, semua pemimpin komponen BA/Pembangkang jangan lupa menggunakan aset manusia dalam membudayakan amalan baru yang mencerminkan tuntutan demokrasi dan hak rakyat cara ini. Apatah lagi, Mahathir sendiri tidak nampak mengikut dan mematuhi undang-undang. Cuma dalam keadaan terdesak, dia mahu orang lain mengikut undang-undang, tapi sebenarnya Mahathir inilah “Bapak” segala “manipulasi pencerca undang-undang”. Masih kita akur dengan peraturan beliau yang merampas hak dan kebebasan kita? 

Setakat ini, hanya orang Melayu saja yang sedar kerana ugama mereka telah diperlekeh oleh Mahathir Mohamad dan menjadi UMNO dan Kerajaan sebagai perisai. Harus aspek itu dijadikan tumpuan BA – sebaik-baiknya melampau isu Anwar. Terjemahkan!! 

Diucapkan “SELAMAT BERJUANG MENEGAKKAN KEADILAN DAN MENUMBANGKAN KEZALIMAN” 

Amin Sapiro 
(Ahli UMNO atas Pagar Berduri)

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

 counter.bloke.com

TheCounter.Com