MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

MENGINTAI RIAK TSUNAMI

Mengimbas kembali beberapa peristiwa yang sedang meledak di minda rakyat kini, saya cuba meletakkan diri saya sebagai klon Dr Mahathir Mohammad untuk mengetahui apakah yang sebenarnya yang membuatkan dia bertindak terkeluar dari norma hidup seorang insan, jauh sekali dari menjadi seorang pemimpin yang waras. Ternyata saya tidak terdaya untuk berbuat demikian kerana, mungkin jasadnya sama dijadikan dari tanah, tetapi rohnya berlainan sekali.

Kemudian, melalui perilaku, pengucapan, peradaban dan cetusan mindanya, saya cuba pula menyelami lautan hati dan pemikirannya, namun saya dapati dasarnya amat jauh dan terlalu dalam, gelap dan penuh dengan arus yang deras yang berbelit -belit yang sukar dijejaki.
Kini saya cuba pula berenang di permukaannya maka kelihatanlah....

Riak-Riak Impian...

Dr. Mahathir sentiasa menyimpan batu-batu ditangan. Apabila terlintas di benak dan hatinya untuk memperolehi impiannya, maka di lontarnya batu itu ke dalam sungai, kemudian dia akan memerhatikan arah dan saiz riak-riak itu, samada riak itu akan pergi jauh dan bertukar menjadi gelombang atau hanya berkocak di pengkalan saja. Arah dan saiz riak itulah yang akan menjadi' garis pengukur' saiz batu, mengikut saiz impiannya, yang akan digunakan untuk lontaran-lontaran yang akan datang.

Cuba kita perhatikan setiap kali isu hangat, yang akan menjejaskan kredibilitinya dan Parti Barisan Nasional pimpinannya meletus, setiap kali itulah dia akan melepaskan 'bombshell' iaitu isu-isu baru ataupun isu-isu lapuk yang disensasikan semula, dengan harapan untuk merabunkan
mata dan minda rakyat. Kalau sepuluh tahun dulu, taktik ini mungkin berhasil tetapi tidak di millennium ini, di mana manusia sudah mula celek dan berfikir.

Isu perletakkan jawatan menteri MCA, perilaku dan lanjutan khidmat Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin, kebencian orang Melayu terhadap UMNO, penerimaan pengundi Cina terhadap Parti Keadilan di Lukut adalah di antara isu-isu yang mengaibkan UMNO dan Barisan Nasional secara keseluruhannya.

Begitu juga dengan isu yang melibatkan peribadinya  secara langsung. Isu Mahathir, seorang PM yang diwar-warkan sebagai wira dunia ketiga, rupanya kecut ke mahkamah dan cuba berselindung di belakang buntut Peguam Negara dan Hakim pilihannya. Tambah mengaibkan lagi ialah, apabila peristiwa, si kenit yang berumur empat tahun, di 'sapina' oleh mahkamah.

Rakyat tersentak, gempar dan rata-rata mereka membuat perbandingan bahawa mahkamah kini lebih membelai dan menjaga hati si 'baby 74 tahun' dari 'baby 4 tahun'. Fenomena ini membuatkan semua 'real baby' di Malaysia mengalami 'nightmare'. Kalaulah tidak kerana dikhuatiri mendapat 'psychological' impak kepada si kenit, anak Azmin itu, mahu saja kita dibiarkan dia ke mahkamah, supaya seluruh dunia mentertawakan Mahathir. Supaya seluruh alam tahu bahawa manusia tua yang berusia 74 tahun, manusia yang dikatakan paling berkuasa di Malaysia ini tewas maruahnya kepada seorang kanak-kanak kecil yang sedang dianiayainya.

Belum pun pulih dari 'nightmare' tersebut, timbul pula pengakuan berani dari Dato Shafie Yahya, bekas Pengarah Badan Pencegah Rasuah. Seluruh rakyat Malaysia yang dahagakan keadilan dan kebenaran mengalu-alukan kehadiran wira seperti Dato Shafie ini. Tidak ramai orang yang berani berbuat demikian. Kalau hendak dicari seorang dalam seribu pun payah, memang susah. Sesungguhnya, walau sekaya mana atau sehebat mana kuasa seseorang Perdana Menteri itu, namun dia tidak mampu membeli dan mempengaruhi jiwa yang tenang.

Sudah sekian lama rakyat memerhatikan seperti ada yang tidak kena dengan Badan Pencegah Rasuah ini. Kes Perwaja, Daim, Rafidah Aziz dan Rahim Tamby Chik adalah di antara beratus-ratus (beribu-ribu?) kes rasuah yang 'belum selesai' (petikan puisi Mahathir). Pengakuan ini diibaratkan seperti 'sudah terang lagi bersuluh'. Jadi apa yang diyakini oleh rakyat selama ini, bahawa Badan Pencegah Rasuah tidak bebas dan di bawah telunjuk PM memang berasas!

Walau apa pun pengakuan yang akan dibuat oleh bekas Pengarah BPR itu selepas ini {mungkin kerana tekanan}, ianya tetap tidak akan dapat melenyapkan kesangsian rakyat terhadap pemerintahan Barisan Nasional, khasnya Presiden UMNO itu sendiri.

Dr. Mahathir dikatakan telah menyalahgunakan kuasanya sebagai PM. Dia memaki dan mengarahkan Pegawai Kanan Kerajaan itu, supaya kes rasuah T.S Ali Abol Hassan di tutup. Pengakuan ini merupakan suatu pembongkaran yang serious terhadap salah laku Dr Mahathir Mohammad. Lebih hebat dan lebih berat kesalahannya jika dibandingkan dengan apa yang didakwa dilakukan oleh Anwar Ibrahim, yang kini menjalani hukuman 6 tahun penjara. Bersabit dengan kesalahan itu, dia boleh pada bila-bila masa saja diheret ke Mahkamah.

Untuk menutup kegemparan itu dia perlu berbuat sesuatu. Di sini, sekali lagi Dr. Mahathir menggenggam batu di tangan. Kali ini dia cuba melontarkan batu yang bersaiz gunung Kinabalu pula dengan harapan riak itu akan bertukar menjadi 'Tsunami' agar gelombang itu dapat membersihkan segala najis yang kian hari kian membusut dan mewangikan kebusukan BN yang kini sedang berkecamuk mencucuk hidung rakyat.

Isu 'Orang Cina/Bukan Melayu Boleh Menjadi Perdana Menteri Malaysia' adalah diharapkan sebagai 'gelombang pemusnah' kehangatan segala isu-isu itu namun Dr. Mahathir telah tersalah lempar. Dia telah melemparkannya ke dalam lautan yang memang sedia bergelora. Oleh itu riak yang diharapkan menjadi 'Tsunami' itu tadi telah bertukar menjadi alunan ombak betina yang saling mengejar ombak-ombak jantan yang sedia ada, yang mampu melemaskan seorang tua sepertinya. Ombak-ombak itu semakin deras menghakis pantai 'keyakinan' dan kelihatan pula sedang menghambat Perdana Menteri tua ini untuk di benamkan di dasar lautan.

Kuasa Veto

Kuasa Veto sebagai kuasa pemutus, kuasa mutlak dalam sesebuah organisasi besar, contohnya PBB, biasanya diberi kepada negara-negara yang terpilih dan maju seperti Amerika, Russia, China dan lain-lain, adalah suatu kuasa yang amat menyakitkan ahli-ahli.

Sebelum ini Dr. Mahathir pernah melaungkan kesakitannya itu dengan meminta agar kuasa veto di PBB di mansuhkan. Tetapi siapalah Mahathir di mata dunia yang luas ini. Jeritannya hanyalah sebagai dengungan seekor nyamuk tua yang tersesat di dalam sebuah bilik hawa-dingin yang pastinya akan ditampar hebat. Kesakitannya itu terus kekal dalam dirinya sehingga membuahkan kesewelan yang kini menyakiti rakyat.

Bukankah Dr. Mahathir sedang memperlihatkan kepada dunia bahawa dia juga mempunyai kuasa veto? Kuasa vetonya amat luas dan tidak memerlukan catuan masa dan isu seperti yang amalkan oleh Badan Dunia itu.

Kuasa veto ini juga digunakan dengan sewenang-wenangnya dalam semua hal, terutama apabila kuasanya mula tercabar dan tembelangnya mula terbongkar. Kes Ketua Hakim Negara sebagai bukti terbaru, dan di antara beratus-ratus (kalau pun tidak beribu) kes-kes yang divetonya. Malah Parlimen, yang menjadi lambang demokrasi, juga kelihatan goyah bahana kuasa veto Mahathir. Dan kuasa veto inilah juga yang menjulang namanya sebagai 'Maha Firaun' dan simbol 'Diktator Tua' yang akan termaktub dalam sejarah hitam negara.

PBB yang sekian lama dianggap sebagai sebuah badan di mana terhimpunnya kuasa dunia, kelihatan kecil dan lemah jika dibandingkan dengan kuasa veto yang ada di tangannya kini.

Apalah gunanya PBB itu kepada warga dunia jika hak asasi mereka terang-terang dinafikan. Badan-badan kehakiman dan pembenteras gejala rasuah dicabuli. Khazanah rakyat diseleweng, dirompak dengan sewenang-wenangnya oleh pemimpin negara yang menjadi ahli badan tersebut?

Kesukaan Yang Menjadi Kegilaan


Cara Mahathir menyemai kesukaan dan kegilaannya adalah mengikut teori ekonomi songsang iaitu 'kehendak mengatasi keperluan'. Kaedah ini tidaklah menjadi terlalu songsang jika ianya dilakukan untuk diri dan melibatkan wang dan hartanya sendiri. Tetapi yang menyebabkan super-songsang itu ialah apabila dia membalun wang rakyat dan mengajak serta melibatkan mereka untuk sama-sama menyukai 'kesukaan yang menjadi kegilaannya' itu. Ini membuat sebahagian rakyat gila bersama-samanya dan melupai apa yang benar-benar yang menjadi 'keperluan' mereka. Akibat kegilaannya itu, seluruh rakyat sampai tujuh keturunan, sedang dibebani hutang yang banyak sekaligus menjadi negara ini semi-merdeka dan rakyat sebagai hamba dan pengemis terhormat (pariah?) antarabangsa.

Menara-menara tinggi, mahligai besar, KLIA yang canggih, Litar Lumba yang eksklusif, Kompleks sukan yang kini menjadi gajah putih, dan LRT yang kelihatan seperti keretapi purba yang bergerak di udara, dikatakan tidak dapat menandingi keretapi di Australia, yang harganya jauh lebih murah darinya, adalah di antara 'kesukaan dan kegilaan' Dr, Mahathir yang terserlah.

Adakah 'kesukaan dan kegilaan' ini juga merobek topeng kegilaannya yang lain?

Mungkinkah berlakunya kegilaan tawar-menawar 'jack-up 20% + 20% komisyen' pada setiap kegilaan itu? Hanya ALLAH saja yang berkuasa menjawab soalan-soalan itu.

Seperti yang dinyatakan tadi, kegilaan ini juga membuat sebahagian rakyat negara ini turut gila. Rakyat gila berkhayal dengan balutan kemegahan terbitan 'kesukaan dan kegilaan' Dr. Mahathir yang diterjemahkan segala itu sebagai suatu kejayaan dan petanda negara
sedang menuju ke arah menjadi negara maju.

Sebahagian rakyat kini melihat bangunan kaku itu sebagai suatu nikmat dan lambang kejayaan Dr. Mahathir dan Barisan Nasional. Mereka tidak sedar bahawa bangunan-bangunan tinggi itu hanyalah sebagai silap mata untuk di nikmati oleh mata rakyat yang keliru, sekaligus sebagai 'tagang' untuk terus berkuasa. Keadaan ini berlaku ketika kempen pemilu yang ke sepuluh yang baru lalu, di mana pengundi-pengundi kampung di bawa melawat ke tempat-tempat yang dikatakan 'pembangunan dan kemajuan' itu.

Rakyat harus sedar, segala bangunan-bangunan pencakar langit dan pembangunan material yang meragukan itu hanyalah lambang kosong yang menimbulkan angan-angan kosong juga. Inti pati pembangunan itu rata-rata dibolot dan dinikmati sepuas-puasnya oleh segelintir manusia yang menjadi kesayangan Mahathir, dan sebahagian rakyat terpilih yang mampu (tentunya bukan orang Melayu), sedangkan rakyat terbanyak hanya mampu melihat dengan penuh kagum yang akan menebalkan perasaan rendah diri dan  menyuburkan angan-angan bodoh yang kian membesar itu.

Rakyat haruslah ingat bahawa menara-menara kaku itu bukanlah melambangkan hakikat kemajuan dan pembangunan yang sebenarnya.

Rakyat juga jangan lupa, bahawa rakyatlah yang menjadi 'aset' terpenting bagi sesebuah negara. Pembangunan dan kemajuan  menyeluruh rakyat 'Rohani dan Jasmani' itulah yang menjadi tamaddun dan ukuran hakiki, maju atau mundurnya negara tersebut.

Rakyat juga harus tahu bahawa pembangunan dan kemajuan rakyat adalah seiring dengan status sesebuah negara itu. Apabila rakyat sudah maju, usahkan menara KLCC atau menara Telekom, kapal menjelajah angkasa pun boleh dibina dengan mudah, insya-ALLAH!

Kegilaan Pada Gelagat Dan Putar-Putar

Selain dari 'kesukaan dan kegilaan'nya di atas, Mahathir juga dikatakan angkuh, ego dan gila kuasa, terlalu mencintai publisiti, adegan puja-memuja dan puji-memuji. Adegan-adegan ini jelas kelihatan dalam setiap persidangan UMNO dan majlis-majlis yang dihadirinya. Begitu juga media-media cetak dan elektronik serta ulasan-ulasan dari seluruh hamba sahayanya. Semuanya membuat dia bertambah tidak sedarkan diri.

Segala tabiatnya ini telah dibaca dan di eksplotasikan semaksima mungkin oleh musuh-musuh Islam, bangsa dan negara, sehingga menyebabkan dia hilang pegangan hidup dan tenggelam punca. Hasilnya, dia begitu berani menghina orang yang maksum yang menjadi kekasih ALLAH dan lebih berani lagi mengatakan hukum 'Hudud', iaitu firman ALLAH dalam Al Quran, tidak sesuai dan zalim.

Sahsiah dan peribadi seseorang itu dapat dibaca melalui pergaulan dan rakan-rakan sebayanya. Cuba lihat, siapa dan orang bagaimanakah yang menjadi 'confidante' dan rakan-rakan eksklusif dampingan Dr. Mahathir itu.
Apakah bangsa dan agama mereka?
Bagaimanakah latar belakang, keperibadian dan kecenderungan mereka?
Bagaimanakah lenggok Mahathir dewasa ini?
Sebenarnya dia tidak lagi menari lagu canggung seperti mula-mula dulu. Rentak dan lenggok PM sudah terlajak jauh mengikut pukulan sumbang gendang dan gong serta alunan sitar 'peer'nya. Dia sememangnya sudah terperangkap, diselimuti jaring-jaring besi, akibat dari keghairahan dan kegilaan asasi yang tidak dibendung. Pukulan-pukulan sumbang inilah juga yang membuatkan dia terus gila menyanyi dengan lirik yang berpusing-pusing yang lahir dari otak dan lidahnya yang telah sedia berputar-putar itu.

Gila Yang Menggilakan

Satu lagi kegilaan yang amat menggilakan itu ialah sikap 'Gila Mendera'. Dia begitu 'arif' mendera minda dan fizikal 'hamba' di -sekeliling, dan rakyat secara keseluruhannya. Sekali sekala dicubanya mendera minda, fizikal dia tidak mampu, jiran-jiran hatta seluruh dunia namun tidak berjaya. Sebaliknya dia pula yang 'tercedera', cedera parah zahir dan batinnya.

Dia juga dilihat terlalu gemar mentelaah gelagat-gelagat, latah -telatah anak kongkongannya dan rakyat Malaysia amnya. Untuk membolehkan dia lebih faham dalam bacaannya ini dia sering dan sengaja mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang penuh kontroversi, berliku-liku dan berbelit-belit. Ini dapat lihat dari tingkah lakunya dan keputusan -keputusan yang dibuat yang biasanya berputar 360 darjah, dari arus kehendak dan citarasa rakyat.

 Keputusan-keputusan dan kenyataan-kenyataannya yang bertentangan dengan konsep demokrasi dan kehendak ramai itu memang sengaja dibuat untuk menunjuk dan mengekalkan kuasanya dan sekaligus mencabar kewarasan minda rakyat.

Sememangnya dia gemar mencubit hati rakyat, sering membuat rakyat, yang separuh masak berpolitik, gawat dan terus panik dengan tindak-tanduknya itu. Dia sengaja membiarkan mereka sentiasa sibuk dan leka dengan harapan, mereka akan lupa isu sebenar, isu penting dan tidak mempunyai masa dan kehabisan tenaga untuk menyusun strategi -strategi untuk mencabar kuasa dan menumbangkannya.

Tapi saudara PM kita ini lupa bahawa mentaliti rakyat kini sudah berubah. Tidak ramai lagi rakyat yang terpukau dengan ilmunya itu. Episod 'boo' dan corak pemilihan Naib Presiden UMNO, di Persidangan Mei lalu menandakan Mahathir akan kehilangan nikmat dan sudah tidak faham lagi, membaca gelagat-gelagat juak-juaknya apatah lagi rakyat keseluruhannya. Mereka sudah bijak, sebagaimana bijaknya dia 'berauta' lebih pintar lagi orang yang bersilat dan menangkis serta mematikan segala 'auta gereknya' itu.

Dr. Mahathir yang sebenarnya, ialah seorang yang penakut. Untuk melindungi sifat, yang tidak seharusnya ada pada seorang lelaki ini, dia sering  bersikap ular (naga?) kepala tujuh. Ular ini, apabila saja 'Knight in the Shining Amour' (or Prince Charming?) berjaya memangkas satu kepala, maka akan timbul  satu lagi kepala yang baru...Jadi sampai bila-bilalah ular ini tidak akan mati. Tetapi 'Knight' tidak di panggil 'Knight' jika ianya lemah dan tidak pintar. 'Knight' pasti tahu apa dan dimana kelemahan sang ular ini.... apabila dia bertindak pasti ular akan tersungkur dan tidak akan bangun-bangun lagi.

Berenang di permukaan laut hati Mahathir saja, sudah tidak mampu menulis kerana terlalu banyak untuk diperkatakan. Coretan di atas, cumalah bahagian cetek dari permukaan laut itu tadi. Makin banyak menulis makin banyak rasanya yang belum selesai dihuraikan.

Melawan Tauke

Dalam keasyikan PIEM memerhati gelagat kuncu-kuncunya dan seluruh rakyat amnya, dia lupa untuk membaca dirinya sendiri. Oleh kerana dia lupa, maka seluruh rakyat termasuklah kuncu-kuncunya kini bertindak 'melawan tauke'. Mereka sekarang sedang membaca pula diri manusia yang bernama Dr. Mahathir Mohammad.

Walau pun dia lupa membaca tentang dirinya, namun dia tidak pula lupa untuk menimba ilmu. Tetapi ilmu yang ditimbanya mungkin tidak seimbang. Buku 'Power' adalah contoh 'buku ilmu' yang menjadi salah satu buku rujukannya, yang menjurus minda 'ke duniaan' sehala. Kalaulah Dr Mahathir menimba ilmu dari 'Gedung Segala Ilmu' iaitu Al Quran dan Hadith dan mengamalkannya, tentulah PIEM kita ini tidak akan letih melempar batunya ke laut dan matanya pasti tidak akan terbeliak mengintai riak tsunami!

Tun Teja

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

 counter.bloke.com

TheCounter.Com