RASUAH: TUDUHAN MAHATHIR BERBALIK KE ATAS DIRINYA!
KULIAH 5 MINIT: Tarmizi Mohd Jam
Akibat terlalu ghairah untuk 'mengambil hati' kaum Cina, Mahathir menampilkan resepi
baru kepada mereka. Tujuannya bagi mengukuhkan sokongan kaum itu kepada Umno melalui BN.
Atau lebih tepat lagi, memberikan 'taat setianya' kepada Mahathir sebagai Perdana
Menteri. Amanat Mahathir di Perhimpunan Agung MCA itu juga, lebih merupakan 'azimat' dan
'tangkal' bagi menyelamatkan maruah Ling Liong Sik, Presiden MCA yang baru pulih dari
merajuk.
Menyelamatkan Liong Sik amat penting bagi Mahathir. Kejayaannya memujuk atau membuat
'tukar-ganti' supaya Liong Sik terus memimpin Kementerian Pengangkutan masih menjadi
misteri. Tidak siapa tahu, apakah janji Mahathir terhadap MCA pada kali ini. Seperti
mana tidak siapa tahu, apakah pula 'permintaan' parti Cina itu dari Perdana Menteri yang
sudah 'pening kepala'. Yang jelas, tertegaknya Liong Sik di kementerian itu semula,
beberapa masalah 'perniagaan' yang melibatkan anak-anaknya lebih mudah
dibereskan.
Ramai pemerhati politik sependapat, isu kununnya orang Cina atau orang India boleh
memimpin negara ini adalah isu Mahathir untuk mengalihkan pemerhatian rakyat dari
terus 'membeliakkan biji mata' terhadap ketempangan peri lakunya dalam
rasuah yang melibatkan Tan Sri Ali Abul Hassan, bekas Ketua Pengarah Unit
Tindakan Ekonomi JPM. Mahathir juga dengan sengaja membesar-besarkan cerita metosnya;
selain dari beliau, orang Cina juga boleh
menjadi Perdana Menteri Malaysia bagi mencapai niat
untuk menggelapkan mata rakyat dari melihat
pakatan tersembunyi di sebalik 'cuti manusia elit' Ketua Hakim Negara, Tun Eusuff Chin
dengan peguam kesayangannya, Dato’ V.K Linggam di New Zealand.
Mahathir sebenarnya sudah mulai lemas dan rimas dengan kedua-dua isu ini. Ia jelas
melibatkan dirinya tanpa boleh bersembunyi di sebalik batang lalang lagi. Mahathir
bimbang, jika rakyat keluar beramai-ramai ke jalan raya seperti ketika mereka
'menentang' pemecatan Anwar dulu, maruahnya kian tercabar. Kebimbangannya berasas,
bahawa sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Ini yang ditakuti
Mahathir, sekalipun beliau kebal ditembusi apa-apa jenama undang-undang dalam negara
ini.
Dalam Perhimpunan Agung Umno Mei lalu, Mahathir telah menyuarakan kebimbangan itu kepada
para perwakilan dan ahli-ahli Umno. Katanya, kakitangan kerajaan sudah terang-terang
menyokong pembangkang. Ia merujuk kepada fenomena ketika pilihanraya umum lalu. Keadaan
yang sama juga terjadi di Teluk Kemang apabila undi pos tentera memberi signal masih
bersama BA. Kekhuatiran Mahathir itu mungkin juga, sudah terngiang-ngiang dan
berputar-putar dalam kepalanya tentang gelagat jentera kehakimannya. Bagaimana kalau ada
antara mereka yang belot?
Minggu lalu, saya membuat pertanyaan dalam artikel siber ini bertajuk “Rasuah:
Siapakah Berani Tangkap Mahathir?” ketika mengulas isu yang didedahkan oleh bekas
Ketua Pengarah BPR, Datuk Shafie Yahya di mahkamah 12 Jun 2000. Mahathir kata Datuk
Shafie telah mengarahkan beliau agar menutup kes siasatan yang melibatkan Tan Sri Ali
Abul Hassan yang ketika serbuan dibuat, menjumpai wang tunai RM100,000 di dalam
pejabatnya. Abul Hassan disyaki terlibat dalam rasuah itu. Sementara Mahathir pula, cuba
melindungi Abul Hassan atas kuasa politiknya sebagai Perdana Menteri, walaupun beliau
tahu itu kerja salah di sisi undang-undang negara. Isu ini, amat berat dan lebih teruk
dari apa yang dihadapkan oleh Mahathir ke atas Anwar Ibrahim yang kununnya terlibat
dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Hari ini, Allah SWT, Tuhan Yang Maha Esa, menunjukkan kepada rakyat Malaysia atas isu
yang serupa. Mahathir telah menggunakan kuasanya untuk menutup isu yang mengaibkan
negara. Malah dengan niat dan sangkaan jahat, Mahathir menuduh Datuk Shafie berbuat
demikian kerana menerima arahan Anwar yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri,
untuk memerangkap 'orang-orangnya'.
Mahathir mengharapkan, dengan mengalihkan isu ini kepada isu baru, ia akan menamatkan
terus dari dibincangkan oleh rakyat, media dan pembangkang. Rupa-rupanya tidak. Isu
orang bukan Melayu boleh menjadi PM, terus memberatkan kepala hotak Mahathir. Ramai juga
pemimpin yang sekutu dengannya, cuba menyokong isu ini tetapi tidak disambut. Orang Cina
lebih tahu tujuan Mahathir. Selain untuk menukar channel isu, Mahathir sebenarnya sedang
'mengugut' orang Melayu atas nama ugutan politik. Mahathir cuba menakut-nakutkan mereka
dengan 'ancaman' orang Cina dan India, jika orang Melayu terus berpecah, kununnya.
Kelicikan Mahathir ini sedang dipantau oleh rakyat. Mereka mulai meluat dan getek
terhadap tingkah laku PM itu. Khabarnya, Ibu Pejabat Umno juga turut menerima pelbagai
panggilan telefon dari ahli-ahli, bertanyakan tentang 'repekkan' baru Mahathir itu. Kata
mereka, dulu Mahathir tendang Hak-Hak Keistimewaan Orang-Orang Melayu, hina guru-guru
Melayu di sekolah Cina, dan hari ini nak bagi jawatan PM kepada MCA dan MIC pula.
Rungutan mereka ini, katanya, amat merunsingkan Ibu Pejabat Umno dan menurut satu
sumber, Setiausaha Kerja, Tengku Adnan sedang menyiapkan teks jawapan bagi menangkis dan
membetulkan apa yang diucapkan oleh Mahathir untuk penjelasan kepada ahli-ahli dan
bahagian-bahagian Umno.
Kenyataan Mahathir itu, sebenarnya tidak popular. Ia mengundang lebih banyak masalah
baru terhadap Umno dan dirinya. Percubaannya untuk mengalihkan isu rasuah yang
melibatkan anak-anak buahnya itu, kelihatan gagal. Tindakan menyeret Presiden Majlis
Peguam Malaysia, Sulaiman Abdullah sebagai menghina mahkamah, sekaligus menerbangkan isu
PM bukan Melayu ke tempat asalnya. Sebaliknya pula, kewibawaan Mahathir dan sistem
kehakimannya terus dipersoalkan!
Majlis Peguam cuba untuk mencadangkan supaya sebuah tribunal ditubuhkan bagi menyiasat
kontroversi percutian Tun Eusoff Chin di New Zealand pada tahun 1994 bagi mengembalikan
ketelusan system perundangan negara. Bagaimanapun, usaha yang dikatakan 'didalangi' oleh
Mahathir untuk mengambil tindakan injuksi mahkamah menghalang mesyuarat luar biasa
majlis itu yang akan diadakan pada 24 Jun ini, terus memanjangkan perbahasan yang cuba
dibungkus oleh Perdana Menteri.
Sehingga semalam, Peguam Negara, BPR dan pihak polis belum membuat apa-apa kenyataan
sama ada akan menyiasat Mahathir ataupun tidak. Masing-masing kelu tidak terkata dan
cuba menyelamatkan periuk nasi mereka. Rais Yatim juga, hanya lancang dalam isu Tun
Eusoff Chin tetapi menikus apabila 'kemungkaran politik' dilakukan oleh tuannya. Menurut
sumber, Rais adalah bakal Peguam Negara merangkap Menteri Undang-Undang, jika rombakan
kabinet dilakukan oleh Mahathir. Sementara, Mohtar Abdullah dikatakan akan diangkat
Ketua Hakim Negara yang baru. Kemajuan ini, tentunya menyulitkan lagi Mohtar dan Rais
untuk bertindak terhadap tuannya yang dituduh terlibat melindungi perasuah dan melakukan
rasuah terkutuk itu! Jika benar, inilah kebijaksanaan Mahathir bermain politik. Ternyata
Mahathir lebih licik dan licau daripada belut di dalam selut…