KALAU TAK LARAT BERSILAT, ELOK LAGI BERSILA
YANG DIKENDONG DAN YANG DIKANDANG
Masa
berlalu dengan pantasnya. Pada 11 Disember yang lalu telah terlaksana pemilu ke-10 yang
meletakkan Mahathir bin Mohammad sebagai seorang perdana menteri Malaysia sekali lagi.
Inilah sistem demokrasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kalaulah 11
Disember itu merupakan satu majlis perkahwinan dan sang isteri dikurniakan Allah rezeki 'bunting pelamin'; perutnya sudah besar kini. Zaman berbulan madu sudah lama pergi dan
pasangan suami isteri itu sedang memikirkan apa yang perlu disediakan untuk menyambut
zuriat pemberian Ilahi dalam masa tiga bulan lagi.
Demikianlah kehendak masa
yang tidak boleh di'save' dalam lipatan hidup manusia seperti kita menyimpan setiap cerita
dalam perisian komputer. Apatah lagi dengan perjalanan politik negara. Setiap yang berlaku
menjadi bahan penelitian rakyat setiap masa. Apa yang dilakukan oleh golongan pemimpin
sentiasa dianalisis dengan kritis oleh pengikutnya, apatah lagi golongan marhaen yang
memang terus tersiksa. Kalau hendak diambil kira segala janji politik yang meletakkan
Barisan Nasional memenangi pilihanraya negara secara keseluruhannya, tentulah banyak
sekali janji-janji itu. Tentulah rakyat menantikan bibit-bibit permulaan akan tertunainya
sebahagian janji yang telah diucapkan. Apakah terlaksana apa yang diimpikan oleh rakyat
itu?
Secara keseluruhannya kita masih tidak nampak lagi sebarang imbasan akan
terlaksananya janji-janji pilihan raya. Melainkan kalau ada pilihanraya kecil seperti
yang berlaku di Sanggang dan juga Teluk Kemang. Nampaknya BN akan menunggu satu
pilihanraya kecil lagi untuk melakukan sesuatu sebagai usaha menutup malu. Begitulah
seterusnya yang akan berlaku. Tunggu, tunggu, tunggu......pilihanraya kecil adalah
tempatnya kita melihat tertunainya sedikit janji-janji politik itu. Dengan lain perkataan
segala janji politik rejim yang memerintah akan terus dikendong ke hulu ke hilir untuk
dilaksanakan secara 'token' setiap kali adanya pilihanraya kecil.
Segala rintihan
rakyat yang menagih janji itu akan dikekang dulu laksana mengekang binatang
peliharaan dalam satu kandang; diberi makan apabila tiba waktunya dan dibiarkan hanya
berkeliaran dalam satu kawasan yang terhad untuk menentukan haiwan itu tidak hidup bebas
lagi. Kalau haiwan yang di kandang itu membuat bising secara mengejut maka dijenguklah
untuk mencari sebabnya. Pertama sekali diperhatikan samada bunyi yang bising itu dapat
diredakan dengan memekik saja dan mengirap kayu panjang di tangan sebagai ugutan. Sekali
sekala dikenakan juga hujung kayu itu ke arah seekor dua badan haiwan yang berdekatan
sebagai petanda yang si gembala memang boleh menggunakan kuasa. Kalau kayu tidak memadai,
ada juga sekali sekala dicurahkan air panas ke atas haiwan itu, walau pun ada gembala yang
berhati haiwan selalu gemar menggunakan cuka pula. Tetapi, bukannya mudah mengandang
haiwan di satu tempat dan mengharapkan mereka mengikut arahan agar hidup secara aman tanpa
bercakaran. Kalau hiruk-pikuk itu disebabkan kekurangan makanan, maka ditaburkan
makanan untuk menenangkan keadaan. Kalau haru-biru itu berlaku disebabkan
pergaduhan, eloklah diperhatikan sahaja untuk melihat binatang mana yang akan parah untuk
ditangkap dan disembelih bagi santapan di meja makan pula.
Bukankah itu caranya
majoriti orang Melayu hidup di negara ini sekarang?
Siapakah yang boleh
menyangka begini jadinya dengan keadaan kehidupan orang Melayu di negara kelahirannya?
Secara keseluruhannya kehidupan orang Melayu itu sudah laksana sekumpulan haiwan
yang dikandang dan diberi makanan mengikut waktu dan dibiarkan bebas mengikut ruang
kandang yang disediakan. Lain dari itu mereka hanya mampu melihat sahaja apa yang berlaku
di sekelilingnya tanpa ada hak untuk mempersoalkannya dan mempunyai hak untuk tahu apa
sebenarnya yang berlaku.
Kebebasan Media Wujud Di Malaysia ?????
Setiap
bangsa yang maju di dunia ini mempunyai peluang untuk berinteraksi dengan bebas. Baik
dalam bentuk media massa, berkumpul secara aman, dan berbincang dan berdebat secara
beretika. Apakah ini ada di Malaysia dan mampukah orang Melayu itu menjadi satu bangsa
yang besar dan maju?
Mingguan Malaysia Ahad 18 Jun ada menyiarkan tulisan
"Isu Minggu Ini" oleh seorang penulis veteran yang pernah menjadi timbalan
menteri di zaman Tun Razak dan menjadi seorang duta di zaman Mahathir. Di antara ke
dua-dua jawatan yang dipegangnya ini, dia pernah dipenjarakan atas tuduhan I.S.A. Rakyat
diberitahu ketika itu dia bersubahat dengan agen asing untuk menjatuhkan sebuah kerajaan
demokrasi bernama Malaysia. Saya ingin merakamkan sebahagian tulisannya di sini:
...
"penulis bersyukur bahawa kita di Malaysia bebas bercakap, berfikir, berpidato dan
menulis dan ada parti-parti pembangkang seperti PAS yang memerintah Kelantan dan
Terengganu. PAS, DAP dan Keadilan mempunyai wakil dalam parlimen. Media rasmi Pas,
Harakah,, media rasmi DAP iaitu Roket dan Aliran, majalah yang bersimpati dengan Barisan Alternatif bebas dicetak, dan diedarkan kepada ahli-ahli hatta
ada kala secara curi-curian
dijual kepada bukan ahli.
"Sudah tentu ada di antara anda yang mempertikaikan
kenyataan ini. Itu pendapat anda tetapi hakikatnya tidak boleh lari wujud kebebasan media,
kalau tidak masakan Harakah, Roket dan Aliran dan lain-lain lagi yang anti kerajaan
berleluasa di Malaysia?
"Di negara China, Vietnam Cuba, Korea Utara media
pembangkang tidak dibenarkan. Bahkan di Arab Saudi dan ramai orang kita naik haji dan lebih
ramai lagi menunaikan umrah tentu sedar tiada media pembangkang atau suara pembangkang
wujud di negara itu."
Demikianlah tulisan seorang diplomat yang mempunyai
satu kerjaya yang penuh warni-warni sepanjang hayatnya. Kalau diteliti betul-betul
pengalaman hidupnya yang termasuk episodnya ketika berhadapan dengan dakwaan mahkamah awam
yang melibatkan satu projek perumahan pegawai kerajaan, warna-warni karya hidup Dato Abdullah
Ahmad ini mungkin lebih gemilang lagi daripada pesta Citrawarna yang sedang
berlangsung sekarang. Memang, tulisan Abdullah Ahmad itu amat selamba sekali kerana itu ia
amat meyakinkan tetapi itulah tulisan seorang bekas pemimpin politik yang mengaibkan
kerana di sebalik setiap patah tulisan itu terkandung pelbagai pembohongan semata-mata
mahu menegakkan dinasti seorang diktator tua.
Adalah satu kesilapan kalau kita
bandingkan keadaan di Arab Saudi China, Vietnam, Cuba dan negara apa juga dengan Malaysia.
Arab Saudi adalah sebuah negara Arab yang pada asalnya merupakan kepunyaan beberapa kabilah
yang diperangi dan disatukan oleh Abdul Aziz Ibn Saud dengan pertolongan Kumpulan
Agama yang bernama Wahabi. Kemunculan minyak adalah secara kebetulan yang tidak ada dalam
agenda asal penyatuan tanah Arab itu yang akhirnya dipanggil Arab Saudi. Ketika
menyatukan tanah besar itu Ibn Saud terpaksa menjelajah dari satu ceruk perkampungan ke
ceruk yang lain menjanjikan bantuan kewangan daripada hasil yang diterimanya dengan
kemasukan jemaah haji ke tanah Arab. Selain dari itu tanah Arab bergelar Saudi itu hanya
merupakan penjual tamar, air zamzam dan menjadi tempat persinggahan para jemaah
haji. Di kawasan padang pasirnya pula ketika itu ada ruang khas yang membolehkan kenderaan
berat lalu-lalang daripada Teluk Parsi untuk menyusuri tebing Lautan Merah untuk
menghala ke Lebanon, Mesir dan Cyprus. Dengan lain perkataan ketika Aziz ibn Saud
menyatupadukan Arab Saudi tujuannya ialah meraih keuntungan daripada cukai yang
dikenakannya terhadap lalu-lintas yang membawa barang dagangan Hindi-Pak-Parsi ke arah
tanah Afrika. Dengan kekuatan dan pengaruh Ketua puak Wahabi di setiap ceruk perkampungan
di tanah yang luas itu, Aziz ibn Saud berjaya dengan usahanya. Ketika itu beliau mempunyai
seorang penasihat yang secara kebetulan berminat dengan benih-benih kurma untuk dibawa ke
California dan dikacukkan.
Dengan kuasa Allah, pemungut benih korma ataupun
tamar itu menjadi orang kesayangan dan yang dipercayai oleh Aziz ibn Saud sehinggakan ia
mampu mempengaruhi Aziz ibn Saud mengenepikan apa juga kesan penjajahan British dan
menggantikannya dengan keluaran Amerika. Itu sebabnya di antara jajahan British, Arab
Saudi merupakan negara jajahan terbesar di mana kenderaan dipandu di sebelah kiri dengan
menggunakan kereta buatan Amerika dan bukannya kereta buatan British. Kalau sistem lalu lintas
boleh diputar balik oleh seorang pakar 'biji-benih' (seed specialist)
Amerika itu apakah lagi agaknya yang dapat dipengaruhinya di situ?
Tidak
lama setelah bersatunya semua wilayah di tanah besar Arab itu dan dinamakan Arab Saudi,
minyak dijumpai di situ oleh beberapa syarikat cari gali daripada Amerika. Sekaligus, pakar
biji-benih Amerika menjadi pakar khas Raja Aziz ibn Saud mengenai siapa yang sepatutnya
diberikan kontrak untuk apa jenis kerja yang diperlukan untuk membangunkan negara itu.
Ketika itu barulah terbeliak mata seluruh dunia betapa pakar biji itu adalah seorang
perisik yang amat tinggi tahap kedudukannya dalam dunia perisikan. Insya-Allah kita akan
tulis peristiwa ini secara panjang lebar pada satu hari nanti.
Walaupun Arab
Saudi maju, ia masih menganut satu sistem kehidupan ala Arab kuno di banyak tempat. Satu
ketika dulu kaum wanita tidak dibenarkan memandu kereta di jalan raya. Kalau mahu menaiki teksi perlu ada seorang teman lelaki yang mahram dengannya. Apabila Arab Saudi maju
harta negara yang sungguh lumayan itu diagihkan di kalangan keluarga istana dulu sebelum
ia terus menurun untuk diagihkan kepada rakyat yang ada. Kerana itu hingga hari ini setiap
syarikat daripada luar negara mesti mempunyai orang tempatan sebagai rakan kongsinya.
Setiap perusahaan mesti mendapatkan lesen yang hanya diberikan kepada orang pribumi.
Bagaimana
dengan tahap pelajaran di sana? Sungguh baik sekali tetapi yang belajar bukannya anak pribumi
Arab yang asli. Kebanyakannya adalah anak-anak pendatang yang sudah lama
berhijrah ke tanah Arab itu. Mereka datang daripada Lebanon, Mesir, Libya, Palestine,
Pattani, Malaysia, Indonesia dan sebutlah di mana juga; memang ada sahaja rakyat asing
yang menetap di sana secara sah ataupun haram. Hanya segelintir anak pribumi yang mahu
melanjutkan pelajarannya. Kebanyakannya leka dengan kesenangan dunia. Malahan tua
sibuk dengan perlumbaan unta dan permainan helang. Mereka yang suka memburu dengan
menggunakan helang sanggup berbelanja besar untuk pergi ke Ethiopa dan Somalia untuk
menghabiskan masa dan mengejar keseronokan dunia. Apakah mereka perlu membaca sedangkan
setiap berita dapat mereka ikuti melalui satellite besar yang terpasang di laman rumah? Lagi pun
siapa yang mahu membaca akhbar kalau ceritanya adalah membesarkan kuasa raja yang
memerintah?
Bagi orang Arab Saudi, membaca akhbar adalah membazirkan masa sedangkan
waktu itu lebih baik dihabiskan menonton filem Bollywood dan juga apa juga bentuk
permainan dan sukan dunia. Mereka terpaku di depan TV sambil hujung 'hogah' ada di tangan
sebelah kanan dan perasap kemenyan di sebelah tangan kiri. Itulah kerja mereka hampir
setiap hari. Bila lapar mereka korbankan seekor dua kambing untuk dilapah laksana seorang tahanan yang lama dipenjarakan. Selera makan tidak boleh dibayangkan bahana menyedut madat
daripada 'hogah' yang lebih dikenali dengan panggilan 'double bubble'.
Dengan hal
yang demikian apabila Abdullah Ahmad cuba membandingkan keadaan orang Melayu, bangsa
Malaysia dengan keadaan orang Arab yang tidak mempunyai akhbar daripada parti pembangkang,
apakah beliau sebenarnya ikhlas dengan tulisannya itu. Siapakah lagi di kalangan
orang Melayu yang mahu ditipunya?
Begitu juga dengan China, Cuba, Vietnam Utara dan
sebut sahaja apa negara lain yang dikatakan tidak ada media pembangkang itu. Bukankah itu
semuanya negara komunis yang memang tidak ada kebebasan untuk pembangkang bersuara.
Bukankah amalan kerajaan komunis bahawa di negara mereka tidak ada pembangkang? Saya
pernah menulis betapa satu ketika dulu China dan Korea utara berpakat untuk menguasai
dunia. Mereka membantu Vietnam memerangi Amerika Syarikat. Mereka tidak gunakan surat
khabar. Mereka gunakan manusia dengan mengirim beratus gadis yang cantik molek yang
disuntik dengan virus ghonorea yang dipanggil 'Vietnam Rose'. Setiap askar Amerika
yang meniduri gadis yang membawa virus itu telah dihinggapi penyakit tersebut sehinggakan
moral para askar menurun. Akhirnya Amerika melepaskan peperangan itu dengan alasan mereka
ada prioriti lain. Sedangkan alasan sebenarnya mereka sudah kalah teruk. Tetapi
apakah Amerika pernah mengaku mereka kalah ketika itu? Sehingga hari ini pun mereka masih
tidak mahu mengaku begitu kerana malu. Seluruh wilayah Indo-China telah musnah hingga ke
hari ini. Kalau kita pergi ke sana masih terdapat pondok dan kedai perniagaan yang
menggunakan bom-bom besar sebagai tiangnya walaupun ada di antara bom itu yang masih hidup
(live rounds). Sekarang ini rakyat di sana masih mencari pegangan hidup mereka. Di desa
dan perkampungan masih ada lagi penduduknya yang terpijak perangkap samar dan terpaksa
dikudungkan kakinya. Kerana itu usaha membasmi jerangkap samar (land mines) masih
diteruskan di seluruh kawasan yang terbabit. .
Cuba kita renungkan, apakah perlunya
akhbar parti pembangkang di kawasan itu sedangkan rakyatnya masih mencari satu cara hidup
yang lebih selesa. Oleh kerana keadaan yang sungguh dhaif mereka masih lagi mengharapkan
bantuan kerajaan untuk mengisi perut mereka. Malahan kalau kita pergi ke Vientiane dan
beberapa pekan di Laos dan Vietnam kita akan lihat betapa orang lelaki terpaksa menanggung
tugas kerja yang besar sekali. Oleh kerana nisbah lelaki dengan wanita dewasa lama memihak
kepada wanita maka timbul satu masalah sosial di sana. Ada lelaki terpaksa menghabiskan
masa lapangnya untuk meniduri lebih daripada sepuluh isteri, sebagai proses menambahkan
penduduk dan masyarakat kampungnya. Kalau setiap hari terpaksa membuat kerja lebih masa,
apa yang diharapkan kepada golongan lelaki seperti itu? Apakah mereka mempunyai bakat
menjadi ahli parti politik pembangkang sedangkan masa untuk melelapkan mata pun tidak
mencukupi. Bagaimana pula kalau dia mahu membaca akhbar, bila masa dia ada waktu untuk
mencelikkan mata untuk membaca? Kalau pun ada waktu itu masih banyak benda lain yang perlu
dibacanya.
Apakah mereka perlukan satu media untuk parti pembangkang? Kepada
siapakah Abdullah Ahmad mahu berbohong lagi???? Jelas kini, tulisan manusia seperti
Abdullah Ahmad adalah bertujuan untuk memperlekehkan bangsanya sendiri. Dia tahu dan sedar
betapa rakyat amat dahagakan maklumat yang benar dan bukannya maklumat songsang seperti
yang disiarkan oleh media massa tajaan kerajaan. Malahan kalau kita teliti tulisan beliau
itu nampak sangat beliau berbohong. Kalau negara ini betul-betul mengamalkan sistem
demokrasi apakah perlunya mengekang akhbar parti pembangkang sehinggakan perlunya
mengeluarkan permit untuk menerbitkan akhbar dan majalah? Kenapakah tidak diambil kira
kemudahan berpropaganda yang dilakukan oleh rejim Mahathir melalui radio , television, dan
segala media massa tajaan rejim yang memerintah itu?
Orang seperti Abdullah Ahmad
sudah melihat dunia di atas keringat rakyat marhaen. Dia sudah selesa dalam hidupnya
ketika dia keluar daripada penjara dulu. Dia pergi ke London untuk melanjutkan
pelajarannya dan isterinya (seorang pegawai PTD ketika itu) telah diberikan satu jawatan
khas (oleh siapa lagi!!!) yang sengaja diwujudkan untuk membolehkan beliau dan
anak-anak hidup senang lenang di sisi suami tersayang. Apakah Abdullah Ahmad tidak selesa
dengan segala kemewahan itu di atas keringat rakyat? Apakah dia lupa apa ertinya
demokrasi seperti yang terdapat di London. Lupakah dia akan cara orang berpidato secara
bebas di Hyde Park dan di ceruk laman universiti di sana?
Ketika Abdullah Ahmad bertugas
sebagai duta di Amerika dia kerap menulis di akhbar tempatan. Apakah yang
ditulisnya itu membawa satu pengetahuan baru kepada rakyat marhaen? Apakah dia pernah
menceritakan bagaimana 'The Million Men March' yang ditaja oleh pemimpin agama Islam di
sana dan cara orang Negro menyibarkan ajaran Islam di kalangan penduduk Amerika. Adakah
Amerika menyekat penerbitan sebarang akhbar dan majalah di sana? Orang semacam Abdullah
Ahmad ini sebenarnya petualang negara dan bangsa Melayu yang sepatutnya bertaubat sebelum
terlambat. Dia sepatutnya bertaubat sebelum usianya mengejar mindanya untuk mula
bermain taik seorang diri.
Kita membincangkan tulisan Abdullah Ahmad di
Mingguan Malaysia kerana secara kebetulan dia menulis dengan memperlekehkan bangsanya
sendiri. Kalau tulisan itu datangnya daripada seorang anak muda yang baru merangkak
dalam dunia kewartawanan, saya tidak akan mengungkitnya. Tetapi, apabila ia ditulis oleh
seorang insan yang mampu hidup bergaya dengan keringat rakyat marhaen semata-mata dia
memenuhi agenda seorang diktator tua, saya merasa terpanggil untuk memperbetulkannya.
Harapan saya jangan pula ada insan lain yang cuba menulis dengan cara yang serupa untuk
memperlekehkan bangsanya. Orang seperti Abdullah Ahmad usah berlagak laksana orang putih
yang menulis di akhbar kerana budaya hidup Melayu amat berbeza dengan budaya hidup orang
putih. Kita ada anak cucu yang dikenal dan dikaitkan dengan nama kita. Apabila kita berbohong
secara bertulis lantang di akhbar, kita mengaibkan zuriat kita dan orang kampung
kita juga. Apakah disebabkan seorang diktator tua kita sanggup membohong bangsa kita?
Untuk apa dan sampai bila?
Budaya Memperlekehkan Bangsa Sendiri
Taktik
politik dengan memperlekehkan bangsa sendiri nampaknya semakin menjadi-jadi. Kerana itu
kita lihat betapa Mahathir amat suka membuat perangai ini. Mahathir yang naik dengan
sentimen nasionalisme Melayu akhirnya menggunakan sentimen kebangsaan untuk memperlekehkan
kembali bangsa yang menaikkan namanya. Sejarah telah menunjukkan Mahathir telah
menonjol setelah memperlekehkan kewibawaan Tunku Abdul Rahman Putra. Sekaligus juga dia
telah memperlekehkan kewibawaan Tun Abdul Razak, Tun Husein Onn, Tun Dr. Ismail Abdul
Rahman dan ahli kabinet Tunku ketika itu. Dia telah menggunakan sentimen keMelayuan
untuk memperlekehkan Tunku dan meraih simpati keseluruhan orang Melayu ketika itu
Surat
Mahathir yang dihantarkannya kepada Tunku telah mencetuskan satu perasaan syak wasangka
yang amat berat memihak kepadanya. Dia telah menulis satu surat yang mencemuhkan
kewibawaan Tunku tanpa memberi peluang untuk Tunku menjelaskannya kepada rakyat, walaupun
rakyat sudah menerima salinan suratnya itu. Surat terbang yang tersebar luas itu
telah menaikkan semangat rakyat hingga membenci Tunku dan memihak kepada Mahathir.
Sebenarnya orang Melayu ketika itu tidak berapa sedar betapa surat itu adalah imbasan
marahnya Mahathir kepada orang Cina yang tidak menyokongnya ketika pilihan raya 1969
dulu. Hakikat sebenarnya Mahathir sudah menjadi angkuh ketika itu sehingga berani bersuara
lantang bahawa dia tidak memerlukan undi orang Cina untuk menang. Walau bagaimanapun Tunku
berjaya memberikan penjelasan yang amat jelas kepada orang Melayu akan apa yang sebenarnya
berlaku dan dari tulisannya itu barulah rakyat marhaen sedar bahawa insan yang bernama Dr.
Mahathir bin Mohammad adalah manusia yang boleh dianggap bukan kepalang besar 'ularnya'.
Tunku
pernah menulis betapa kerja-kerja mengaibkan namanya dilakukan oleh Mahathir kerana dia
kecewa dengan kekalahannya. Sedangkan ketika masih berkuasa, Mahathir hanya sibuk dengan
kroni Cinanya, berniaga. Apabila beliau disingkirkan daripada UMNO apakah yang Mahathir
lakukan selain memperburukkan Tunku lagi? Beliau meraih simpati pada orang PAS untuk
memberi ruang kepadanya bercakap dengan rakyat jelata. Semua ini berlaku tiga puluh
satu tahun yang lalu. Mahathir sudah lupa semua ini tetapi dia lupa bahawa orang lain
tidak akan lupa semua itu.
Kini, Mahathir berada di puncak kegemilangannya. Dia
sudah mula memperlekehkan orang Melayu seperti cara dia memperlekehkan Tunku dulu.
Tetapi, sebilangan besar orang Melayu tidak bencikan Mahathir. Mereka hanya bencikan
tingkah lakunya dan kerana itu mereka mahu dia bersara. Mahathir kini semakin keliru.
Kerana itu dia sanggup memperlekehkan orang Melayu dengan berkata kemungkinan kaum lain
menjadi Perdana Menteri Malaysia satu hari nanti. Orang yang masak dengan politik Melayu
memang tidak percaya cakap Mahathir itu kerana itulah taktiknya untuk membuatkan semua
orang keliru. Kepada Mahathir, kalau rakyat terus keliru rakyat tidak akan bercerita lain
lagi melainkan isu yang dijadikan topik yang mengelirukan itu. Inilah yang sebenarnya dia
mahu. Dia tidak mahu rakyat membincangkan kisah Eusoff Chin yang terserempak dengan
Lingam di New Zealand. Dia tidak mahu rakyat membincangkan perihal dia membalun khazanah
bangsa untuk menyelamatkan tembolok keluarganya. Mengikut Mahathir rakyat tidak ada hak ke
atas semua itu kerana sebagai perdana menteri semua khazanah negara adalah tertakluk
kepada mainan nafsu-nafsinya.
Kita dapat melihat betapa strategi memperagungkan
Mahathir sedang galak dirancangkan. Beberapa jabatan kerajaan sedang melaksanakan strategi
itu. Dari sudut agama strategi yang terbaru sudah pun bermula dengan Mahathir
membaca doa ketika ucapan perdananya di persidangan UMNO dulu. Kemudian kita lihat
ura-ura penubuhan MATIN untuk mengajar orang Melayu bagaimana bertaqwa kepada Allah
mengikut fatwa Hamid Othman yang dibantu oleh seorang pendatang daripada Selatan Siam
bernama Astora Jabat. Pada mulanya orang Melayu terpesona dengan telatah itu. Tetapi,
strategi yang tidak suci niatnya tidak pun dapat bertahan lama. Kini, kita dapat lihat
satu strategi fasa baru sudah pun bermula. Berita Harian sudah pun berwajah baru sedangkan
yang lebih penting ialah perubahan kepada sikap buruknya memperlekehkan orang
Melayu. Berita Harian kini diterajui oleh Abdullah Ahmad. Di waktu yang sama dia menulis
pula di Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia. Bayangkan strategi Mahathir yang terbaru
itu. Inilah strategi serampang bermata-mata. Orang Melayu juga yang akan menjadi mangsa.
Yang
Dikendong Berciciran yang Dikandang....?
Sejarah dunia menunjukkan tidak
ada satu pun pemimpin unggul dunia ini dapat mengekalkan kegemilangannya kalau dia
memperlekehkan bangsanya sendiri. Selalunya proses memperlekehkan bangsa bermula selepas
pemimpin itu membalun khazanah bangsanya. Marcos tumpas kerana kerakusannya untuk berkuasa
sehingga sanggup merencana agar seorang banduan membunuh pencabar politiknya di depan mata
khalayak ramai. Akhirnya dia mati di negara orang dan harta kekayaannya menjadi buruan
rakyatnya. Sukarno naik terlalu lama sehingga dia naik sewel untuk memperbaiki negaranya.
Dia jatuh juga dan dikenakan tahanan rumah. Tetapi, penggantinya Suharto telah membalun
harta rakyat sehinggakan hampir semua institusi kerajaan Indonesia telah diperibadikannya.
Kini, hidupnya melarat dan harta kekayaannya akan dirampas juga. Seorang pemimpin Korea
pernah melakukan perkara yang sama seperti Suharto. Dia akhirnya mengaku salah dan sanggup
bertaubat di sebuah biara.
Kini, Mahathir sedang dibicarakan oleh rakyatnya. Dia
enggan dan amat takut menghadirkan dirinya ke mahkamah walaupun sudah diberikan sapina.
Pelbagai alasan telah direncananya. Semua hakim berpihak kepadanya. Tidak ada ketua
jabatan yang nampak sanggup melakukan tugas mereka kerana Allah. Hampir semuanya sedang
bertugas kerana seorang diktator tua seolah-olah Mahathirlah manusianya yang akan mencabut
nyawa mereka. Kerana itu jentera kerajaan tidak mampu berjalan dengan licin mengikut yang
dilakarkan oleh perlembagaan negara. Rafidah Aziz boleh terus riang tanpa takut dihadapkan
ke mahkamah kerana kerja curangnya sebagai seorang menteri. Abul Hassan yang pernah
ditangkap oleh BPR boleh terus lega kerana tiada sesiapa yang sanggup menangkapnya. Ketua
hakim Negara yang sudah terang-terangan berbohong seluruh negara kerana episod dia
terserempak seorang peguam di New Zealand mungkin disambung lagi kontrak khidmatnya.
Rakyat
sudah semakin resah kini. Sistem pentadbiran negara sudah bercelaru. Tidak ada yang dapat
diyakini kerana Mahathir adalah penentu segala-galanya. Kini, pasaran saham terus
merudum sejak satu minggu yang lalu. Sedangkan Mahathir kata ini adalah proses
pengambilan untung. Virus Nipah ataupun JE sudah pun melanda Gopeng dan menyerang Taiping,
sedangkan ada seorang menteri membuat pengumuman dua hari yang lalu betapa seorang mangsa
yang mati kerana JE adalah mangsa yang di serang lama dulu. Bukan mangsa serangan kali
ini. Tetapi, berapa ribukah khinzir yang sudah dimusnahkan kali ini? Kita boleh
menjangkakan JE akan menyerang lagi dan kali ini menghala ke utara pula.
Semua ini
yang membuatkan rakyat resah gelisah. Semua ini yang membuatkan suasana menjadi parah
kerana di waktu yang sama bermacam perkara membabitkan kenaikan harga sedang diumumkan.
Apa lagi yang akan naik, tanya rakyat marhaen. Apakah semua ini mendapat perhatian
Mahathir dan para juaknya?
Inilah yang membingungkan. Inilah yang dikatakan yang
dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Di zaman IT ini kita boleh nampak jelas
kebanyakan huru-hara telah dicetuskan oleh pemimpin yang korup kerana isteri mereka turut
bernafsu. Lihat pada Marcos, ia tumbang kerana Imelda yang lebih berkarisma daripadanya.
Begitu juga Suharto, Ibu Tien yang mengawal segalanya sehinggakan seluruh rakyat Indonesia
tahu bahawa ketika hayatnya presiden sebenarnya adalah isteri Suharto. Kini, rakyat
Malaysia semakin sedar siapa sebenarnya yang membuat Mahathir terus keliru. Rupanya
yang dikendong berciciran dan yang dikandang terus bercakaran.
Mahathir sudah
tidak ada pilihan lain lagi. Dia terpaksa mengundurkan diri sebelum terlambat. Isyarat
daripada langit sudah datang lagi. Wabak JE adalah antara isyarat itu. Jangan sampai wabak
itu merebak ke Juru dan seterusnya ke Pulau Pinang pula. Kalau ini berlaku Malaysia boleh
mengucapkan selamat tinggal kepada projek menarik pelancung luar negara. Yang paling
ditakuti sekarang ini kalau-kalau ada pelancung luar yang berkemungkinan dijangkiti oleh
wabak ini.
Semua itu adalah serba mungkin. Seperti serba mungkinnya Mahathir
melepaskan jawatannya secara terpaksa bila-bila masa dari hari ini. Kenapa dan mengapa
akan kita bincangkan lagi. Kalau burung terbang boleh dipipiskan ladanya, takkan kambing
di kandang tidak boleh disediakan parang sembelihannya.
Marhaintua 20.6.00
|