MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

KEWIBAWAAN HAKIM DALAM POLITIK ISLAM

oleh

Mohd. Asri b. Zainul Abidin

moasriz@tm.net.my

 

Apabila melihat institusi kehakiman di dalam negara kita dipermain dan dijadikan perisai kepentingan politik pemerintah sekular, maka bertambah iman kita bahawa sistem jahiliyyah adalah punca kerosakan manusia. Tiada kaedah yang kukuh dan berdaulat yang menjadikan nilaian kehakiman tinggi dan bermaruah melainkan apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan as-Sunnah. Ruh keagungan tidak wujud sekiranya kita meminggirkan dua panduan utama ini.

Untuk membicarakan syarat-syarat kelayakan hakim dalam Islam adalah panjang lebar dan ianya pula sudah termuat dalam kitab-kitab fiqh. Memadaikan di sini disentuh dua aspek yang menerusinya kita dapat merasai kepincangan sistem jahiliyyah dan kekukuhan sistem Islam. Aspek itu ialah al-`Adalah dan al-`Ilm.

 Al-`adalah dan al-`ilm juga merupakan antara syarat-syarat yang dikemukakan oleh para fuqaha bagi membolehkan seseorang itu dilantik menjadi hakim yang mengendalikan perbicaraan dalam pentadbiran sesebuah negara Islam.

Al-`adalah dan al-`Ilm العدالة والعلم

Secara ringkasnya al-`adalah adalah konsep yang menyentuh keadilan keperibadian hakim yang bebas dari bentuk-bentuk kejahatan dan nilai-nilai yang mengurangkan kepercayaan orang lain terhadapnya, juga ketulusan hukuman yang diputuskannya. Sementara konsep al-`ilmu yang dipertegaskan ialah kepakaran dalam mengenali hukum-hakam syarak yang berkaitan dengan proses keadilan yang sedang dikendalikan.

Hadith-hadith Nabi s.a.w. begitu banyak membicarakan berhubung dengan sistem kehakiman dan konsep keadilan yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya s.a.w. Antara hadith-hadith yang ada kaitan dengan konsep al-`adalah dan  al-`ilm berkenaan ialah;

Sabda Rasulullah s.a.w. :

"Para hakim ada tiga golongan. Satunya di dalam syurga dan dua di dalam neraka. Adapun yang berada di dalam syurga ialah hakim mengenali kebenaran dan berhukum dengannya (kebenaran). Adapun hakim mengenali kebenaran tetapi zalim dalam hukumannya maka dia di dalam nereka. Sementara hakim yang menghukum manusia secara jahil maka dia juga di dalam neraka."  

Riwayat Abu Daud hadith ke-3573, at-Tirmizi hadith ke-1322, Ibn Majah hadith ke-2315)  

Kata al-Jarahi dalam Kasyf al-Khafa: "Hadith ini marfu' dan disahihkan oleh al-Hakim dan selainnya(". jilid 2, m.s. 97. cetakan Dar Ihya at-Turath al-`Arabi, Beirut )

 

Kata Syams al-Haq al-`Azim Abadi ketika mensyarahkan hadith-hadith Abu Daud,: "Hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan tidak selamatnya para hakim dari api neraka melainkan yang mengetahui kebenaran dan beramal dengannya serta menjadikannya prinsip amalan. Adapun yang mengetahui kebenaran tetapi tidak melaksanakannya dan yang berhukum dengan kejahilan, mereka sama-sama di dalam neraka. Apa yang jelas dari hadith ini sesiapa yang berhukum secara jahil sekalipun menepati kebenaran dia tetap di dalam nereka kerana dia tidak berpegang kepada kebenaran"(rujukan: Aun al-Ma'bud, jilid 9, m.s. 353, Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut )

 

Jelas sekali, hadith di atas menghubungkan proses kehakiman yang dikendalikan oleh seseorang hakim di dunia ini dengan  kedududukannya di akhirat kelak. Perasaan takut kepada hari pembalasan Allah ditanamkan oleh Islam dalam jiwa setiap hakim. Konsep iman yang diajar oleh Islam itu sendiri menyakinkan sesiapa yang benar-benar beriman bahawa di sana wujudnya mahkamah yang lebih agung iaitu mahkamah mahsyar. Oleh itu Al-Quran dan as-Sunnah selalu memberi amaran terhadap golongan yang zalim. Golongan yang zalim tidak akan terlepas dan akan menerima balasannya yang maha dahsyat di akhirat.

Di atas dasar ini Islam mensyaratkan hakim terdiri dari kalangan mukminin yang mengakui konsep keimanan yang ditentukan Islam, termasuk persoalan beriman dengan hari akhirat. Allah Maha Mengetahui bahawa kemuliaan peribadi dalam ertikata yang sebenar tidak dapat ditemui melaiankan apabila seseorang itu didokong oleh keruhanian yang kukuh. Seseorang hakim mungkin boleh bertindak adil dalam suasana diri tidak tertekan. Namun keadilan akan hilang apabila dirinya ditekan, kedudukannya tergugat atau harta dunia ditawarkan kepadanya. Hal seperti seperti ini hanya mampu ditangani oleh keimanan yang kukuh dan keyakinan terhadap akhirat. Demikian juga seseorang yang benar-benar takutkan Allah tidak akan membuat keputusan mahkamah sedang dia belum menguasai pengetahuan mengenai ilmu kehakiman yang dibicarakan. Cukup hanya kerana kejahilannya untuk dia dicampakkan ke dalam api neraka.

Malangnya, dalam sistem sekular, nilai-nilai ini tidak ditekankan. Kehakiman hanyalah dianggap suatu kerjaya dengan nilai-nilai moral yang digariskan. Perasaan keruhanian dan akhirat tidak dijadikan penekanan asas dalam pembentukan peribadi hakim.

Al-`Adalah

Bertitik tolak dari konsep keimanan dan keyakinan terhadap iman maka persoalan peribadi yang mempunyai ciri al-`adalah disenarai oleh fuqaha sebagai syarat untuk seseorang dilantik menjadi hakim. Ianya mempunyai kaitan yang begitu kuat dalam memastikan keadilan mahkamah berjalan dengan lancar serta kewibawaannya diakui. Sesiapa pun tidak boleh menafikan bahawa, keperibadian dan keilmuan mampu menentukan keputusan sesuatu hukuman. Keadilan hukuman atau keadilan seseorang hakim bertitik tolak dari keadilan peribadi hakim berkenaan. Hakim yang miliki amanah dari dalaman jiwanya tidak mungkin boleh dijual beli atau dipergunakan atau mengambil kesempatan bagi kepentingan peribadi. Hakim yang tidak memenuhi ciri al-`adalah memboleh dirinya dipergunakan atau mempergunakan kekedudukan untuk kepentingan diri sekalipun mengorbankan orang lain. Betapa banyak kes yang seperti itu berlaku di dalam dunia ini.

Al-`adalah atau keperibadian yang teguh lagi adil adalah lawannya kepada keperibadian yang bersifat fasiq. Al-Quran dalam Surah al-Hujurat ayat 6 memberi penilaian terhadap golongan fasiq, firman Allah:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ(6)

"Wahai orang-orang beriman! Jika datang kepada kamu seseorang yang fasiq dengan sesuatu berita maka hendaklah kamu selidiki agar kamu tidak bertindak kepada sesuatu kam secara jahil maka nanti kamu akan menyesal atau apa yang kamu lakukan"

 

Allah meminta orang-orang beriman agar berhati-hati dan tidak menerima perkhabaran golongan fasiq melainkan setelah diselidiki dan terbukti melalui cara yang lain yang dipercayai.

Di atas ini maka mazhab Maliki, Syafi`i dan Hanbali tidak memboleh dilantik golongan fasiq memegang jawatan hakim. Dengan alasan sekiranya tidak diterima penyaksian seseorang yang fasiq maka adalah lebih utama untuk dia tidak diboleh menjadi hakim.(lihat: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, Wahbah az-Zuhaili,  jilid 6, m.s. 745, cetakan Dar al-Fikr, Beirut )

Namun begitu persoalan keadilan peribadi, kejujuran serta amanah dalam pengendalian perbicaraan kadang-kala adalah sesuatu yang sukar untuk diukur atau diduga. Siapa yang tahu bahawa seseorang hakim itu telah menerima rasuah atau tidak? Apakah nilaian yang dianggap boleh menentukan hakim adil terhadap peribadinya, amanah terhadap dirinya dan umat? Hal ini menyukarkan sistem sekular yang membelakangi ajaran Islam untuk membicarakan tajuk ini.

Namun begitu, ternyata kehebatan nas-nas al-Quran dan as-Sunnah telah memungkin para fuqaha Islam sejak sekian lama mengukur dan memberikan garis panduan terhadap nilaian al-`adalah pada seseorang hakim.

Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha dan `Ali asy-Syarbaji dalam al-Fiqh al-Manhaji `ala Mazhab al-Imam asy-Syafi`i menyenaraikan maksud al-`adalah seperti berikut:

  1. Menjauhi dosa-dosa besar. Dosa-dosa besar ialah dosa-dosa yang dijanjikan Al-Quran dan as-Sunnah dengan azab yang keras. Sesiapa yang melakukannya menandakan dia meremeh-remehkan agama. Ini seperti minum arak dan terlibat dengan riba.
  2. Tidak berterusan di atas dosa-dosa kecil yang sedikit. Dosa-dosa ialah apa yang tidak terkena kepadanya takrif dosa-dosa besar. Ini seperti melihat yang haram, memutuskan hubungan dengan seseorang muslim lebih dari tiga hari dan seumpamanya. 
  3. Sejahtera aqidahnya, memelihara maruah setaraf dengan dirinya Ini kerana sesiapa yang tiada baginya maruah maka tiadalah baginya malu, sesiapa yang tiada baginya malu maka dia akan kata apa yang dia suka.

    Maksud maruah setaraf dengan dirinya (sebagai seorang hakim mahkamah Islam-pen) ialah hendaklah dia berakhlak dengan akhlak mereka setaraf dengannya pada masa itu, yang terdiri dari kalangan golongan yang menghormati garis panduan syarak dan adab-adabnya pada setiap tempat dan masa. Ini biasanya merujuk kepada `uruf (adat kebiasaan).

  4. Hendaklah seorang yang dipercayai dan tidak ditohmah sebagai menggunakan jawatan untuk kepentingan dan mempertahan diri tanpa cara yang dibenarkan syarak. (juzuk 8, m.s. 179, cetakan Dar al-Qalam, Damsyiq )

Setelah syarat-syarat yang seperti ini dirumuskan, adalah hampir mustahil seseorang yang terkenal dengan keperibadian yang sedemikian teguh seperti yang dinyatakan, tiba-tiba menyalahgunakan peruntukan kuasa yang ada padanya.

Al-`Ilm

Islam memusuhi hakim yang zalim juga yang jahil dalam perundangan. Islam tidak dapat menerima sekalipun hukuman itu tepat sekirannya diterbitkan atas dasar kejahilan. Ini kerana ianya hanya kebetulan bukan kerana sikap yang cintakan keadilan dan berkehendak kepada kebenaran. Dengan itu Islam menyatakan hakim yang sebegini di dalam neraka. Islam tidak dapat menerima hukuman yang tidak mendasari ilmu kehakiman dan kebenaran. Jika golongan tidak pakar di dalam kehakiman dibiarkan sekalipun dalam beberapa ketika hukuman itu betul, ia sebenarnya mencemar dan berbahaya kepada institusi kehakiman. Dengan itu-seperti yang disebut dalm Aun al-Ma'bud- al-Khatib al-Syarbini mengatakan hukuman hakim yang jahil adalah tidak diterima pakai dalam Islam.

Al-Jarahi dalam Kayf al-Khafa juga memetik ulasan al-Manawi: "Mereka bertanya apakah dosanya hakim yang jahil tersebut?. Jawapannya ialah dosanya ialah dia tidak sepatutnya menjadi hakim melainkan setelah dia mempunyai ilmu"

Islam melarang perlantikan hakim yang tidak menguasai bidang perundangan Islam dengan tahap yang dituntut. Kewujudan hakim yang jahil adalah maksiat dan dosa, maka sudah tentu perlantikannya adalah punca dosa dan maksiat pada pandangan syarak. Sebab itu as-Son`ani menyebut di dalam Subulus as-Salam ketika mensyarahkan hadith yang disebutkan pada awal perbincanan tadi: "Hadith ini mengandungi makna dilarang melantik si jahil dalam kehakiman" (jilid 4 m.s. 180, Dar al-Makrifah, Beirut )

Di atas dasar ini semua fuqaha Islam menjadikan ilmu iaitu kepakaran dalam bidang kehakiman Islam sebagai sebagai syarat bagi seseorang hakim yang dilantik. Kebanyakan fuqaha yang silam mensyaratkan seseorang hakim atau qadi hendaklah ilmunya sampai ke mertabat mujtahid. Namun seperti yang disebut oleh Muhammad `Abd al-Qadir Abu Faris dalam al-Qada' fi al-Islam bahawa ilmu adalah syarat yang disepakati, yang menjadi perbezaan pendapat hanyalah mengenai maksud atau kadar ilmu. Menyedari perubahan zaman iaitu sukarnya untuk memperolehi mujtahid maka syarat ilmu mujtahid itu dilonggarkan dan dibolehkan sesiapa yang menguasi ilmu walaupun tidak ke peringkat mujtahid menjadi hakim. Apa yang penting pengetahuannya menjamin keamanan umat.

Perlantikan para hakim yang tidak luas pengetahuan hukum-hakam syarak boleh menjadikan hukum-hakam perundangan dipertikaikan dan mencemar kemulian agama juga keadilan dan keamanan negara dan rakyat.

Dengan hanya melihat kepada dua syarat daripada syarat-syarat yang disenaraikan oleh para fuqaha Islam, pun telah boleh memberi gambaran betapa syarat-syarat perlantikan hakim dalam daulah Islamiyyah benar-benar dapat mententeramkan jiwa dan perasaan rakyat terhadap sistem kehakiman Islam. Sekiranya rakyat Malaysia benar-benar cintakan kebenaran dan inginkan para hakim yang berwibawa mengendalikan proses mahkamah maka bersegeralah membentuk negara Islam yang tulen.

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

 counter.bloke.com

TheCounter.Com