GHAFFAR PATUT BERHENTI, BUKAN SHAHNON!!
Oleh Mohd Ihsan Sungai Besi
HAMPIR seminggu ini, negara digemparkan dengan berita Ahli Parlimen Sik, SN Dato’ Prof. Emeritus
Shahnon Ahmad yang berhasrat meletakkan jawatannya.
Bagaimanapun, SN Shahnon juga menyerahkan keputusan itu kepada parti PAS kerana beliau
adalah ahli parti itu dan bertanding mewakili PAS.
Ura-ura yang dihasratkan SN Shahnon diambil kesempatan media massa pro pemerintah untuk
melaga-lagakan SN Shahnon dengan PAS, seolah-olah Shahnon ditekan supaya jangan melepaskan
jawatan itu.
Menteri Yang Tewas Dalam Pilihan Raya, merangkap Ketua Umno Bahagian Sik, Dato’ Paduka
Dr. Abdul Hamid Othman yang dikalahkan oleh SN Shahnon dalam pilihan raya umum lalu turut
mengeluarkan kenyataan, dia sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya kawasan itu.
Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Shahidan Kassim yang baru tewas sebagai Ahli MT Umno
turut menyatakan sokongan kepada SN Shahnon supaya hasrat SN Shahnon dihormati.
Seperti biasa, Utusan Meloya menjalankan ‘jarumnya’ meninjau pendapat seorang dua
penduduk Sik yang tentunya menyokong hasrat mereka.
Dr. Abdul Hamid usah terlalu ghairah. Dia adalah Senator. Kedudukannya sebagai menteri
akan tamat jika dia kalah sekali lagi. Kerusi Senator hanya sekali lantikan sahaja. Jika
dia bertanding semula, dia mesti melepaskan kerusi Senator. Dalam satu masa dia tidak
boleh mewakili dua Dewan. Kalau dia menang, dia mungkin jadi menteri semula. Tetapi jika
dia kalah, Umno kehilangan seorang lagi ‘pelawak’ terkemuka. Dia tidak boleh dilantik
semula sebagai Senator. Maka jadilah dia seperti Mustapa Mohamed, Annuar Musa, Ibrahim Ali
dan seorang dua lagi.
Dr. Abdul Hamid dikenali sebagai ‘ulama’ dalam Umno. Malangnya, seperti yang ditulis
Megat Junid Megat Ayub dalam buku ‘getek’, dia kempunan nak tengok Dr. Abdul Hamid
pakai macam ulama PAS berpakaian.
Tugas Dr. Abdul Hamid dalam Umno ialah membersihkan kekotoran yang Dr. Mahathir Mohamad
lakukan. Dia sendiri tidak ada idea apa-apa untuk pembangunan Islam. Selama ini kerja mengiyakan
apa sahaja tindakan, ucapan dan saranan Dr. Mahathir mengenai Islam. Jika salah sekali
pun, termasuk komen Dr. Mahathir mengenai janggut nabi, Dr. Abdul Hamid akan pertahankan.
Dia tidak akan berani menegur. Itulah sebabnya, dia dikekalkan sebagai menteri walaupun
tewas. Sedangkan Dr. Mahathir lebih sayangkan Megat Junid jika hendak dibandingkan dengan
Dr. Abdul Hamid.
Utusan Meloya sewajarnya mendesak Tun Ghafar Baba melepaskan kerusi Parlimen Batu
Berendam. Pertamanya, Tun Ghafar benar-benar tidak sihat. Keduanya, Tun Ghafar bukan
Timbalan Perdana Menteri lagi. Dengan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen, Tun Ghafar
tentunya tidak mampu memberikan perkhidmatan kepada pengundi-pengundinya di Batu Berendam.
Dia sakit-sakit dan sering keluar masuk hospital.
Apakah di Melaka, tiada seorang pun layak menggantikan Tun Ghafar sebagai Ahli Parlimen?
SN Dato’ Shahnon seorang yang ikhlas. Wajar baginya melahirkan hasrat untuk berundur
jika beliau tidak mampu menjalankan tugasnya kepada rakyat. Tetapi, sebagai Ahli Parlimen,
Dato’ Shahnon boleh mewakilkan sesiapa yang dipilihnya untuk menjalankan tugas itu. PAS
tentunya mempunyai formula untuk menyelesaikan masalah ini.
Dr. Mahathir sebagai wakil rakyat Kubang Pasu sekali pun melantik wakilnya, Tan Sri Osman
Aroff untuk menjalankan tugasnya di situ. Dia hanya berada di kawasan sekali sekala,
terutamanya jika dia ke Kedah.
Ramai wakil-wakil rakyat BN yang tidak kerap berada di kawasan pilihan rayanya. Itulah
sebabnya, Dr. Mahathir berkali-kali menyarankan supaya wakil rakyat BN mesti turun padang.
Ini bermakna, mereka sendiri tidak menumpukan perkhidmatan kepada rakyat walaupun tidak
sakit.
Pengundi dan rakyat Sik tahu bahawa Dato’ Shahnon tidak sihat. Mereka tentunya faham
bahawa soal kesihatan bukan kehendak Dato’ Shahnon. Cerita kononnya ada yang mendakwa
Dato’ Shahnon sudah tidak ada lagi (meninggal dunia) hanya ditimbulkan seorang dua yang
akhirnya terhebah dengan cakap mulut ke mulut. Ini biasa.
Dulu, ketika Kondominium Highland Tower runtuh, ada yang menuduh seorang menteri
terperangkap dalam runtuhan itu. Tetapi ia tidak benar. Biarlah apa orang nak kata.
Kebenaran akan muncul dan kebatilan akan hilang.
|