MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

MGG27/0619

PERDANA MENTERI BUKAN MELAYU: Satu Muslihat?

(Non-Malay Prime Minister: Red Herring or Cat Amongst Pigeons? ~ MGG Pillai)

Ketika merasmikan persidangan tahunan MCA Jumaat lepas, Perdana Menteri telah bersuara lantang dengan berkata, suatu hari nanti  jawatan Perdana Menteri akan disandang oleh orang keturunan Cina atau India apabila rakyat Malaysia tidak lagi dibelenggu soal perkauman.  Ucapan yang penuh retorik dan  menyerlahkan ketidak-sungguhan berpolitik  itu adalah satu helah dan tipu daya laksana melepaskan seekor kucing ke kalangan burung merpati. Memanglah tidak ada salahnya dengan logik beliau itu. Tetapi, cadangannya itu sekaligus menghumban realiti politik keluar jendela, sedangkan suasana politik Melayu sedang berpecah dua: Apakah perjuangan politik Melayu harus lebih Islamik dan mestikah  ciri-ciri pemodenan memperlekehkan tradisi budaya?  Perdana Menteri telah menjentik satu suasana  perdebatan sebagai satu kesinambungan kepada konfrontasinya terhadap  Insan yang Mesti Dihapuskan Dengan Apa Jua Cara.

Perangkaan Pemilu  ke-10 pada November 1999 telah mencatatkan apa yang diperakui juga oleh dua pilihanraya kecil yang baru berlalu.  Ejekan semakin menjadi-jadi terhadap pengumuman beberapa dasar kerajaan dan cara perlaksanaannya masa kini, terutama sekali yang bertujuan untuk menaikkan  nama sedangkan dasar-sasar itu memburukkan keadaan.  Dengan lain perkataan Perdana Menteri sedang menyongsong arus sekarang ini.

Kesanggupan Perdana Menteri menyentuh tajuk itu menunjukkan betapa dia amat menghargai penyertaan masyarakat bukan-Melayu. Dia lebih selesa  berselindung di sebalik hukum-hukum yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan daripada budaya amalan kesultanan Melayu. "Percayalah, kalau kita peka kepada kehendak rakyat Malaysia, isu bangsa dan keturunan tidak lagi menjadi batu penghalang kepada sesiapa di kalangan rakyat Malaysia untuk menjawat sesuatu jawatan itu..... dan kita boleh hapuskan perkauman  dan menerima sesiapa sahaja untuk jawatan Perdana Menteri atau apa juga jawatan pun."  Malangnya Perdana Menteri telah memperlekehkan saranannya itu dengan  menggesa kaum Cina dan  Bumiputera agar menubuhkan perkongsian niaga yang "tulen". Hakikatnya, dalam  senario politik Malaysia dan juga Barisan Nasional terdapat masalah bukan-Melayu yang amat menonjol. Mereka terus dibayangi sistem kuota yang membuatkan ucapan Perdana Menteri itu sesuatu yang membosankan.  Lapan puluh persen  pegawai kerajaan di semua tahap perjawatan adalah orang Melayu, berbanding dengan peratusan Bumiputera, yang termasuk mereka yang diiktiraf demikian daripada Sarawak dan Sabah. Sistem ini pula meminggirkan bukan-Melayu daripada jawatan tinggi ataupun yang dikira sensitif  kepada  mereka  yang meningkat dalam kerjaya.

Dalam senario politik masa kini, perkara ini memang tidak boleh diungkit. Ketika kerajaan membincangkan kepentingan kenaikan pangkat berdasarkan merit di kalangan kakitangannya, masalah bukan-Melayu terus dipinggirkan. Memang ada bukan-Melayu yang berjaya tetapi ini adalah berupa satu pengecualian semata-mata.  Kerana itu jangan haraplah kita akan melihat seorang bukan-Melayu menjadi ketua hakim negara. Apatah lagi yang berjawatan setiausaha kementerian penting (tentu sekali bukan kementerian luar). Begitulah juga dengan jawatan ketua setiausaha negara, ketua tentera darat, udara dan laut ataupun jawatan ketua polis negara. Malahan jawatan tertinggi dalam badan berkanun ataupun sebagai gabenor bank negara. Sistem yang ada memang menidakkan peluang seorang bukan-bumiputera kepada peluang yang ada. Betapa pun justifikasinya inilah sistem dominasi orang Melayu yang dilaksanakan selepas berlakunya perbalahan kaum selepas Mei 13 dulu.  Ucapan Perdana Menteri mungkin membawa sebarang makna kalaulah sudah ada seorang timbalan perdana menteri di kalangan bukan-Melayu ataupun kalaulah ada menteri bukan-Melayu yang menyandang jawatan dalam kementerian yang membabitkan pembuatan dasar.  UMNO sebagai sebuah parti yang dipimpin oleh perdana menteri mahukan pentadbiran negara dikuasai oleh orang Melayu.

Presiden UMNO yang pertama, Dato' Onn Jaafar yang juga merupakan bapa kepada perdana menteri ke tiga telah keluar daripada parti  apabila dia gagal mendesak parti itu menerima keahlian bukan Melayu. Sejarah politik Melayu telah merakamkan adanya percanggahan di antara wawasan orang Melayu sebagai satu entiti nasional  seperti mana yang dianggap oleh British dan juga UMNO akhirnya ketika menilai peranannya di tanah Semenanjung, dan  persepsi pan-Melayu yang diilhamkan oleh Sukarno. Ilham yang dicetuskan oleh Sukarno itu telah disemarakkan oleh gergasi politik Melayu seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy yang kemudiannya menjadi ketua PAS, dan Ahmad Boestamam daripada Parti Rakyat Sosialis Malaya.  

Perbezaan berpolitik yang terdapat hari ini adalah lebih cenderung disebabkan percanggahan tersebut dan bukannya disebabkan kaedah pemerintahan kerajaan yang mahu diperkenalkan oleh PAS. Kebangkitan Islam dalam urusan UMNO dan PAS mempunyai kesan mendalam yang menentukan keutuhan parti. Satu parti menganggapnya sebagai satu masalah sedangkan yang satu lagi menganggapnya sebagai satu penyelesaian. Dalam hal ini, kelantangan menyarankan kemungkinan seorang bukan-Melayu sebagai seorang perdana menteri sudah tentu tidak akan memperkuatkan pengaruh UMNO yang semakin rapuh, kini.

Tragedi Mei 13 telah membuatkan UMNO bertindak terhadap kemahuan masyarakat Cina dengan menentukan keutuhan dominasi Melayu dalam kerajaan sehinggakan ketentuan itu tidak boleh diubah tanpa persetujuan Majlis Raja-raja Melayu. Selepas pemilu Mei 1969 dulu tercetus bayangan kemungkinan terlantiknya menteri besar Cina di Selangor dan Perak yang membuatkan orang Melayu menjadi panik dengan perubahan yang mungkin berlaku. Pada awal 70-an MCA telah mendesak agar dilantik seorang Cina menjadi timbalan perdana menteri kedua. Akibatnya, Tun Tan Siew Sin telah terpaksa melepaskan jawatannya sebagai presiden parti.  Ketika menubuhkan Barisan Nasional, perdana menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein telah memikirkan kemungkinan mewujudkan tiga jawatan timbalan perdana menteri; satu daripada UMNO, PAS dan MCA, satu daripada UMNO Sabah dan Sarawak dan satu untuk bukan-Melayu. Tetapi, dia menerima tentangan orang Melayu ketika itu dan terpaksa melupakannya. Tidak banyak yang berubah sejak itu.

Sekarang ini pun, sebarang cakap-cakap daripada kalangan bukan-Melayu mengenai jawatan timbalan perdana menteri bukan Melayu itu sudah tentu akan menerima tentangan yang hebat. Kerana itu perkara ini tidak pun dibincangkan oleh persidangan MCA. Barisan Nasional pula tidak pun membincangkan 'umpanan' perdana menteri itu. Seperti juga beberapa cadangan Ketua Hakim Negara tentang reformasi perundangan, harapan perdana menteri itu sengaja disepikan.  Kalau pun seorang perdana menteri bukan-Melayu itu akan dilantik, tentunya perlantikan itu merupakan satu pengecualian kepada caranya orang bukan Melayu dipinggirkan dalam budaya kerja dan politik Malaysia. Buat masa ini pejabat peribadi perdana menteri dan juga timbalan perdana menteri tidak pun ada kelibat seorang pekerja bukan Melayu.  Ini yang sepatutnya dia perbetulkan, tetapi dia tidak akan mampu melakukannya.  Kerana itu dia hanya mampu berharap sahaja. Kali ini harapannya itu tidak akan berjaya kerana ia tidak boleh dilakukan.

Diterjemahkan oleh -MT-
19.6.00

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

 counter.bloke.com

TheCounter.Com