|
Taring Tajam Ku Li Berjaya Dipatahkan!
Komentar: TARMIZI MOHD JAM
Hasrat Ku Li untuk hanya menjadi “gurkha” dalam Umno,
sekembalinya kepangkuan parti itu sejurus membubarkan Semangat 46, makin menjadi
kenyataan. Anak raja berjiwa rakyat itu, akan meneruskan hayatnya sebagai “gurkha”
dalam Umno selagi parti itu diterajui oleh Mahathir. Ku Li bukanlah penting lagi bagi
Mahathir di Kelantan. Kemunculan Mustapha Mohamad di Jeli dapat menggantikan dan sekaligus
membenamkan pengaruh Ku Li yang kian lusuh itu.
Kegagalan Ku Li membenamkan PAS di Kelantan menjadi faktor
langsung mengapa beliau dipinggirkan terus dalam Umno, biarpun peringkat awalnya terlalu
“optimis” untuk mengambil-alih semula Kota Darul Naim. Akhirnya, Ku Li kecundang
dengan labu-labunya. Kekecewaan anak raja itu tidak dapat disembunyikan. Taringnya yang
“tajam” nampaknya sudah mudah dipatahkan oleh Mahathir. Kelicikkan Mahathir
“membodek” Ku Li membubarkan Semangat 46 yang banyak “menyusahkan” Mahathir dalam
mewarnakan politik Melaysia, sudah berlangsung dalam fenomena aman.
Ku Li bersama rakan taulannya, membubarkan Semangat 46 dan
menyertai Umno semula secara berjamaah. Ku Li tentunya mencaturkan politik masa depan yang
lebih gemilang bersama Umno. Niatnya, untuk merebut kembali kerusi idamannya yang sedang
dihenyak-henyak oleh Mahathir sekarang. Laluan menggunakan Umno adalah lebih mudah dan
lebih cepat ke kerusi itu. Berbanding dengan kapal Semangat 46 yang “artodok” dan
“manual”.
“Penyahan” Anwar oleh Mahathir, membuka demensi baru buat
Ku Li. Laluannya menjadi PM sudah hampir ke garisan penamat. Beliau sedar, Pak Lah tidak
menjadi batu penghalang yang sukar ditumbangkan. Namun begitu, taring tajamnya yang sudah
dipatahkan oleh Mahathir itu, “memukau” beliau tentang tiadanya sambutan lagi dari
kalangan perwakilan terhadap “tawarannya” untuk menentang
Mahathir. Ku Li terkepung dalam delimma yang amat mencengkammnya. Hendak berpatang
balik, tentunya “jambatan” yang dibina sudah terbakar dengan sendirinya. Mahu tidak
mahu, Ku Li terus menghabiskan hayatnya dalam Umno yang ditubuhkan oleh Mahathir, iaitu
Umno (Baru).
Nawaitu Ku Li untuk menghidupkan Umno 1946 tidak kesampaian.
Mahathir menyekatnya melalui undang-undang. Mahathir tentu berasa bersalah yang amat
sangat, apabila “Semangat 46” ditubuhkan. Dengan penubuhan itu, Mahathir sudah
menggaru-garu kepala tanda kesal. Akibatnya, Mahathir dituduh sebagai bapa “pemecahbelah
masyarakat”. Rentetan perpecahan dalaman Umno inilah, maka ahli-ahli Umno asal berpecah
dan membentuk Semangat 46. Kekuatan Umno terbelah dua. Umno berpecah pada zaman Mahathir.
Yang paling penting, catatan sejarah akan mencatatkan darihal itu, dan mahu tidak mahu,
Mahathir adalah penyebab penting dalam perpecahan ini.
Mahathir berfikir, bagaimana untuk menebus kesalahan dan
kebiadapannya pada masa lalu. Dalam kepalanya, berputar-putar pelbagai pertanyaan. Macam
mana nak mengajak balik Ku Li menyertai Umno? Kalau Ku Li masuk Umno semula, apakah
Semangat 46 akan diteruskan? Mengikut sumber, Mahathir sendiri tidak yakin dengan Ku Li
untuk menyertai semula Umno apabila dipelawa. Beberapa pertemuan dikatakan diadakan bagi
membincangkan hal ini. Niat Mahathir ialah untuk menebus “perpecahan” Umno 1988 hingga
Umno terpaksa diharamkan dan Semangat 46 pula dibuka. Mahathir amat mahu Ku Li menyertai
semula Umno dan membubarkan Semangat 46. Dengan itu, segala catatan sejarah hitam dalam
hidup Mahathir dan Umno terpadam terus. Tiada batu nensan dan tiada kubur yang
ditinggalkan.
Sudah tentulah niat Mahathir itu sarat dengan pelbagai agenda
politik. Jika Ku Li mempercayai niat Mahathir itu bulat-bulat atau bujur-bujur sekalipun,
adalah silap dan salah besar beliau membubarkan Semangat 46. Saya tidak tahu, sama Ku Li
juga seperti Mahathir, untuk menghapuskan tanda dan kesan “kesilapannya” dalam
membentuk parti saingan Umno itu. Agenda Mahathir yang berlipat-lipat dalam menyeret Ki Li
ke dalam tempurung Umno dan meruntuhkan rumah Semangat 46 itu, tentunya sudah tercapai.
Tetapi niat Ku Li untuk menyertai Umno dengan tujuan mengganti
Mahathir kian lusuh dari dibaca dan ditelah orang. Mahathir lebih licik dari Ku Li. Apa
yang diinginkan Mahathir sudah berjaya dari segi politiknya. Ku Li sudah “berjabat
tangan” semula dengan Mahathir dan kesan-kesan
pembinaan Semangat 46 berjaya dihapuskan. Kini, Mahathir bukan lagi pemecahbelah
masyarakat seperti yang didakwa ketika tertubuhkan Semangat 46. Apa perlunya, Mahathir
memutar-mutarkan kepala hotaknya untuk “meletakkan” Ku Li ke singgahsana yang
menjanjikan beliau boleh menuju dan sampai ke Pejabat PM. Tidak ada rasanya, dalam kepala
Mahathir tentang hal itu.
Apa yang penting, jika Ku Li itu ayam, tajinya sudah
dipatah-patahkan. Andainya Ku Li itu Jin Beragas atau Jin Bertendang, taringnya juga sudah
diseliat-seliat oleh Mahathir tanpa menghimpunkan 1001 bomoh atau peselit.
Seorang pemimpin Umno Bahagian Peringat, Nik Daud Mustapha
menyifatkan kegagalan Ku Li itu adalah bukti terkini keupayaan sebenar kepimpinannya
sekarang. Itulah “tenaga” Ku Li. Usianya yang agak lanjut juga tentunya mempengaruhi
“tenaganya” tadi dalam menentukan kejayaannya merampas Kelantan dan bertanding kerusi
Presiden Umno. Ku Li gagal dalam langkahnya menumpaskan PAS di Kelantan. Kemudian gagal
lagi, dalam mempengaruhi perwakilan Umno seluruh Malaysia untuk menobatkan pertandingan
bagi menentang Mahathir di kerusi Presiden Umno.
Nik Daud berkata, berdasarkan perkembangan itu, tempat Ku Li
dalam barisan tertinggi Umno telah tertutup rapat. Rakyat sudah menolak Ku Li berdasarka
pencapaiannya dalam pilihanraya umum lalu. Mahathir pula, melihat kehadiran Ku Li akan
menyusahkan beliau pada masa depan. Nik Daud mengingatkan Ku Li agar merenung perjuangan
politiknya dalam Umno yang sudah berakhir. Pandangan Nik Daud sebenarnya adalah intipati
akar umbi Umno yang agak jenuh dan bosan mengikuti politik tanpa sempadan yang dimulai Ku
Li. Melompat sana, melompat sini, seolah-olah tiada pendirian dan sempadan bermain
politik. Akar umbi menolak, permainan ikut sedap ini dan Ku Li ditolak secara
perlahan-lahan.
Sebelum ini, Ku Li pernah diura-urakan untuk menumpaskan
Mahathir dan Pak Lah bagi kerusi Presiden dan Timbalan Presiden Umno dalam perhimpunan
parti itu, Mei yang baru lalu. Ku Li juga turut disenaraikan sebagai calon bagi merebut
kerusi Naib Presiden tetapi dengan penolakan Mahathir terhadap pencalonan Gua Musang
sebagai suatu yang “tidak sah” dengan mendakwa tidak menuruti arahan parti, terus
menghampakan Ku Li untuk mewajahkan kepimpinan tertinggi Umno selepas ini. Mahathir dapat
menghidup apa yang dinginkan oleh anak raja dari Kelantan itu. Beberapa percubaan Ku Li
melalui kenyataanya yang kontroversi dan percubaan Umno Bahagian Gua Musang itu, adalah
bukti niat Ku Li untuk menurunkan Mahathir dalam perhimpunan itu.
Mahathir juga tahu perkembangan ini. Sebab itu, beliau menutup
pintu pertandingan di jawatan Presiden parti. Namun untuk dilihat tidak dictator dan penuh
demokrasi, Mahathir juga “berpakat” dengan Pak Lah untuk menutup sama jawatan Timbalan
Presiden dari dipertandingkan juga. Dengan itu, ia tidak kelihatan untuk mendinding diri
Mahathir seorang. Bagi menjayakan misi ini, maka Pak Lah terus diangkat sebagai Timbalan
Presiden tanpa bertanding dan ditentang oleh mana-mana Naib Presiden Umno. Permainan
politik Mahathir ini, sekaligus menggusarkan Ku Li untuk berpencak silat dan menari
mengikut rentak ciptaan Mahathir. Pembatalan pencalonan Gua Musang itu, secara tidak langsung menghilangkan kelayakkan Ku Li untuk mengadu pengaruh dikerusi Naib Presiden Umno. Layakkah Ku Li terus menjadi “gurkha” dalam parti Melayu yang pernah diherdiknya itu? Persoalannya, sampai bilakah, Ku Li bersedia “tunduk” dan “patuh” kepada Mahathir?
|
Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com
TheCounter.Com |