ANWAR DAN BARA YANG KIAN PADAM....
Cuma tinggal lebih kurang 2 bulan sahaja lagi maka genaplah 2 tahun Dato’ Seri Anwar
Ibrahim disingkirkan dari tampuk kerusi Timbalan Perdana Menteri. Dan lebih sedikit dari
itu, juga hampir 2 tahun beliau merengkok di dalam penjara Sungai Buloh – penjara yang
dibina ketika beliau menjadi TPM dan kini beliau pula yang menjadi penghuninya. Amat
memilukan hati apabila mengenangkan semuanya ini.
Betapa 2 tahun lepas, beliau
bukan sahaja disingkirkan dari jawatannya, malah diperlakukan seperti haiwan oleh
anjing-anjing Mahathir yang bersarang di Bukit Aman. Ketika ditangkap, pintu rumah beliau
telah dipecahkan, laksana mahu menyerbu sarang pengganas. Walhal 3 minggu sebelum itu,
anjing-anjing yang menggigitnya itu jugalah yang menjulangnya ketika beliau masih TPM.
Kemudian, sebaik sahaja dibawa ke Bukit Aman, beliau telah dikeronyok dengan begitu
ganas oleh Rahim si Bapak Anjing dan diperlakukan tanpa belas kasihan. Cederanya dibelasah
hampir membawa maut. Sudahlah begitu, dibiarkan terlantar selama 5 hari tanpa secebis pun
timbul sifat belas ihsan sesama manusia. Rahim benar-benar membuktikan bahawa dirinya
adalah bukan sahaja si Bapak Anjing malah Iblis yang berwajahkan manusia. Demikianlah
kesengsaraan dan musibah yang terpaksa ditanggung Anwar lantaran mempertahankan maruah
diri dan kebenaran.
Dua minggu sebelum ditangkap, beliau telah berjaya memarakkan
api reformasi yang telah mengundang ratusan ribu manusia untuk mendengar
penjelasannya. Kemudian selepas beliau ditangkap dan dibicarakan, rakyat yang
bersimpati dan mendokong kebenarannya, telah mengadakan siri-siri perhimpunan reformasi
saban minggu. Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Kampung Baru menjadi medan perjuangan yang
membanggakan . Laungan dan jeritan reformasi, undur Mahathir undur, step down Mahathir dan
sebagainya menjadi obor yang menyalakan jiwa anak-anak muda. Nyatalah begitu indah
perjuangan tersebut apabila seluruh lapisan rakyat tanpa mengira kaum turut menyertai.
Perhimpunan
Reformasi yang diadakan saban minggu sebelum pilihanraya diadakan dahulu benar-benar
mencemaskan Mahathir. Seluruh kekuatan pasukan keselamatan dikerah untuk menumpaskan
siri-siri perhimpunan tersebut. Tidak pernah terjadi dalam tempoh pemerintahannya semenjak
1981 itu akan suatu kebangkitan rakyat yang begitu besar dan hebat. Sebenarnya, Mahathir
benar-benar gerun dan tertekan dengan perhimpunan-perhimpunan setiap minggu yang diadakan
itu. Beliau memang tidak dapat lelap dalam tidurnya setiap kali perhimpunan besar
diadakan. Malah setiap hari Sabtu, pasukan polis juga turut tertekan dengan
pengerahan seluruh anggota di sekitar Kuala Lumpur.
Sengaja saya ingin kembalikan
nostalgia lalu untuk kita renungi kembali perjuangan kita sekarang ini dan kemanakah
akhirnya kita ini. Jika dulu, perjuangan kita telah berjaya membuatkan Mahathir tidak
tidur lena setiap kali ada perhimpunan reformasi. Kalau dulu kita telah membuktikan yang
soladiriti Gerakan Reformasi telah berjaya menggegarkan kerajaan Mahafiraun itu, sekalipun
kita masih belum berjaya untuk menumbangkannya. Tetapi mengapa kini kita telah
‘menghadiahkan’ tidur yang nyenyak dan mimpi yang indah kepada Diktator Nyanyuk itu.
Maksud saya ialah, kita kini sudah terbuai dalam gelanggang pencak pihak musuh sehingga
kita merasa selesa dengan apa yang ada pada hari ini. Walhal, antara tempoh 2 tahun lepas,
kita jugalah yang telah berjaya menggegarkan kerajaan si Mamak Tongkang itu dengan laungan
dan jeritan reformasi.
Sayang seribu kali sayang, jika kita telah terbuai dengan
pencak silat musuh sehingga kita tidak lagi mahu bertarung sebagai seorang pahlawan. Medan
yang kita bina dahulu kita kuburkan sebaliknya kita memasuki medan yang disediakan musuh.
Walhal medan yang disediakan musuh itu sebenarnya penuh dengan tipu daya dan
kelicikannya, yang membuat kita hampir tersungkur. Saya masih ingat cabaran Mahathir
hampir 2 tahun lalu, “jika mahu berpencak silat, masuklah ke gelanggang (politik
pilihanraya)”. Dan pilihanraya lepas telah membuktikan bahawa gelanggang musuh
tersebut sama sekali tidak betah dengan situasi dan keperluan kita. Kita ditipu dan
diperdaya bulat-bulat.
Jika itu hasilnya dan jika seperti sekarang keadaannya,
mengapa kita tidak mahu kembali kepada asas dan kaedah perjuangan kita seperti pada
permulaan dahulu ? Kita telah membuktikan kepada dunia dan kepada Mahathir bahawa laungan
dan jeritan reformasi yang kita lakukan itu telah berjaya menggegarkan kerajaannya.
Perhimpunan saban minggu yang kita adakan dulu itu sepatutnya dihidupkan semula selepas
pilihanraya yang sudah lama berlalu itu. Jika gelanggang pilihanraya yang kita
harungi itu tidak memungkin kita mencapai apa yang kita kehendaki, kenapa tidak kita
nyalakan kembali api reformasi yang telah marak menyala dahulu ?
Saya sudah tidak
meletakkan sebarang harapan dan impian yang nasib Anwar akan berubah melalui proses
mahkamah. Saya tidak mahu mempercayai walau sebesar debu pun akan harapan keadilan dan
pembelaan yang mungkin Anwar perolehi daripada proses perjalanan undang-undang. Keadilan
dan kebenaran melalui proses undang-undang sebenarnya sudah mati dan terkubur di negara
ini. Usahlah diletakkan apa jua harapan dan impian untuk melihat Anwar akan mendapat
pembelaan dan keadilan yang sewajarnya. Selagi Mamak Tongkang itu hidup,
undang-undang dan keadilan hanya berada di hujung lidahnya. Kebenaran hanya pada kepuasan
hawa nafsunya. Enam tahun penjara yang Anwar terima itu adalah bukti ‘keadilan’ yang
mahkamah Mahathir inginkan.
Dan di mahkamah pula, sudah tiada lagi siapa yang boleh
diharapkan di kalangan hakim-hakim tersebut. Hanya di zaman Tun Salleh Abas dahulu sahaja
para hakim benar-benar bebas dan anak jantan. Di zaman Mahathir ini, para hakim hanya
inginkan jaminan dapur mereka sentiasa berasap sahaja. Keadilan dan kebenaran
dipersetankan. Untuk apa ditegakkan keadilan kalau dapur sendiri tidak berasap ? Inilah
pendirian hakim-hakim yang kini menjadi kaldai tunggangan Mahathir.
Kembali kepada
Anwar tadi. Saya berani potong jari bahawa harapan untuk melihat Anwar dibebaskan
melalui proses mahkamah ibarat menunggu unta masuk ke dalam lubang jarum . Insiden-insiden
yang berlaku di depan mata kita, seperti penolakan rayuannya, penolakan memanggil Mahathir
sebagai saksi dan sebagainya, membuktikan bahawa sebarang harapan untuk melihat
keadilan dibuktikan oleh pihak mahkamah hanyalah seperti fatamorgana di padang pasir yang
tandus. Masa semakin berlalu. Anwar semakin mendekati tempoh hukumannya. Meskipun
hati kita memberontak, meskipun hati kita membenci dan meskipun hati kita
teramat marah, namun apakah keupayaan yang kita ada untuk menanganinya? Inilah persoalan
yang perlu kita renungi dengan penuh sedar.
Saya percaya bahawa Anwar hanya akan
mendapat pembelaan daripada rakyat hanya melalui demonstrasi, bukan demokrasi !!
Demokrasi pilihanraya adalah gelanggang musuh yang dipaksakan kita menerimanya
dengan segala penipuan. Tetapi demonstrasi adalah medan kita, upaya kita dan jalan kita
dimana dengannya lah kita bangun dan dengannya lah kita rebah. Adalah lebih terpuji kita
tumbang di medan kita sendiri dari kalah di medan musuh. Dan saya percaya jika kita
kembali kepada kaedah asal perjuangan kita seperti di awal pemecatan Anwar dahulu, nescaya
Mahathir tidak akan senang duduk dibuatnya. Kini bukan sahaja beliau dapat tidur nyenyak,
malah boleh bermimpikan sejuta lagi khayalannya untuk seribu tahun lagi.
Saya
melihat keadaan kita kini kian luntur, kian lemah semangat dan kian melupakan matlamat
asal kita untuk melihat Anwar dibebaskan. Kita seakan sudah berserah kepada takdir dan
mengalah kepada keadaan bahawa itulah nasib Anwar. Enam tahun yang dilaluinya kian
menghampiri dia dan kita semua. Maka kita pun akurlah bahawa akhirnya beliau juga akan
dibebaskan. Saya sama sekali tidak selesa jika cuma ‘masa’ sahaja yang akan
membebaskan Anwar sedang kita cuma termanggu mengenangkan perjuangan yang patah di tengah
jalan. Menyerahkan nasib kepada keadaan bukanlah sifat seorang pejuang. Walhal dulu, kita
pernah melafazkan ikrar, satu Anwar ‘tumbang’ akan bangkit seribu lagi “Anwar”.
Tetapi, kini dimana “Anwar” yang seribu itu ? Adakah yang seribu itu turut sama
terpenjara – atau dipenjarakan oleh impian dan angan-angan seperti Zahid Hamidi ?
Sudahlah suara kita kini dikekang – Harakah tempat kita bergantung harapan telah ditekan
sehingga suara kita kian tenggelam, apakah kita masih mahu menyerah kepada keadaan ?
Sebenarnya
saya cukup cemas memikirkan semangat kita. Membaranya bagai lahar gunung
berapi cuma dek di awal sesuatu isu, tetapi apabila masa berlalu dan hari
berganti, jiwa kita kian longlai dengan keseronokan dan kedamaian bersama anak isteri.
Lantas perjuangan asal kian terpadam dan luntur dari dalam diri masing-masing. Jika
ini keadaannya, memadaikah dulunya kita pedih disimbah air asid dan gas pemedih mata
sedang Anwar pula hampir melayang nyawanya ? Malang sungguh nasib Anwar, membakar
diri untuk menerangi orang lain yang tidak lagi sanggup untuk sama terbakar
dengannya. Bara yang kian padam ini seharusnya dinyalakan semula dengan marak dan percikan
api yang mampu membakar hangus kesombongan jahiliyah yang bersarang di dalam dada si
Mahafiraun itu ! HIDUPKAN SEMULA DEMONSTRASI, PERSETANKAN DEMOKRASI. AYUH KITA ROBOHKAN
TIRAI BESI YANG MELINGKARI KESOMBONGAN MAHATHIR KUTTY !
Salam Reformasi,
Cucu
Datuk Bahaman
|