MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

PANDANGAN DR. SYED 
HUSSIN ALI DISANGKAL

Sebagai seorang yang terlibat secara-langsung di dalam pilihanraya umum tahun lalu saya ingin menyangkal pandangan Presiden PRM Dr. Syed Hussin Ali bahawa “kerjasama di antara parti-parti alternatif hanyalah di peringkat atas dan tidak sampai ke peringkat akar-umbi”.

Pertamanya Dr. Syed Hussin Ali bukanlah orang yang paling layak untuk memberi komen tentang kerjasama di peringkat akar-umbi walaupun beliau adalah presiden sebuah parti Barisan Alternatif (BA) oleh kerana penglibatan PRM di peringkat akar-umbi adalah terlalu terhad.

Saya bukanlah hendak memperkecilkan peranan PRM namun jumlah ahli dan cawangan-cawangan PRM di seluruh negara berbanding dengan parti-parti BA yang lain adalah terlalu kecil. Dengan itu “contact” dan kerjasama di antara PRM dan parti-parti BA yang lain di peringkat akar-umbi adalah terlalu sedikit.

Dengan itu jika di peringkat akar-umbi kerjasama di antara PAS dan KeADILan kelihatan lebih dominan maka ini bukan disebabkan “konsep perkongsian setaraf sesama parti komponen BA belum diamalkan sepenuhnya” tetapi oleh kerana ahli-ahli dan aktivis-aktivis PRM sememangnya tidak ada atau terlalu kecil bilangannya untuk memberikan sebarang impak kepada sesuatu kawasan.

Lebih-lebih lagi pula kawasan-kawasan yang ditandingi oleh PRM adalah juga kecil bilangannya.

Dan Dr. Syed Hussin pula janganlah lupa bagaimana di kawasan-kawasan tersebut parti-parti BA yang lain, terutamanya PAS dan KeADILan, telah bertungkus-lumus untuk memenangkan calon-calon PRM. Malah terdapat kawasan-kawasan di mana parti-parti BA yang lain telah bekerja lebih dari 10 tahun di peringkat akar-umbi untuk menubuhkan Cawangan-Cawangan dan mewujudkan jentera pilihanraya tetapi di atas semangat kerjasama BA telah menyerahkan kerusi-kerusi tersebut kepada PRM.

Satu contoh yang paling baik adalah kawasan Parlimen Ampang Jaya, Selangor Darul Ehsan di mana jentera dan infrastruktur PAS telah wujud lebih dari 15 tahun manakala PRM hanya menubuhkan cawangan mereka 2 bulan sebelum pilihanraya. Walau bagaimanapun tidak berlaku sebarang penghijrahan tenaga-kerja atau pemulauan apabila kerusi tersebut telah ditandingi oleh calon PRM yang menggunakan lambang KeADILan. Malah jentera-jentera pilihanraya PAS dan KeADILan telah digerakkan dengan sepenuhnya untuk membantu calon PRM yang hanya mempunyai tenaga-kerja yang bukan sahaja tidak mencukupi untuk satu kawasan Parlimen malah tidak mencukupi untuk satu daerah mengundi.

Di tempat-tempat di mana PRM bertanding kita dapat menyaksikan juga bagaimana perayu-perayu undi dan polling agent serta counting agent dari PAS dan KeADILan serta DAP bertungkus-lumus untuk calon PRM. Serta bagaimana PAS dan KeADILan menghabiskan masa dan tenaga untuk menganjurkan ceramah-ceramah semata-mata untuk memperkenalkan calon PRM yang selalunya tiba di dalam sebiji kereta sahaja.  

Dengan itu pandangan Dr. Syed Husin bahawa “parti-parti komponen BA mementingkan agenda parti masing-masing” dan “perpaduan sejati tidak tercapai”, adalah satu pandangan yang meleset sama-sekali. Bukankah usaha-usaha yang dinyatakan itu merupakan bukti-bukti yang kukuh bahawa rakan-rakan BA yang lain tidak hanya “mementingkan agenda parti masing-masing” ?

Dan pengorbanan yang paling besar adalah apabila terdapat post-mortem pilihanraya yang menunjukkan bahawa kekalahan tipis calon-calon PAS dan KeADILan di peringkat DUN adalah akibat meletakkan calon PRM di peringkat Parlimen.

Adalah diharapkan Dr. Syed Husin dapat menghargai akan pengorbanan-pengorbanan yang dilakukan oleh rakan-rakan lain di dalam BA kerana pada hakikatnya PRM perlu lebih banyak bersyukur dan berterima-kasih daripada merungut. Pakatan BA telah berjaya menyelamatkan PRM dari mengalami nasib yang sama seperti ikan dugong di Laut Cina Selatan. Masyarakat Melayu sudah tidak lagi menyamakan bendera merah PRM dengan bendera merah Chin Peng dan rakan-rakannya.

Sebenarnya walaupun kerjasama di antara parti-parti BA adalah tidak 100% “perfect” namun ianya adalah terbaik yang dapat dihasilkan di dalam suasana politik masa kini.

Kerjasama ini pula baru sahaja diwujudkan kurang dari 2 tahun berbanding dengan Barisan Nasional yang telah berumur lebih 25 tahun atau pakatan UMNO-MCA-MIC yang telah wujud sebelum Merdeka lagi. Ini ditambah pula dengan media-media yang saban hari ganas meratah pemimpin-pemimpin dan parti-parti BA.

Apa yang diperlukan adalah sedikit masa bagi parti-parti yang terlibat untuk meletakkan “finishing touch” kepada perkongsian yang sebenarnya telah menempa banyak kejayaan. Walau bagaimanapun sebarang tindakan gopoh yang hanya memikirkan perspektif parti masing-masing atau yang berdasarkan teori-teori yang tidak berpijak di bumi yang nyata tanpa memikirkan realiti politik semasa atau pandangan-pandangan di peringkat akar-umbi hanya akan menghancurkan segala apa yang telah dibina setakat ini.

Keadaan juga sudah berbeza sejak pelancaran manifesto bersama tahun lepas. Tambahan pula pilihanraya umum 1999 dan perkembangan mutakhir ini telah dapat menzahirkan tahap kekuatan dan daya tahan setiap parti komponen. Terdapat parti BA yang telah menutup bilik gerakan mereka sejurus selepas pilihanraya. Tetapi terdapat parti yang telah membuka lebih banyak bilik gerakan selepas pilihanraya bulan November tahun lalu. Maka dengan itu sebarang syarat-syarat perkongsian dan bentuk kerjasama mestilah juga berdasarkan realiti tersebut.

Oleh Iskandar A. Samad
Kuala Lumpur
12 Rabiulawal 1421 / 14 Jun 2000

iskanp92@tm.net.my  

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

 counter.bloke.com

TheCounter.Com