|
OSA TINGKATKAN KEKEBALAN MAHATHIR?
Komentar: TARMIZI
MOHD JAM
Sehingga kini, pihak polis sedang
menyiasat dakwaan Ketua Pemuda KeADILan, Ezam Mohd Noor kononnya terdapat lima enam kotak
dokumen rasmi kerajaan yang disimpan di luar negara. Bagaimanapun, para pemimpin Umno
terus memanipulasikan isu ini sebagai isu keselamatan negara dan mengaitkan dokumen
berkenaan sebagai terlindung di bawah Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA). Ezam sudah didakwa
atas isu ini. Perbicaraan sedang berlangsung. Sekali lagi OSA menjadi “alat” untuk
memerangkap Ezam dan apa yang didakwa “enam kotak dokumen rasmi kerajaan” itu. OSA
dipasungkan kepada Ezam bagi menamatkan “ancaman” anak muda itu
Kebimbangan ini makin ketara apabila Anwar membuat dua laporan
polis sebelum ini terhadap Perdana Menteri,
Mahathir Mohamad dan Rafidah Aziz berhubung penyalahgunaan kuasa dalam isu pemberian saham
kepada menantu dan kerugian yang dialami oleh Perwaja Steel di Terengganu. Tokoh lain yang
terbabit termasuklah Abdul Ghani Patail, Mohtar Abdullah dan Eric Chia. Setakat ini
langkah politik yang diambil oleh Anwar dengan melaporkan dua kes kepada polis telah
dianggap menguntungkan rakyat. Sekaligus ianya juga mengejutkan Mahathir dan
kroni-kroninya. Tidak siapa menyangka Anwar yang sudah dipenjarakan di Sungai Buluh, masih
berupaya menggugat kepimpinan Mahathir.
Satu lagi, laporan polis dibuat
oleh Anwar terhadap Mahathir minggu ini. Anwar meminta BPR, Polis dan Peguam Negara
menyeret Mahathir ke muka pengadilan ekoran pendedahan bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk
Shafie Yahya pada 12 Jun lalu. Mahathir menurut Datuk Shafie telah menghalang beliau dari
menyiasat kes rasuah Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi JPM, Tan Sri Ali Abul Hassan
Sulaiman. Mahathir mengarahkan Datuk Shafie menutup kes itu dan menuduh “siasatan” itu
dilakukan oleh Datuk Shafie atas arahan Anwar Ibrahim untuk memerangkap
“orang-orangnya”.
Kekuatan semangat dan tindakan berani Anwar membongkar penyelewengan berhemah pemimpin
tertinggi negara dalam menyalahgunakan kuasa bukan sahaja mendapat perhatian antarabangsa
tetapi, menimbulkan lagi kesedaran baru rakyat terhadap kepincangan kepimpinan Umno dan BN
selama ini. Arus perdana yang cuba dibentuk oleh Mahathir untuk mengabui mata rakyat
kononnya “menyimpan” dokumen-dokumen sokongan seperti yang dikepilkan dalam
laporan-laporan polis Anwar setakat ini; akan mendedahkan negara kepada pengaruh kuasa
asing dan menggugat keselamatan negara; dipandang sepi oleh rakyat.
Kesedaran politik
yang tinggi di kalangan rakyat negara ini, nampaknya tidak terpedaya dengan hujah dan arus
berkenaan sekalipun media kroni memutarkan isu ini secara berat sebelah dan amat
meloyakan. Rakyat mahu, penyelewengan ini disiasat segera dan menteri-menteri terbabit
jika didapati bersalah, patut diberi hukuman yang setimpal dengan kesalahannya tanpa
mengira ianya menteri kecil, menteri kanan atau Perdana Menteri sendiri.
Cadangan Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor supaya sebuah
Jawatankuasa Siasatan ditubuhkan bagi menyiasat segala bentuk penyelewengan yang dilakukan
oleh pemimpin kerajaan jika dokumen tersebut ada menyatakan perkara demikian. Jika ia
berkaitan dengan penyelewengan dan salah guna kuasa pemimpin tertinggi BN, ia tidak boleh
dianggap sebagai rahsia kerana ia amat bertentangan dengan peraturan negara ini.
Pendedahan Ezam dalam ceramahnya di Teluk Intan menjelang
pilihanraya lalu, telah menarik perhatian
media massa dan para pemimpin tertinggi BN mengenai apa yang dikatakan sebagai
“dokomen-dokumen rahsia kerajaan” yang disimpan di luar negara dan Anwar akan
mendedahkannya satu persatu kepada pengetahuan rakyat secara berperingkat-peringkat.
Ekoran dari ini, maka ramailah juak-juak Umno dan BN menggesa pihak kerajaan supaya
menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap Anwar kerana menyeludup keluar dokumen
rahsia kerajaan. Akhirnya, selepas Umno hampir-hampir ditolak oleh orang Melayu dan merasa
terancam, Ezam diseret juga ke mahkamah. Menurut puak-puak Umno ini, perbuatan menyeludup
dokumen rahsia kerajaan adalah satu “pengkhianatan” yang tidak boleh dimaafkan oleh
negara dan rakyat. Tindakan itu melanggar Kanun Keseksaan dan Akta Rahsia Rasmi Kerajaan
(OSA) 1973.
Soalnya, apakah benar dokumen-dokumen yang disimpan di luar
negara ini rahsia kerajaan dalam erti kata undang-undang negara atau sekadar beberapa
dokumen mengenai penyelewengan dan rasuah pemimpin teratas negara kita? Timbalan Presiden
PAS, Haji Abdul Hadi Awang berpendapat OSA yang berjalan sekarang tidak lagi memelihara
rahsia kerajaan untuk keselamatan negara tetapi sebaliknya, cuba untuk melindungi
kepentingan pemimpin yang tidak telus.
“Perkara ini sudah berkali-kali dibahaskan di Parlimen,
termasuklah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menjadi pelindung dan penyelamat
kepada pemimpin-pemimpin tertentu,” tegas beliau ketika berceramah di Sungai Tekali,
Kuala Langat tidak hujung tahun lalu. Jika kedua-dua akta ini dihapuskan dari
berkuatkuasa, kedudukan sesetengah pemimpin Umno dan BN dikhuatiri akan terjejas kerana
segala fail “penyelewengan” mereka akan dibuka semula dan dibawa ke muka pengadilan.
Timbul dua persoalan akibat dari isu dokumen di luar negara
ini. Pertama, keselamatan negara terancam dan keduanya, kedudukan pemimpin tertentu tidak
selamat. Tetapi apa yang pelik bin ajaibnya, pernah suatu ketika dahulu ruang atau
sempadan udara negara kita dicerobohi oleh pesawat Singapura (negara terancam dan tidak
selamat) tetapi tiada tindakan tegas diambil dari pihak kerajaan yang ada sekarang. Mereka
sekadar mengutuk dari jauh kerana ianya tidak menyentuh kedudukan politik mereka dalam
negara.
OSA sebenarnya adalah akta yang boleh menafikan hak rakyat
negara ini dari mendapat, memperkatakan atau membocorkan apa-apa sahaja yang disifatkan
oleh kerajaan sebagai rahsia. Mereka yang bersalah melanggar akta ini akan dipenjarakan
sekurang-kurangnya satu tahun. Akta ini menjadi perisai kepada orang-orang tertentu yang
berkuasa dalam kerajaan. Selain dari Mahathir selaku PM, suku-sakat dan kroni-kroninya
mungkin mendapat manfaat dari akta sedemikian rupa. Di sebalik perisai ini juga, segala
skandal, muslihat dan matlamat mereka terlindung dari siasatan rakyat.
Tidak siapa dapat menafikan bahawa Akta Rahsia Rasmi (OSA) ini
sangat mudah untuk disalahgunakan seperti juga ISA. Apakah yang boleh disenaraikan sebagai
rahsia rasmi kerajaan? Pada mulanya, pindaan OSA yang dibacakan pada kali pertama di Dewan
Rakyat , 27 Oktober 1986; jadual rasmi itu telah
menggariskan tujuh perkara seperti berikut:
1.
Suratan, rekod kepunyaan dan pertimbangan jemaah menteri, termasuk jugalah suratan,
rekod keputusan dan pertimbangan jawatankuasa jemaah-jemaah menteri.
2.
Suratan, rekod keputusan dan pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,
termasuk juga suratan, rekod keputusan dan pertimbangan jawatankuasa-jawatankuasa Majlis
Mesyuarat Kerajaan Negeri.
3.
Suratan berkenaan dengan keselamatan negara, pertahanan negara dan perhubungan
antarabangsa.
4.
Suratan berkenaan perhubungan di antara Persekutuan dan Negeri.
5.
Suratan dalam bentuk atau berhubungan dengan pendapat, nasihat atau syor
mengenai kuat kuasa dan fungi kerajaan dan perkhidmatan awam.
6.
Suratan berkenaan dengan tender mengenai apa-apa pembelian rasmi, permintaan untuk
kerja, bekalan, perkhidmatan dan projek.
7.
Suratan berkenaan dengan ekonomi negara yang ada hubungan dengan mata wang,
cadangan belanjawan dan pelaburan.
Soal salah guna dalam mana-mana
undang-undang sepatutnya tidak berbangkit kecuali undang-undang itu mempunyai kelemahan.
Undang-undang mestilah lengkap, sempurna, berkesan dan adil. Sebarang undang-undang tidak
harus ada ruang bagi sebarang salah guna kerana sebarang salah guna yang dilakukan sudah
tentu akan menindas orang lain. Sebab itulah, undang-undang ciptaan manusia tidak boleh
diluluskan dalam masa satu atau dua hari dan tidak terkecuali OSA ini bukan sahaja lemah
malah ianya amat mudah untuk disalahgunakan untuk kepentingan pemimpin tertentu.
Apa yang dikatakan
dokumen-dokumen rahsia kerajaan seperti yang didakwa oleh Ezam itu, tentulah amat
“membimbangkan” Mahathir. Pendedahan Anwar yang berani dan dipercayai oleh rakyat
tidak mungkin dapat menyelamatkan imej dan pengaruhnya. Sebagai manusia biasa, Mahathir
akan tewas dan tumbang akhirnya jika pembangkang khususnya Anwar terus menyenaknya dengan
isu-isu “penyelewengan” yang mensabitkan Mahathir. Lambat laun kekebalan Mahathir akan
musnah dan tumpas ditangan rakyat apabila imej yang dibinanya selama ini “runtuh”
akibat pendedahan demi pendedahan “perlakuan” buruknya terhadap rakyat dan negara.
Sehingga hari ini, OSA tidak ubah
menjadi akta yang meningkat dan menebalkan lagi imuniti atau kekebalan Mahathir dari terus
didakwa atau diheret ke laman pengadilan!
Bagaimana jika Anwar, terus
membuat laporan polis dan menyeret lebih ramai lagi pemimpin-pemimpin kanan Umno dan BN ke
muka pengadilan atas isu penyelewengan dan rasuah? Sudah tentulah, ia akan memberi
sumbangan yang besar kepada pembangkang dan melajukan lagi runtuhnya empayar Umno dan BN
menguasai negara ini pada 2004 nanti!
18 Jun 2000, Ahad |
Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com
TheCounter.Com |