RASUAH: SIAPA BERANI TANGKAP MAHATHIR?
Komentar: TARMIZI MOHD JAM
Sri Gombak: Tidak ada media cetak ataupun media elektronik di negara ini yang berani
meletakkan diri Mahathir sebagai orang yang mesti disensasikan “perlakuan” buruknya
terhadap sejarah politik tanahair. Harakah menyiarkan secara besar-besaran
“perlakuan” buruk Mahathir itu dengan menjadikan tajuk utama berita.
Media arus perdana, Berita Harian, Utusan Malaysia, TV3, RTM, NTV7 dan lain-lain media
dokongan kerajaan yang sewaktu dengannya, cuba
menggelapkan “perlakuan” buruk Mahathir itu dari diketahui oleh rakyat secara rasmi.
Mereka tidak lagi ghairah memutar-belit atau memegakan “perlakuan” buruk yang
sensasi itu kerana sudah diikat oleh tuan-tuan mereka.
Mahathir tentunya selamat dari dimalukan. Media pula tidak teragak-agak untuk membungkus
apa sahaja “perlakuan” buruk Mahathir
itu dalam gebar selimut mereka. Harakah yang hanya menemui pembacanya setiap
dua kali sebulan, sudah dianggap tidak mengasak dan menyenak Mahathir.
Tidak banyak berita baru dan terkini, dapat dilontarkan kepada pembaca dalam
keadaan “peristiwa” bergerak pantas meniti masa yang amat singkat.
Pendedahan bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk Shafie Yahya Isnin lalu (12 Jun 2000)
terhadap “perlakuan” buruk Mahathir amat mengejut dan menggemparkan negara. Mahathir
kata Datuk Shafie, telah mengarahkan beliau menutup siasatan rasuah terhadap bekas Ketua
Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negara, Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman.
Mahathir telah memanggil Datuk Shafie ke Pejabat Perdana Menteri pada bulan Jun 1998 dan
memarahi beliau kerana menggeledah Pejabat Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi, JPM
dan memperolehi wang tunai sebanyak RM100 ribu ringgit. Sejurus selepas itu, Mahathir
mengarahkan sisatan terhadap kes itu ditutup.
Tindakan politik yang berani ini, didorong oleh rasa “sakit hati” Mahathir terhadap
Timbalannya pada waktu itu, Anwar Ibrahim. Mahathir menuduh “kununnya” arahan untuk
menyiasat Ali Abul Hassan itu dibuat oleh Anwar untuk memerangkap “orang-orangnya”
(Mahathir).
Datuk Shafie menafikan, tindakan itu adalah atas arahan Anwar. Tetapi, katanya lagi, ia
dibuat setelah mendapat beberapa aduan terhadap diri Ali Abul Hassan dan beliau hanya
menjalankan tugasnya sebagai badan yang mengawasi segala kegiatan jahat yang berupa
rasuah. Datuk Shafie kesal dan amat kecewa (disillusioned) terhadap perbuatan keji
Mahathir yang melanggar etika, membaham piagam kerajaan, menodai undang-undang dan
meliwat amanah rakyat yang diputuskan di parlimen; dengan beliau melindungi secara
terang-terangan perlakuan rasuah, yang amat ditentang oleh negara.
Lakonan Mahathir sekali lagi “terpancar” dibenak kepala kita. Pada hari Perhimpunan
Agung Umno dulu, kini dan selamanya,
Mahathir dengan wajah yang lembut, waras, pemalu, hampir warak dan gigih dalam
perjuangan, mengajak para perwakilan, ahli-ahli Umno dan rakyat negara ini, untuk
menendang politik wang dan memasung rasuah. Katanya, rasuah adalah musuh negara sama
macam dadah yang boleh merosakkan Umno, kerajaan dan rakyat.
Rupa-rupanya, lakonan dengan kesan bunyi itu, membungkus satu cerita berkenaan “rasuah
elit” kalangan pemimpin tertinggi kerajaan. Ali Abul Hassan ibarat janggut dengan dagu
bagi Mahathir. Antara Ali dan Mahathir sudah tentu mempunyai kaitan dan ikatan yang
memiliki seribu kepentingan dalam jawatan masing-masing. Unit itu, bukanlah Unit
Perancang Keluarga atau Unit Pusat Universiti, yang hanya bertindak menyelaras suatu
urusan yang tidak mendatangkan “fulus”.
Unit Perancangan Ekonomi, JPM tentu sekali satu unit yang dikawal selia oleh Mahathir
sendiri dalam mengagihkan segala projek pembangunan dan ekonomi negara. Kaitan ini amat
penting dalam membangunkan projek-projek di bawah “pengswastaan” negara.
Mahathir seperti keterangan yang dibuat oleh Datuk Shafie
adalah “tertuduh” yang patut dihadapkan ke mahkamah untuk diadili. Tuduhannya
amat nyata, jelas dan terang bersabit penyalahgunaan kuasa, melindungi perasuah serta
menghalang perjalanan proses keadilan.
Dan ini adalah kesalahan mengikut Ordinan 22 Akta Darurat 1960 dan Akta Pencegahan
rasuah 1997. Natijah dari sabitan yang cukup jelas inilah, maka media arus perdana yang
sudah dikepung oleh tuan-tuannya menjadi “buta” mata dan “pekak” telinga mereka.
Mata pena mereka tiba-tiba tumpul dan patah. Dakwah bertaburan. Kamera TV terlingkup dan
pemacar radio, tembuk dan tembus dari
menerima gelombang.
Sudah jelas lagi bersuluh. Akhbar-akhbar dan media elektronik negara ini memejamkan mata
dan menumpulkan pena apabila “perlakuan” sumbang ini datangnya dari jenama paus
nombor wahid negara. Mahathir tidak boleh disentuh. Siapa berani “menyumbat”
Mahathir dalam media cetak dan media elektronik arus perdana, maka
“tungggang-langganglah” periuk nasi mereka dan tamatlah “rezeki” mereka.
Anwar Ibrahim dalam laporan polisnya di Balai Polis Jalan Stadium (No. 14752/2000) pada
13 Jun 2000 telah menggesa BPR dan pihak polis agar memulakan siasatan terhadap kes ini.
Kes “perlakuan” buruk Mahathir terhadap kedaulatan undang-undang. BPR dan Polis
adalah badan yang diamanahkan untuk memikul undang-undang dan melaksanakannya tanpa
pilih kasih barang sedikitpun.
Imej polis dan BPR akan menjadi lebih tercemar sekiranya mereka terus berlengah dan
berlengah dalam membuat sebarang siasatan. Kedua badan ini, tidak ada pilihan lain,
melainkan meneruskan siasatan kerana bukti dan keterangan sudah ada di depan mata. Jika,
Mahathir telus dan tidak campur tangan dalam siasatan ini, nescaya, “perlakuan”
buruk ini akan dapat ditamatkan dan pesalah akan menikmati hukuman.
Apakah ini akan berlaku? Dan mungkinkah Mahathir akan mencipta “Perkara Ke sembilan
Ajaib Di Dunia” dengan membenarkan siasatan itu dibuat terhadap Ali Abu Hassan dan
dirinya sendiri. Tidak mungkin? Nahi, nahiiii, nahiiii
Polis dan BPR pada kali ini, pastinya akan membuktikan kepada rakyat betapa mereka akan
bertindak secara matang dan professional dalam menghadapi sebarang kes. Kenyataan itu
dibuat secara umum. Ini membawa makna, termasuklah kes yang jika dilakukan oleh seorang
kepala negara, dalam negaranya.
Mahathir sudah terlalu kebal. Bukan sahaja tidak lut dek undang-undang malah tidak siapa
berani “meratahnya” dalam Perhimpunan Agung Umno pada Mei lalu. Setelah imuniti
Raja-Raja Melayu ditumpaskan, Mahathir memiliki kekebalan yang agak luar biasa. Peguam
Negara dan badan kehakiman yang berada di bawah ketiaknya juga memberikan input yang
ajaib bagi menyalut badannya yang sememang kebal itu. Apatah lagi, BPR dan Polis.
Penyerahan bidang kuasa kepada Pak Lah untuk menjaga Kementerian Dalam Negeri, tidak
banyak membantu untuk mengembalikan imej polis dalam meyakinkan rakyat terhadap isu-isu
yang mensabitkan ikan-ikan kelas jerung dan paus ini.
Mampukah Pak Lah menggunakan “kebijaksanaan” di KDN itu, untuk menyumbang sedikit
kekuatan bagi membenarkan Mahathir disiasat dan diselongkar. Giliran Pak Lah, untuk
membuktikan “ketelusannya” kepada rakyat, mungkin jauh panggang dari api. Inilah
masanya, Pak Lah menunjukkan “jasa” dan “bakti” pada Mahathir. Siasatan tidak
mungkin berlaku jika Pak Lah tidak setuju. Jika Pak Lah berminat untuk menunjukkan
“ketelusan” itu, maka riwayat politiknya dan cita-cita meganya untuk menggantikan
Mahathir bukan sahaja menemui jalan buntu, tetapi bantut dan mati meragan.
Kata Anwar Ibrahim, sudah mnejadi rahsia
umum bahawa laporan polis, keterangan, tuduhan bukti yang dikemukakan sebelum ini
terhadap PM itu, Menteri-Menteri naungannya, akan diketepikan dan disudutkan disatu
sudut. Tindakan keras dan tegas, dipasungkan kepada musuh-musuh politiknya.
Pendedahan berani Datuk Shafie Isnin lalu, mengukuhkan lagi hujah dan bukti betapa
selama ini, kata Anwar, Mahathir adalah perasuah besar dan pelindung utama perasuah
besar yang lain. Mahathir tidak malu mencemuh segala kegiatan rasuah tetapi dalam
selimutnya penuh terpalit “tahi-tahi” rasuah yang busuk dan membusukkan.
Mampukah pula Peguam Negara meluncur ke depan Mahathir untuk mendapatkan keterangan?
Keyakinan rakyat agak tipis untuk membolehkan Peguam Negara bertindak secara
professional terhadap Mahathir, tuannya. Kedudukannya, tidak jauh berbeda dengan BPR dan
pihak polis. Tersepit dan terjepit. Terkangkang dan dikangkang.
Mahu tidak mahu, boleh tidak boleh, pihak polis, BPR dan Peguam Negara harus berani
mendepani isu ini. “Perlakuan” buruk Mahathir mesti ditamatkan segera melalui
tindakan undang-undang negara. Mereka tidak boleh membiarkan diri mereka terus
terperangkap dengan arahan perasuah dan membelakangkan hokum dan undang-undang.
Sesuatu perlu dilakukan segera bagi meyakinkan rakyat terhadap penyiasatan, kewibawaan
dan imej pasukan penyiasat, pendakwa bahkan juga badan kehakiman negara yang sudah
dicemar dan tercemar.