MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

AYUH! KITA BERDEMO CARA AMAN

Oleh Pena Suasa

MULANYA dirasakan tidak perlu dilayan tulisan-tulisan dalam media arus perdana tetapi bila mereka menyentuh kononnya internet (yang mereka maksudkan laman-laman pro reformasi) menyebar rancangan untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran di mahkamah bagi menyambut keputusan kes bekas Timbalan Perdana Menteri pada 4 Ogos ini, maka perlu kita berikan sedikit pendapat.

Pendapat ini bukan untuk menafikan arahan Menteri Dalam Negeri atau Ketua Polis Negara (IGP) tetapi untuk memberitahu media massa arus perdana bahawa mereka sebenarnya memulakan provokasi.

Kenyataan-kenyataan pihak berkuasa disiarkan dengan harapan demonstrasi tidak berlaku tetapi apabila segelintir atau sebilangan kecil sahaja yang menghadiri demonstrasi itu, maka mereka (media massa) akan menulis pula, “kumpulan reformasi semakin kecil dan tidak mendapat sambutan”.

Tulisan-tulisan ini sebenarnya ditulis oleh penulis lama yang tidak perlu menyembunyikan diri dengan nama-nama seperti Abu Zar Samadi, Batu Pahat, Johor dan sebagainya kerana ‘penulis jenis bersembunyi’ di sebalik sehelai lalang ini sudah diketahui tujuannya.

Dalam sebuah negara demokrasi, demonstrasi sebenarnya boleh. Ada peruntukan perlembagaan membenarkan sedemikian, menyatakan perasaan dan pendapat secara aman. Malangnya, polis biasanya merancang, memulakan sesuatu, dengan tujuan, penunjuk perasaan ini boleh terperangkap dengan provokasi.

Bila kepala konspirator utama, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad menyebut bahawa mereka yang menghadiri demonstrasi ini merancang untuk mencetuskan keganasan, maka bermesyuaratlah polis untuk mengiyakan apa yang Dr. Mahathir katakan. Jika tidak, maka malulah Dr. Mahathir bercakap tanpa asas.

Sedaya upaya, akan ada anggota polis yang menyamar sebagai seorang anggota demonstrator memulakan langkah membaling polis dan sebagainya dan menyebabkan polis kononnya bertindak balas.

Lakonan ini adalah dari filem lama. Ia sudah berkali-kali diulang tayang dan menyebabkan rakyat sudah tahu kisahnya. Malangnya, apabila mereka menahan para demonstrator, dakwaan akan dibuat di mahkamah yang semakin disangsikan ketelusan dan keadilannya. Maka, bercakaplah para ‘burung terkukur’ yang diajar oleh Dr. Mahathir untuk berkata sedemikian.

“Kita ada bukti mereka bawa “malakov cocktail” dan sebagainya. Inilah tuduhannya dan inilah yang akan jadi dialog para “burung terkukur” ini untuk dilaporkan oleh media massa pro pemerintah bagi mengiyakan apa yang mereka tuduh.

Sebenarnya tiada siapa yang merancang untuk membuat kekacauan. Tiada siapa yang hendak melakukan rusuhan. Malahan, jika pihak polis bersikap ‘mesra rakyat’ segala-galanya berjalan lancar.

Malang bagi rakyat Malaysia, pihak polis sudah tidak berkhidmat untuk negara. Mereka adalah anggota PDrM atau dengan lain perkataan Polis Dr. Mahathir. Maka, tugas mereka hanyalah apa yang diarahkan oleh kepala konspirator ini dan bukan berkhidmat untuk negara mereka.

Rakyat pembayar cukai sebenarnya berhak untuk bersuara di negara mereka. Gaji polis dan gas pemedih mata yang mereka gunakan itu bukan wang polis sebaliknya wang dari cukai rakyat. Rakyat mestilah dianggap ‘raja’ dan polis tidak boleh bertindak sesuka hati, asalkan Perdana Menteri seronok.

Dalam kejadian rampasan senjata dan sebuah kereta peronda polis di Selayang baru-baru ini, Polis Selangor cukup cepat mengenakan tindakan menggantung kerja dua anggota polis berpangkat lans koperal. Tetapi dalam kes bekas IGP, Tan Sri Abdul Rahim Nor, siasatan yang dijalankan tiada menemui sebarang bukti hinggalah Suruhanjaya Siasatan DiRaja ditubuhkan.

Jika Dr. Mahathir tahu erti demokrasi dan tidak menyorok di sebalik ketakutan sokongan yang cukup kuat terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim, usah diugut mereka yang mahu menyertai demonstrasi 4 Ogos depan. Usah akhbar digunakan kerana tulisan-tulisan yang tersiar di halaman pendapat dan surat pembaca memang ditulis oleh seorang berdua yang ‘kuat mengampu’ Dr. Mahathir.

Mereka hanya mahu menyenangkan hati Dr. Mahathir dengan cerita ampu-ampuan tetapi hakikat sebenarnya, akhbar mereka jatuh merosot jumlah edaran kerana rakyat sudah muak, loya dan meluat selain getek untuk membeli dan membacanya.

Ketua Pengarang dan para wartawan mereka hanya menjadi penulis syok sendiri, selain dari menjadi perkakas kepada pihak berkuasa yang semakin risau dengan penentangan rakyat. Paling mereka risaukan, kakitangan kerajaan sendiri tidak mahu percaya cakap pemimpin dan tragedi Sauk masih terus dikatakan sandiwara kerana “keyakinan” sudah hilang dari dada mereka.

Untuk apa lagi akhbar, Dr. Mahathir dan Abdullah Badawi berleter saban hari? Bukankah itu membuang masa namanya? Cukup-cukuplah mendengar nasihat Zainuddin Maidin, wartawan pengampu maha dahsyat itu. Anak didiknya, Astora Jabat juga dibenarkan terus menerus menjalankan jarum yahudinya untuk memesongkan akidah umat Islam. Dia akhirnya akan lari balik ke Thailand, negara asalnya dan meninggalkan pelbagai kekeliruan yang bukan sedikit.

Cukuplah Dr. Mahathir. Cukuplah Pak Lah. Cukuplah sandiwara dan lakonan yang berjela-jela. Hadapilah rakyat dengan kebenaran dan hakikat. Usah terus menerus zalim kerana pemimpin yang zalim tidak akan selamat di dunia mahupun di akhirat.

Para penyokong dan pendokong reformasi, ayuh marilah kita sama-sama, dengan aman menghadiri mahkamah tinggi untuk menyambut keputusan terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pemimpin negara yang dizalimi. Usah cetuskan huru hara dan usah memperdulikan provokasi pihak polis. Kita berselawat ramai-ramai dengan aman. Dunia akan tahu siapa yang ganas dan siapa yang tidak.  

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com