MAHATHIR MENGGELUPUR SAAT-SAAT TERAKHIR
Bahagian 1
Oleh: Fathi Aris Omar
[emel:
faomar@yahoo.com]
Ikan, jika dibiarkan beberapa ketika di atas
daratan, akan melompat-lompat. Pertama, kerana tidak tahan berada di luar alam air.
Kedua, lompatannya itu bertujuan mendekatkannya ke arah sumber air. Memang tabiat ikan
di daratan -- ia akan terus melompat-lompat walaupun ada waktunya sia-sia. Malah, lagi
banyak dan lama melompat, semakin hilang tenaganya dan kian dekatlah saat-saat
nazak.
Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, kini seperti
ikan itu. Umno dan kerajaan yang diwakilinya itu kini menunjukkan ciri-ciri ikan yang
berada di luar air -- melompat-lompat, insangnya tercungap-cungap, berlendir dengan
harapan akan terselamat. Maaf, kali ini air sudah kering untuk Mahathir! Mahathir memang
diburu kegusaran yang luar biasa sejak dosanya memecat timbalannya tidak tertebus. Dia
harus berbohong 10 kali untuk menutup satu lubang pembohongannya. Tetapi malangnya,
Mahathir tidak berbohong sekali sahaja. Maka banyaklah lubang-lubang pembohongan yang
harus digali untuk menutup lubang pembohongan yang asal. Kesian...
Siakap senohong, gelama ikan duri; bercakap bohong, lama-lama hilang kerusi Perdana
Menteri! (he, he, he)
Jentera Umno dan kerajaan tidak mampu lagi
menolong Mahathir. Malah, ahli Umno sendiri pun meluat pada seorang presiden seperti
Mahathir. Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai, Perdana Menteri itu
"sungguh bimbang" apabila diberikan taklimat awal tentang rampasan senjata di
dua kem pada awal pagi 2 Julai lalu. Mahathir sendiri mengaku bahawa pada mulanya beliau
menduga kumpulan itu bertujuan "memberontak" tetapi mujurlah rupa-rupanya
pertubuhan silat Al-Ma'unah tidak bertujuan begitu.
Pada minggu pertama memecat Anwar dan menuduhnya
meliwat (September, 1998), Mahathir mengetatkan kawalan keselamatan ke atas dirinya.
Beliau tidak lagi tinggal di kediaman rasminya di Seri Perdana. Sebaliknya tinggal jauh
dari pusat bandar Kuala Lumpur. Wartawan-wartawan media arus perdana diperhatikan.
Kawalan dan tapisan mereka yang layak membuat liputan sidang akhbar PM diperketatkan.
Pemberita lelaki yang berjanggut "disyaki" penyokong bekas timbalannya. Pernah
suatu hari, ketika Mahathir begitu asyik dan khayal berbicara dalam sidang medianya,
sebuah alat perakam suara "meletup." Terperanjat besar Mahathir dan beliau
kelihatan sangat terkejut dan berpeluh di dahi. Rupa-rupanya bukan bom; bukan juga
peluru.
Kumpulan wartawan media arus perdana itu turut
terkejut besar. Bukan kerana bunyi "letupan" itu tetapi kerana melihat gelagat
Mahathir yang panik dan kaget tidak berhujung pangkal. Rupa-rupanya, alat perakam itu
"meletup" kerana pita kasetnya sudah habis, maka butang rekodnya pun
tertendang secara automatis! Hai, pemimpin berdosa... di mana-mana pun dibayangi rasa
bersalah yang amat sangat.
(bersambung ke bahagian 2 esok.... )