FILEM KONSPIRASI SINONIM KES ANWAR
Sdra webmaster,
Anda sempat menonton filem dunhill double bertajuk 'In the name of
the father' yang ditayangkan dalam RTM2 pada malam 28 Julai? Sungguh menarik filem ini
kerana ia ada kaitan dengan apa yang sedang berlaku di negara kita sekarang.
Kisahnya
ialah mengenai seorang pemuda berbangsa Irish di atas desakan ayahnya, telah
berhijrah ke London tatkala Ireland di landa dengan masalah IRA. Malangnya semasa di
London, suatu pengeboman yang dilakukan oleh pihak IRA telah berlaku dan pemuda ini dengan
tidak semena mena, telah ditangkap kerana disyakki terlibat dengan kejadian tersebut.
Semasa dalam tahanan beliau telah ditorture oleh pihak polis supaya mengaku
bahawa beliaulah yang melakukan pengeboman tersebut. Polis memang desperate semasa itu
untuk mencari siapa yang melakukan pengeboman tersebut. Untuk mendapat pengakuan dari
pemuda tersebut berbagai tektik digunakan oleh pihak polis sehingga menggugut nak menembak
bapanya!
Malang sekali baginya, kawannya yang juga tertangkap, setelah diugut dengan
pistol disumbat dalam mulutnya, tiba-tiba mengaku walaupun mereka berdua memang tidak terlibat
dan tidak bersalah.Oleh kerana tidak tahan dengan seksaan dan deraan polis, maka mahu tak
mahu pemuda ini menandatatangani kenyataan bahawa beliau melakukan pengeboman tersebut.
Bapanya setelah mendapat berita anaknya ditahan, telah pergi ke London dengan
tujuan untuk membela anaknya. Malang sekali, semasa di London, beliau dan beberapa orang
lagi yang berbangsa Irish telah ditangkap oleh polis dalam satu perangkap dan
serbuan polis.
Bukti-bukti telah direka cipta oleh pihak polis dalam serbuan tersebut. Setelah
di dakwa dalam mahkamah dengan hakim yang beriya-iya benar nak menjatuhkan hukuman terhadap
orang-orang ini, maka kesemua mereka didapati bersalah dan hukuman dijatuhkan.
Pemuda tersebut
dikenakan hukuman penjara seumur hidup manakala ayahnya selama 30 tahun. Seorang gadis
remaja yang baru berumur berbelas tahun juga dikenakan hukuman selama 30 tahun. Maka
pemuda dan bapa pun menjalani hukuman mereka dalam penjara dan semasa dalam penjara
pengebom yang sebenar telah ditangkap dan didapati bersalah dan semasa menemui pemuda dan
ayahnya dalam penjara, beliau telah mengaku beliau melakukannya dan mereka berdua tidak
bersalah dan telah dianiaya.
Maka si bapa yang yakin mereka tidak bersalah menghubungi
seorang peguam untuk meneliti kes ini semula. Dalam keadaan yang amat rumit, peguam
tersebut pun mulalah mencari bukti-bukti baru tapi apabila dicuba untuk membawa kes tersebut
beliau menghadapi beberapa halangan khususnya dari pihak polis dan pejabat kehakiman.
Malang sekali, si ayah mati semasa dalam tahanan disebabkan sakit. Satu kempen
melibatkan rakyat jelata pun dimulakan yang mendesak supaya semua yang difitnah ini diadili semula dalam
mahkamah.
Atas desakan, mahu tak mahu kes tersebut dibuka semula
dan di bawa ke mahkamah dan dalam mahkamah, peguam wanita yang mewakili tertuduh tertuduh
telah menunjukkan bukti-bukti kukuh bahawa pihak polis telah mendera pemuda tersebut dan cuba
menyorokkan bukti-bukti itu. Hakim yang sama telah cuba berdolak dalih dan menuduh peguam wanita
tersebut membuat ucapan politik dalam mahkamah. Mahkamah menjadi kelam kabut. Para peguam pun
kelam kabut dan akhirnya, kerana maruah badan kehakiman nampak terjejas, kesemua yang
tertuduh terpaksa dibebaskan setelah menjalani hukuman selama 15 tahun. Setelah difitnah
dan dianiaya oleh pihak polis!
Cerita ini memang seronok kerana ia ada kaitan dengan
kes DSAI-bagaimana cerita salahlaku DSAI dihebohkan dalam media media sebelum kes tersebut
di bawa ke mahkamah, penderaan terhadap Dato Nalla yang dikenakan ugutan ISA, penderaan
terhadap Sukma dan Dr Munawar yang dipaksa mengaku diliwat oleh DSAI dan perangai hakim
Agustine Paul dan Arifin Jaka.
Maka jangan terperanjat jika kumpulan Al Maunah sedang
didera oleh pihak polis dan mereka akan muncul kelak dalam kaca TV untuk membuat
pengakuan! Seperti yang cuba di tonjolkan dalam filem tersebut, hanya desakan dari rakyat
sahaja yang boleh menegakkan keadilan. Fikirkanlah!
REFORMIS RTM