MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

PERSAMAAN-PERSAMAAN DI DALAM FILEM DI TV2

Pada hari Jumaat 28 Julai TV2 telah menyiarkan satu filem yang bertajuk “In The Name Of The Father”.

Filem di dalam siri “Dunhill Double” itu adalah mengenai dakwaan palsu dan hukuman ke atas beberapa orang yang kononnya telah mengebom sebuah “pub” di London pada awal tahun tujuh-puluhan. Cerita ini adalah kisah yang benar berlaku.

Mereka yang terbabit itu telah dituduh sebagai ahli kumpulan IRA ( Irish Revolutionary Army ) yang menuntut kemerdekaan Ireland Utara dari Britain. Mereka yang dituduh itu terdiri dari 4 orang yang dikenali sebagai “Guildford Four”. Turut didakwa dan dijatuhkan hukuman adalah saudara-mara mereka yang dikatakan sebagai “mastermind” di dalam mendapatkan bom dan merancangan pengeboman yang meragut 5 nyawa.

Walaupun cerita di dalam filem ini berlaku di England dan Ireland namun saya ingin menarik perhatian kita semua kepada beberapa kejadian dan fakta di dalam  filem tersebut untuk renungan kita bersama :

  1. Pihak Polis telah melakukan konspirasi untuk mendakwa orang-orang yang tidak bersalah dengan menyembunyikan bukti-bukti penting.

  2. Pihak Polis yang menggunakan penipuan, ugutan untuk membunuh, deraan mental dan deraan fizikal ( tumbuk, sepak, menyepit kemaluan dsb ) untuk mendapatkan mangsa-mangsa membuat pengakuan palsu bahawa mereka telah melakukan jenayah tersebut.  

  3. Penangkapan di tengah malam dengan penuh kelengkapan ( Polis, tentera dan kereta perisai ) yang mengerikan dan tanpa belas-kasihan.

  4. Setelah ditangkap orang yang ditahan tidak dibenarkan berjumpa peguam atau sesiapa sekalipun dan keluarga mereka tidak diberitahu di mana dia berada.  

  5. Serbuan yang ganas ke atas rumah-rumah orang yang tidak berdosa di mana terdapat budak-budak kecil, kaum wanita dan orang-orang tua.  

  6. Tuduhan palsu yang tidak masuk akal bahawa seorang wanita tua dan remaja berumur 14 dan 17 tahun terlibat di dalam kegiatan membuat dan membekalkan bom serta merancang pengeboman.  

  7. Pegawai-pegawai Polis yang berbohong di mahkamah supaya mangsa-mangsa didapati bersalah.

  8. Pihak Polis yang enggan mengakui kesalahan mereka apabila penjenayah yang sebenarnya telah dikenalpasti dengan membiarkan mereka tidak bersalah itu terus merengkok di dalam penjara sehingga lebih 15 tahun.

Saya berada di England ketika berlakunya demonstrasi-demonstrasi di seluruh England menuntut keadilan ke atas mereka yang dizalimi itu.

Walau bagaimanapun ketika itu saya tidak terfikir bahawa peristiwa-peristiwa tersebut dan kes “Guildford Four” akan mempunyai apa-apa “relevance” kepada negara kita. Tetapi lebih 10 tahun kemudian saya rasa sesiapa yang menyaksikan filem tersebut sudah tentu akan dapat membuat rumusan-rumusan yang sepatutnya.

Walau bagaimanapun apa yang menghairankan saya adalah “timing” filem tersebut di siarkan – beberapa sebelum tarikh keramat 4 Ogos dan di dalam keadaan PAS sedang difitnah dengan hebat oleh UMNO-Barisan Nasional.

© Bakhtiar Effendi 2000
29 Julai 2000

 

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com