MGG47/
INTERNET
DAN PERSEPSI PEMBERITAAN YANG BERUBAH
(The
Internet And The Changing Perception Of News)
Artikel ini adalah sumbangan saya
di sebuah majalah internet, baru-baru ini-MGG Pillai
Televisyen telah
dipergunakan seluasnya ketika Perang Vietnam dulu; mesin faks mencapai tahap keunggulannya
ketika revolusi Tienmen meletup; rangkaian internet telah menyerlahkan
cabaran 'reformasi' di Malaysia. Tiga puluh lima tahun yang berlalu sejak
penonjolan imej televisyen hinggalah kepada peranan internet yang mencapai tahap
kerasmiannya, telah menukarkan persepsi manusia kepada rupa bentuk pemberitaan. Tetapi,
pembentukan semula masyarakat ini bukanlah satu fenomena yang baru. Reformasi tercetus di
Eropah dulu hasil daripada kemajuan pembelajaran. Ini merupakan satu penerjahan terhadap
para rahib yang mengawal para pengikutnya, persis perasaan seorang penganut Islam masa kini
yang merasakan kejengkelannya terhadap penganut agama anutannya. Apabila
manusia semakin terpelajar, mereka lebih cenderung untuk menyelongkar setiap muslihat
yang mengelirukan mereka secara tersendiri. Sikap ini kerap mencetuskan satu
pertembungan di antara mereka dengan pihak yang berkuasa. Setiap bentuk komunikasi
yang baru pasti mencemaskan pihak yang berkuasa dan internet bukan mempunyai sesuatu yang
boleh dikecualikan.
Segala bentuk komunikasi yang dulu, sebaik sahaja sudah
diterima-pakai menjadi sebahagian sistem yang berintegrasi. TV dan faks adalah
merupakan mesin yang menakjubkan kerana impaknya dalam dunia politik. Penggunaannya
secara meluas telah melupuskan ketakjuban berita yang dicampur baur dengan biasiswa,
pandangan dan pendapat Times of London ataupun New York, yang satu masa dulu boleh
menukarkan kerajaan yang memerintah. Dunia berubah terlalu cepat sekali sehinggakan penyebar
berita terpaksa bergerak pantas untuk mengejarnya. Penekanan terhadap
kepantasan itu bererti ada berita yang tidak tepat; tetapi yang menjadi perkara
penting masa kini ialah gambaran sesuatu itu yang dapat mendominasikan suasana. Sekarang
ini tidak lagi menjadi satu kemestian kalau sesuatu gambaran itu betul ataupun salah.
Yang lebih dipentingkan ialah pendahuluan dalam pemberitaan itu.
Berita
selalunya dilapurkan daripada kaca mata perbandingan. Pihak pemerintah mahu mengawal
penyebaran berita; apa yang patut diketahui dan dibaca oleh rakyatnya; tidak kiralah
samada pengawalan itu dibuat secara halus ataupun kasar. Menteri Kanan Singapura, Mr. Lee
Kuan Yew, pernah menulis dalam Newsweek (July-September 00 Special Issue) di mana dia
ada membuat pengakuan begini: "Saya tidak berapa risaukan ide politik; kerana semua
itu diserlahkan dalam bentuk perkataan. Tetapi seorang pejuang politik di internet
berupaya merangsang pembangkang walaupun usahanya itu tidaklah seteruk gambar-gambar
ponografi."
Tetapi, ini bukannya cerita internet sembarangan. Ini adalah
cerita satu perubahan yang berlaku merentasi zaman berkurun. Ini adalah cerita
perjuangan di antara pihak yang berkuasa dengan pihak yang berada di luar bidang
kekuasaan itu. Pendapat yang dinyatakan oleh seorang insan yang berjaya melentur
setiap ide yang bertentangan dengan fahaman pemerintah, ia merupakan satu pengakuan akan
munculnya satu kekalutan dalam penyebaran maklumat.
Pertelingkahan memang
wujud mengikut perbezaan yang bertahap di seluruh dunia ini. Kepesatan persepsi
masyarakat itu banyak bergantung kepada sesuatu masyarakat yang berbeza itu
sendiri. Negara barat menangani perkara ini secara berlembut mengikut cara masyarakat
medianya menangani masalah Judae-Christian. Saya telah mengamati kaedah
pengawalan berita di Amerika Syarikat, Eropah, Asia dan tidak mendapati satu
ketika di mana sebarang bentuk tekanan tidak dikenakan ke atas pihak media untuk hanya
berita yang 'betul' dibiarkan meresap kepada orang ramai. Usaha memulas tangan memang
tidak diperlukan seperti yang selalu dilakukan oleh kerajaan yang kurang sofistikated.
China pernah mengalami pengalaman impak mesin faks ketika tercetusnya revolusi rakyat
dan membuatkannya lebih berminat untuk mengawal internet. Malaysia semakin dibogelkan
oleh revolusi internet.
Memang terdapat pelbagai cara menonjolkan pendapat
bertentangan dengan pihak yang memerintah. Di beberapa negara seperti Iraq yang
diperintah oleh Saddam Hussein, Romania di zaman Nikolai Ceucescue, Myanmar di bawah
Khin Nyunt, mesin taip adalah mesin yang dikawal oleh kerajaan. Di Baghdad sesiapa yang
mempunyai mesin taip perlu mendapatkan lesen. Namun, mesin taip menjadi alat untuk
menyanggah kerajaan yang memerintah. Dengan mesin itulah berita itu disebarkan. Secara
perbandingan keresahan kerajaan Malaysia terhadap internet yang menyanggah
pandangan rasmi negara tidaklah lebih kurang daripada keresahan kerajaan Cina pada
1989 dulu ataupun Amerika Syarikat pada 1969. Semua jenis berkomunikasi ini adalah
merupakan alat-alat yang mencabar dalam kaedah mengawal kebebasan rakyat.
Dengan
hal demikian, internet tidak mempunyai banyak perbezaan dengan alat propaganda dan penyebaran
berita di zaman yang lampau. Setiap era itu datang dengan kaedahnya
tersendiri. Socrates pernah dipaksa meneguk air herba yang beracun kerana pandangannya
yang bercanggah dengan kerajaan yang memerintah. Dua ribu tahun kemudiannya, Presiden
Lyndon Johnson terpaksa bersara daripada dunia politik apabila gambaran di TV
menunjukkan pergolakan peperangan Vietnam dan menjejaskan peluangnya untuk memenangi
semula kerusi presiden. Perdana Menteri Mahathir Mohammad sedang cuba menyelamatkan kuasa politiknya kerana penentangnya Dato Seri Anwar Ibrahim berupaya menyerlahkan
perwatakannya sebagai insan serba boleh. Tetapi, masanya tidaklah jauh sangat sebelum
seseorang itu bermenung memikirkan segala pergolakan yang dicetuskan di Malaysia di
hari-hari penutup Millennium Kedua ini.
Ketika saya mula-mual menjadi wartawan
dengan Reuters pada 1961, mesin berkomunikasi yang paling canggih ketika itu ialah
sebuah alat yang disebut 'teletype'. Ia mampu mencatatkan 66 perkataan dalam satu minit.
Yang lebih mudah digunakan ialah sebuah alat yang disebut 'hellscriber' Maklumat diterima
melalui satu lingkaran kertas yang boleh dialihkan kepada 'ticker tape' untuk
digunakan pada teletype pula. Lapan tahun kemudian ketika saya bekerja dengan syarikat akhbar, mesin 'Linotype' dan 'hotmetal' digunakan untuk
mengcop muka akhbar. Dua tahun
kemudiannya saya bertukar kepada satu syarikat akhbar yang mula-mula sekali
menggunakan mesin atur-taip secara berkomputer di Tenggara Asia.
Tiga dekad
kemudiannya, berita dihantar secara pantas dengan kadar ribuan perkataan setiap minit.
Pemilihan berita menjadi satu dilema yang perlu ditangani oleh setiap organisasi
pemberitaan. Saya masih membawa mesin taip dalam pengembaraan saya. Tetapi
kebanyakan rakan sejawat saya menulis dan mengirimkan berita secara penggunaan komputer
bimbit terus kepada para editor daripada medan berita mereka. Semua organisasi
berita - daripada agensi berita kepada syarikat akhbar hinggalah kepada majalah pemberitaan - menyelesaikan kiriman segala bentuk berita itu dengan memberikan
tumpuan kepada yang remeh temeh, yang basi, dan memberikan keistimewaan untuk berita
utama (berita seperti ini mungkin berbentuk kisah seorang anak yang terperangkap di
sebuah telaga hinggalah peristiwa perbincangan di Camp David). Semua itu diberitakan
layanan yang sama dalam bentuk penekanan berita, intensiti dan jua
samada relevan ataupun tidak.
Setiap teknologi yang baru, terutama sekali dalam
bidang telekomunikasi, diberikan pujian dan jolokan seolah-olah ia merupakan yang
terbaik sejak terciptanya kepingan roti yang dihiris. Begitu pantasnya ciptaan teknologi
baru hinggakan sesuatu barangan itu akan menjadi pupus dalam masa enam bulan.
Kebanyakan ciptaan itu menjadi pupus disebabkan perubahan teknologi. Contohnya ialah
'Tantalus' yang dicipta untuk menggolekkan ketulan batu yang besar mendaki bukit hanya
untuk membolehkannya bergolek ke lereng bukit itu dengan cepat. Pihak
kerajaan mudah melaksanakan perkara ini sebagai reaksi pertama untuk memodenkan trend.
Tetapi pihak yang bijak merencana program mereka itu dengan menumpukan penekanan
kepada teknologi yang terbaru dan terus memajukannya. Syarikat media memang
melakukan perkara ini dengan baik. Pihak kerajaan kurang berjaya dalam hal ini. Kumpulan
bertindak seperti pergerakan 'reformasi' di Malaysia memang amat cergas dalam hal
ini.
Penyebaran berita dan pendapat memang sentiasa mendapat kesan saingannya di
dunia ini. Berita bergambar mendapat tempat utama dalam dunia ini kerana manusia biasa
lebih selesa menerima sogokan berita daripada membuang masa memikirkan kesannya.
Sesiapa yang mula sekali memberikannya berita itu akan menerima kesetiaannya. Media arus
perdana tidak lagi mempunyai keistimewaan seperti itu lagi. Banyak syarikat sudah
pun membikin portal internet mereka untuk menarik dan mengekalkan minat pembacanya.
Tetapi usaha ini adalah satu pertandingan yang tidak berbaloi. Sesiapa sahaja yang mempunyai
buah fikiran mampu meluahkannya di internet. Mereka yang berminat dengan
sesuatu pemberitaan itu boleh berlanggan untuk mendapatkan maklumat yang diminatinya.
Kerana itu banyak syarikat internet yang menjaja berita membolehkan pelanggannya
merakamkan ke dalam perisian apa juga berita dan pendapat yang diminatinya.
Unsur-unsur
yang terdapat dalam internet itulah yang telah menukarkan persepsi seseorang
terhadap bentuk berita masa kini. Tetapi, internet adalah berbentuk 'anarchic', yakni di
luar kawalan kerajaan. Ia menggegarkan manusia daripada kepompong mudah-lega dan
memaksa kumpulan yang bertanggungjawab dengan pemberitaan untuk lebih relevan.
Penekanan terhadap kepantasan kiriman berita sebenarnya tidak memberi ruang untuk
berleceh-leceh. Majalah dan laman web yang memberikan penekanan kepada inti pati berita
akan menerima langganan penerima berita yang terhad bilangannya. Surat khabar dan majalah
berita sekarang ini sedang mengolah satu cara menarik minat pembaca untuk
selama sepuluh minit dan dengan cara itu cuba memancing pengaruh penonton TV. Ini
bererti satu konfrontasi sedang dalam perencanaan. Kali ini pertentangan itu adalah di
antara kerajaan dan juga syarikat besar yang menyibarkan berita. Seterusnya ia
akan mencetuskan perdebatan mengenai kediktatoran pemberitaan dan tidak lagi mengenai
kebebasan daripada kawalan kerajaan.
Diterjemahkan
oleh: -MT-
29.7.00