AL-MA'UNAH: ADA SESUATU YANG TIDAK
KENA
(Mokhtar
Stork: Al-Ma'unah - another indicator of things amiss)
Dipetik Daripada: HARAKAH
Terkini.
Rompakan senjata yang baru berlaku di Gerik yang dilakukan
oleh satu pertubuhan yang diberi nama Al Ma'unah hanya merupakan satu gambaran yang
samar daripada satu pemandangan yang amat besar. Ia menyerlahkan betapa banyak benda
yang tidak berjalan dengan baik di negara ini.
Memang terdapat beberapa pertubuhan
termasuk tariqah, persilatan dan juga ilmu kebatinan yang menggunakan Islam
sebagai sandarannya. Kebanyakannya tidak pun menyerlahkan amalan ajaran Islam dan
Hadith seperti yang dimestikan.
Oleh kerana masyarakat bangsa itu tidak mempunyai
asas keIslaman yang kukuh yang mencakupi ajaran Quran dan Hadith, masyarakat bangsa itu
mudah terpesong kepada kejayaan mistik, kekuasaan spiritual, kewujudan jin dan juga
perhubungan di antara orang perantaraan yang terlibatnya dengannya. Ramuan anutan
fahaman ini adalah satu formula yang amat berbahaya kerana arahan yang sebut oleh
seorang pemimpin akan membuatkan pengikutnya mudah melatah untuk melakukan sesuatu yang
membahayakan.
Penyebab keadaan buruk ini seperti juga kemunduran di kalangan
muda-mudi Islam adalah disebabkan cara masyarakat Islam itu dibesarkan berasaskan tiang agama
Islam. Kerana itu kita menjadi contoh yang baik dalam aspek melakukan solat,
berpuasa di bulan Ramadhan, membayar zakat dan mengerjakan fardu Haji. Kemuncak
keIslaman dalam konteks ini ialah mengerjakan fardu haji itu dan itulah persepsi orang
Islam dalam negara ini. Selain itu muncullah fahaman betapa air dan minyak tidak boleh
dicampur-adukkan. Sebagai orang Islam kita hanya merupakan hamba yang taat kepada
sebarang ritual dan melaksanakannya seperti robot. Kita menghambakan diri kepada
Allah ketika bersolat. Tetapi, selepas itu kalau ada sesuatu yang datang melintang, kita
akan membalunnya tidak kiralah samada benda itu haram ataupun halal. Inilah sikap
orang yang materialistik (kebendaan). Ada orang yang menyebutnya sebagai satu kaedah
untuk hidup. Ada pula yang mengatakannya sebagai industrialisasi dan kemodenan kerana
itu adalah satu keadaan di mana kita mesti mampu untuk terus hidup .
Inilah
keadaan yang menyebabkan Islam itu dipinggirkan kepada satu agama yang mempunyai lima
hukumnya yang menyebabkan bertambahnya keadaan yang menakutkan di kalangan masyarakat
Islam di negara ini.
Cuba kita tengok golongan muda-mudi masa kini. Satu ketika
dulu semangat kebangsaan memang wujud. Kini, dadah, pelacuran, maksiat dan sebagainya
sedang bermaharajalela. Cuba pula kita bayangkan program di TV, sebagai contohnya.
Nyanyian, tarian, Bollywood dan drama sengkek adalah merupakan menu harian. Kita tidak
akan terjumpa sesuatu yang berfaedah di waktu prima yang ada hubung kait dengan
kesihatan, sains, ugama, alam semula jadi dan sebagainya. (Semua itu hanya boleh
dinikmati kalau kita melanggan dengan Astro).
Sekarang ini banyak galakan
agar kita berbalik kepada Quran, Fardu Ain dan Fardu Kifayah. Secara terus terang saya
fikir semua laungan itu adalah kelakar semata-mata. Memang, kita pintar dalam mengaji Al
Quran, tetapi itulah sahaja kemampuan kita. Oleh kerana kita bukan orang Arab kita
tidak pun memahami sepatah perkataan dalam Quran itu. Soalan yang membahayakan
ialah: kalau kita faham ayat Quran itu bagaimanakah kita mempunyai sebuah kasino di
Genting? Lantas, nampaknya satu kefahaman akan menyorong kita kepada satu
ketidakfahaman dan kepada satu congakkan yang silap. Hasilnya ialah Al-Ma'unah.
Apabila
kita amati kumpulan yang sesat ini, tentu kita merasa pelik bagaimana orang yang
berpendidikan tinggi pun boleh terlibat. Bagaimanakah orang profesional dan berpangkat
pun boleh terlibat. Jawapannya terletak kepada pemahaman kita terhadap Islam yang
berasaskan rukun yang lima itu. Pemahaman itu tidak menjangkau lebih jauh daripada
itu.
Kalau kita mahu bincangkan hal jabatan agama, saya tidak rela menempelak
mereka kerana peranan mereka sebagai institusi yang menerima arahan. Kalaulah mereka
lakukan apa yang mereka mahu lakukan, tentu akan timbul banyak kekeliruan lagi.
Penangkapan beberapa orang penghibur adalah satu contohnya. Satu ketika dulu kita
mendengar penangkapan yang dibuat di majlis ratu cantik. Kemudian timbul kisah
wang kutipan zakat yang dilabur dalam penanaman koko (yang berakhir dengan kerugian
besar). Jadinya ada orang yang berfikir apakah jenis Islam yang kita anuti ini?
Kalau
kita kaji keseluruhan keadaan muda-mudi yang ada, kita dapati golongan yang bukan Islam
tidak pun lebih baik keadaannya daripada golongan muda-mudi Islam itu. Beberapa kumpulan
agama yang lain telah meminta agar pelajaran agama diperkenalkan di sekolah-sekolah.
Tetapi, permintaan ini tidak pun diberikan sambutan yang menyenangkan. Saya fikir
perkara ini tentu ada kena mengena dengan impak sambutan pelajaran itu akhirnya.
Apa
yang saya fikirkan sesuai untuk dilaksanakan di sekolah ialah pendidikan keagamaan menyangkuti
budaya hidup. Setiap institusi agama boleh mengemukakan satu kertas
cadangan untuk dipertimbangkan oleh pihak kerajaan. Dengan cara ini kita
menentukan ajaran agama itu kepada nilai-nilai moral keagamaan sahaja. Ini harus
merupakan satu permulaan dan sesiapa yang melanggarinya harus dikenakan tindakan.
Pada
keseluruhannya rakyat di negara ini harus mengenepikan fahaman mereka orang Melayu,
China ataupun India dan sebagainya. Setiap pemimpin harus memberikan penekanan
kepada berkhidmat kepada negara sebelum berfikir tentang masyarakat kaumnya. Kalau kita
gagal melaksanakan perkara ini, bererti kita memberi ruang kepada setiap masyarakat
perkauman yang berfikir mereka berhak ke atas sesuatu itu sebagai yang hak kepada mereka
sahaja. Bahananya kita akan menjadi Bosnia. Semua ini adalah satu gambaran penderitaan
yang tidak diperlukan. Al-Ma'unah adalah satu kumpulan kecil pergerakan yang tidak puas hati dan seolah-olah semakin merebak secara senyap di sekeliling kita.
Pemimpin
politik harus bersedia berkhidmat dengan gigihnya. Mereka sepatutnya tidak menerima
kemudahan istimewa dalam aspek perundangan. Perlaksanaan merupakan kelemahan kita
dan ini adalah disebabkan kepincangan dalam bidang panduan, ataupun kerelaan menerima
panduan itu bahkan juga nisbah politik. Sebagai contohnya cuba kita fikirkan masalah JE
yang baru melanda negara. Kenapakah semua ladang ternakan babi itu tidak diarahkan
mengamalkan satu standard kesihatan setanding dengan yang diamalkan di negara barat?
Dalam
perkara bertambahnya penangkapan mereka yang memandu tanpa lesen yang sah, kita
dimaklumkan betapa perlunya memikirkan samada proses mendapatkan lesen itu satu proses
yang mudah ataupun menyusahkan. Bukan kah ini satu perkara yang kelakar?
Dalam
hal CD haram, orang awam diberikan tawaran hadiah kalau melapurkan syarikat yang
menggunakan program yang diciplak dan haram. Di waktu yang sama syarikat besar
dibenarkan menjual CD cetak rompak secara berleluasa di setiap kompleks beli-belah di
negara ini.
Sikap memperlekehkan undang-undang itu adalah berpunca daripada
kegagalan pihak berkuasa melaksana dan menguatkuasakan undang-undang tersebut.
Di setiap kawasan perumahan di negara ini kita dapat lihat penunggang motorsikal
bermundar mandir tanpa topi keledar. Kalaulah kita kaitkan perkara itu kepada
kelemahan beragama, mungkin kita tidak silap. Tetapi yang sebenarnya, di zaman serba
moden ini, kuasa undang-undang perlu diperketatkan untuk menentukan sesuatu itu berjalan
lancar. Janganlah bertindak apabila berlakunya sesuatu ataupun hanya apabila ia
berlaku ke atas seseorang yang berpangkat.
Diterjemahkan oleh
-MT-
29.7.00