MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

MGG44/

ANGKATAN TENTERA YANG DIPOLITIKKAN
(  MGG Pillai: The Politicisation Of The Military)

Awalkata:  Artikel ini (dalam bahasa Inggeris) telah muncul di HARAKAH terkini.

Episod Sauk sudah pun berlalu, tetapi ia sudah mencetuskan satu dilema baru kepada kerajaan yang memerintah. Penerangan yang diberikannya telah diperlekehkan sahaja oleh rakyat, dan UMNO sudah pun ditempelak sebagai perancang rompakan senjata di Gerik itu.

Kerana itu, UMNO berura-ura menjelajahi negara untuk memberi penerangan yang dikira dapat membersihkan namanya.  Tetapi, 27 manusia yang telah 'ditangkap' itu mencetuskan satu masalah baru pula. Hampir kesemua mereka itu adalah ahli UMNO. Mereka menganggotai satu pertubuhan silat yang ditaja oleh UMNO. Timbalan Perdana Menteri yang terkini pernah menjadi bendaharinya. Pemimpin pergerakan itu pernah menjadi ahli kabinet dan penaungnya pula pernah menjadi timbalan perdana menteri.

Setelah diwarwarkan betapa mereka akan dikenakan tuduhan yang membawa hukuman mati, kerajaan terpaksa menghadapi dilema menghukum 27 orang Melayu ke tali gantung. Tentunya ini akan menyerlahkan peminggiran masyarakat Melayu yang memang sudah lama dirasakan sejak dua dekad yang lalu.

Pihak pembangkang telah berjaya menonjolkan betapa berlakunya satu persinggitan politik dalam UMNO yang  berakhir dengan kegagalan. Semua itu dikatakan berpunca daripada perlumbaan di antara dua menteri kanan UMNO - Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Tun Razak - kerana mereka memang merupakan dua insan yang sedang bersinggitan kali ini. Episod Sauk dikatakan satu usaha untuk menghitamkan maruah Menteri Pertahanan itu.

Ketua Wanita UMNO, Rafidah Aziz dengan caranya yang celupar dan yang mudah dituturi oleh pemimpin BN yang lain, telah menuduh PAS kerana apa yang telah berlaku di Sauk. Beliau bersama beberapa rakannya telah menuding ke arah PAS seolah-olah episod yang begitu baik rancangannya itu mampu menjejaskan dua pemimpin UMNO, sekaligus.  Soalnya sekarang, bagaimana episod Sauk itu akan berakhir adalah masalah UMNO dan bukannya masalah PAS.  Episod Sauk tidak boleh diselesaikan dengan meminta PAS menyerahkan 'data-base' keahliannya untuk membolehkan kerajaan membuat pemilihan siapakah di antara ahli kumpulan silat itu yang boleh disabitkan.

Kita tidak pernah diberitahu apakah ada kaitannya di antara rompakan pertama di RAW 304 yang berlaku pada 0230 pagi  dengan peristiwa di kem induk batalion itu pada 0430 pagi. Apakah benar manusia yang 'bertapa' di Bukit Jenalik itu pernah melakukan kerja angkut-mengangkut beratus laras senjata dan beribu butir peluru ke puncak bukit tersebut. Adalah bertentangan sekali dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Norian Mai, yang menyatakan betapa segala senjata itu telah diangkut dengan menggunakan tiga buah pajero dan dibawa ke Sauk  dalam jangka masa 90 minit daripada Gerik. Semua alat kelengkapan perang itu sebenarnya amat berat untuk memudahkan kerja-kerja tersebut.

Kalaulah alat kelengkapan perang itu diangkut laksana mengangkut barang jualan di pasar malam,  tentu sekali ia mencetuskan keributan di kem induk batalion itu. Demikianlah kelamkabutnya cerita episod itu. Terdapatnya terlalu banyak percanggahan daripada beberapa pegawai rasmi yang bertanggungjawab dengan kenyataan itu telah menimbulkan semakin banyak kekeliruan yang boleh dipersoalkan. Kita masih tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Apakah semua senjata yang dirompak itu telah ditemui. Cuma kita diberitahu bahawa senjata itu dirampas untuk membuat kekecohan di Kuala Lumpur.

Yang semakin menonjol ialah usaha mempolitikkan Angkatan Tentera Malaysia. Panglima Markas Medan Tentera Darat  Lt. General Zaini Mohamed Said telah menuduh pihak pembangkang kerana masalah yang timbul. Sejak bilakah angkatan tentera membuat keputusan bahawa parti pembangkang adalah mush negara ?

Tidak lama dulu, Ketua Turus angkatan Laut India telah dipecat kerana dia mencetuskan satu isu politik dengan menteri pertahanan negaranya. Perkara seperti ini tidak mungkin berlaku di Kuala Lumpur.  Apatah lagi dengan usaha pembikinann seorang hero (wira jadian?). Kaedah mempolitikkan angkatan tentera itu terserlah dengan cara membabitkan mereka dalam aktiviti pihak polis di Sauk. Sebelum itu sikap berkecuali pihak tentera dalam pergolakan politik adalah satu sikap yang dianggap suci dan kudus.

Sikap berkecuali pihak tentera itu telah tergugat kini, setelah Norian Mai mendedahkannya di  dalam satu wawancara di TV. Beliau beranggapan bahawa angkatan tentera adalah seperti agensi kerajaan yang lain yang boleh dibabitkan dengan sesuatu peristiwa apabila difikirkan perlu oleh pihak polis.   Dengan lain perkataan, Angkatan Tentera Malaysia boleh dibawa masuk untuk campur tangan dalam arena politik negara.

Sesiapa pun tidak boleh beranggapan bahawa pihak militari akan berdiam diri  kalau ia mempunyai seorang menteri ataupun panglima yang mempunyai muslihat politik. Garisan pemisah yang sungguh nipis di antara satu angkatan bersenjata yang professional dengan satu kuasa politik sudah pun tercemar. Betapa sedikit pun pencemaran yang telah berlaku, ia masih mampu menggugat kuasa preman di satu masa yang mendatang. Perkara seperti ini akan lebih mudah berlaku apabila adanya kumpulan keagamaan dan kebudayaan yang cenderung menyerlahkan kegelisahan mereka. Keadaan ini akan lebih menekan kalau ada pemimpin tentera itu yang tidak dihormati oleh orang bawahannya.

Kira-kira dua dekad dulu pernah terjadi satu kisah mutini yang mengorbankan nyawa seorang pegawai berpangkat major. Peristiwa yang membabitkan pengepungan rumah seorang pegawai pemerintah  telah menyebabkan pembubaran batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja. Kemudian, disebabkan perkara yang lain, 26 RMR pula dibubarkan.

Usaha rasmi untuk memperbaiki keadaan perkhidmatan para askar darat, udara dan laut kerap terjebak dalam kancah birokrat . Ratusan juta ringgit telah dilaburkan untuk membeli peralatan perang yang  tidak diperlukan dan tidak relevan. Jurang pemisah antara persepsi para pegawai berbanding sikap orang bawahan mereka  membuatkan angkatan tentera itu satu padang sasar yang menguntungkan ahli politik yang tinggi serakahnya. Secara berkumpulan mereka menyelinap masuk angkatan itu dengan agenda mereka yang tersendiri.

Rompakan senjata di Gerik telah menyerlahkan betapa angkatan tentera itu sedang tenat disebabkan pengabaian pihak yang berkuasa. Ia menjadi tenat dengan adanya beberapa contoh penyelesaian politik yang selalunya disisihkan setiap kali sesuatu isu yang tegang itu menjadi kendur. Tentunya ada sesuatu yang tidak kena apabila undang-undang militari itu dinodai dengan mudahnya. Ia menunjukkan betapa berlakunya pengabaian dalam melaksanakannya.

Pengabaian memang mudah berlaku. Beberapa tahun yang lalu ketika jawatan Pengarah Risikan disandang oleh seorang rakan baik, dan ketika itu pula saya kerap memberikan ceramah di maktab turus tentera di situ, saya mudah menerima laluan masuk. Pihak yang mengawal hanya akan memberikan pas masuk kalau saya memintanya. Prosedur yang longgar ini memang mudah melonggarkan tahap pengawalan. Kalau semua kelemahan ini tidak diperbetulkan, keselamatan akan terus tergugat. Janji untuk membetulkan keadaan setiap kali berlakunya kepincangan tentunya tidak akan membawa sebarang makna kalau ianya dilupakan selepas satu minggu. Jumlah senapang yang pernah dicuri di kem tentera memang amat menakutkan. Kepincangan seperti inilah yang memudahkan sebarang usaha untuk mempolitikkan angkatan tentera itu.

Sejarah kemerdekaan negara yang diwujudkan oleh para  pejuang yang dulunya menunggang kuda adalah terlalu banyak untuk dibuat perhitungan. Kita memang mudah takut apabila memikirkan perkara itu. Tetapi, kalau difikirkan situasi yang sedang berlaku tentu sekali ketakutan itu ada juga asasnya.



Diterjemahkan oleh:-MT- 
29.7.00

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com