MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

Aduan Lutfi terhadap MB Selangor dibawa ke peringkat pendakwaan

Selepas mendapat keterangan ketua operasi JAIS, Mohd Sharif Iskandar, yang membuat serbuan di The Ship, pada 10 Jun lalu berserta bukti-bukti gambar yang diambil pada malam itu, saya semakin yakin bahawa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Abu Hassan Omar sudah melakukan kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana bertindak menghina Enakmen berkenaan.

Sila rujuk aduan saya kepada JAIS bernombor 497/2000, bertarikh 11 Julai.

Pagi Jumaat, 28 Julai, jam 12.00 tengahari, selepas 17 hari aduan dibuat, saya menghubungi Pengarah Unit Penguatkuasa JAIS, di Seksyen 10, Shah Alam, untuk mengetahui perkembangan berikutnya. Ustaz Amin Husin memaklumkan, aduan saya itu telahpun dihantar ke bahagian pendakwaan bagi memastikan apakah ada fakta kes yang boleh disabitkan kenyataan MB Selangor (yang menyebabkan segala tuduhan ke atas 31 orang yang ditangkap di pub The Ship, di bawah Seksyen 10, digugurkan) itu dengan mana-mana peruntukan dalam Enakmen.

Seksyen 10 menyebut: “Mana-mana orang yang dengan perkataan yang dapat didengar atau dibaca atau dengan lukisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang tampak atau yang dapat dilihat atau dengan apa-apa cara lain:

  1. Menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina;
  2. Mempersenda, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubung dengan agama Islam; atau
  3. Mempersenda atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di negeri ini yang berhubungan dengan agama Islam.
  4. Mereka yang melakukan perkara itu adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga atahun atau kedua-duanya sekali.

Saya kira pihak pendakwaan telah mendapat tekanan daripada MB Selangor dan Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Badawi yang pada peringkat awal lagi sudah membuat komen berat sebelah tanpa mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Ini jelas dari kenyataan TPM yang beranggapan mereka yang ditangkap hanya duduk-duduk di premis yang menghidangkan arak, dan baginya ini bukan satu kesalahan. Pelik juga bagaimana Pak Lah tak sabar-sabar lagi membela orang yang disyaki bersalah.

Sedangkan menurut ketua operasi malam itu, ada tiga jenis kesalahan yang mereka lakukan, dan tiada kesalahan yang membabitkan pelanggan The Ship yang hanya duduk-duduk tanpa melakukan tiga jenis kesalahan itu.

Saya juga menyifatkan menarik balik kes ini membawa implikasi serius kepada semangat dan mutu kerja pegawai-pegawai penguatkuasa. Mereka tentu terkejut, terkilan dan kecewa yang amat sangat bilamana orang yang sepatutnya membela dan mempertahankan mereka, seperti Menteri Besar Selangor, tiba-tiba bertindak menjadi pembela kepada penyanyi  pub, pondan, peminum dan penghidang arak serta mereka yang berpakaian tidak senonoh.

Melihatkan suasana di pejabat Unit Penguatkuasa JAIS ketika saya membuat aduan 11 Julai lalu, ada tanda-tanda jelas mereka seperti tertekan. Sepertimana kata bekas Mufti Selangor, Ustaz Ishak Baharom kepada saya, “ramai penguatkuasa JAIS dah rasa malas nak buat kerja, baik makan gaji buta saja kalau penat-penat buat operasi tiba-tiba mudah-mudah dilepaskan begitu saya.”

Saya bukanlah orang yang suka sangat dengan operasi penangkapan. Sepatutnya dakwah disebarluaskan. Peringatan dan kaunseling diutamakan. Berikan pendidikan secukupnya. Tutup segala lubang-lubang maksiat terlebih dulu. Namun selepas operasi tangkapan dibuat – dan segala-galanya pun melalui undang-undang dan peraturan yang diluluskan kerajaan – tidak harus  berlaku sebarang usaha untuk menghalang proses keadilan di mahkamah. Kelak ia menjadi budaya buruk yang boleh membawa kemusnahan kepada sistem perundangan mahkamah syariah yang sedia terbatas itu.

Pihak Penguatkuasa JAIS semasa saya membuat aduan memberi jaminan, sekiranya aduan saya itu mempunyai fakta kes yang cukup, mereka akan mengambil tindakan, tidak kira siapa yang melakukan kesalahan. Saya sanjung tinggi ketegasan JAIS itu.

Saya mengharapkan Ketua Pendakwa Syarie Selangor dapat mengambil tindakan sewajarnya di atas aduan saya itu. 

AHMAD LUTFI OTHMAN

Sumbangan Ikhlas Daripada http://detik.daily.tripod.com/

Iklan: Pastikan Anda Mendapatkan Akhbar "Protes" (Editor:Ahmad Lutfi Othman ) yang telah berada  di pasaran. "Protes" antara lain membuat pendedahan tentang penangkapan JAIS , Tragedi di Sauk dan sebagainya. Cetakan adalah terhad !. Pastikan setiap anda mendapatkan senashkah. Untuk keterangan lanjut hubungi 0192796362 (Encik Zabidi Bin Morad ) atau email kan kepada zabidi_detik@hotmail.com. Pengedar Pengedar Dari Seluruh Malaysia Di Perlukan!!!

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com