MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

UMNO: KUNUNNYA CARI PENDEKATAN LEBIH SESUAI DEKATI RAKYAT

Ketua Penerangan UMNO Datuk Mustapa Mohamed berkata parti itu sedang mencari pendekatan yang lebih sesuai untuk mendekatkan lagi diri dengan rakyat bagi menyelesaikan masalah mereka.

Katanya pendekatan itu sangat penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO yang selama ini memang memperjuangkan nasib mereka.

Mustapa berkata UMNO juga sedang berusaha memberi kefahaman kepada rakyat mengenai perjuangan parti itu membela nasib mereka selama ini.

"Rakyat perlu diberi kefahaman dengan sebenar-benarnya kerana parti pembangkang banyak menabur fitnah supaya rakyat hilang kepercayaan terhadap UMNO," katanya.

Beliau mahu pemimpin UMNO pelbagai peringkat di negeri ini sentiasa bergerak ke bawah untuk mengetahui dan menyelesaikan masalah rakyat.

Berita ini yang dipetik dari Bernama sesungguhnya menggambarkan kepada kita betapa UMNO sedang menghadapi ketenatan yang amat sangat. Dunia secara amnya mengetahui bagaimana Presiden UMNO selama ini bertungkus lumus mahu menyelamatkan UMNO.

Rasionalnya para pemimpin UMNO sendiri amat menginsafi hakikat krisis sokongan yang dihadapinya. Apakah sebuah parti yang sudah tertubuh sejak lebih setengah abad itu masih meraba-raba satu pendekatan terbaik mendekati rakyat.

Rasionalnya juga apakah parti yang tertubuh sejak 1946 itu masih diperingkat memberi kefahaman kepada rakyat. Alangkah malangnya bagi sebuah parti yang mendakwa establish sedangkan merayu simpatisme pelbagai pihak.

Kepada para pemimpin UMNO kita ingin menyatakan ucapan terima kasih kerana masih memberikan ruangan untuk mendekati rakyat marhaen. Permintaan kita cukup jelas untuk kita kembali sokongan kepada UMNO secara beramai-ramai. Kembalikan kepercayaan kita kepada UMNO dengan:

  • Menangkap penjenayah yang menyelewengkan wang negara dan khazanah rakyat dengan apa cara sekali pun
  • Hentikan penguasaan PM ke atas semua jentera kerajaan, badan amal dan pertubuhan, syarikat korporat sehingga menjadikan kuasa PM hanya untuk mentadbir secara politik
  • Wujudkan satu badan bebas bagi mengawal kuasa PM
  • Hentikan penguasaan mereka ke atas media perdana yang mewarnai suasana politik dengan berita palsu dan fitnah ke atas rakyat
  • Kembalikan kuasa raja-raja Melayu supaya orang Melayu kembali bersatu di bawah naungan raja-raja
  • BPR, ATM, PDRM, SPR dan Mahkamah hendaklah sebagai badan bebas yang tidak tertakluk di bawah pemusatan kuasa PM melalui apa cara sekalipun
  • Laksanakan syariat Islam dengan jujur, bukan dengan melaksanakan syiarnya sahaja tapi kosong tak berisi
  • Hapuskan pelbagai cukai yang membebankan rakyat terutama di kalangan rakyat marhaen
  • Khazanah negara hendaklah diuruskan oleh kerajaan negeri, bukan menswastakannya atau memberikan kepada syarikat tertentu kecuali kepada badan kerajaan yang menyelenggarakan kebajikan rakyat seperti Universiti dan pusat pengajian tinggi dan rendah

Sebenarnya ada banyak lagi permintaan rakyat sebagai syarat dan pra-syarat untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap UMNO. Dalam hal ini kita suka menyatakan tiada kompromi melainkan melaksanakan secara jujur dan serta merta.

Rakyat mahu berlindung dalam sebuah kerajaan yang mampu membela nasibnya di dunia. Malahan kita juga menuntut perlindungan dan jaminan bahawa dapat menjalani ibadah dengan sempurna bukan melalui perlaksanaan syiar Islam, tetapi perlaksanaan syariat-Nya.

Persoalannya, adakah UMNO sedia memenuhi semua syarat dan pra-syarat ini?

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com