NILAI KERTAS PUTIH KERAJAAN
Episod
Sauk menyerlahkan keperihatinan rakyat daripada berbilang bangsa kepada sistem pemerintahan
negara yang dikuasai oleh satu regim yang satu ketika dulu merupakan kerajaan rakyat yang
dipilih oleh rakyat. Kerana itu Mahathir dan juga para pemimpin rakyat yang menang di
pemilu-10 dulu diberikan taraf 'Wakil Rakyat'. Tetapi, disebabkan kebebalan rakyat pada
awalnya dan ketaksuban pemimpin parti politik secara lanjutannya satu sistem menipu
rakyat secara bersistem telah menonjolkan masyarakat wakil rakyat itu kepada satu kelas
Brahmin yang suci lagi suci dan mulia lagi mulia. Lantas, metos kedewataan tamaddun lama
di mana sang dewata punyai banyak tangan dicekup menjadi satu budaya yang diterapkan
secara bertubi-tubi kepada minda orang Melayu. Lambang pengawalan minda secara bertubi
itu menjadi terserlah apabila para pemimpin utama negara diberikan gelaran seperti 'Wira
Dunia Ketiga', Pejuang Maruah Bangsa dan sebagainya.
Semua jolokan nama itu
adalah satu pasport untuk 'Sang Dewata' itu untuk mengumpulkan harta sambil memperkayakan
para juak dan jongosnya. Rakyat marhaen terpukau dan terus membisu seribu waktu kerana
minda mereka telah diputar-balikkan bahawa: seorang marhaen yang mahu menjadi pengikut
setia mesti sanggup "ikut apa yang saya kata dan bukan apa yang saya lakukan."
Impaknya, apabila Ibrahim Mahmud diserang bersama pengikutnya ketika beliau mengadakan
kuliah subuh, rakyat marhaen membisu kerana Sang Dewata telah mengeluarkan satu Kertas
Putih bahawa Al-syahid "Ibrahim Libya mengajar agama sesat" yang merosakkan
aqidah orang Islam. Di waktu yang sama mayat terbujur kaku hasil ledakan beribu peluru ke
atas satu kumpulan yang tidak mampu bertahan lama, dibiarkan bergelimpangan tanpa diurus
beberapa hari lamanya di Memali. Mujurlah ada rakyat marhaen yang simpati dan
menyemadikan mayat-mayat itu di Parit Panjang yang jauhnya 30 kilometer daripada Memali.
Di manakah para keluarga si mati ketika itu, kalau bukan ditahan di kamar berjejari besi
di bawah akta yang drakonian dan sungguh berbisa.
Berbelas tahun kemudiannya
taktik gempur yang sama direncana ke arah sebuah rumah besar di Damansara. Sasarannya ialah seorang mantan Timbalan Perdana menteri yang difikirkan sedang semakin menggugat
Sang Dewata. Mujur, peristiwa Memali tidak berulang. Tetapi apakah ganjarannya? Seorang
pejuang yang mengerti apakah itu ajaran Islam dan pertengahan dalam ajaran Islam, didera
sebagai mangsa yang mesti dimusnahkan. Tidak ada ciri-ciri keinsanan dalam deraan itu
kerana deraan berbentuk kebinatangan telah dilaksanakan juga ke atas sesiapa sahaja yang
dikaitkan dengan pejuang ini. Segala bahan bukit di ada-adakan semata-mata untuk
memperkuatkan tohmahan dan fitnah. Semua itu dilakukan semata-mata untuk memuaskan
nafsu-nafsi seorang diktator tua. Yang melakukannya adalah segelintir orang Melayu yang
mengaku beragama Islam dan berupaya mengerjakan umrah dan haji setiap tahun kalau mereka
mahu.
Kini, Episod Anwar Ibrahim ternyata satu tipu helah untuk menentukan
seorang diktator yang bertukar menjadi Sang Dewata untuk terus berkuasa. Episod Sauk
terpaksa ditonjolkan secara spontan dan tergesa-gesa untuk memperkuatkan kedudukan
takhta yang semakin terumbang-ambing. Episod terbaru ini mampu melindungi segala
buruk laku satu pemerintahan regim yang pelahap dan kuat pembohongannya. Sang Dewata
mampu melakukan semua itu kerana semua orang suruhannya adalah manusia yang tidak lagi mempunyai
ciri-ciri keinsanan di hati mereka. Sekaligus mereka sudah merupakan
tangan-tangan ajaib yang dipasang siap mengelilingi badan Sang Dewata itu. Berarak-lalulah
mendung hitam di angkasa, bertiuplah taufan membawa bauhan kebakaran di
seberang samudera dan berjerebulah angkasa raya Malaysia. Serangan Nipah yang mula
menyerang Sarawak pada 1997 dan menonjolkan serangan serupa di Ipoh dan Negeri Sembilan
pada 1999, kini menjeringaikan taring yang sama di tempat yang sama juga, sekali lagi. Penyakit
denggi menjadi ancaman besar di Negeri Sembilan dan hospital Seremban sedang
menanganinya secara senyap sahaja. Meningitis yang melanda beberapa penjuru bandar raya masih lagi menjadi satu
tanda tanya. Ledakan AIDS dan penyakit yang berpunca daripada
dadah semakin menongkat suasana malam di ibukota. Kemasukan pendatang asing secara
berleluasa bukan lagi berpunca daripada Indonesia dan Thailand ataupun Filipina. Kini
gagak hitam dari Afrika dan dunia Arab sudah terbang masuk menyerang ibukota, kerana
diberikan satu status yang selesa sepadan status Wira Dunia Ketiga yang diberikan oleh
negara mereka kepada seorang diktator tua. Siapakah yang ambil peduli akan semua itu?
Jelas,
penyakit masyarakat tidak lagi menjadi agenda negara kerana ia tidak menjadi minat
seorang diktator tua. Kalau dia berminat tentu dia sudah menyelesaikan masalah
mangsa yang terkorban dalam kebakaran kilang Bright Sparkles dulu. Tentu dia
selesaikan kes mahkamah membabitkan keluarga Episod Memali. Tentu dia humbankan kes
Anwar Ibrahim yang tidak mempunyai sebarang bukti yang sahih itu. Malah, kalau dia
benar-benar juara dunia ketiga dia sudah lama menghumban segala akta drakonian seperti
ISA, OSA dan apa saja yang menjejaskan hak rakyat bersuara. Siapakah yang bersalah dalam
semua itu kalau bukan kita kerana membiarkan jejari kita memangkah parti yang lama
memerintah semata-mata kerana janji manis bahawa hanya UMNO dan BN yang mampu
mempertahankan ketuanan Melayu. Sedangkan yang sebenarnya ketuanan Melayu itu sudah
merupakan satu insan yang bergelar Sang Dewata yang punyai banyak tangan, tetapi tidak
lagi mempunyai wajah dan hati seorang manusia. Masih kah kita mengharapkan satu kertas
putih daripada kerajaan yang dikawal mindanya oleh Sang Dewata itu?
-MT-
|