KEPERCAYAAN KEPADA BERITA INTERNET
Nota Editor Hackerz Paradize
Assamualaikum dan salam sejahtera..
Seperti
yang dijanjikan, kami menampilkan reka bentuk baru yang lebih mesra pengguna pada
persembahan laman hackerzparadize.
Selain itu kami turut membuka tapak baru di http://hackerzparadize.virtualave.net/
yang akan dijadikan sebagai tapak utama. Walau bagaimanapun tapak di http://www.geocities.com/hackerzparadize/
akan tetap dikekalkan sehingga ke suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian.
Berbalik kepada isu semasa, pihak kami
tertarik untuk mengulas kenyataan Leo Moggie dan sekutunya berkenaan cadangan untuk
memantau laman-laman web di internet yang disifatkan sebagai penyebar fitnah. Sebenarnya
golongan ini telah lama memantau kewujudan laman-laman web reformasi khususnya semasa
kempen pilihanraya lepas.
Mereka sedar rakyat tidak lagi mengikuti media
kongkongan mereka malah mentertawakan berita yang disampaikan oleh media murahan mereka
ini. Kecenderungan rakyat memilih saluran media alternatif di internet adalah disebabkan
sikap pemerintah sendiri yang terlalu mengongkong kebebasan media dan menjadikan
media-media ini sebagai bahan propaganda mereka.
Sikap pemerintah yang mengamalkan dasar
pemerintahan kuku besi yang ortodoks tidak lagi selari dengan aliran pemikiran rakyat.
Mereka masih menganggap rakyat negara ini seperti rakyat sebelum merdeka yang berfikiran
tertutup dan menerima apa sahaja berita yang dimuntahkan pemerintah. Sebenarnya
pemerintah yang ada sekarang inilah yang tertinggal dalam arus pemikiran rakyat yang
lebih dinamik dan terbuka.
Rata-ratanya rakyat negara ini mempunyai tahap
pendidikan tinggi dan terdedah kepada kemajuan. Mereka menolak apa jua bentuk kongkongan
samada berbentuk fizikal dan mental. Aliran keterbukaan ini semakin menggalakkan apabila
internet diperkenalkan. Apatah lagi kecenderungan media perdana menyiarkan berita dan
propaganda yang berat sebelah, menyebabkan rakyat mula jelak dan mengalih perhatian
kepada media alternatif.
Apabila berlaku ledakan reformasi, pihak-pihak
yang menyokong reformasi mengambil langkah bijak menguasai media internet sebagai
alternatif media mereka untuk menyebarkan maklumat kepada penyokong mereka. Pada mulanya
pemerintah mungkin tidak menjangka akan kesan internet dalam sebaran maklumat di negara
ini. Pada waktu itu mereka tidak terfikir akan mengawal saluran internet kerana pada
pandangan mereka sebaran maklumat internet ini agak terbatas. Apatah lagi di waktu itu
mereka terdesak untuk merealisasikan perancangan Multi Media Super Corridor yang
memerlukan mereka membuka aksess tanpa had melalui talian untuk menarik pelabur.
Bagaimanapun pendekatan bijak pendokong
reformasi dan kesepakatan mereka untuk berkongsi maklumat biar pun dikawal ketat,
berjaya menyebarkan maklumat dari internet ini kepada rakyat. Sememangnya semangat
survival di kalangan golongan tertindas adalah lebih tinggi berbanding golongan penindas
yang sering alpa. Maklumat-maklumat internet dicetak dan diedarkan kepada mereka yang
tidak mempunyai kemudahan ini. Manakala bagi mereka yang mempunyai kemudahan internet
pula akan membuat chaining melalui email kepada rakan-rakan seangkatan yang kemudiannya
akan mencetak dan sebar luaskan maklumat ini kepada rakan-rakan mereka pula.
Tindakan seperti ini tidak kelihatan secara
visual, namun gerakannya adalah besar dalam jumlahnya. Kelebihannya ia tidak nampak
mengancam pemerintah tetapi hakikatnya ia sedang merobek kepercayaan rakyat terhadap
pemerintah sedikit demi sedikit.
Ledakan reformasi juga boleh disifatkan
sebagai ledakan teknologi maklumat. Sebelum ini hanya beberapa peratus rakyat yang
memang berkecimpung dalam bidang IT sahaja mengenali internet. Kini boleh dikatakan
sebahagian besar rakyat telah tahu tentang internet atau menggunakannya. Sememangnya
reformasi telah berlaku!
Apakah berita yang dipaparkan di internet itu
palsu? Kenapa rakyat masih mengikutinya sekiranya ia palsu?
Tidak dinafikan
sebilangan kecil berita yang dipaparkan itu tidak dapat disahkan kebenarannya. Tetapi
sebahagian besarnya adalah tepat. Ia dikatakan tidak benar oleh pemerintah kerana
kebenaran berita itu dinafikannya. Tetapi apakah yang mereka buat selain menafikan
berita itu? Tiada. Sekiranya berita berkenaan palsu pada pandangan mereka, mereka
hendaklah tampil dengan bukti-bukti kukuh dan meyakinkan untuk membenarkan penafian
mereka. Sebaliknya mereka gagal menepis setiap kebenaran berita tersebut yang menjadikan
rakyat akan terus mempercayainya.
Apatah lagi dengan terbuktinya kebenaran
berita di internet seperti kes mata lebam Anwar yang terkenal itu. Malah berita-berita di internet
boleh dikatakan mendahului berita media perdana yang hanya bertindak sebagai penepis
kepada kerajaan semata-mata.
Berita-berita yang disiarkan di internet
melalui proses saringan yang terhad oleh Web Master. Berita-berita ini ditulis dan
dihantar dari pelbagai tempat dan golongan masyarakat. Mereka ini adalah pemberita bebas
yang menulis atas dasar sukarela. Dengan ini mereka adalah bebas untuk menulis apa
sahaja topik tanpa perlu bimbang di buang kerja seperti wartawan di media perdana
itu.
Di sebalik itu mungkin terdapat golongan yang
tidak memahami falsafah perjuangan reformasi atau menyamar untuk menggugat rangkaian
komunikasi alternatif ini dengan menghantar berita-berita palsu. Apatah lagi dengan
kesibukan Web Master separuh masa yang kebanyakkannya bersendirian, adalah sukar bagi
mereka untuk menyaring ketelusan berita yang dihantar.
Masalah ini turut dialami oleh media perdana.
Malah lebih buruk lagi hampir kesemua berita yang disiarkan mengandungi fitnah dan palsu
biar pun menggaji editor dan wartawan sepenuh atau tak tentu masa itu dengan bayaran
beribu-ribu sebulan. Jika tidak masakan rakyat kini tidak lagi melanggan media mereka. Kalau pun
melanggan hanya sekadar untuk menyemak keputusan nombor ekor , menjamu selera melihat
artis-artis bertelanjangan atau laporan sukan. Rakyat atau pembacalah sebenarnya penilai
sebenar integriti sesebuah media, bukannya pemerintah.
Sebaliknya di negara yang serba boleh ini,
pemerintah pula mengambil alih tugas ini. Untuk apa? Sebabnya adalah kerana media-media
alternatif ini menentang mereka malah menyiarkan rahsia-rahsia mereka yang sebelum ini
mustahil akan dimuatkan dalam media murahan kongkongan mereka itu. Oleh itu bagi
mengembalikan perhatian rakyat, mereka menggembar-gemburkan akan integriti media
internet dengan menyifatkan mereka sebagai penyebar fitnah.
Kini mereka sedar akan kekuatan media
internet. Apatah lagi dengan terbuktinya keberkesanan yang dimainkan oleh media ini
dalam kempen pilihanraya lepas yang menyerlahkan tanda-tanda kejatuhan mereka sedikit
masa lagi.. Bertambah sakit hati mereka apabila kempen pemusnahan imej Barisan
Alternatif yang dimulakan dengan serangan terhadap pakatan BA dan ADIL, diikuti komidi
(bukan tragedi) Sauk baru-baru ini yang ditangkis dengan jayanya oleh media internet.
Maka ditanyalah mereka kepada golongan cerdik
pandai di kalangan mereka yang masih tinggal itu tentang hal ini. Setelah berhempas
pulas memerah otak selut kalangan cerdik pandai tersebut, sayugia dicadangkanlah untuk
memantau perkembangan laman-laman web reformasi di internet.... tetapi tidak terfikir
untuk memantau laman-laman web porno yang berserakan itu.
Berurusan dengan media internet di ruang maya
yang hampir tiada sempadan ini bukanlah perkara mudah. Identiti Webmaster dan lokasi
spesifik atau alamat fizikal mereka hampir tiada rujukan. Mereka seumpama berperang
dengan bayang-bayang. Semuanya berbalik kepada sikap mereka sebelum ini yang mengongkong
kebebasan media. Sekiranya mereka memberi kebebasan untuk suara alternatif bertapak
secara sah di negara ini, mereka tidak akan perlu bersusah payah merayau dalam kegelapan
mencari golongan Web Master ghaib ini.
Kepada Web Master pula, ini adalah satu
tekanan biar pun tidak terlalu memberatkan. Kemungkinan untuk pemerintah mengesan lokasi
anda tetap wujud biar pun ia sukar. Ini kerana dalam konsep rangkaian terutama
berdasarkan protokol TCP, source dan destination perlu jelas untuk komunikasi. Ini
bermakna setiap kali anda mengemaskini laman web, anda terpaksa memperkenalkan diri
kepada server pelayan yang menjadi host laman anda. Identiti anda akan direkodkan dalam
log server host berkenaan yang meliputi domain, IP Address, tarikh, masa, sistem operasi
dan sebagainya. Maklumat ini jika dibandingkan dengan maklumat dari ISP yang anda
gunakan boleh menentukan secara spesifik lokasi anda.
Persoalannya, adakah host laman web anda akan
menyerahkan maklumat ini kepada ISP sekiranya diminta melalui sokongan pemerintah? Kini
nasib anda bergantung kepada budi bicara host berkenaan... Terus terang pengalaman kami
dengan Tripod, ia tidak memihak kepada kami...
Selain kaedah di atas terdapat beberapa kaedah
lain yang boleh digunakan termasuklah merosakkan laman web melalui cracking atau
menjejaki anda menggunakan cache server ISP yang ditukar fungsinya kepada proxy yang
boleh merekodkan sambungan yang dibuat oleh client. Di negara ini kita tidak dapat
mengelak dari menggunakan server ini dan maklumat yang dikumpulkan adalah mencukupi
untuk menjejak anda.
Sebagai pejuang, kita semua terdedah kepada
ancaman. Samada secara fizikal atau virtual melalui medan cyber. Itulah risiko yang
perlu dihadapi oleh setiap pejuang... seperti mana ungkapan Saudara Anwar Ibrahim "
jika takut risiko jangan bicara soal perjuangan...."
Sekian, teruskan perjuangan!!!
ALLAHHUAKBAR!!
270700