MENGAPA KITA TIDAK BOLEH MEMBINCANGKAN EPISOD SAUK?
Sdra webmaster,
Rasa amat pelik sekali apabila saya terbaca amaran Rais Yatim
yang cuba menghalang rakyat jelata membincang mengenai isu tragedi Sauk. Mengapa ini pun
hendak disekat?
Dulu usul BA untuk membincang perkara ini di parlimen telah disekat oleh
Speaker Dewan. Itulah forum yang paling sesuai untuk membincang perkara yang dikatakan
mengancam keselamatan negara. Bersama sama berbincang dalam parlimen adalah satu
tindakan yang wajar yang sepatutnya disokong oleh semua pihak. Sayang sekali sebelum apa
apa, Speaker sendiri yang menyekatnya dari dibincang. Tapi sekarang, nak berbincang
sesama kita semasa menikmati teh tarik pun dicegah. Silap silap dikenakan ISA, begitulah
amaran Rais. Bukankah ini mengundang banyak lagi tandatanya di kalangan rakyat mengenai
tragedi Sauk? Apa yang kerajaan takut sangat sehingga nak melarang rakyat bersembang
mengenai perkara ini.
Ini merupakan satu pencabulan hak asasi manusia. Kalau kerajaan
telus, tak perlu nak kenakan berbagai sekatan. Kalau kerajaan berdiri di pihak yang
benar, apa salahnya rakyat membincang perkara ini secara terbuka kecuali kerajaan takut
rahsia terbongkar dan ada sesuatu yang disorokkan. Tindakan terbaru kerajaan ini
menimbulkan banyak lagi tanda tanya di kalangan rakyat yang berfikiran waras dan tiada
sebarang kepentingan. Kalau ini soal sekuriti dan tidak boleh dibincang secara terbuka,
bukankah pembolosan mudah dua kem tentera yang dilaporkan secara meluas dalam media
media tempatan satu pengaiban terhadap sekuriti negara kita?
Kalau Rais boleh berkata
jangan menguji kesabaran kerajaan, rakyat pun boleh berkata jangan menghina minda
dan menguji kesabaran rakyat. Tahap toleransi rakyat ada hadnya. Apa komen Musa Hitam
yang mempengerusikan jawatankuasa hak asasi manusia mengenai hal ini??
RAKYAT
PRIHATIN
Nota webmaster:
Inilah yang
menghairankan rakyat sekelian. Hendak disorok perkara sudah pun terdedah. Nampaknya kes
ini terpaksa disekat. Yang paling menghairankan rakyat disekat dari membicarakan kes sauk
atau episod RAW ini. Anihnya setiap hari Mahathir terus memperkatakannya. Sudah tentu
Mahathir bukan rakyat negara ini kerana gagal mematuhi undang-undang dan peraturan yang
ditetapkan?