CABARAN UMNO BONGKARKAN
'AMANAT HADI'
Oleh Fathi Aris Omar [emel: faomar@yahoo.com]
Dua
kali rentak dan taktik yang sama digunakan. Pertama kali, sebaik sahaja tercetus
peristiwa Memali,
kira-kira 15 tahun lalu dan kali ini, selepas babak Sauk. 'Amanat
Haji Hadi' begitulah namanya. Tujuannya,
kononnya dua kejadian itu disebabkan --
dan sebagai bukti kukuh dan sahih -- daripada ajaran PAS tentang
jihad dan menolak
politik Umno.
Ternyata tindakan Umno dan media massa suruhannya akan gagal.
Kegagalan itu sudah mula ketara apabila
kerajaan Barisan Nasional dan media mereka
gagal memanjangkan isu tersebut. Kini, pada awalnya akhbar-akhbar Melayu cuba
mengingatkan semula pada 'amanat' tersebut. Tetapi hari ini, dalam sebuah
akhbar
Melayu, berita tentang itu diletakkan di halaman belakang (Mingguan Malaysia, 23 Julai
2000,
lihat muka surat 15).
Sekeping poster yang mengandungi petikan ucapan
Tuan guru Abdul Hadi Awang dikenali 'Amanat Hadi'. Bagi
Umno dan kerajaan, ucapan
itu bercanggah dengan 'Islam. 'Bagi mereka, ucapan itu mengajar keganasan,
sebab
itu tercetus insiden di Memali dan Sauk -- kononnya!
Dalam kutipan ucapan yang
pendek sahaja, poster ini meringkaskan falsafah perjuangan PAS. Ucapan itu
disampaikan
oleh Abdul Hadi (kini Menteri Besar Terengganu, dan juga Timbalan Presiden PAS), pada
awal
1980-an.
Dalam ucapan itu, Hadi menjelaskan bahawa pertentangan antara
PAS dan Umno bukannya soal nama dan organisasi; bukan soal menyertai pilihan raya
seperti parti-parti politik cuba memenangi kerusi dan memerintah.
Tetapi soal
dasar yang amat asasi.
Kata Hadi dalam amanat itu, Umno dan BN mengekalkan
warisan undang-undang penjajah Inggeris, mengekalkan sekularisme dan mendukung
kepercayaan bahawa 'politik suku, agama suku.' Ungkapan 'politik suku, agama suku' ini
sebenarnya lazim disampaikan oleh ahli-ahli akar umbi Umno dan pemimpin nasional
mereka sejak beberapa dekad lalu lagi. Ungkapan ini juga cara mudah untuk menerangkan
konsep sekularisme kepada rakyat terbanyak dan akar umbi PAS. Lagi pun, ungkapan itu
relevan dengan realiti semasa.
Ringkasnya, MB itu ingin menjelaskan bahawa
perjuangan PAS lawan Umno adalah perjuangan akidah, pegangan seseorang Muslim yang
yakin dan beriman (PAS) dengan kumpulan orang Islam yang telah meninggalkan asas-asas
perjuangan agamanya (Umno).
Oleh itu, di hujung kutipan kata-katanya itu,
tertulis bahawa kematian dalam proses menentang Umno ialah
dikategorikan 'mati
syahid' atau dalam bahasa yang lain, berjuang menentang Umno merupakan satu jihad.
Umno
dan media arus perdana yang menjadi kulinya menyangka dengan menyebarkan dan
mempolitikkan isu
'Amanat Haji Hadi' akan meletakkan PAS dalam keadaan bertahan
(defensive). Mereka menduga PAS akan
serba-salah. BN mengagak orang ramai akan
terkeliru dan meninggalkan PAS. Oleh itu, membangkitkan isu
berkenaan akan
menguntungkan kerajaan Umno dan BN.
Tetapi mereka pernah silap dan kali ini,
jika mereka membangkitkan isu itu sekali lagi -- mereka akan silap. PAS akan bangkit
seperti raksasa yang perkasa dan gagah untuk menjawab huraian dan kekeliruan yang cuba
disebarkan tentang fitnah itu. Keperkasaan PAS dalam hal ini akan mengasak Umno itu
sendiri.
Parti nasionalis sempit dan pragmatis itu tidak mampu menjawab
hujah-hujah PAS. Keupayaan Umno dalam
hal-ehwal agama selalunya amat terbatas atau
tidak wibawa. Tokoh-tokoh agama Umno dan kerajaan (yang
mengampu) tidak dipandang
kukuh. Sebaliknya, PAS berjaya menjelaskan maksud jihad yang sebenarnya.
Mengutip
hujah Al-Quran dan hadis, PAS dengan mudah menyokong konsep jihad, mati syahid,
kezaliman, dan
sekularisme Umno serta kerajaan dengan petah dan lancar.
Bukan
sahaja jentera PAS akan bergerak dengan pantas untuk menjawab kekeliruan itu. Malah,
kumpulan-kumpulan Islam di luar PAS - seperti JIM atau ABIM, pegawai agama kerajaan
sendiri (yang jujur pada Al-Quran dan hadis), pensyarah, ustaz di jabatan agama,
khatib yang menyampaikan khutbah dan penceramah bebas (dalam bidang agama) -- secara
automatis akan bangun serentak menjawab fitnah kerajaan dan Umno terhadap
konsep-konsep Islam tersebut. Apabila kumpulan-kumpulan bebas ini menjawab sama
seperti PAS, maka ramailah anggota masyarakat yakin bahawa PAS berada atas landasan
yang benar, sementara Umno cuba memutar-belitkan ilmu Islam.
Sebenarnya isu
agama dan Islam, bukan lagi isu Umno. Parti itu akan keletihan jika cuba bersilat di
gelanggang tersebut. Hakikatnya pun, isu Melayu -- pada saat ini -- bukan lagi isu
Umno. Lebih banyak dan lebih mudah menentang Umno berdasarkan kegagalannya dalam isu
membela Islam dan Melayu daripada isu-isu yang lain. Lagi pun, isu-isu ini bersifat
emotive dan sangat dekat dengan jiwa Melayu. Dengan logik yang mudah, jiwa
Melayu-Islam akan dapat diyakinkan dengan penerangan PAS.
Oleh itu, saya tidak
yakin Umno, BN dan media arus perdana akan membesar-besarkan isu 'Amanat Haji Hadi.'
Kalau
berani, cubalah...