MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

AL MA'UNAH, PAS DAN 
AMANAT HAJI ABDUL HADI

Untuk kesekian kalinya media-media rasmi kerajaan kembali memainkan filem purbanya berkaitan isu Amanat  Haji Abdul Hadi walaupun ia berlalu hampir dua puluh tahun dahulu. Seperti ia memainkan filem-filem P.Ramlee berkaitan raja-raja sewaktu ingin mengugut raja-raja supaya tidak campur tangan dalam soal politik negara dan sewaktu ingin menarik balik imuniti raja-raja sedikit masa dahulu, begitulah dengan amanat Ustaz Haji Abdul Hadi yang diputarkan kembali oleh tokoh-tokoh tertentu dan media masa rasmi kerajaan yang pastinya mempunyai agenda yang tertentu.

Tentunya sebahagian dari kita masih ingat kepada peristiwa Memali. Peristiwa Memali telah mengorbankan 14 orang syuhada di kampung Memali, Mukim Siong .Pihak kerajaan menyifatkan peristiwa tersebut  sebagai “tindak tanduk  golongan-golongan pelampau agama yang meneruskan kegiatan mereka  tanpa memperhitungkan akibatnya terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara. Peristiwa berdarah itu boleh dielakkan sekiranya Ibrahim Mahmood  dan beberapa orang pengikutnya yang dikehendaki polis mematuhi perjalanan proses undang-undang dengan menyerah diri." (Kertas Putih Memali, Kertas Perintah 21,Tahun 1986,hlm.vi).

Dalam perkara (15) Kertas Putih Memali pihak kerajaan menegaskan “ Tokoh-tokoh PAS kebelakangan ini begitu ghairah menghurai dan menanamkan semangat jihad dan syahid di kalangan ahli-ahli dan penyokong-penyokong parti berkenaan. Oleh kerana terpengaruh dan taksub dengan penerangan yang di sampaikan, maka timbullah hasrat di kalangan mereka untuk berjihad menentang kerajaan yang dikafirkan oleh para pemimpin mereka. Kelantangan para pemimpin PAS dalam menanamkan semangat jihad dan syahid mengikut pengertian mereka sendiri jelas terkandung dalam ceramah Haji Abdul Hadi bin Awang  di Banggol Peradong, Terengganu pada  7 April, 1981.”

Tidak lain tidak bukan, isu amanat ini telah digunakan oleh pihak kerajaan untuk memberikan justifikasi terhadap apa yang berlaku di Kg. Memali, Mukim Siong itu. Kemudian sekali lagi isu amanat ini dimainkan ketika menjelang Pilihan Raya Umum ke 10 baru-baru ini, semata-mata untuk menimbulkan kebencian rakyat massa terhadap PAS di samping cuba mengurangkan pengaruh PAS khususnya dalam menghadapi pilihanraya. Tetapi jelas mereka gagal. Bukan sahaja undi bagi PAS meningkat dengan banyaknya, bahkan Terengganu yang selama ini dikuasai oleh Wan Mokhtar sejak sekian lama, jatuh ke tangan PAS.  

Kini dalam drama Al Ma'unah di Sauk, setelah drama itu ternyata gagal meyakinkan rakyat, sekali lagi isu Amanat Haji Abdul Hadi dimainkan, dan tujuannya sudah jelas adalah semata-mata untuk mengaitkan amanat itu dengan tindakan ganas Al Ma'unah yang dikatakan cuba menubuhkan negara Islam dengan caranya yang tersendiri. Tentunya isu amanat itulah yang menjadikan mereka bertindak demikian. Begitulah dengan tindakan yang jijik dan berniat jahat, pihak berkuasa cuba mengaitkan drama yang dirancangnya sendiri dengan amanat Haji Abdul Hadi itu, yang mungkin mempunyai agenda yang lebih jauh yang belum pasti dapat diperkatakan di sini.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi, yang kini menjawat jawatan Menteri Besar Terengganu adalah seorang tokoh terkemuka dalam PAS. Ketokohannya jelas sejak di peringkat awal kebangkitannya dalam menangani isu Al Marhum Ustaz Asri yang telah membawa PAS bekerjasama dengan Barisan Nasional yang jelas mengorbankan prinsip perjuangan PAS dan merugikan PAS sendiri. Ketokohan dan ketegasannya dalam usaha mengembalikan dasar perjuangan PAS kepada paksinya  yang sebenar mendapat sambutan hangat di kalangan anggota masyarakat kita  khususnya golongan muda dan terpelajar. Keadaan ini membimbangkan pihak kerajaan sehingga ada ura-ura untuk menahan beliau di bawah ISA di sekitar tahun lapan puluhan. Walau bagaimanapun kawalan ketat yang diberikan oleh petugas-petugas PAS terhadap beliau, ditambah dengan sejarah hubungan keluarga beliau dengan pihak istana telah menggagalkan rancangan jahat itu.

Dan sekarang, dalam peristiwa Al Ma'unah ini, kecenderungan pihak berkuasa untuk mengaitkannya dengan amanat YB Ustaz Abdul Hadi itu memperlihatkan cita-cita kerajaan untuk meneruskan usahanya yang gagal dahulu. Barangkali itulah tujuan utamanya filem purba itu dimainkan semula. Ia adalah semata-mata satu perancangan awal untuk memukul pengaruh PAS habis-habisan sebelum  menjelangnya pilihanraya Tahun 2004. Dan para pemimpin dan penyokong PAS yang berada di mana sahaja haruslah melihat paluan gendang ini sebagai petanda bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Al Kundangi,

23.7.2000.                  

 

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com