MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

Episod RAW  Siri 12 

SAUK: KUBU TERAKHIR PREBET AMIN? 

Siapakah yang boleh sangka, satu episod  rampasan senjata yang dapat ditumpaskan oleh pasukan keselamatan negara, masih lagi menjadi isu perbualan di kedai-kedai kopi hingga ke ruang rehat di parlimen?  Dan siapa pula boleh sangkakan isu nasional seperti ini tidak boleh dibincangkan di parlimen secara rasmi, kerana ia tidak dianggap penting oleh pihak yang memerintah? Tetapi apakah impak seterusnya? 

Demikianlah jalan cerita satu episod pendek yang berlaku di satu malam di mana dua kem tentera Rejimen Askar Wataniah dicerobohi oleh sekumpulan 15 orang penjenayah yang menyamar dengan pakaian celoreng ketenteraan. Mereka dikatakan berhasrat menceroboh untuk merompak senjata bersama beberapa kereta kebal kepunyaan angkatan tentera. Malangnya kereta kebal itu tidak diletakkan di dua buah kem tentera itu. Kalau tidak kereta kebal itu mahu dibawa ke Lenggong untuk digunakan bagi merompak dua buah bank yang terletak kira-kira dua puluh kilometer daripada Balai Polis pekan kecil itu. 

Rompakan yang dilakukan oleh pasukan 'penjenayah' itu sungguh profesional sekali kerana "Kapten Wahid yang mempunyai satu parut panjang di bahagian mukanya" mampu melakukan lakonan bengis yang menakutkan pengawal penjaga di kedua kem tentera itu. Mereka terus kaget dan merelakan apa sahaja yang diperlakukan ke atas mereka sehinggakan pihak penjenayah mampu melarikan ratusan pucuk senapang berkuasa tinggi; termasuk beberapa LMG, Steyer Gun, Pelancar Grened  dan M-16, dan ribuan peluru.  Yang peliknya semua senjata rompakan itu mampu disumbatkan dalam tiga buah Pajero yang digunakan juga untuk mengangkut lima 'penjenayah' itu hingga ke Sauk. 

Rompakan Yang Menakjubkan 

Rompakan yang dilakukan ke atas dua kem tentera itu boleh dimasukkan dalam kategori yang menakjubkan. Mungkin ia akan dikaji dan diulang-tayang akan cara rompakan itu dilakukan hingga ke tahap ulang-tayang perlahan persis 'time and motion study'. Bukan sahaja oleh segenap sekolah militier di negara ini malahan juga oleh semua sekolah militier di seluruh dunia. Bayangkan, manakah pernah terdengar adanya rompakan dua kem tentera dalam satu malam oleh satu pasukan yang sama, di dunia ini? Jangankan secara realitinya, malahan secara khayalan dalam filem Hollywood, Bollywood dan Ironwood pun belum pernah dilaksanakan. Hanya di Bolehland sahaja perkara begini boleh terjadi. 

Oleh kerana rompakan itu dikatakan satu kerja yang menakjubkan, sebarang usaha untuk mengklasifikasikannya sebagai satu cerita dongeng ataupun sandiwara akan ditafsirkan oleh pihak kerajaan sebagai satu usaha memperlekehkan keselamatan negara. Sekaligus, sebarang tuduhan bahawa episod RAW itu satu opera tajaan sesiapa adalah satu usaha untuk memperlekehkan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

Ironisnya, larangan ketat ini datangnya daripada seorang perdana menteri dan bukannya daripada panglima teragung pasukan ATM itu. Namun, kalau usaha untuk menentukan kesucian episod rompakan itu kenapakah tempat 'persembunyian' para 'penjenayah Al-Ma'unah' itu dibiarkan terbuka luas untuk tontonan orang awam? Kalau mahu dibuka pun kenapakah ia dilakukan secara mendadak? Kenapakah tempat persembunyian itu dibiarkan terbuka seolah-olah kebun getah kepunyaan seorang Cina sudah dibeli oleh pihak kerajaan? Kenapakah tempat itu tidak diseliakan dengan segala anak panah dan nama sesuatu lokasi itu dilekatkan di situ agar para pelawat dapat mempastikan di mana tempat orang awam ditangkap dan dijadikan tebusan, di mana mangsa disiksa dan dibunuh, di mana dahan yang dijadikan tempat menggantung leher dan menjerut kaki si Koperal polis yang sudah pun dinaikkan pangkatnya menjadi sarjan. 

Muslihat Sebenar Membuka Tempat Persembunyian Al-Ma'unah 

Kita tentu mahu tahu semua tempat yang penting di tapak yang dikatakan persembunyian itu kerana ia kini menjadi satu tapak yang paling bersejarah setanding dengan Kota Melaka yang hanya tinggal kesan pintu gerbangnya.  Tempat persembunyian itu harus diberikan satu nama katakanlah 'Kota Al-Ma'unah', ataupun 'KAM' sebagai akronimnya. Malahan, sepatutnya KAM sudah menjadi satu pusat lawatan bukan sahaja oleh rakyat biasa malahan para wakil rakyat samada orang parlimen ataupun majlis negeri-negeri, para senator bekas-bekas menteri  (yang masih hidup dan yang hampir mahu mati), duta-duta Malaysia di luar negara yang ada di negara ini semasa bercuti, para askar dan polis samada yang sedang berkhidmat, yang  sudah pencen dan yang masih berkhidmat tetapi dicap sebagai anggota yang lari. Duta dan ahli diplomat asing pun ingin melawat tempat itu kerana mahu mencari iktibar daripadanya. Kerana itu kenapakah jalan masuk yang terdekat ke tempat itu tidak diberi arah tunjuknya dan usaha dilakukan agar gerai minuman ringan disediakan dan ditaja agar orang kampung dapat memberikan khidmat mereka dengan harga upah yang selesa? 

Kalau dilihat akan semua sketsa (sketch) yang pernah diterbitkan oleh akhbar media perdana satu ketika dulu dan dibandingkan dengan keadaan sebenar di tapak KAM itu jelas terdapat beberapa kesilapan yang besar. Jalan masuk yang paling senang ke KAM hanya berada di sebelah Sekolah kebangsaan Sauk. Dari tepi jalan, KAM boleh didekati oleh orang awam dengan berkereta mendaki satu bukit yang rendah dan agak selesa curamnya. Jarak-jauh daripada jalan raya tidak lebih daripada 800 meter. Ini bererti segala kelengkapan perang yang dicuri oleh Kumpulan pimpinan Prebet Amin itu mampu dibawa terus ke tapak persembunyiannya dengan apa juga kenderaan yang digunakan untuk mengangkut barang curi itu.  

Di sini timbul satu teka-teki baru, kalau semua kelengkapan perang itu boleh dibawa naik terus ke tapak yang merupakan puncak bukit kecil itu, kenapakah tiga Pajero yang dicuri untuk rompakan itu diletakkan di tepi jalan berhampiran dengan sekolah? Kini,  KAM  merupakan satu tapak bersejarah kerana ia merupakan satu usaha satu kumpulan 'penjenayah' yang berkhemah untuk berperang dengan rakyat negara ini, tanpa ada tanda-tanda mereka bertanak nasi dan gulai kerana barang bukti mereka mempunyai dapur memasak untuk 27 mulut campur beberapa mulut orang tebusan, tidak pun kelihatan di kem mereka itu. Malahan, bagaimanakah mereka boleh ditafsirkan sebagai satu kumpulan kebatinan kalau lokasi persembunyian ketua mereka Prebet Amin adalah paling jauh daripada anak sungai ? Bagaimana mereka mengambil wudhuk untuk bersolat? Adakah barang bukti mereka mempunyai bekas masak-memasak, baldi dan gayung? Adakah tempat khas di mana mereka membuat tandas dan juga tempat mandi? 

Dengan lain perkataan, daripada apa yang dapat diteka dari perspektif bekalan makanan kepada kumpulan itu, mereka tidak merancang untuk berada lama di situ. Hanya setakat selagi ada bekalan makanan masakan segera untuk sehari dua sahaja. Lagipun, kalau dilihat kepada keratan gambar yang ditonjolkan di akhbar, dan tayangan video yang disudikan di TV kita tidak pernah diberikan gambaran jelas bagaimana kumpulan ini menyediakan makanan mereka. Kenapa agaknya? Adakah Prebet Amin mempunyai ilmu mengisi kekosongan perut dengan memakan angin? Apakah selama empat hari bertahan itu mereka sibuk dengan membaham durian dan cempedak yang memang sedia ada di puncak bukit itu? 

Ketika episod tembak-menembak dilakukan oleh Prebet Amin dan 15 para perompaknya, beberapa 'orang luar telah dapat masuk ke kawasan itu. Antaranya ialah seorang detektif kaum India, mendiang Sarjan Sagadevan yang dikatakan disiksa sehingga  mati. Begitu juga dengan seorang trooper Mathew anak Medan daripada kaum Iban.  Yang hidup ialah seorang Koperal Melayu bernama  Mohd Shah Ahmad yang kini sudah dinaikkan pangkat menjadi seorang Sarjan.  Sarjan Ahmad Shah berjaya bertahan walaupun tersiksa. Bersamanya menjadi tebusan ketika itu ialah seorang pengutip durian bernama  Jaafar Putih yang kini menjadi arwah kerana penyakit yang tidak dapat disahkan oleh hospital yang membedah mayatnya. 

Mengikut laporan akhbar satu ketika dulu, Jaafar Putih merupakan orang awam pertama yang ditangkap oleh penjenayah itu.  Beliau berada di kawasan bukit itu pada "jam 6.30 pagi.  Tiba-tiba saya terdengar tembakan senapang dan dua lelaki berpakaian celoreng telah berjalan ke arah saya dan memerintahkan saya mengangkat tangan untuk menyerah diri." Kalau dilihat tempat KAM bertahan, Jaafar tentu sekali telah membawa naik motorsikalnya ke puncak bukit itu. Sebagai pengutip durian tentu dia mahu ke kebun durian lain dan bukan untuk memungut durian kepunyaan taukeh Cina yang merupakan tuan punya kebun yang dijadikan persembunyian itu. Daripada puncak bukit persembunyian memang ada jalan untuk pergi  ke tempat lain. Dengan demikian, kenapakah Jaafar berjalan kaki di pagi itu dan tidak menggunakan motorsikalnya sehinggakan dia mampu dikepung oleh tentera pimpinan Prebet Amin? 

Sekarang timbul lagi satu tanda tanya. Kalau Jeneral Wira Zaini boleh disoal dan diberi ruang untuk menceritakan bagaimana dia menepis senapang dan menundukkan Prebet Amin, kenapakah Arwah Jaafar tidak diberi peluang untuk diwawancara di TV dan radio akan pengalamannya di Sauk itu? Setidak-tidaknya tentu ada orang yang mahu tahu kenapa dia berjalan kaki ke atas bukit kepunyaan seorang Cina untuk mengutip durian? Adakah dia sebenarnya mahu mencuri durian Cina itu? Jika demikian hasratnya itu  tentu dia menggunakan motorsikalnya untuk mudah lari selepas mencuri. Kini, Jaafar sudah mati yang tinggal adalah desas-desus cerita peninggalannya. Dia dikatakan merupakan manusia yang bertanggungjawab menggali semua kubu dan kubur  yang digunakan oleh Kumpulan Prebet Amin. Kalaulah betul desas-desus itu bererti, bukanlah Sarjan Mohd Shah yang menggali lubang yang dikatakan itu. Dakwaan Jaafar Putih itu nampak berasas juga kerana kita boleh lihat bukti yang ada di tapak tangan Sarjan Mohd. Shah.  Para petugas hospital di mana dia dirawat mengatakan, tidak ada kesan tapak tangan Mohd Shah yang terkopek ataupun melecet sebagai kesan beliau didera untuk menggali kubur.

Kini Jaafar Putih sudah pun disimpan rapi di kampungnya untuk sesiapa mahu menyoal akan cerita yang dikatakan muncul daripada mulutnya. Jaafar Putih dikatakan diberikan pampasan dua kali oleh pihak kerajaan. Jumlah wang yang diterimanya itu dikatakan cukup untuk menyara hidup bujangnya untuk satu tahun lamanya. Sayang.......Jaafar Putih adalah seorang saksi yang amat penting dalam kes KAM ini kerana beliau merupakan saksi yang mewakili orang awak. Dia terjebak sebagai saksi kerana terlalu  taksub kepada kerjayanya sebagai seorang pengutip durian. Bayangkan, dia berada di kawasan kebun pada 6.30 pagi.  Kalau diambil kira jarak jauh rumahnya daripada kawasan kebun Cina itu bererti beliau telah menenggek motorsikalnya sebaik sahaja asan subuh berkumandang di masjid kampungnya. Tentu sekali dia berhenti dulu di kedai kopi untuk mengisi perut yang kesejukan. Setidak-tidaknya dia sudah bersarapan sekeping roti canai dan segelas teh tarik sebelum memulakan kerja mengutip durian itu. Tetapi, masih ada lagi seorang saksi yang hidup yang mampu memberikan sedikit cerita akan perihal Prebet Amin dan Para Penyamunnya. 

Sarjan Ukoon a/k  Pungkok, merupakan timbalan komander platun  daripada batalion ke-9 Batalion Renjer Di-raja. Beliau telah ditembak oleh salah seorang anggota Kumpulan Al-Ma'unah dan cedera di lengan kirinya.  Ketika itu dia sedang menyertai operasi Cobra untuk mengepung Bukit KAM.  Beliau semakin sembuh kini. Keluarganya telah menerima pampasan berupa wang tunai berjumlah RM900 dan sebuah hampagas (vacuum cleaner). Bandingkan nilai pampasan yang dipertimbangkan kepada seorang sarjan tentera dengan apa yang telah diberikan kepada serong koperal polis yang sudah disarjankan dan juga dengan seorang pengutip durian  yang cekal dengan pekerjaannya. 

Kini, Kumpulan Al-Ma'unah dikatakan sebagai satu kumpulan ajaran sesat yang didalangi oleh PAS. Bukti sahih yang menguatkan tohmahan ini ialah berdasarkan maklumat betapa ramai anggota kumpulan itu yang menjadi ahli PAS. Malahan daripada beberapa kereta kepunyaan penjahat pimpinan Prebet Amin dulu, ada dua buah kereta yang terlekat lambang PAS. Tetapi, kalau Prebet Amin adalah seorang pejuang PAS, adakah terdapat bukti adanya sehelai dua bendera PAS yang ditegakkan di bukit KAM di Sauk itu. Satu pertubuhan perompak berbahaya yang berani mencuba senjata curian mereka selepas merompaknya tentu sekali mampu mengibarkan bendera PAS di tempat persembunyiaan mereka. 

Semalam, tercetus pula kisah bom yang meledak di Kelang. Kenapa di Kelang? Apakah ledakan itu ada kena mengena dengan pusat kumpulan itu di Kelang? Ataupun apakah Kelang sengaja dipilih untuk ledakan itu? Soalnya sekarang, kenapakah ledakan bom itu berlaku selepas Mahathir membuat pengumuman mengenai usaha menggempur Kilang Carlsberg dan kuil yang tidak berjaya? 

Dalam episod Carlsberg, pengurus ekspatriat kilang itu membuat pengakuan akan percubaan menghancurkan kilang pada 3 Julai. Sama harinya dengan tertangkapnya Jaafar Putih. Kalau perkara ini benar dan mahu dikaitkan dengan Al Ma'unah, bererti pihak kumpulan serpihan yang melakukan tembakan menghancurkan kilang itu sudah berjaya membolosi semua sekatan polis yang dilakukan di seluruh negara? Yang ironisnya tuduhan Mahathir bahawa Al Ma'unah telah cuba memusnahkan satu kuil, telah disangkal oleh jawatankuasa kuil berkenaan (Persatuan Kuil-kuil Hindu Sangam ) yang menafikan adanya sebarang usaha untuk memusnahkan kuil mereka.

".....Kami turut terperanjat dengan kenyataan Dr. Mahathir itu kerana tidak ada kuil yang melaporkan mengenai apa jua letupan atau serangan grenade." 

Demikian berita yang dipetik daripada Malaysiakini.  Di sini timbul lagi satu teka-teki. Siapakah sebenarnya yang patriotik dalam hal ini. Seorang perdana menteri yang melapurkan berita terkini akan adanya kuil yang dibom ataupun seorang jurucakap persatuan kuil yang tidak pernah dibom? He.he.he...siapakah yang betul dalam hal ini? Seorang perdana menteri 'Malaysia Boleh' yang mengatakan ada kuil yang mahu dimusnahkan oleh Al Ma'unah, ataupun tuan punya kuil yang dikatakan mahu dimusnahkan itu? Siapakah yang berdrama agaknya dalam episod ini? 

Dalam hal ini saya teringatkan episod Adi Amin ketika beliau di puncak kekuasaannya di Uganda satu ketika dulu. Dia telah berbangga dengan kepintaran membuatkan saki baki bangsa penjajah negaranya untuk terus menghormatinya. Dia telah mengarahkan beberapa peniaga British mengusungnya keliling laman istana sebagai bukti mereka taat dan setia kepadanya. Kilang Carlsberg mungkin disuruh membuat kenyataan akan percubaan memusnahkan kilang. Apakah mereka sudah membuat laporan polis sebelum mengeluarkan kenyataan di  media massa mengikut rentak yang dibunyikan oleh Mahathir. 

Demikianlah Episod RAW yang kini mesti diiktiraf sebagai satu episod yang benar lagi bernih, betul lagi betul dan yang penuh drama dan beribu teka-teki. Rakyat yang sayangkan keharmonian negara dan taat setia kepada perlembagaan negara tidak dibenarkan mempersoalkan segala Cerita Sauk itu sebagai satu khayalan. Kini, KAM sudah menjadi pusat pelancungan terbaru mengikut ala Eco-tourism yang tidak dirancang oleh Jabatan Pelancungan. Prebet Amin harus diberikan medal dan hadiah pampasan kerana berjaya mencetuskan idea baru bagaimana mencetuskan tapak pelancungan. Mungkin selepas ini kalau kebun Cina itu dibeli oleh kerajaan boleh disediakan pula satu barisan gerai menggunakan air yang turun daripada lata berdekatan sebagai bengkel mencanting batik, diadakan pula satu bengkel mengukir  segala bentuk  kubu dan pondok yang digunakan oleh Prebet Amin daripada kayu hutan yang memang ada tidak jauh dari situ. Semua ukiran 'miniature' itu sudah pasti laris kerana dijadikan bahan cenderahati oleh setiap pelancung.  Tentu sekali menteri pelancung "yang paling kreatif dalam sejarah kemerdekaan negara' mengikut tafsiran perdana menteri sudah punyai banyak idea untuk memajukan tempat itu. 

Kesimpulan: 

Mahathir sudah bersuara lantang untuk menggunakan undang-undang menangkap dan menghukum sesiapa yang berani memperlekehkan Episod Sauk. Saranannya itu sudah diulang-ulang oleh semua pemimpin kerajaan dan UMNO. Di antara yang paling lantang dengan saranan itu ialah Rafidah, Paklah dan ramai lagi. Cuma satu soalan yang mahu kita rakamkan di sini: Apakah Mahathir dan Rafidah serta para jongos yang lain pernah menjejakkan kaki di puncak bukit apa yang patut diberi nama  sebagai Kubu Terakhir Al Ma'unah?

Apakah pihak kerajaan sudah merancang untuk membeli kebun getah dan durian taukeh Cina yang memiliki kubu terakhir Prebet Amin itu? 

Panglima Sauk 
21.7.2000

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com