Sambungan Episod RAW: Bahagian 10
SAUK: BERMULANYA SKRIP BARU
Pada
hari ini (Rabu 19 Julai) jenazah Jaafar Putih yang merupakan saksi utama dalam
Episod Sauk telah disembahyangkan di Masjid Kg. Batu Dinding setelah dilakukan
pemeriksaan doktor di Hospital Ipoh. Kematian yang sungguh mengejutkan itu bukan sahaja
dirasakan oleh masyarakat yang mahu mendengar keterangannya di mahkamah malahan ia memberi
satu perasaan takut dan gempar di kalangan penduduk Sauk yang masih menyimpan seribu
rahsia di sebalik apa yang sebenarnya berlaku di kampung Jenalik Hulu.
Arwah Jaafar yang
merupakan seorang bekas tentera adalah seorang yang masih bujang lagi dan memang dikenali
oleh segala lapisan masyarakat di Sauk hinggalah ke Lenggong. Beliau amat mudah berkawan dengan sesiapa tidak kira apa kaum dan agama mereka. Malahan beliau tidak memilih kawan
dan mudah rapat dengan orang yang suka minum-minum dan mabuk-mabuk. Semoga Allah
mencucuri rahmat ke atas rohnya.
Seolah-olah secara kebetulan pula; pada
hari yang sama, cuma di sebelah malam, perdana menteri Malaysia muncul di kaca TV untuk
memulakan satu rancangan baru memberikan penjelasan kepada rakyat akan apa yang
sebenarnya berlaku di Jenalik Hulu, Sauk. Untuk memudahkan rencana TV itu
beliau telah ditemu bual oleh tiga personaliti yang memang terkenal sebagai pro kerajaan
bukan sembarangan: Prof. Firdaus Abdullah, Chamil Warya daripada TV3 dan Datuk Khalid
daripada Utusan Melayu.
Bermulanya Sandiwara Terbaru
Perantara
Wawancara itu. Dr. Firdaus Abdullah telah memulakan sandiwara terbaru itu dengan
kata-kata yang menarik dengan menggambarkan peristiwa rompakan Senjata di Kem 304 RAW
sebagai peristiwa yang "menggemparkan, membimbangkan dan juga membingungkan".
Ini merupakan satu petikan suis dinding yang menyerlahkan lampu khayalan yang sepatutnya
berjalan lancar selama satu jam tanpa iklan dan tanpa sebarang gangguan. Sebaliknya
wawancara itu adalah satu gimik yang hambar kerana apa yang dijelaskan oleh Mahathir
adalah perkara yang sudah lama diketahui oleh orang akhbar dan dimainkan berulang kali
sehinggakan orang yang kerap bertapa di warung kopi mampu memberikan jawapan yang sama
yang telah diucapkan oleh Mahathir. Cuma kali ini beliau menonjolkan beberapa 'BERITA
TERKINI' yang tidak dapat diterima oleh akal yang waras.
Firdaus ada berkata:
"Tetapi,
kerana keadaan sekarang telah pulih kembali dan penjenayah-penjenayah terlibat telah
ditangkap, mungkin rasa gempar dan bimbang kita itu telah dapat diatasi. Tetapi kita masih
lagi merasa bingung dan musykil bila memikirkan bahawa di zaman yang serba moden dan
canggih dengan kemajuan sains dan teknologi yang sangat mengkagumkan sekarang masih
terdapat kumpulan-kumpulan yang begitu mudah terpedaya dengan ajaran sesat, tarikan tahyul
dan tindakan yang tidak waras. Inilah antara persoalan-persoalan yang akan kita
kemukakan kepada Datuk Seri. Kalau boleh saya mula dengan menanyakan reaksi awal Datuk
Seri sebaik sahaja diberitahu peristiwa itu dan maklumat perkembangan terakhir mengenai
perkara ini?"
Mahathir Menjawab:
"Yang pertamanya apabila
saya dapat panggilan telefon daripada Datuk Seri Najib memberitahu saya bahawa satu
kumpulan lebih kurang 15 orang telah merompak dan mengambil senjata yang begitu banyak
dari kem tentera di Gerik, saya berasa terkejut kerana ini bukanlah sesuatu yang biasa
berlaku di negara kita. Saya khuatir samada ini adalah permulaan sesuatu yang lebih
besar, iaitu secara terancang akan ada satu pemberontakan di negara kita dan ini mungkin
akan membawa banyak kematian, pembunuhan dan sebagainya. Saya amat terkejut kerana ini
bukan sesuatu yang biasa berlaku di negara kita."
Kemudian Mahathir ditanya
mengenai maklumat terakhir. Beliau menjawab:
"Sekarang ini kita dapat mengenal pasti siapa melakukannya dan apa tujuan mereka dan mungkin juga reaksi yang tidak
menyenangkan iaitu ada pihak yang cuba menimbulkan perasaan benci di kalangan orang bukan
Islam dan juga kepada orang Islam, dan ini berlaku di Sarawak. Umpamanya: kita sedang mengawasi
perkara ini kerana inilah yang kita amat takuti"
Soalan: Bolehkah dikatakan ini tak berasas, Datuk Seri, kerana kebimbangan Datuk Seri kalau-kalau ini
merupakan satu permulaan pemberontakan, setelah mendapat maklumat-maklumat terakhir, boleh
dikatakan tak berasas ?
Mahathir: Ini tak berasas kerana pada mula memang kita
tak tahu setakat mana dia akan menjadi buruk.
Soalan: Datuk Seri, barangkali
memang rakyat terkejut kerana inilah pertama kali dalam sejarah psca-Merdeka satu kumpulan
perompak kem tentera bercadang untuk menggunakan senjata untuk menjatuhkan kerajaan dan
pemimpinnya. Boleh Datuk Seri beritahu dan terfikirkan mengapa perkara ini berlaku
sekarang?
Mahathir: Sekarang ini saya berpendapat ia bermula dengan usaha
untuk memburukkan kerajaan khususnya menuduh bahawa kerajaan ini adalah kerajaan yang
tidak Islam. Dengan tidak ada asas sama sekali membuat tuduhan-tuduhan yang sudah tentu
akan menimbulkan perasaan marah di kalangan orang Islam yang berharap bahawa negara ini
akan mengikuti cara-cara yang mereka anggap sebagai pemerintahan Islam. Jadi bermula
dengan menuduh kerajaan ini tidak Islam.
Soalan: Menurut Dato' Seri sendiri, kumpulan
ini bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan dan pemimpin-pemimpin kerajaan termasuk
Dato' Seri sendiri sebagai perdana menteri ? Apakah kejadian itu berlaku kerana kempen
membenci kerajaan yang sedang dilakukan pihak tertentu.
Mahathir: Ya, berpunca
dengan tuduhan bahawa kerajaan ini tidak Islam maka untuk mendapat sokongan bagi pihak
tertentu, mereka memulakan kempen membenci kerajaan kerana kononnya tidak Islam. Mereka memupuk
perasaan kebencian, kemarahan ini sekian lama, 20- 30 tahun dan dalam jangka masa
itu sudah ada orang yang betul-betul berasa benci yang meluap-luap kepada kerajaan. Seperti
mana yang kita tahu sesuatu yang dipupuk semasa kecil akan melekat menjadi sebahagian
budaya kita apabila kita membesar dan sukar bagi kita untuk menukar pendirian itu ataupun
fahaman itu. Perasaan benci ini terdapat berperingkat-peringkat, ada yang semata-mata
membenci tetapi tidak akan membuat apa-apa, ada yang setakat menolak parti kerajaan dalam
pilihanraya tetapi tentu akan ada orang yang terlalu ekstrim, terlalu marah sehingga
sanggup untuk menggulingkan kerajaan. Sanggup membunuh, sanggup menyiksa sedangkan mereka
adalah orang biasa yang bukan pembunuh dan bukan kaki menyiksa orang. Tetapi kerana
terlalu benci, kebencian yang dipupuk terhadap kerajaan ini sekian lama, maka mereka sampai
ke tahap sanggup membunuh dan mengambil tindakan untuk menggulingkan kerajaan secara
kekerasan.
Soalan: Datuk Seri, kumpulan ini merasakan kerajaan yang ada
sekarang tidak cukup Islam tetapi Islam yang macam manakah Dato Seri yang betul untuk kita
rakyat Malaysia?
Mahathir: Tuduhan bahawa kerajaan ini tidak Islam mudah
dibuat tetapi kalau kita lihat lebih 50 negara yang dianggap sebagai negara Islam, ahli OIC
(Pertubuhan Persidangan Islam) umpamanya, kalau kita perhatikan tidak banyak perbezaan
antara kita dengan mereka. Mereka juga membenar perbuatan-perbuatan kerana keadaan. Di
Malaysia kita tahu penduduk kita terdiri daripada 40 peratus terdiri daripada bukan
Islam. Jadi, kalau kita membuat sesuatu tindakan yang mencetuskan huru-hara dalam negara
kita kerana tentangan oleh pihak lain, ini juga dilarang oleh Islam yang berkehendak
supaya sederhana dalam tiap-tiap sesuatu yang kita buat untuk Islam. Islam memberi banyak
kelonggaran kepada kita mengikut keadaan. Umpamanya, dalam sembahyang, kalau kita tidak boleh
berdiri tak mengapa kalau kita duduk, tak boleh duduk tak mengapa kalau kita tidur,
dan juga kalau kita tidak mengadap kiblat masih boleh sembahyang kerana Islam tidak keras
dalam menjalankan arahannya melainkan ianya mengambil kira keadaan yang sebenar. Orang
Islam yang hidup sebagai minoriti di negara lain tidak boleh membuat banyak perkara yang dikehendaki
olehnya tetapi mereka masih Islam kerana mereka membuat amal ibadat dan
menunaikan segala yang diwajibkan oleh agama Islam.
Demikianlah sebahagian
daripada transkripsi awalan wawancara perdana menteri dengan tiga pakar putar-alam di
negara ini. Tidak ada yang istimewanya dalam penjelasan Mahathir ini melainkan
beberapa pendedahan terbaru yang menakjubkan:
- Beberapa ahli Al Ma'unah telah
dapat menyusup masuk ke ibukota dan cuba memusnahkan beberapa sasaran tertentu seperti
kilang Carlsberg, kuil, dan beberapa sasaran lain. "Oleh kerana merka tidak cekap
menggunakan M16 mereka tidak berjaya menembak dengan tepat dan terus tertangkap."
Sasaran yang disebut oleh Mahathir adalah satu pendedahan terkini yang menakutkan kita
kerana si penembak tidak cekap sedangkan senjata untuk menembak masih berada di Sg. Petani
dan dirampas kembali oleh pihak polis.
- Mahathir telah menjelaskan betapa
sudah ada dua kumpulan Melayu masa kini. Mereka yang berkopiah putih adalah penentang
kerajaan dan mereka yang berkopiah hitam yang merupakan identiti mereka yang menyokong
kerajaan.
- Budaya membenci kerajaan terpaksa diperangi dengan memberi penerangan
yang baik kepada semua pihak.
- Iktibar yang boleh diambil dalam episod ini ialah tafsiran ajaran agama yang tepat, yang
mahukan penganutnya patuh kepada ajaran Islam yang suci dan tidak menyimpang sehingga
menggugat aqidah.
Daripada keseluruhan wawancara ini yang sudah semestinya akan
disiarkan secara verbatim esok di semua akhbar perdana, kita nampak satu sikap defensif
daripada pihak Mahathir yang mahu mempertahankan kedudukan kerajaannya bahawa Episod RAW
itu bukannya satu sandiwara. Dia mahu rakyat sedar bahawa apa yang telah berlaku adalah
benar sebenarnya. Cuma beberapa kesilapan yang jelas tidak dapat diperbetulkan oleh
Mahathir dan para juratanya yang sungguh terlatih itu. Kita mahu sogokkan perkara ini sebagai
bahan diskusi seterusnya:
- Episod Sauk belum selesai lagi selagi
mereka yang digelar 'penjenayah' tidak dihadapkan ke mahkamah dan mereka itu diberi ruang
dan peluang untuk mendapatkan khidmat peguam membela kedudukan mereka. Setakat ini bukan
sahaja mereka yang sedang dibicarakan. Seluruh pertubuhan persilatan Melayu sedang
terumbang-ambing kerana disyaki sebagai kumpulan ajaran sesat.
- Dengan menuduh
Al Ma'unah sebagai kumpulan ajaran kebatinan yang sesat sekaligus Mahathir mengcop mereka
yang mengamalkan ajaran kebatinan juga sesat. Sedangkan ajaran kebatinan bukannya baru
dalam budaya Islam. Berzikir, beristigfar, bermunajat dan sembahyang di luar solat yang
wajib adalah sebahagian ilmu kebatinan. MEMENCILKAN DIRI DI GUA bukan satu kerja beribadat
yang ganjil kerana perkara itu pernah dilakukan oleh Nabi Mohammad SAW sebelum beliau
mengembangkan ajaran Islam secara menyeluruh dan padu.
- Sepatutnya proses
membuat penjelasan dalam apa juga bentuknya termasuklah wawancara yang dilakukan oleh Mahathir
adalah melanggar etika perundangan kerana ramai yang ditangkap dan akan dituduh
sebagai anggota kumpulan ajaran sesat boleh mempertikaikan penangkapan itu. Taktik ini adalah sama dengan apa yang dilakukan
oleh Mahathir sebelum Anwar Ibrahim dituduh oleh
mahkamah dulu. Ini juga taktik yang sama yang mahu beliau lakukan untuk memberi isyarat
betapa beliau mahu kumpulan Al Ma'unah itu dihukum sebagai penjenayah.
- Kalau
Mahathir sanggup bersuara lantang menuduh beberapa pihak tertentu sebagai penyokong
kumpulan al Ma'unah, apakah kumpulan itu telah diberikan ruang untuk mengambil khidmat
peguam dalam usaha mempertahankan pendirian mereka?
- Kematian
Jaafar Putih kini disambut dengan satu perasaan ketakutan oleh penduduk Jenalik Hulu dan
beberapa penduduk Sauk. Mereka telah menerima pampasan beras daripada BERNAMA, walaupun
mereka tidak memintanya. Pampasan kerugian durian yang tidak berkutip pun sudah diedarkan.
Apakah kematian Jaafar Putih itu satu kebetulan ataupun ada lagi rahsia di sebalik itu.
Ramai di antara kami di Sauk yang sedang ketakutan sekarang ini kerana ugutan untuk
merahsiakan sesuatu bagaimana kumpulan Al Ma'unah itu boleh ditumpaskan. Kami di
Sauk memang tahu benar cerita yang sebenar. Tetapi kami telah diugut dengan tegas betapa
kami juga akan dibunuh kalau kami mendedahkan rahsia sebenar itu. Tetapi, sampai
bilakah penduduk Jenalik Hulu boleh bersabar dan bertahan. Bagaimana pula dengan perasaan
kami dan aqidah kami itu. Apakah kami mesti bersekongkol dengan pihak yang berbohong. Kalau Jaafar Putih boleh menemui ajalnya disebabkan keadaan yang samar, apakah
mungkin pula Sarjan (dulu Koperal) Melayu yang masih hidup itu berupaya berbohong juga
seperti yang dimestikan?
- Kami, di Sauk memang mempunyai rahsia besar
bagaimana kumpulan Al-Ma'unah itu ditangkap. Tetapi, apakah pihak kerajaan tidak sedar
bahawa ramai di antara kami mempunyai pertalian saudara dan pertalian kekeluargaan dengan
Mohamad Amin Razali? Apakah jaminan kerajaan bahawa rahsia yang perlu kami pegang sekarang
ini tidak dibocorkan oleh salah seorang ahli komando yang dikatakan mengepung kumpulan Al
Ma'unah itu? Apa kata kalau esok ataupun lusa ada anggota komando yang menjadi fed-up dan
'frust' yang membuka cerita bagaimana keluarga ahli Al Ma'unah itu telah dijadikan
satu benteng 'human shield' oleh Lt Jeneral Zaini untuk masuk ke kawasan persembunyian Amin
dan berunding agar beliau menyerah diri? Apa akan jadi kalau ada di antara anggota komando
itu yang bercerita betapa penggunaan lagu P.Ramlee itu sebenarnya bertujuan untuk menarik
perhatian kumpulan Amin sedangkan di waktu yang sama kumpulan komando bergerak rapat
merangkak ke tempat pertapaan kumpulan Al Ma'unah itu?
- Di sepanjang episod
Sauk, tidak ada lawan tembak menembak, tetapi kalau dilihat kepada gambar-gambar yang
dihidangkan kepada pembaca akhbar dan penonton TV nampak sangat betapa anggota pasukan
keselamatan berkeadaan berselindung daripada peluru sesat? Bukankah ini satu gambaran
bahawa Episod RAW itu satu sandiwara?
Demikianlah perjalanan Episod RAW
yang kini kita mahu rakamkan sebagai Tragedi RAW. Kita akan terus rakamkan perjalanan
sejarah dalam Episod ini kerana terlalu banyak penyelewengan yang sudah berlaku dan
dijangka akan dilakukan. Jika tidak, kenapakah pihak kerajaan bersungguh sangat mahu
menangkap sesiapa sahaja yang menganggap episod itu sebagai sandiwara?
Yang
nyata Jaffar Putih sudah pun pergi. Siapa lagi agaknya selepas ini? Apakah ada di kalangan
komando yang bertahan di Sauk itu nanti merasa diri dan nyawa mereka sendiri terancam?
Bagaimana pula dengan ahli keluarga pasukan keselamatan yang bertugas di Sauk ketika
episod itu mula meletup? Apakah mereka juga akan menjadi mangsa?
Kalau dilihat
kepada penjelasan Mahathir, tidak ada sesuatu yang meyakinkan selain daripada memberi imej
betapa Sauk adalah suatu drama yang dirancang begitu licik sekali. Kalau Mahathir fikir penonjolannya dengan
wawancara itu adalah langkah pertama untuk meyakinkan rakyat
akan kebenaran apa yang berlaku di Sauk itu, Mahathir gagal segagal-gagalnya. Kisah Sauk dan
episod yang berlaku seterusnya memang penuh misteri. Terlalu banyak teka-teki yang timbul
dan tidak terjawab. Kisah begini memang banyak berlaku di banyak negara. Selalunya para
pelakon episod seperti ini tidak dapat lama hidup kerana sesuatu yang tidak mudah
dijelaskan. Ironisnya pada satu hari nanti, sutradara sandiwara seperti ini yang
akan mendedahkan segala-galanya. Buat masa ini biarlah Episod Sauk terus menyauk
lagi.
Panglima Sauk 19.7.00
|