MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

ANALISIS EPISOD RAW

AGENDA POLITIK BENCI 
MEMBENCI KERAJAAN

Dalam telahan awal episod RAW oleh hampir kebanyakan penulis dan penganalisis siber, bermula dengan niat menimbulkan agenda benci membenci terhadap kerajaan. Perkataan 'benci kepada kerajaan atau pimpinan kerajaan' sudah lama diwar-warkan oleh pihak kerajaan, sebagai tuduhan perbuatan oleh parti-parti pembangkang, khususnya PAS. 

Justeru itu kita melihat para penganalisis politik siber bersetuju bahawa episod RAW adalah didalangi oleh pimpinan kerajaan untuk membukti wujudnya rasa kebencian terhadap kerajaan BN kerana dikatakan tidak Islam.

Dalam sesi penerangan episod RAW melalui media perdana malam tadi, agenda itu disimpulkan oleh PM Mahathir Mohamad, iaitu membuktikan wujudnya perasaan benci kepada kerajaan dan bukannya dengan tumpuan menerangkan episod rampasan senjata atau tindakan yang akan dikenakan ke atas mereka yang dianggap penjenayah. Ini sebenarnya membantu menguatkan lagi pendirian rakyat, bahawa wujud penglibatan pihak tertentu di kalangan pimpinan kerajaan dalam episod RAW dan ianya bukanlah sengaja dilakukan oleh anggota Al-Ma'unah yang mendakwa diri mereka kebal.

Malahan soalan yang mengatakan bahawa rakyat lebih gemar mendengar ceramah agama di kalangan pembangkang dari mendengar ceramah agama yang dianjurkan oleh kerajaan, membuktikan bahawa berlakunya 'political tension' di kalangan kepimpinan kerajaan tentang sikap ketidakpercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan, samada dari segi pengurusan pentadbiran mahu pun pentadbiran agama Islam. 

PM Mahathir Mohamad menyatakan aktiviti golongan yang menghasut rakyat membenci kerajaan telah bermula sejak 20 atau 30 tahun lalu.

Persoalannya mengapakah kebencian yang sebegitu lama tiada sebarang rampasan senjata atau mengugut kerajaan melalui senjata? Mengapakah anggota Al-Ma'unah yang baru ditubuhkan September 1998 begitu berani menyahut kepimpinan pembangkang untuk menyatakan pendirian mereka membenci kerajaan. Mengapakah ahli-ahli PAS sendiri tidak berani atau mahu berjihad menentang kerajaan dengan cara kekerasan walaupun bilangan mereka kini jauh lebih ramai iaitu kini mencecah 1 juta orang?

Apakah dengan bertapak kira-kira 2 tahun sudah cukup ilmu di dada ahli al-Ma'unah sehingga begitu berani mencabar pihak yang kukuh dan pakar dalam senjata iaitu di pihak ATM dan PDRM.

Persoalan sebegini sebenarnya lebih merumit dan mengusutkan 'kekeliruan' yang timbul, bukannya memberikan penyelesaian dengan membuktikan tidak wujud campurtangan atau dalang di pihak kerajaan dalam episod RAW.

Bolehkah rakyat menerima sogokan dengan ahli seramai 800 orang, Al-Ma'unah berani mengangkat senjata yang begitu asing bagi mereka untuk menentang kerajaan? Apakah dakwaan ini sebagai sesuatu yang berasas?

Nyata sekali kesimpulan yang dibuat oleh ahli panel dan PM Mahathir Mohamad gagal meyakinkan rakyat tentang kebenaran episod RAW sebagai aktiviti pengganas sebenar. Kekeliruan yang timbul di kalangan pihak media perdana sesama mereka menguatkan lagi dakwaan bahawa antara perkara yang hendak ditimbulkan melalui episod RAW ini ialah tentang 'fanatiknya' benci membenci kepada kerajaan sehingga sanggup memikul senjata dan melakukan kekerasan.

Pemutarbelitan fakta episod RAW oleh pihak kerajaan secara terang-terangan berlaku apabila Dr. Mahathir menuduh kebencian itu ditabur oleh PAS sejak sekian lama. Padahal rakyat semua tahu Al-Ma'unah diwujudkan sebagai pertubuhan seni mempertahankan diri. Jika ia hendak dikaitkan dengan ajaran sesat atau menyeleweng berkemungkin fakta itu boleh diterima. Namun untuk mengaitkan dengan politik, dakwaan Mahathir nampak melulu dan begitu lemah sekali.

Sebagai kesimpulan awal kepada rancangan khas 1 jam bersama PM yang disiarkan oleh media perdana semalam, nyatalah kewibawaan serta imej di pihak kerajaan yang lebih terdesak dan bercelaru sesama mereka.

Perjuangan rakyat di bawah PAS dan BA nampak lebih selesa apabila rakyat berketurunan Cina kini mengakui episod RAW adalah semata-mata perbuatan yang didalangi pimpinan utama kerajaan untuk membuktikan wujudnya perbuatan melampaui batas kerana membenci kerajaan.

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com