MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

JAAFAR DAKWA ADA ORANG MENCURIGAKAN DI KAWASAN RUMAHNYA

LENGGONG, 19 Julai (Bernama) -- Jaafar Putih, tebusan kumpulan Al-Ma'unah yang meninggal dunia secara mengejut semalam, pernah mengadu kepada anggota keluarganya terdapat seorang yang mencurigakan berkeliaran di kawasan rumahnya selepas beliau dibebaskan.

Adik mangsa, Nadzlan, memberitahu pemberita bahawa Jaafar mengesyaki orang itu memasuki kawasan rumahnya di Kampung Chain di sini dua hari selepas beliau dibebaskan oleh kumpulan penjenayah itu.

"Yang saya nampak seorang, yang mula-mula nampak (orang yang mencurigakan itu adalah) arwah (Jaafar)," katanya ketika ditemui di rumah keluarga mereka.

Jaafar, 51, yang bekerja kampung belum berkahwin dan tinggal bersama ibu bapanya. Dia ialah anak kedua daripada lapan beradik.

Nadzlan, 38, berkata beliau tidak terfikir kematian Jaafar "misteri" sebaliknya mempersoalkan mengapa pihak-pihak tertentu tidak menyediakan kawalan dan rawatan sepatutnya kepada abangnya sejak beliau dibebaskan.

"Abang saya disiksa teruk, kalau tengok ada lebam di merata badan dia. Kenapa kakitangan kerajaan (sarjan Mohd Shah Ahmad yang turut dibebaskan penjenayah) di bawa ke hospital? kenapa Jaafar tidak dibawa? Adakah kerana dia orang kampung, menganggur dan tak kerja?" soalnya.

"Saya dengan abang (Jaafar) dah bagi tahu balai polis (mengenai orang yang mencurigakan itu) tetapi polis kata dia dah kawal," katanya yang mendakwa laporan itu dibuat sehari selepas kejadian.

Nadzlan yang menetap di Kuala Lumpur berkata Jaafar berada dalam keadaan trauma dan gelisah sejak beliau dibebaskan dan keadaannya bertambah teruk selepas menghadiri kawad cam yang diatur polis baru-baru ini.

"Sepatutnya saksi penting seperti abang saya dilindungi dan diberi rawatan yang secukupnya," katanya.

Nadzlan turut mempersoalkan tindakan kakitangan perubatan dari Pusat Kesihatan Lenggong yang tidak membawa abangnya sebaik sahaja ambulans tiba.
 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com