Episod RAW Siri 9
MARTABAT MELAYU YANG TERSAUK
Oleh:
Panglima Sauk
Sebagaimana yang sudah dijangkakan, akhbar The Star terbitan
Selasa 18 Julai yang berbunyi seolah-olah beberapa ahli Al-Ma'unah bercadang
melakukan huru-hara di Kuala Lumpur. Tajuk berita di muka hadapan akhbar ialah:
"Several Al Ma'unah members on mission to bomb KL"
....
"Several Al Ma'unah members were sent to the Klang Valley armed with an M203 grenade launcher
to bomb factories, gaming outlets and places of worship. They had even test fired the weapon but were caught becore they could do any harm. Swift action by the
Special Branch and the CID prevented them from successfully carrying out their plan when
they arrested one of the "terrorist" and seized the grenade launcher from him a
day after the standoff ended at Sauk. Police had confirmed the Al Ma'unah members
had targeted the places.
"Sources said the members in the Klang Valley had launched
a grenade to 'familiarize' themselves in handling such a sophisticated weapon, the
group delayed their attacks. The suspect with the grenade launcher was detained in Kuala
Selangor on July 9, and the weapon was recovered in Sungai Petani the following day. The
suspect is expected to be charged under the Fire Arms (Increased Penalty) Act.
"Sources
familiar with the Al-Ma'unah movement said that several of those involved in the
July arms heist on the army camps in Pengkalan Hulu and Banding, Perak, were told to leave
the hideout. One of them was given an M203 grenade launcher to carry out the proposed
attacks. All of them had since been detained under the Internal Security Act as
investigations continued.
"More than 15 members of the group, garbed in army
uniforms, had tricked their way into the camps. The armed men then held the police and
army at bay for five days before surrendering. They also tortured and killed a special
branch policeman and an army commando during the standoff."
Kita ambil
sepenuhnya tulisan di muka depan akhbar kepunyaan MCA itu sebagai satu bahan sejarah
kerana yang menjadi tontonan sekarang bukannya dua puluh orang tawanan yang dikatakan
menjadi ahli kumpulan Al-Ma'unah. Sebenarnya yang dibicarakan sekarang adalah martabat
Bangsa Melayu dan kedaulatan Raja-raja Melayu. Inilah yang dimaksudkan dengan kata-kata
'Yang Sumbang semakin Sumbing' dan inilah yang dimaksudkan semalam betapa kita tidak akan
hairan kalau ada akhbar yang mahu mengatakan betapa 'Amin rancang curi pesawat kepunyaan
Perdana Menteri'. Sebagai bahan bukti sejarah kita akan terjemahkan laporan akhbar 'The
Star' tulisan Lourdes Charles itu:
" Beberapa ahli Al-Ma'unah
dengan misi mengebom KL"
"KUALA LUMPUR: Beberapa orang anggota
kumpulan Al-Ma'unah telah dihantar ke Lembah Kelang, lengkap dengan satu laras (M203)
pelancar grened untuk mengebom kilang-kilang, kedai menjual loteri dan rumah ibadat.
Mereka telah melakukan percubaan memicu senjata itu tetapi telah ditangkap sebelum
berupaya melakukan sebarang musibah. Tindakan pantas oleh Cawangan Khas (SB) dan 'CID'
telah berjaya menghalang rancangan mereka dengan tertangkapnya salah seorang
'penjenayah' dan merampas pelancar grened itu satu hari selepas selesainya kepungan
di Sauk. Polis telah mengesahkan betapa kumpulan Al-Ma'unah itu telah merencana
beberapa sasaran tertentu.
"Sumber-sumber telah melapurkan betapa ahli
kumpulan di Lembah Kelang mencuba senjata itu untuk menyesuaikan diri mereka. Namun,
disebabkan kekurangan pengalaman mengendalikan senjata yang sofistikated itu
kumpulan tersebut telah menangguhkan serangan mereka.
"Seorang yang disyaki menyimpan senjata itu telah ditahan di Kuala Selangor pada 9 Julai, dan senjata itu
telah dirampas darinya di Sungai Petani pada keesokan harinya. Beliau dijangka akan
dituduh di bawah Akta Senjata Api. Sumber yang mengenal kumpulan Al-Ma'unah itu
berkata betapa beberapa orang yang terlibat dengan rompakan senjata pada 2 Julai yang lalu
di kem tentera Pengkalan Hulu dan Banding, Perak telah diarahkan keluar daripada
tempat persembunyian mereka. Salah seorang anggota itu telah diberikan sepucuk M203
itu untuk melakukan serangan yang dirancang itu.
"Kesemua ahli kumpulan itu
telah ditahan di bawah Akta ISA dan penyiasatan masih diteruskan lagi.
"Lebih
dari 15 ahli kumpulan itu yang berpakaian celoreng tentera telah menipu masuk kem tentera.
Kemudian, mereka telah membuatkan pihak polis dan tentera bertahan selama lima hari
sebelum menyerah diri. Mereka telah menyiksa dan membunuh seorang anggota SB
dan seorang anggota tentera komando ketika bertahan itu."
Kalau kita
baca sekali lalu akan laporan itu, memanglah nampak tidak ada cacat celanya jika
dibandingkan dengan jalan cerita di Sauk. Lagi pun cerita tentera merompak senjata dan
berkubu di Sauk sudah menjadi berita hangat yang dimainkan setiap waktu di radio, TV dan
juga di kedai kopi. Apatah lagi apabila seorang panglima tentera yang selalu lantang
bersuara menyatakan betapa episod yang dianggap sebagai satu sandiwara oleh rakyat jelata
adalah satu episod yang sungguh 'real' yang hanya boleh ditafsirkan sebagai drama mainan
oleh golongan rakyat yang sudah gila.
Laporan The Star yang Lebih Gila
Siapakah
yang boleh sangka laporan yang ditulis oleh Lourdes Charles adalah lebih gila daripada
yang disangkakan? Cuba fikirkan perkara di bawah ini:
- Lokasi rompakan sebenar
ialah di Kem Sungai Rui yang terletak hanya kira-kira tujuh kilometer daripada Pekan
Gerik. Selepas kumpulan ini mendera para pengawal dan merampas sedikit senjata
mereka masuk ke pekan Gerik dan melintasi balai Polis Gerik untuk memasuki Kem 304 yang
terletak tidak berapa jauh daripada balai polis itu.
Sebaliknya, "The
Star" melapurkan betapa rompakan dilakukan di Pengkalan Hulu. Pekan ini dulunya
dinamakan 'Keruh'. Lokasi pekan ini adalah amat jauh daripada Gerik dan perlu merentas
kawasan pergunungan seperti yang ditulis dalam 'RAW Episod 1: Operasi Terbesar
Tentera Selepas Zaman Darurat.'
Kem RAW di Banding terletak sekitar 34 kilometer
daripada Gerik menghala ke Kota Bharu, Kelantan. Kem Banding adalah merupakan satu kem tentera yang
bertugas mengawal dua jambatan yang melintasi Tasik Banding. Kem itu terletak di antara dua
jambatan itu yang menghubungkan tanah besar kepada Pulau Banding.
Demikianlah jauh
tersasarnya dua lokasi itu sehinggakan pemberita luar negara yang mengikuti berita The
Star pernah mengeluh apabila pergi ke dua tempat itu dan mendapati mereka telah melakukan
satu tugas 'wartawan biul'. Tentu kita mahu tahu kenapakah The Star mampu
mengeluarkan berita seperti itu sehinggakan lokasi sebenar rompakan telah tersasar jauh.
- The Star melapurkan betapa para perompak telah mencuba senjata yang mereka curi itu di
Sauk kerana mahu menyesuaikan diri mereka. Inilah yang dimaksudkan oleh masyarakat Cina di
Gerik dengan kenyataan 'Mana Masuk Akai??'.
Kalau kita lihat gambar yang
ditontonkan di TV yang menyangkuti pergolakan peperangan saudara di beberapa negara di
Afrika, tentu kita masih ingat gambar anak-anak yang berumur sekitar sepuluh tahun
yang memikul senapang automatik dan pelancar grened di bahu mereka. Malahan di Bosnia,
Afghanistan, Eriteria dan Somalia, terdapat kumpulan wanita Islam yang memikul
senjata yang canggih untuk mempertahankan kedaulatan kawasan mereka. Kalau anak-anak
kecil hingusan mampu menunjukkan keberanian memikul senjata canggih seperti itu apakah
pemuda Melayu yang berakal baligh masih takut dengan sepucuk pelancar grened? Berapa canggihkah
M203 itu kalau dibandingkan dengan selaras senapang patah ataupun Mark 5 yang
pernah digalas oleh orang kampung yang menganggotai 'Home Guard' satu ketika dulu?
Senapang dulu kala semuanya menendang balik ke bahu si penggunanya dan amat berbeza dengan
sepucuk pelancar grened. Kalau wanita Bosnia, Afghanistan, Eriteria dan Somalia
boleh menggalas senapang canggih seperti itu apakah pemuda Melayu masih gentar dengannya?
- The Star 'menyiarkan' berita betapa ahli kumpulan Al-Ma'unah mahu melakukan rompakan dan
pengeboman beberapa tempat tertentu di Kuala Lumpur dan Lembah Kelang.
Secara
kebetulan pada hari (Selasa 18 Julai) ini tersiar luas beberapa berita bagaimana beberapa
jenis rompakan dan pembunuhan telah dilakukan di Kuala Lumpur. Di Harian Metro muka surat
5 ada laporan "Warga Indon Pembunuh Upahan terbabit 40 rompakan dan 3
pembunuhan". Penjenayah ini bernama Misto berumur 36 tahun. Beliau merupakan
ketua perompak yang melakukan jenayah berat. Apakah senjata yang digunakannya? Pihak
polis melapurkan mereka menggunakan "Lima pistol termasuk satu tiruan, dua laras
senapang patah dan sejumlah peluru."
Begitu juga dengan laporan pihak
polis akan kumpulan yang dikenali sebagai Geng Caltex. Kumpulan ini dipercayai terbabit
dalam rompakan stesen minyak sekitar Lembah Kelang. Begitu juga ketika polis melapurkan
akan aktiviti Geng Suisse yang berjaya membunuh seorang anggota polis di Kinrara. Polis
telah menjumpai dua pistol, satu daripadanya tiruan, peluru, satu gari dan dua topeng
ski dalam sebuah kereta. Polis telah menyatakan betapa perompak itu dipercayai
terbabit dalam sekurang-kurangnya 91 kes rompak pub, restoran, kedai emas sekitar Lembah
Kelang.
Dalam laporan polis mengenai rompakan itu, The Malay Mail ada membuat laporan
betapa beberapa anak muda telah ditahan kerana rompakan di stesyen minyak.
Mereka berumur antara 19 hingga 20 tahun. Salah seorang di antara mereka adalah anak
seorang yang ternama. Pihak polis telah menjumpai dua buah kereta jenis Mercedez SL 300
dan E280 daripada mereka yang dianggap kereta curi. Apakah senjata yang mereka gunakan?
Sepucuk raifel dengan alat teleskopik, 2 bilah parang dan satu penukul.
Di
akhbar yang sama ada laporan rompakan yang berlaku di kedai Magnum Corporation di mana dua
perompak berjaya melarikan RM8,500. Seorang daripada perompak setelah menunjukkan selaras
pistol di pinggangnya manakala seorang lagi menunjukkan sebilah parang.
The
Star Melatah Mengikut Rentak Kumpulan NST ?
Tidak ramai pembaca Melayu yang
membeli The Star, kerana itu kita kerap mendapati berita songsang dalam akhbar ini yang
menjurus kepada memukau pemikiran pembaca bukan Melayu. Lantas, penulisan mengenai aktiviti
yang membabitkan orang Melayu dianggap perkara remeh asalkan ia mampu memenuhi
satu kehendak memperlekehkan bangsa Melayu. Namun demikian kita tidak boleh menyalahkan
sesiapa dalam The Star yang berani memperlekehkan martabat orang Melayu. Cerita episod RAW
di Sauk memang merupakan satu cerita putar belit yang menakjubkan di alaf baru ini.
Kalau
kita baca harian Metro terbitan Selasa 18 Julai, gelagat yang ditunjukkan oleh The Star
telah ditiru oleh akhbar Bahasa Melayu keluaran edisi petang ini. Di muka surat 13 seorang
pemberita bernama Zainuddin Zain ada menulis "Al Ma'unah Rancang Gempur Disko KL -
Curi Senjata Untuk Tubuh Negara Islam"
Penulisan itu bukannya bertujuan
menyebarkan kekuatan yang ada pada kumpulan al-Ma'unah. Yang lebih tersirat dalam
tulisan itu ialah menonjolkan kekuatan yang ada pada Lt. Jen Zaini. Eloklah kita rakamkan
berita itu untuk catatan sejarah bangsa:
"......Berdasarkan maklumat yang
diterima daripada seorang ahli kumpulan Al-Ma'unah, di sini, semua pusat hiburan di Kuala
Lumpur dari disko, karaoke hingga dangdut akan diserbu mengikut perancangan awal kumpulan
itu. Ilmu yang ada pada Mohd. Amin memang tinggi. Bagaimanapun, semua ilmu itu
perlukan pemusatan minda dan dalam kes Mohd. Amin, dia tertekan hingga ditewaskan dan
ditangkap.
"Dia tertekan kerana ada ahli kumpulan itu menyerah diri lebih
awal. Dia juga marah dan itu menyebabkan pemikirannya terganggu. Punca utama Mohd. Amin
tewas apabila mereka membunuh dua tebusan. Apabila tangan kita berlumuran darah orang
tidak berdosa yang tidak boleh melawan, ilmu kita tidak akan menjadi,' katanya yang
bagaimanapun tidak aktif dalam kumpulan itu yang diasaskan Mohd. Amin.
"Pengikut
kumpulan itu berpendapat taktik yang digunakan panglima medan Tentera Darat, Lt. Jen.
Datuk Seri Zaini Mohd. Said, ketika menangkap Mohd. Amin juga menunjukkan beliau turut
berpengalaman mengenai kaedah menuntut ilmu batin......"
Dari sini kita dapat
lihat seolah-olah ada satu perancangan rapi menonjolkan keburukan Mohd. Amin dan kumpulan
Al-Ma'unah itu.
Kenapa Terlalu Gigih Berdrama?
Jelas ada satu usaha
untuk terus memburukkan Kumpulan Al-Ma'unah itu sebagai satu kumpulan yang begitu ganas
sekali sehinggakan mampu melakukan huru-hara di seluruh negara seperti yang sekarang ini
menjadi kenyataan yang amat diminati oleh seorang diktator tua.
Kalau dianalisis
semua laporan akhbar dan TV serta ucapan para pemimpin negara kita dapati rancangan
memburukkan Al Ma'unah itu sudah sampai ke tahap yang menggilakan kerana itulah rancangan
Mahathir Mohamad mahu terus berkuasa. Cuba lihat berita berikut:
- Rais Yatim
telah mengeluarkan satu kenyataan betapa pihak yang sengaja membuat tuduhan kononnya
rompakan senjata dan pembunuhan tebusan yang dilakukan kumpulan Al-Ma'unah sebagai
sandiwara kerajaan "boleh didakwa atas tuduhan menghasut."
Dakwaan
itu boleh "dilakukan mengikut Akta Hasutan 1948 walaupun golongan terbabit cuba
melindungi tindakan mereka dengan hujah berbau keagamaan." Katanya pihak berkenaan
tidak sepatutnya membuat tuduhan sedemikian kerana masyarakat negara ini sudah mengetahui
bahawa tindakan kumpulan penjenayah terbabit adalah salah.
Ewah......cantik
sungguh hujah seorang pakar membakar jambatan. Sekarang kita mahu tanya kenapakah Mahathir
Mohamad tidak ditangkap kerana beliau pernah menuduh pihak pembangkang mahu melakukan
huru-hara dengan menggunakan bom molotov pada Gelita 14 dulu? Kini Mahathir Mohammad telah
pergi ke Sarawak dan bercakap akan huru-hara lagi berdasarkan tuduhannya terhadap Al
Ma'unah. Apakah kedudukan hal ini?
Al Ma'unah dan Prebet Amin dikatakan merupakan
satu kumpulan serpihan Nasrul Haq yang pernah dipimpin oleh Tan Sri Samad Idris dan Paklah
yang kini menjadi Timbalan Perdana Menteri. Apakah kemungkinannya kumpulan itu merupakan
satu pergerakan yang ditunjangi oleh Paklah sebagai persiapan untuk memperkuatkan
kedudukannya sebagai bakal Perdana Menteri? Bukankah Paklah pernah menjadi Menteri
pertahanan satu ketika dulu? Adakah sesiapa yang memeriksa daftar keahlian UMNO dan
memeriksa bahawa anggota pimpinan prebet Amin itu sebenarnya ahli totok UMNO?
- Kini kita sudah mendengar kenyataan kerajaan betapa Akta Hasutan ISA tidak akan
dimansuhkan. Sebabnya ialah kegiatan 'melampau' Al-Ma'unah. Apakah impaknya dengan
keputusan Mahathir ini?
Kita berani berkata ada unsur-unsur yang sudah lama
dirancang agar Episod Al-Ma'unah meletup laksana gempa bumi yang akan disusuli oleh
beberapa gegaran susulannya. Mahathir akan mempergunakan alasan 'jenayah al Ma'unah' itu
untuk menangkap sesiapa yang difikirkannya menjadi penghalang untuk beliau terus berkuasa.
Dia sudah ada satu alasan konkrit untuk terbang ke luar negara memukul canang lagi kepada
dunia luar betapa Malaysia mampu menyerlahkan kestabilan politik kerana berperdana-
menterikan seorang yang berani, bijak dan tegas. Kestabilan politik Malaysia akan
terjamin dan para pelabur boleh terus melabur. Akta ISA adalah satu jaminan kepada dunia
luar betapa kestabilan politik akan terus terjamin. Akta ISA adalah satu jaminan betapa
sebarang kegiatan perkembangan agama Islam akan terus ditekan. Akta ISA akan dijadikan
satu perisai sakti untuk menumpaskan sesiapa sahaja yang berani menggugat kestabilan
negara yang diimpikan oleh seorang diktator tua.
- Kita dapat menjangkakan
kemungkinan besar Mahathir merombak kabinetnya dalam masa yang terdekat sebelum kerajaan
Sarawak mengistiharkan pilihanraya yang baru. Dalam rombakan kabinet itu nanti kita akan
jangka Mahathir memberikan penonjolan kepada beberapa tokoh bukan Melayu dan memberi ruang
kepada beberapa orang Sarawak menganggotai kabinet baru itu.
Rombakan kabinet itu
akan dijangka menjadi satu formula baru bagaimana Mahathir bertahan dalam satu era politik
yang amat menekan sisa-sisa hidupnya. Dia dijangka melantik salah seorang anaknya dalam
kabinet sebagai memenuhi impian lama yang sudah terpendam laksana durian menjadi
pekasam. Dia dijangka melantik pakar putar-alamnya Aziz Shamsuddin menjadi Menteri penuh.
Besar kemungkinan beliau menjadi Menteri Pertahanan. Di waktu yang
sama Mahathir akan dijangka melakukan beberapa rombakan dalam pentadbiran UMNO. Besar
kemungkinannya Megat Joned akan muncul kembali samada sebagai Setiausaha Agong UMNO
ataupun sebagai Setiausaha Kerja UMNO ataupun merangkap kedua-duanya sekali. Untuk
memahami kemungkinan taktik ini cubalah buat kajian akan rombakan yang dilakukan oleh Deng
Xiao Peng ketika dia melakukan rombakan besar dalam Parti Komunis Cina satu ketika dulu.
Pelbagai
kemungkinan akan muncul selari dengan keadaan masa dan keinginan seorang diktator tua
mengejar masa. Dia tahu keadaan kesihatannya yang sebenar dan masih mampu bertahan untuk
memperlihatkan keadaan kesihatan yang sungguh utuh. Tetapi, kita tahu Mahathir bin
Mohammad semakin tertekan hidupnya. Usaha parti pembangkang keliling negara membuat
laporan kerja kotor Mahathir sedang menghantui tidurnya. Mahathir sedang dihantui satu
perasaan takut kehilangan kuasa dan kehilangan nyawa ketika anak-anaknya sedang melakukan
satu perlumbaan untuk mengejar masa membetulkan perniagaan mereka. Mahathir semakin
tertekan dengan pelbagai desas-desus adanya pakatan rahsia yang mahu menjatuhkannya.
Inilah yang dikatakan momokan yang membayangi kehidupan seorang insan yang lupa
daratan. Allah sedang menghambatnya dengan beberapa tekanan jiwa yang sungguh menakutkan.
Allah sedang melakukan satu drama dan sandiwara agung terhadap Mahathir dan isterinya yang
turut sama terlibat dalam segala kes penipuan khazanah negara dan harta rakyat yang terus
tersiksa hidupnya. Allah sedang terus menyaksikan rencana Mahathir akan apa yang terus
akan dilakukannya, kerana semua itu memang sudah dalam pengetahuan-Nya.
Soalnya
sekarang, apa juga yang akan dilakukan oleh si diktator tua itu, rakyat akan terus
merasakan bahangnya. Martabat bangsa akan terus tertekan sehingga satu tahap apabila
keseluruhan masyarakat Melayu itu akan bangkit seolah-olah mereka baru sahaja sedar
daripada satu proses pukauan yang lama dikenakan ke atas diri mereka.
Selama
ini Mahathir berjaya memukau bangsa Melayu yang memberikan kepercayaan yang penuh
kepadanya. Laksana buah manggis yang manis, Mahathir telah memberikan orang Melayu buah
itu sebagai santapan jiwa mereka setiap hari. Tetapi sayang, manggis yang masak jatuh ke
bumi tidak akan dapat bertahan lama lagi. Ia akan menjadi keras dan isinya sudah tidak
enak lagi. Mahathir terlupa kalau mahu memberi hadiah manggis yang masak ia mesti datang
daripada buah yang disauk dari tangkainya.
Mahathir Mohamad sedang berkhayal
lagi. Laksana Mat Jenin di pucuk kelapa dalam cerita 'Burung Terbang Dipipiskan
Lada". Malangnya terlalu ramai yang masih taksub mahu berkongsi khayalannya
yang berada di bawah pokok kelapa itu. Inilah golongan Melayu yang sanggup bersikap setia
di bawah pokok menunggu jatuhnya kelapa muda. Sayang, yang akan jatuh mungkin pelepah
kelapa sahaja. Ataupun yang lebih mungkin ialah si pengkhayal yang paling agung itu
sendiri - jatuh terhempap ke atas diri mereka. Ketika itu barulah mereka sedar
mungkin, apakah Al Ma'unah adalah bahan pengkhayal juga?
19 Julai, 2000
|